Thursday, August 20, 2020

Kenapa Akar Umbi UMNO Masih Tolak PPBM

Pi kini dalam dilema.

Ada antara pemimpin UMNO yang sangat bersetuju sekiranya Muafakat Nasional, di mana UMNO, di bawah panji Barisan Nasional merupakan parti dominan dalam Muafakat Nasional menerima PPBM.

Sudah pasti mereka mempunyai alasan yang tersendiri, di sebalik apa yang mereka laungkan sebagai penyatuan Melayu di bawah jenama Melayu Raya.

Ada pula yang memandang sinis, malah merasakan kurang senang untuk menerima PPBM ke dalam Muafakat Nasional.

Yang paling ketara ialah respon akar umbi UMNO yang rata-rata jelas menolak penyertaan PPBM dalam Muafakat Nasional.

Jangan Pandang Remeh Pandangan Akar Umbi UMNO


Inilah persoalan yang MESTI pucuk pimpinan parti mencari jawapannya supaya perbezaan  pandangan dan kehendak pucuk pimpinan UMNO selari dengan pandangan dan kehendak akar umbi UMNO.

Jangan dipandang remeh bantahan akar umbi UMNO kerana ramai yang sudah menetapkan pendirian untuk meninggalkan UMNO sekiranya pucuk pimpinan UMNO mengenepikan pandangan mereka!!!

Ada juga yang berpendirian akan terus tetap bersama UMNO tetapi sekiranya calon yang bertanding di DUN atau Parlimen mereka adalah calon PPBM, maka mereka akan membuat undi protes atau dengan sengaja akan merosakkan undi!!!

Pucuk pimpinan UMNO mesti ingat, UMNO mempunyai lebih 3.4 juta ahli yang berdaftar, dan mereka tidak bersendirian, bersama-sama mereka adalah penyokong UMNO yang tidak mendaftarkan diri sebagai ahli UMNO dan undi mereka ini dipengaruhi oleh gelombang ahli UMNO yang berdaftar.

Persoalannya, adakah dengan menolak penyertaan PPBM dalam Muafakat Nasional bermaksud akar umbi UMNO sudah tidak sayangkan UMNO?

Sudah pasti tidak.

Kerana mereka inilah yang berganding bahu untuk bersama-sama merawat luka UMNO yang begitu parah selepas PRU 14 yang lepas.

Mereka inilah yang begitu setia menebalkan muka menjulang panji-panji UMNO yang ketika itu dipandang sangat jijik.

Dan mereka jugalah yang terus mengutip dan mempertahankan maruah UMNO yang hampir hancur setelah dipijak oleh musuh UMNO.

Atau adakah dengan menolak penyertaan PPBM ke dalam Muafakat Nasional bermaksud akar umbi UMNO sudah tidak sayangkan pemimpin UMNO?

Sudah pasti tidak.

Cuba imbas kembali, siapa yang berpanas dan berhujan ketika memberi sokongan moral kepada pemimpin UMNO ketika mereka didakwa di mahkamah?

Airmata siapa yang mengalir ketika mahkamah mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman denda ke atas DS Najib dalam kes SRC?

Berapa kerat pula pemimpin UMNO yang datang memberikan sokongan moral dan menitiskan airmata ketika itu?

Di mana pemimpin UMNO ketika itu?

Atau apakah mungkin penolakan akar umbi UMNO terhadap PPBM menggambarkan sikap akar umbi UMNO yang pentingkan diri sendiri dan menolak perpaduan ummah serta sudah tidak sayangkan agama, bangsa dan tanah air?

Siapa yang membuat tuduhan begitu, nyata orang itu buta hati perutnya.

Siapakah yang menyertai perhimpinan ICERD sehingga dikatakan sebagai perhimpunan bangsa Melayu terbesar dalam sejarah?

Siapakah yang selama ini memperjuangkan keadilan untuk Allahyarham Mohd. Adib, siapakah yang bangkit bila agama Islam, bangsa dan bangsa Melayu dihina dan diperlekehkan, siapakah selama ini yang mempertahankan kedaulatan institusi Raja Raja Melayu?

Bukankah semua itu dilakukan oleh akar umbi UMNO bersama-sama akar umbi PAS di dalam gabungan Muafakat Nasional?

Mengapa Akar Umbi UMNO Masih Menolak PPBM?


Gabungan dari hasil dari perjuangan pemimpin-pemimpin Melayu dan pengorbanan dari akar umbi orang Melayu, maka lahirlah parti keramat orang Melayu, UMNO, di Istana Besar, Johor Bahru.

Selama 72 tahun, UMNO menjadi rumah yang cukup kukuh untuk orang Melayu berlindung.

Bukan sedikit cerdik pandai yang UMNO lahirkan, bukan sedikit usahawan-usahawan yang bertaraf jutawan UMNO lahirkan, bukan sedikit pemimpin-pemimpin ternama UMNO lahirkan.

Selama 61 tahun, UMNO berserta rakan-rakan komponen di dalam Perikatan dan Barisan Nasional memerintah negara dan meletakkan nama Malaysia di peta dunia.

Ini semua adalah hasil dari kesetiaan dan pengorbanan akar umbi UMNO serta kebijaksanaan pemimpin-pemimpin UMNO.

Namun tragedi 9 Mei 2018, menyaksikan rumah keramat yang selama ini tempat orang Melayu berteduh runtuh seruntuh-runtuhnya.

Lebih memedihkan lagi, tangan yang meruntuhkan rumah keramat itu datangnya dari tubuh badan yang pernah bernaung di dalamnya sekian lama.

Pemimpin yang memimpin UMNO selama 22 tahun adalah orang yang mengetuai keruntuhan rumah UMNO.

Bersama-sama beliau adalah puak-puak pengkhianat yang bukan sahaja ketawa riang selepas melihat rumah keramat UMNO runtuh, malah setelah runtuh, berbagai kata-kata hinaan, berbagai-bagai usaha dilakukan agar rumah keramat UMNO itu lenyap terus dari mukabumi.

Mereka bergabung pula dengan saki baki pengkhianat yang masih berada dalam UMNO di pasca PRU 14 untuk meneruskan agenda mereka.

Tanpa segan silu, pengkhianat-pengkhianat ini meninggalkan UMNO dengan meninggalkan kata-kata kesat.


Yang masih setia berteduh di dalam rumah keramat UMNO adalah akar umbi UMNO yang masih ada sekarang.

Dengan memekakkan telinga, dengan menebalkan muka, dengan keringat dan air mata berkerja siang dan malam, pagi dan petang, rumah keramat UMNO dibina semula.

Kini, rumah keramat UMNO kembali kukuh, kami akar umbi merasa bangga dan puas melihat rumah keramat UMNO kembali teguh.

Apakah pemimpin-pemimpin UMNO mahu menyerahkan kembali rumah keramat UMNO ini kepada tangan-tangan yang pernah meruntuhkannya dahulu?

Bukan setakat memberi mereka menumpang kembali, tetapi membiarkan mereka menjadi tuan di dalam rumah yang telah kami bina semula dengan keringat dan airmata kami.

Inilah yang mesti difahami oleh pemimpin-pemimpin UMNO sebelum menerima PPBM ke dalam Muafakat Nasional.

Kalau PAS tetap dengan pendirian mereka, itu hak mereka yang mesti kami hormati tetapi kami lebih rela menjadi pembangkang buat selama-lamanya dari duduk serumah dan menjadi kuli kepada pengkhianat di dalam rumah yang telah kami bina semula!!!

0 comments:

fda

Archives