Monday, February 3, 2020

Apakah Benar Undi Tidak Percaya Ahli Dewan Rakyat Terhadap Perdana Menteri Ada Dalam Perlembagaan?


Belum pernah terjadi dalam sejarah politik Malaysia kedudukan Perdana Menteri ibarat telur di hujung tanduk.

Tahun 2020 menyaksikan keadaan yang cukup kritikal pada Dr. Mahathir, Perdana Menteri ke 7, untuk mengekalkan kuasa beliau.

Gesaan supaya beliau berundur bukan sahaja datang dari parti pembangkang, tapi tekanan yang lebih kuat sebenarnya datang dari parti komponen  Pakatan Harapan sendiri parti yang menjadi kerajaan sekarang.

Bermacam-macam teori, bermacam-macam strategi dilakukan sebagai usaha memberi tekanan kepada Dr. Mahathir supaya berundur, sama ada secara sukarela atau pun secara paksa.

Persoalannya, apakah usaha yang sedang dilakukan itu adalah sah dari sudut Perlembagaan Malaysia?

Adakah Yang Di Pertuan Agong Boleh Memecat Perdana Menteri?



Hubungan antara Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara dengan Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Perkongsian di sini ialah tentang kuasa Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelantikan dan pemecatan Perdana Menteri.

Peruntukan berkaitan lantikan Perdana Menteri dapat dilihat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Namun begitu, tiada peruntukan yang boleh disebut secara spesifik tentang kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Perdana Menteri.

Seperti yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong melalui kuasa budi bicara baginda. 

Kuasa budi bicara di sini bermaksud kuasa yang dilaksanakan oleh baginda Yang di-Pertuan Agong tanpa nasihat daripada mana-mana pihak. 

Kuasa pelantikan ini diamanahkan kepada Yang di-Pertuan Agong menerusi Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan. 

Perkara 40(2) menyatakan :
Yang di- Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu :

(a) melantik seorang Perdana Menteri.

(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.

(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.
 Peruntukan ini adalah jelas memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong.


Sementara itu Perlembagaan menyatakan dalam Perkara 43 bahawa;
(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam penjalanan fungsinya.

(2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:
(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu dan

(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen.

Menerusi Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan yang dipetik di atas, agak jelas bahawa, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melantik sembarangan orang yang baginda sukai sebagai Perdana Menteri

Seseorang itu hanya boleh dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sekiranya dia seorang Ahli Dewan Rakyat dan pada hemat baginda seseorang yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan.

Syarat penting yang perlu diberikan perhatian besar oleh Yang di-Pertuan Agong ketika melantik Perdana Menteri ialah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Persoalan yang timbul di sini ialah, bagaimanakah Yang di-Pertuan Agong boleh menentukan sama ada seseorang itu mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan?

Perlembagaan tidak menyatakan secara khusus tentang mekanisme atau metod yang wajib dipatuhi oleh Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan siapa yang mempunyai kepercayaan majoriti. 

Oleh yang demikian, ia adalah terbuka kepada budi bicara baginda sendiri. 

Malah, tiada mekanisme yang mempunyai kuasa untuk menyemak keputusan yang diambil oleh baginda apabila baginda yakin bahawa seseorang itu mempunyai kepercayaan majoriti. 

Misalnya, Parlimen tidak mempunyai kuasa khas untuk menilai keputusan yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan seseorang Ahli Dewan Rakyat mempunyai kepercayaan majoriti.

Kuasa menentukan kepercayaan tersebut adalah sebenar-benarnya atas budi bicara baginda. 

Dengan itu, kebijaksanaan baginda jualah yang boleh menentukan siapa yang memiliki kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. 

Misalnya, baginda boleh memanggil dan menemuduga setiap Ahli Dewan Rakyat secara individu bagi memberikan baginda keyakinan kepada keputusan yang akan diambil dalam menentukan kepercayaan mereka kepada calon Perdana Menteri.

Pemecatan Perdana Menteri


Mengenai pemecatan Perdana Menteri daripada jawatannya, Perlembagaan tidak menyebut tentang kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Perdana Menteri.

Persoalan yang dibangkitkan ialah, adakah satu autoriti yang mempunyai kuasa melantik akan juga mempunyai kuasa memecat?

Prinsip umum ialah, sesiapa yang mempunyai kuasa melantik akan juga mempunyai memecat.  
Namun begitu, sekiranya kuasa melantik itu disandarkan kepada pengaruh atau syarat-syarat lain, maka kuasa memecat adalah juga tertakluk kepada syarat lantikan tersebut. 

Prinsip ini dapat dilihat dalam Seksyen 29 pada Jadual Kesebelas Perlembagaan Persekutuan (rujuk info grafik di atas) yang menyatakan : 
Kuasa untuk melantik termasuklah kuasa untuk membuang kerja.

Jika suatu undang-undang bertulis memberi mana-mana orang atau pihak berkuasa kuasa untuk membuat perlantikan bagi memegang apa-apa jawatan atau kedudukan, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, kuasa itu hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk kuasa untuk membuang kerja atau menggantung mana-mana orang yang dilantik dan melantik seorang lain buat sementara bagi menggantikan mana-mana orang yang digantung sedemikian atau bagi menggantikan mana-mana pemegang jawatan atau kedudukan yang sakit atau tidak hadir.

Dengan syarat bahawa jika kuasa orang atau pihak berkuasa itu untuk membuat perlantikan itu hanya boleh dijalankan atas syor atau tertakluk kepada kelulusan atau persetujuan seseorang atau sesuatu pihak berkuasa lain, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, kuasa untuk membuang kerja itu hanya boleh dijalankan atas syor atau tertakluk kepada kelulusan atau persetujuan orang atau pihak berkuasa yang lain itu.
 

Jika diperhatikan peruntukan di bawah Perkara 43(2) yang dipetik di atas, kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melantik adalah bergantung kepada kepercayaan majoriti Ahli Dewan.
Maka jika dibaca Seksyen 29 (rujuk info grafik di atas) di atas, pemecatan Perdana Menteri juga adalah bersyarat, iaitu, ia hendaklah dengan kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan. 
Ini kerana lantikan adalah bersyarat kepada adanya kepercayaan majoriti Ahli Dewan, maka pemecatan juga boleh berlaku sekiranya syarat lantikan itu telah tiada. 
Sebagai contoh, perdana Menteri telah kehilangan kerusi di Parlimen sebagai Ahli Dewan Rakyat, maka beliau telah hilang kelayakan sebagai Perdana Menteri. 
Begitu juga sekiranya Perdana Menteri tersebut telah kehilangan kepercayaan majoriti. Maka beliau juga telah kehilangan kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri.

Hilang Kepercayaan


Penegasan yang perlu dibuat di sini ialah kepercayaan majoriti hendaklah datangnya daripada Ahli Dewan, bukan mana-mana pihak di luar Dewan. 
Sebagai contoh, sekiranya pemimpin parti politik Perdana Menteri itu sendiri tidak mempunyai kepercayaan kepadanya, Perdana Menteri masih lagi sah sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau masih lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan.

Proses hilang kepercayaan daripada Ahli Dewan Rakyat boleh berlaku di dalam atau di luar Dewan. 

Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Dato’ Seri Ir Hj Mohammad Nizar Jamaluddin v. Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Attorney General (Intervener) [2010] 2 CLJ 925 menjelaskan bahawa tiada peruntukan dalam Perlembagaan negeri Perak yang mensyaratkan bahawa undi tidak percaya, atau undi hilang kepercayaan hendaklah dinyatakan secara formal di dalam Dewan Undangan Negeri.

Sebelum ini, kes Datuk (Datu) Amir Kahar Tun Datu Haji Mustapha vs Tun Mohd Said Keruak dan 8 Ors [1995] 1 CLJ 184 HC juga telah membuat prinsip yang sama, iaitu pernyataan hilang kepercayaan boleh berlaku di luar dewan, dalam keadaan yang dinamakan sebagai 'extraneous circumstances'. 
Keadaan ini berlaku apabila beberapa Ahli Dewan telah menyatakan mereka telah tidak lagi memberikan kepercayaan kepada Ketua Menteri.

Secara langsung, keputusan kes dari negeri Perak, yang merupakan kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan ini boleh dijadikan rujukan dan ikutan bagi menjawab persoalan bagaimana Perdana Menteri boleh dianggap telah hilang kepercayaan daripada Ahli Dewan Rakyat.  
Oleh yang demikian, Yang di-Pertuan Agong boleh merujuk kepada apa juga bukti yang menunjukkan bahawa Ahli Dewan Rakyat telah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri. 
Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya menunggu hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri berlaku di dalam Dewan Rakyat.

Sekiranya Yang di-Pertuan Agong tidak berpuas hati tentang hilangnya kepercayaan Ahli Dewan kepada Perdana Menteri, maka baginda tidak boleh memecat Perdana Menteri sedia ada dan sekali gus baginda juga tidak boleh melantik seorang lain sebagai Perdana Menteri.
Sebagai rumusan, kuasa memecat Perdana Menteri daripada jawatannya tidak tertakluk kepada kuasa budi-bicara Yang di-Pertuan Agong walaupun kuasa melantik adalah kuasa budi-bicara baginda.  
Yang di-Pertuan Agong hanya boleh memecat Perdana Menteri sekiranya baginda yakin tentang kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan dan baginda enggan membubarkan Dewan sekiranya diminta oleh Perdana Menteri. 

Keadaan ini disebut dalam Perkara 43(4).



Dr. Mahathir akan terus kekal sebagai Perdana Menteri ke 7, sama ada mendapat persetujuan dari Majlis Presiden Pakatan Harapan yang mewakili suara keseluruhan komponen parti Pakatan Harapan.

Mandat dari Majlis Presiden Pakatan Harapan tidak ada nilainya dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Ada sumber mengatakan, PAS akan mengemukakan undi sokongan supaya Dr. Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri hingga ke akhir penggal (vote of confidence) kepada Dr. Mahathir.

Sekiranya Anwar mahu melakukan undi tidak percaya terhadap Dr. Mahathir, maka ianya mesti dilakukan sebaik saja Dewan Rakyat mula bersidang pada bukan Mac 2020.

Apakah Dr. Mahathir sudah yakin mendapat sekurang-kurangnya 112 sokongan dari Ahli Dewan Rakyat?

Apakah ada jaminan tidak akan berlaku U-Turn atas sokongan Ahli Dewan Rakyat pada Dr. Mahathir di saat-saat akhir nanti?

Atau adakah Anwar akan sekali lagi kempunan untuk manjadi Perdana Menteri?

Rombakan kabinet pasti akan berlaku sama ada undi sokongan PAS berjaya atau tidak.

Yang kita nantikan, apakah akan berlaku pertukaran kerajaan?

Apakah Anwar akan sekali lagi kempunan untuk manjadi Perdana Menteri?

The clock is ticking......



Kredit :

》Laman Blog Another Brick In Wall
》Prof. Dr. Shamrahayu A. Aziz (Pakar Perlembagaan Malaysia)

0 comments:

fda

Archives