Wednesday, January 20, 2021

Pengharaman UMNO Akan Lebih Memudaratkan UMNO Atau PPBM?


Sejujurnya admin akui agak terkejut bila mendapat maklumat dalam mesyuarat khas MPT PPBM pada 6 Januari 2021, (waktu yang sama Majlis Kerja Tertinggi UMNO bermesyuarat bagi membincangkan desakan majoriti dari 191 Bahagian UMNO yang mahu hubungan kerjasama antara UMNO diputuskan dalam PRU 15), telah memutuskan untuk mengharamkan UMNO sebagai parti politik yang berdaftar secara sah.

Admin terkejut bukan kerana keputusan yang dibuat oleh MPT PPBM, tapi admin terkejut sebab memikirkan, apa yang Muhyiddin dan Hamzah fikirkan hingga sanggup melakukan satu perkara yang Dr Mahathir sendiri tidak berani untuk lakukan.

Kita tahu, sepanjang 22 bulan Dr Mahathir berkuasa sebagai Perdana Menteri, berbagai usaha telah beliau lakukan untuk membunuh UMNO.

Cara yang Dr Mahathir lakukan ialah dengan mengugut dan memaksa pemimpin UMNO sendiri membunuh UMNO.


Presiden UMNO pernah diberikan ugutan supaya membubarkan UMNO, pemimpin-pemimpin UMNO yang berpengaruh juga dipaksa dan diugut dengan berbagai tuduhan di mahkamah sekiranya tidak mahu beralih arah kepada Dr Mahathir.

Persoalannya, mengapa Dr Mahathir tidak berani mengambil risiko dengan terus mengharamkan UMNO ketika beliau berkuasa.

Dr Mahathir setakat mengacah untuk mengharamkan UMNO tapi tidak ada keberanian untuk melakukannya.


Dengan kuasa yang Dr Mahathir ada ketika itu, amat mudah untuk beliau lakukannya, seperti mendapatkan pengampunan untuk Anwar Ibrahim, menggugurkan kes Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang lain.

Sebenarnya sebagai bekas Presiden UMNO yang telah menerajui parti keramat ini, Dr Mahathir amat memahami bahawa kekuatan sebenar UMNO berada di akar umbi UMNO yang sentiasa setia dan sanggup berkorban apa saja untuk UMNO.

Di samping itu, Dr Mahathir juga tahu, kekuatan UMNO bukan sahaja terletak pada 3.2 juta ahli UMNO yang berdaftar tetapi kekuatan UMNO juga didokong berjuta-juta pengundi yang selama ini setia menyokong UMNO walau pun bukan sebagai ahli parti.

Inilah yang menghalang Dr Mahathir dari melakukan sesuka hati kepada UMNO walau pun beliau berada di puncak kuasa ketika itu.

Benar, UMNO tumbang pada PRU 14 yang lepas, tetapi ketika itu, pengundi UMNO yang berada di luar UMNO dan sebahagian akar umbi UMNO termakan dengan hasutan fitnah yang dilemparkan kepada UMNO.

Sebab itu bila masyarakat Melayu mula memberikan sokongan kepada UMNO, tidak lagi kedengaran usaha Dr Mahathir untuk mengharamkan UMNO.

Dr Mahathir tahu, sekiranya beliau teruskan juga usaha untuk mengharamkan UMNO, beliau bukan sahaja akan berhadapan dengan kemarahan 3.2 juta akar umbi UMNO, malah beliau juga akan berhadapan dengan kemarahan dengan berjuta-juta pengundi setia UMNO yang tidak menjadi ahli UMNO.

Lalu Dr Mahathir mengambil jalan selamat dengan memberikan tekanan dan ugutan kepada pemimpin UMNO supaya membubarkan UMNO.

Sekiranya itu berlaku, masyarakat Melayu tidak akan menghukum Dr Mahathir tetapi akan menghukum pemimpin UMNO kerana membubarkan parti keramat orang Melayu ini.


Satu perkara yang pasti, Muhyiddin dan orang-orang di sekeliling beliau sudah terlalu angkuh dengan kuasa yang mereka miliki sekarang ini.

Usaha untuk mengharamkan UMNO sudah dimulakan oleh Dr Mahathir mulai dari tahun 2018.

Apakah Muhyiddin fikir, sebagai sebuah parti yang telah wujud selama lebih dari 7 dekad, pemimpin-pemimpin UMNO tidak melakukan apa-apa persedian sekiranya usaha mengharamkan UMNO berjaya dilakukan.

Dalam siri jelajah HPU914, Timbalan Presiden UMNO, DS Mohamad Hasan, pernah menerangkan kepada ahli UMNO, seandainya Dr Mahathir berjaya mengharamkan UMNO, kita sudah ada platfom yang akan digunakan sementara menunggu UMNO dikembalikan berkuasa.

UMNO mempunyai Barisan Nasional, perkara yang hampir sama pernah dilakukan oleh Dr Mahathir sewaktu UMNO diharamkan ketika beliau menjadi Presiden UMNO dahulu.


Sebenarnya, sekiranya Muhyiddin berani mengharamkan UMNO, maka akan wujud gelombang tsunami penolakan masyarakat Melayu terhadap PPBM yang diketahui amat lemah di peringkat akar umbi.

Kepada akar umbi dan pendokong UMNO, bertenang, biarlah Muhyiddin lakukan apa yang beliau rancangkan, kita lihat, siapa yang akan tumbang dalam PRU 15 nanti.

0 comments:

fda

Archives