Tuesday, May 15, 2018

Rule of Law dibakulsampah ... jadi Rule of Low



TIGA KEJANGGALAN UNTUK EMPAT HARI PERTAMA

Tulisan: – Aidil Khalid, Peguam –

Pakatan Harapan baru sahaja menubuhkan kerajaan selama tempoh 4 hari. Masih terlalu awal untuk menilai pencapain kerajaan baharu ini, justeru kita seharusnya memberikan ruang kepada kerajaan melunaskan janji-janjinya.

Pun demikian, dari hari pertama lagi, saya mengikuti dengan dekat tindak tanduk kerajaan baharu ini, dan saya dapati ada beberapa perkara yang agak merisaukan.

Jika diteliti muka surat 4 Buku Harapan, kerajaan hari ini berjanji “akan menghentikan kerosakan institusi-institusi penting negara, dan akan mengembalikan kedaulatan undang-undang, lantas menjamin kebebasan agensi agensi penting dalam kerajaan.”

Tetapi tindak tanduk kerajaan hari ini nampak sungguh membelakangkan kedaulatan undang-undang (rule of law), dan lebih berpihak kepada kedaulatan kekuasaan (rule of might). Berikut adalah 3 perkara:-


KEJANGGALAN PERTAMA, Tun Mahathir dan Dr Wan Azizah telah memberikan kenyataan di hari kedua pembentukan kerajaan baharu bahawa YDPA telah bersetuju untuk memberikan pengampunan penuh kepada DS Anwar Ibrahim.[1] Hal ini amat janggal, kerana di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, sungguhpun kuasa untuk memberikan pengampunan adalah di bawah bidangkuasa YDPA, tetapi kuasa itu hendaklah dijalankan atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Persoalannya, adakah Lembaga Pengampunan telah bersidang, untuk mengatakan bahawa YDPA telah bersetuju memberikan pengampunan penuh kepada Anwar?

Jika diteliti Perkara 42(5) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara adalah salah seorang ahli dalam Lembaga Pengampunan; Perkara 42(9) pula memperuntukkan bahawa sebelum membuat sebarang nasihat untuk pengampunan kepada YDPA, Lembaga Pengampunan hendaklah mendapatkan pandangan bertulis daripada Peguam Negara terlebih dahulu.

Saya yakin, kesemua perkara ini belum dilakukan lagi, kerana sejak menubuhkan Kerajaan baharu, hari bekerja pun belum bermula lagi, dan Lembaga Pengampunan pun belum bersidang, bahkan bagaimanakah agaknya rupa bentuknya pandangan bertulis Peguam Negara nanti? Justeru mengapa Tun Mahathir sebagai perdana menteri yang telah mengangkat sumpah dan Dr. Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri (yang belum mengangkat sumpah ) bulldoze kesemua peruntukan keperlembagaan ini?

KEJANGGALAN KEDUA pula ialah apabila Tun Mahathir dalam satu sidang media mengumumkan bahawa Peguam Negara sekarang ini bukanlah lagi Peguam Negara, dan kini terdapat kekosongan untuk jawatan itu. [2]

Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sungguhpun Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk menasihati YDPA dalam hal pelantikan seseorang Peguam Negara, tetapi sebaik-baik sahaja dia telah dilantik, maka dia berhak memegang jawatan itu selagi mana diperkenankan oleh YDPA. Hal ini bermaksud bahawa seseorang Perdana Menteri tiada hak untuk memecat Peguam Negara sesuka hatinya.

Bahkan jika diingat lagi, di ketika Peguam Negara terdahulu Gani Patail diberhentikan jawatannya serta merta, banyak pihak, termasuk Tun Mahathir sendiri, mempersoalkan keabsahan pemecatan itu. Hal ini terkandung di dalam kertas-kertas kausa Mahkamah yang difailkan oleh Tun Mahathir di dalam kes samannya terhadap Najib Razak. Malahan Gobind Sing dan Ambiga juga pernah mengutarakan hal yang sama. [3]

Jika dahulu pemecatan Gani Patail dikatakan tidak mengikut Perlembagaan, maka adakah ‘pemecatan’ Apandi Ali secara unilateral oleh Tun Mahathir melalui sidang media boleh dikatakan sebagai mengikut perlembagaan?

KEJANGGALAN KETIGA pula ialah pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan. Ini adalah secara jelas suatu konflik kepentingan. Lim Guan Eng masih menghadapi pertuduhan jenayah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, justeru selagi mana beliau belum membersihkan namanya, beliau tidak seharusnya dibenarkan untuk memegang sebarang portfolio jawatan awam kerana dikhuatiri beliau boleh menggunakan kuasa dan pengaruhnya untuk mempengaruhi keputusan Mahkamah. Prinsip keadilan memperuntukkan bahawa keadilan tidak hanya perlu dilaksanakan, malahan ia juga perlu TAMPAK dilaksanakan.

Akhir kata, saya perlu tekankan bahawa saya bukan ingin mempertahankan regim terdahulu (pimpinan Najib Razak). Bahkan jika kalian scroll timeline saya dari tahun 2015 hingga kini, kalian akan menemui banyak kritikan-kritikan saya terhadap Najib Razak.

Bahawa beliau perlu diadili, itu adalah sememangnya tidak dipertikaikan. Tetapi proses untuk mencapai keadilan tersebut perlulah mengikut prinsip-prinsip yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan, dan tidak boleh sama sekali membelakangkan kedaulatan undang-undang semata-mata untuk mencapai sesuatu tujuan. Amatlah merisaukan melihatkan di hari-hari awalnya lagi, kerajaan baharu ini tidak menunjukkan minat untuk menghormati peruntukan keperlembagaan, lantas apakah bezanya mereka dengan kerajaan terdahulu yang digantikannya?

[1] http://bit.ly/2rDtsQn

[2] http://bit.ly/2KTKm5T

[3] http://bit.ly/2rGm2Md

– Aidil Khalid, Peguam –

http://bit.ly/2IbxURr

Visit http://bit.ly/2rGm3Qh

Baca juga MyKMU berikut:



http://www.mykmu.net/2018/05/tun-konsep-rule-of-law-apa-yang-tun-pakai/

3 comments:

  • Cahaya Al Majid says:
    May 15, 2018 at 2:20:00 PM GMT+8

    Tak payah lah glembong lebih.hal Mahathir tu..lu.fikirlah Macam nak "halalkan" UMNo dari diharamkan, Kan lebih bermenafaat!!.

  • Anonymous says:
    May 15, 2018 at 3:20:00 PM GMT+8

    PH: PARTI HARU - PKR (AYAH KETUA UMUM/BINI PRESIDEN/ANAK NAIB PRESIDEN)/DAP (AYAH PUNAISIHAT/ ANAK SETIAUSAHA AGUNG)/PPBM (AYAH PENGERUSI/ANAK TIMB PRESIDEN/DAP (MENDIANG AYAH PENGERUSI /ANAK MP DAN ADA JAWATAN DLAM PARTI/PAN (WALAU TAK ADA ANAK BERANAK TAPI PRESIDEN JADI MENTERI PERTAHANAN WALAU HANYA DAPAT 11 KERUSI PARLIMEN).

    TAHNIAH LER.....BAK KATA DIALOG P RAMLI DLM FILEM 3 ABDUL (PH ADA 4 ABLULLA): HARI INI HARI ENGKAU "SADIQ SIGARAGA"...ESOK-ESOK HARI AKU PULAK YE? APA AYAH MARAH KE? NANTI KENA JUAL DAN HARTA DIRAMPAS...

  • Anonymous says:
    May 16, 2018 at 9:30:00 AM GMT+8

    Now bukan kerajaan rule of law, is kera rule the law.

fda

Archives