Monday, November 23, 2020

Apakah Geng C5 Dari PAS Tidak Sayang Parti Dan Penyokong Mereka?


Ketaatan ahli PAS kepada pemimpin mereka bukan sahaja digeruni lawan, malah dicemburui  kawan politik PAS.

Telah berkali-kali ahli PAS diuji kesetiaan mereka terhadap pemimpin dan parti.

Sebagai parti yang berwajahkan perjuangan untuk mengangkat kepimpinan Islam di Malaysia, antara dugaan yang terbesar dihadapi oleh ahli dan penyokong PAS ialah ketika pemimpin mereka membuat keputusan untuk berkerjasama dengan parti cauvanis DAP.

Walau pun ianya adalah satu keputusan yang mendapat kritikan hebat dari seteru politik PAS ketika itu, namun atas sikap taat kepada pemimpin, penyokong dan ahli PAS terpaksa menelan juga apa yang telah dihidangkan oleh pemimpin PAS kepada mereka ketika itu.


Selepas terputusnya hubungan kerjasama politik antara PAS dan DAP, sekali lagi ahli PAS diuji ketaatan terhadap pemimpin dan parti PAS bila pemimpin PAS memutuskan untuk menjalankan kerjasama politik dengan UMNO.

Benar, ini bukan kali pertama UMNO dan PAS menjalinkan kerjasama politik.

Tetapi kerjasama antara UMNO dan PAS kali kedua ini amat berbeza keadaannya dengan cabaran yang dihadapi sewaktu ingin menjalankan kerjasama antara UMNO dan PAS kali pertama dahulu dalam Barisan Nasional dari dari 1970 hingga 1978.

Ketika itu kecurigaan dan perselisihan antara satu sama lain di kalangan pemimpin dan ahli UMNO dan PAS yang wujud sejak tahun 1951 masih lagi belum mendalam.

Tetapi selepas berlakunya pergeseran antara UMNO dan PAS selepas PRU 1978, untuk membentuk semula sebuah kerjasama antara UMNO dan PAS yang dimeteraikan pada tahun 2019, bukanlah satu perkara yang mudah.

Keputusan yang dibuat oleh pemimpin PAS ketika itu terlalu pahit untuk ditelan oleh ahli dan penyokong PAS.

Kerana walau pun antara UMNO dan PAS mempunyai latarbelakang yang sama dari sudut ugama dan bangsa, tetapi persengketaan yang telah berlanjutan hingga melebihi 4 dekad telah meninggalkan luka yang amat mendalam di kalangan kedua-dua ahli dan penyokong UMNO dan PAS.

Namun, kerana taatkan pemimpin dan sayangkan kepada perjuangan parti yang berslogan kepimpinan ulama, ahli dan penyokong PAS tetap akur, malah memberikan sokongan dan dokongan sepenuhnya keputusan pemimpin mereka.

Inilah keistimewaan ahli dan penyokong PAS dan inilah kekuatan parti PAS dan inilah juga yang dicemburui oleh sekutu politik PAS dan digeruni oleh seteru politik PAS.


Kini akibat dari kepentingan politik pemimpin tertentu dari UMNO dan PAS, hubungan antara UMNO dan PAS sekali diuji.

Kalau dalam UMNO, kelompok yang diketuai oleh Hishamuddin dan Annuar Musa telah menimbulkan keresahan ahli dan penyokong UMNO, dari pihak PAS pula, kelompok yang diketuai oleh Takiyudin dilihat mempunyai agenda peribadi sedang berusaha untuk mencapai matlamat mereka dengan menggunakan kekuatan akar umbi parti.

Kalau akar umbi PAS taat kepada keputusan kepimpinan tertinggi parti, Takiyudin pula dilihat sangat mentaati percaturan dan arahan yang dibuat oleh Hamzah Zainuddin dan Azmin dengan restu Ainon dan Muhyiddin.

Tindakan serta kenyataan Takiyuddin kini dilihat lebih mentaati perintah Hamzah dan Azmin serta PPBM dari kesetiaan beliau kepada perjuangan parti.

Admin merasa hairan, bagaimana seorang yang bijak seperti Takiyudin boelh tersasar perjuangan beliau.

Apakah Takiyudin tidak mengambil pengajaran dari apa yang telah berlaku dalam Pilihanraya Negeri Sabah 2020?

Walau pun akar umbi PAS digunakan dan dikerahkan untuk turun padang dalam kempen Pilihanraya Negeri Sabah, namun PAS langsung tidak diberikan peluang untuk meletakkan walau pun seorang calun untuk Pilihanraya Negeri Sabah?

Apakah Takiyudin masih lagi tidak sedar sebenarnya PPBM sedang menggunakan beliau demi untuk survivor politik PPBM untuk menghadapi PRU 15 nanti.

Takiyudin adalah akses bagi PPBM untuk menggunakan kekuatan akar umbi dan jentera pilihanraya PAS bagi menghadapi PRU 15.

Bukan menjadi satu rahsia, PPBM adalah sebuah parti yang sangat rapuh di peringkat akar umbi.

Walau pun sudah menjadi kerajaan dan pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri selama 31 bulan (22 bulan ketika Pakatan Harapan dan 9 bulan ketika Perikatan Nasional), namun PPBM masih gagal menyusun dan memperkasakan parti mereka di peringkat akar umbi.


Malah pengasas PPBM Pagoh yang sepatutnya menjadi kubi kuat kerana ianya merupakan parlimen kepada Presiden PPBM dan menjadi Perdana Menteri sekarang ini juga bergolak.

Walau pun impian awal PPBM adalah untuk memperkudakan akar umbi dan jentera pilihanraya UMNO, namun seperti yang admin nyatakan, ketaatan ahli dan akar umbi UMNO kepada pemimpin mereka tidak sama seperti ahli dan akar umbi PAS.

Ahli dan akar umbi UMNO akan bangkit menentang dan membuat kritikan terbuka keputusan kepimpinan tertinggi parti sekiranya mendapati keputusan tersebut bertentangan dengan prinsip perjuangan parti.

PPBM juga melihat PAS sebagai sebuah parti yang tidak akan mampu menggugat kedudukan mereka sebagai parti dominan dalam Perikatan Nasional kerana  PPBM tahu sejak pilihanraya umum yang pertama pada 1955 hingga PRU 14, jumlah Ahli Parlimen PAS tidak pernah melebihi 10% dari jumlah keseluruhan Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

Bukan tujuan admin untuk memperkecilkan pencapaian PAS dalam pilihanraya umum tetapi itulah hakikatnya.

Mungkin PAS mempunyai strategi yang berbeza dengan UMNO yang mempunyai majoriti Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

Mungkin PAS lebih menumpukan untuk menguasai kerajaan negeri, maka sebab itulah kita lihat jentera pilihanraya PAS sangat tersusun di peringkat akar umbi.

Dalam 7 pilihanraya kecil, PPBM telah menyaksikan bagaimana akar umbi dan jentera pilihanraya PAS bersungguh-sungguh membantu kemenangan calun Muafakat Nasional, walau pun ianya bukan dari PAS.

Itulah yang sangat-sangat diperlukan oleh PPBM dalam PRU 15 nanti dan Takiyuddin adalah anak kuncinya.

Seperti yang PPBM lakukan terhadap UMNO dalam Pilihanraya Negeri Sabah yang lepas, perkara yang sama juga akan dilakukan kepada PAS nanti.

Untuk mengaburi pemimpin dan penyokong PAS, parti PAS akan diberikan lebih banyak kerusi untuk diletakkan calun tetapi kerusi parlimen yang diagihkan kepada PAS nanti adalah kerusi-kerusi panas yang tidak ada harapan untuk menang.

Calun PAS akan diletakkan untuk menentang calun dari DAP atau PKR di kubu kuat DAP atau PKR dengan majoriti pengundi adalah Cina atau India.

Untuk rekod, Perikatan Nasional tidak ada parti yang berasaskan kaum Cina atau pun India di dalam gabungan mereka.

Kalau pun ada, cuma PPBM bercadang untuk membuka pintu kepada kaum Cina dan India dalam parti mereka.

Manakala kawasan selamat akan diletakkan calun PPBM supaya kemenangan dapat dipastikan.

Apakah admin lontarkan ini bukanlah sekadar persepsi tetapi ianya adalah realiti yang telah dilakukan oleh PPBM kepada UMNO.

Atas semangat Muafakat Nasional, admin yakin, inilah masej yang cuba pemimpin-pemimpin UMNO sampaikan kepada pemimpin-pemimpin PAS, terutamanya Takiyudin dan kumpulannya.

Kalau parti sebesar UMNO pun berani PPBM perbodohkan, fikirkanlah sendiri apa yang akan PPBM lakukan terhadap PAS.

Sekali lagi admin tegaskan, bukan tujuan admin untuk memperlekehkan pemimpin dan pendokong parti PAS, namun atas semangat Muafakat Nasional, kita tidak mahu perkara yang sama telah dilakukan oleh PPBM kepada UMNO akan dilakukan pula kepada PAS.

Ibarat cubit peha kiri, peha kanan pasti akan merasakan kesakitannya juga.

Fikir-fikirkanlah.

Namun, ianya terpulang kepada pemimpin dan pendokong PAS.

0 comments:

fda

Archives