Monday, March 9, 2020

Dr. Mahathir Penipu Atau Muhyiddin Pengkhianat?


Dr Mahathir Penipu Atau Muhyiddin Pengkhianat?

Sejak Kerajaan Pakatan Harapan tumbang, perkataan pengkhianat sudah menjadi zikir harian pemimpin Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan telah menuduh Muhyiddin mengkhianati Dr Mahathir kerana merealisasikan impian beliau untuk menjadi Perdana Menteri.

Muhyiddin pula mempertahankan dirinya dengan mengatakan beliau tidak mengkhianati sesiapa tetapi apa yang beliau lakukan adalah untuk mengakhiri kemelut politik bagi mengelakkannya berpanjangan.

Admin tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak, cuma dibentangkan fakta untuk pembaca membuat penilaian sendiri :

Dr Mahathir Menuduh Muhyiddin Pengkhianat


Dalam sidang media beliau pada pagi 1 Mac 2020, Dr Mahathir mendakwa bahawa beliau telah dikhianati oleh Muhyiddin yang kononnya telah merancang lama untuk menjadi Perdana Menteri.

Kata Dr Mahathir :

"Saya merasa paling dikhianati oleh Muhyiddin, dia telah lama merancang untuk merampas kuasa dan kini dia telah berjaya." (BACA DI SINI).

Dakwaan ini telah dinafikan oleh Muhyiddin dalam ucapan sulung beliau selaku Perdana Menteri pada malam 2 Mac 2020 bila beliau berkata :

"Saya tahu ada yang marah kepada saya."

"Seperti yang dijangka, ada pihak yang menggelar saya pengkhianat."

"Dengarlah baik-baik."

"Saya bukanlah pengkhianat."

"Naluri saya jelas bahawa keberadaan saya di sini adalah untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut."

"Saya tidak mengidamkan jawatan Perdana Menteri."

"Saya hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat." (BACA DI SINI).

Di sebalik penafian Muhyiddin, dakwaan bahawa beliau adalah pengkhianat terus dimainkan, malah dengan lebih kerap lagi oleh para penyokong tegar Dr Mahathir, termasuk Kadir Jasin yang menulis pada pagi 4 Mac 2020 :

"Jadi apabila Muhyiddin berkata dia tidak mengkhianati Dr Mahathir, ia hanyalah semantik (antara yang tersurat dengan yang tersirat)."

"Sekali lagi Dr Mahathir telah dikhianati dan diderhakai oleh orang-orang yang dipercayainya." (BACA DI SINI).

Dr Mahathir Meletak Jawatan Atas Kehendak Beliau Sendiri


Untuk menjawab persoalan sama ada Dr Mahathir atau Muhyiddin yang khianat maka perlulah dilihat kepada susur-galur yang menjadi punca kepada kemelut yang berlaku.

Fakta yang ada di hadapan kita ialah Dr Mahathir telah beberapa kali meminta maaf ekoran tindakan beliau menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 kepada Yang di-Pertuan Agong pada petang 24 Februari 2020 (BACA DI SINI).

Dalam kenyataan khas beliau kepada rakyat pada petang 26 Februari 2020, Dr Mahathir secara jelas menyebut :

"Izinkan saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana keadaan politik negara yang agak kucar-kacir dan mungkin menimbulkan keresahan di kalangan tuan-tuan dan puan-puan dan saya pohon maaf jika peletakan jawatan oleh saya adalah salah."

Alasan yang beliau berikan ke atas peletakan jawatan ini diterangkan seperti berikut :

"Ada banyak sebab mengapa saya meletak jawatan tetapi cukuplah saya katakan bahawa saya merasa kononnya mendapat sokongan dari semua pihak sehingga saya tidak dapat memilih pihak mana yang saya pilih."

"Selain itu, terdapat juga tuduhan bahawa saya tidak berniat untuk melepas jawatan dan gila kuasa."

"Maka saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa dan jawatan itu sebagai 'be all and end all' adalah matlamat saya." (BACA DI SINI).

Dalam rakaman ucapan beliau pada pagi 1 Mac 2020, Dr Mahathir juga mengakui :

"Saya memutuskan untuk meletakkan jawatan kerana saya telah kehilangan sokongan."

"Jadi saya terpaksa meletak jawatan."

"Saya tiada pilihan."

"Saya fikir jika saya meletakkan jawatan ia akan pergi balik kepada Agong."

"Jadi itulah situasinya."

"Jadi saya ingin nyatakan kepada kamu sekali lagi saya mohon maaf." (LIHAT DI SINI).

Alasan yang beliau berikan ke atas peletakan jawatan ini sekali lagi diterangkan oleh Dr Mahathir dalam tulisan beliau pada 3 Mac 2020 seperti berikut :

"Saya letak jawatan kerana dalam pengakuan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya tidak dapat sokongan dari penyokong saya."

"Saya tidak dapat majoriti dan tidak lagi layak menjadi Perdana Menteri." (BACA DI SINI).

Dapat dilihat jelas daripada semua kenyataan Dr Mahathir ini bahawa keputusan beliau untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri adalah keputusan beliau sendiri.

Walau apa sekalipun alasan beliau, apa yang pasti ialah pihak lain, khususnya Muhyiddin, langsung tidak pernah mempengaruhi apatah lagi memberi tekanan kepada beliau untuk meletakkan jawatan.

Apa Sebenarnya Yang Berlaku Selepas Dr Mahathir Letak Jawatan?


Sebaik sahaja Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada petang 24 Februari 2020, Muhyiddin terus mengumumkan keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada 23 Februari 2020 yang memutuskan bahawa :

》Semua Ahli Dewan Rakyat dari PPBM telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia. (BACA DI SINI).

Begitu juga dengan Muafakat Nasional yang dianggotai oleh UMNO dan PAS, serta PH yang dianggotai oleh PKR, DAP dan PAN, yang turut menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Begitupun, pada pagi 25 Februari 2020, Dr Mahathir telah memaklumkan, semua pemimpin tertinggi parti-parti politik yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri dalam perjumpaan di Pejabat Perdana Menteri mengenai hasrat beliau untuk menubuhkan kerajaan perpaduan (BACA DI SINI).

Hasrat Tun Dr Mahathir untuk menubuhkan kerajaan perpaduan ini turut beliau umumkan dalam kenyataan media khas beliau pada petang 26 Februari 2020 :

"Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang."

"Jika dibenarkan, saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti."

"Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan."

"Jika diizin inilah yang akan saya cuba." (BACA DI SINI).

Hasrat Dr Mahathir ini juga beliau akui dalam tulisan beliau pada 3 Mac 2020 :

"Saya cadang diadakan satu Kerajaan Nasional yang bukan orang politik yang berpengetahuan juga akan menyertai kerajaan."

"Orang parti juga akan menyertai kerajaan tetapi sebagai orang biasa yang tidak tertakluk kepada agenda parti mereka." (BACA DI SINI).

Ekoran cadangan penubuhan kerajaan perpaduan ini maka Muafakat Nasional yang dianggotai oleh UMNO dan PAS, menarik kembali sokongan mereka terhadap Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri (BACA DI SINI).

Begitu juga dengan Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR, DAP dan AMANAH, turut menarik kembali sokongan mereka terhadap Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri serta mencalonkan pula Anwar Ibrahim ke jawatan itu (BACA DI SINI).

Muhyiddin Akur Keputusa  Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM


Di dalam suasana kelam kabut tatkala kedua-dua Dr Mahathir dan Anwar tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka satu mesyuarat khas antara semua ahli Dewan Rakyat PPBM telah dilangsungkan pada pagi 28 Februari 2020, dalam mana mesyuarat khas ini telah memutuskan untuk mencalonkan Muhyiddin pula sebagai Perdana Menteri (BACA DI SINI).

Pencalonan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri oleh ahli-ahli Dewan Rakyat PPBM ini dibuat setelah Dr Mahathir sendiri memberi izin kepadanya sehari sebelum itu.

Dalam sidang media pada pagi 27 Februari 2020 itu, Tun Dr Mahathir menyebut :

"Ada beberapa kemungkinan yang kami bincangkan, termasuk kemungkinan Muhyiddin akan menjadi calon."

"Jika semua orang memilih beliau, saya ok."

"Ya, sebagai Perdana Menteri."

"Jika beliau menang, beliau pergi ke Parlimen dan beliau diberikan majoriti penuh maka beliau berhak untuk menjadi Perdana Menteri dan Agong boleh melantik beliau."

"Beliau boleh mengangkat sumpah dan beliau boleh membentuk kabinet beliau."

"Siapa sahaja yang menang saya akan terima lantikan sebagai Perdana Menteri." (BACA DI SINI.)

Dalam kenyataan media pada pagi 29 Februari 2020 pula, Dr Mahathir mengesahkan bahawa beliau memberi kebebasan kepada semua Ahli Dewan Rakyat untuk mencalonkan sesiapa sahaja sebagai Perdana Menteri :

"Saya meninggalkan mesyuarat awal untuk membolehkan satu perbahasan terbuka antara ahli-ahli Dewan Rakyat PPBM untuk memilih sesiapa sahaja yang sesuai bagi jawatan Perdana Menteri." (BACA DI SINI).

Pada masa yang sama, dalam kenyataan media pada pagi 29 Februari 2020 ini juga, Dr Mahathir secara tiba-tiba mengumumkan :

"Pagi ini saya telah bermesyuarat dengan para pemimpin Pakatan Harapan."

"Saya sekarang yakin bahawa saya mempunyai nombor yang mencukupi untuk mendapat sokongan majoriti di dalam Dewan Rakyat."

"Oleh itu saya bersedia untuk menjadi calon Perdana Menteri." (BACA DI SINI).

Persoalan sama ada Dr Mahathir atau Muhyiddin yang khianat boleh diselesaikan dengan kembali kepada keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada 23 Februari 2020.

Apakah dia keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada 23 Februari 2020 ini?

Keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM ini adalah seperti yang dinyatakan melalui kenyataan media Muhyiddin selaku Presiden PPBM pada pada petang 24 Februari 2020, iaitu :

"Pimpinan Tertinggi PPBM dalam mesyuarat khas yang diadakan pada 23 Februari 2020 telah membuat keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan."(BACA DI SINI).

Keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM ini juga turut disahkan oleh Setiausaha Agung PPBM, Marzuki Yahya, yang mengumumkan kepada media selepas satu lagi mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada malam 24 Februari 2020 berbunyi :

"Dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi juga kita telah bersetuju untuk keluar daripada Pakatan Harapan, inilah keputusan parti dan kita akur dengan keputusan parti." (BACA DI SINI).

Keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM ini malah diakui oleh Dr Mahathir sendiri dalam sidang media beliau pada pagi 1 Mac 2020 dalam mana beliau berkata :

"Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, di sebalik rayuan saya supaya tidak membuat satu keputusan, tetapi akhirnya PPBMZ buat keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan." (LIHAT DI SINI).

Keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM ini juga diakui oleh Kadir Jasin yang menulis pada pagi 4 Mac 2020 begini :

"Maaf cakaplah kalau saya kata, majoriti ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang bersidang pada hari Ahad 23 Februari lalu, seolah-olah dirasuk syaitan kerana bertubi-tubi mengasak Dr Mahathir supaya bersetuju dengan mereka untuk menarik PPBM keluar daripada Pakatan Harapan dan menyertai UMNO dan PAS."

"Ahli MPT yang bercakap mempertahankan Dr Mahathir adalah minoriti." (BACA DI SINI).

Oleh itu, berdasarkan segala keterangan ini maka jelaslah bahawa Dr Mahathir, dan bukan  Muhyiddin, yang khianat kepada keputusan parti.

Dakwaan bahawa Muhyiddin yang khianat adalah bertentangan dengan semua fakta yang ada.

Malah, Dr Mahathir dalam sidang media di Yayasan Al-Bukhary pada pagi 1 Mac 2020 mengakui bahawa beliau tidak lagi mendapat sokongan daripada majoriti ahli-ahli PPBM bila beliau menyebut :

"Terpulang kepada parti untuk sama ada bermesyuarat dan memecat saya sebagai pengerusi, yang berkemungkinan untuk berlaku kerana majoriti ahli-ahli PPBM menolak saya sebagai pengerusi mereka."

"Mereka tentunya boleh bermesyuarat dan memecat saya." (LIHAT DI SINI).

Kepada mereka yang masih mahu berselindung di balik Dr Mahathir, tidakkah kamu merasa sedih dengan semua hinaan yang dilemparkan kepada beliau dari Pakatan Harapan, termasuklah 'nyanyuk' dan 'sakit jiwa' sewaktu mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Dr Mahathir diserang dari segenap sudut oleh berbagai pihak ketika itu sehingga Dr Mahathir tidak boleh berkata apa-apa walau sepatah perkataan.

Syed Saddiq kecut telor bila disergah oleh DAP ketika itu.

Yang mempertahankan Dr Mahathir hanyalah Muhyiddin dan Azmin.

Siapakah pengkhianat yang sebenar?

Adakah Muhyiddin atau orang yang selama ini rapat dengan Dr. Mahathir seperti Syed Saddiq, Marzuki atau pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan sendiri?

Siapa pun yang mengkhianati Dr Mahathir, itu bukan masaalah tapi yang pasti ia tiada kaitan dengan pemimpin-pemimpin Muafakat Nasional.



Kredit :

Fb Dr Kamarul Yusuff

0 comments:

fda

Archives