Friday, April 3, 2020

Sepatutnya Inilah Masa Golongan T20 Bantu Golongan B40 Dan M40, Bukan Menghina!!!


Di saat golongan B40 dan M40 bergelut untuk teruskan kelangsungan hidup akibat wabak Covid-19, kerajaan tampil menghulurkan berbagai bantuan untuk meringankan beban golongan B40.

Kebanyakan rakyat menyambut baik bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan.

Tapi agak menjengkelkan, bila ada segelintir golongan elit yang berada dalam kategori rakyat berpendapatan tinggi, T20, mempertikaikan bantuan yang diberikan kerajaan.

Tidak ketinggalan golongan artis retis yang dah sendu, yang merasakan diri mereka sudah terlalu banyak berjasa kepada tanah air juga meminta layanan istimewa dari kerajaan (BACA DI SINI).

Golongan T20 bukan setakat mempertikaikan bantuan kerajaan kepada golongan B40 dan M40, malah mereka menghina golongan B40 dan M40 dengan mendakwa golongan B40 dan M40 tidak menyumbang apa-apa kepada ekonomi negara.

Merekalah yang kononnya banyak menyumbang kepada pendapatan negara melalui cukai-cukai yang mereka bayar setiap tahun.

Mungkin mereka merasakan, tanpa cukai yang mereka bayar, ekonomi negara akan lumpuh sepenuhnya!!!

Untuk menjawab tuduhan mereka, admin bentangkan beberapa perbincangan dan perbandingan dan diharapkan mereka hadamkan sepenuhnya.

Golongan T20 TIDAK Akan Hidup Mewah Tanpa Bantuan Golongan B40 Dan M40


Benar, mereka mempunyai perniagaan, malah rantaian perniagaan yang mencecah jutaan ringgit.

Tetapi apakah mereka lupa, kuasa pembeli atau kuasa pengguna kepada perniagaan mereka adalah terdiri dari golongan B40 dan M40.

Tanpa sokongan dari golongan B40 dan M40 terhadap produk atau perkhidmatan yang mereka tawarkan, mungkinkah perniagaan mereka dapat bertahan?

Kita ambil satu contoh yang cukup mudah.

Seorang pemaju perumahan yang bertaraf jutawan memerlukan golongan B40 atau M40 untuk membeli rumah yang dibina.

Apa akan jadi kepada pemaju perumahan tersebut, sekiranya rumah yang mereka bina tidak mendapat sambutan dari golongan B40 atau M40?


Begitu juga dalam kerja-kerja berat untuk menyiapkan projek perumahan tersebut, keseluruhan pekerja dari buruh kasar hingga Pengurus Projek adalah dari golongan B40dan M40, apakah ada kawan-kawan jutawan mereka yang sanggup melakukan kerja bancuh simen, ikat batu dan sebagainya?

Dan jangan lupa, segala yang diperlukan untuk membina sebuah rumah juga dihasilkan dari titik peluh dan keringat golongan B40.

Siapa yang mengorek pasir, siapa yang berkerja di kilang simen, siapa yang bekerja di kilang batu bata dan sebagainya, bukankah buruh-buruh tersebut datangnya dari golongan B40?

Benar, mereka dibayar upah atau gaji, tapi cuna bandingkan kadar upah atau gaji yang mereka dapat dengan keuntungan ratusan ribu, malah mungkin jutaan ringgit yang golongan T20 dapat!!!

Itu belum kita ceritakan nasi yang mereka makan, kerusi yabg mereka duduk, pakaian yang mereka pakai, pendidikan yang anak mereka, malah diri mereka perolehi di bangku sekolah, semua itu adalah hasil sumbangan golongan B40 dan M40.

Tanpa keringat golongan B40 dan M40 yang jatuh, apakah mereka mampu mengeluarkan cukai jutaan ringgit kepada kerajaan?

Golongan B40 dan M40 Adalah Penyumbang Cukai Terbesar, Bukannya Golongan T20


Dari segi pembayaran cukai pula, setiap tahun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip lebih kurang RM36 billion cukai pendapatan individu.

Hampir semua daripada jumlah ini adalah daripada potongan gaji melalui skim Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Potongan Cukai Bulanan (PCB) ini dibuat daripada pekerja-pekerja yang makan gaji, yang mana kebanyakan daripada mereka ini adalah daripada golongan B40 dan M40.

Ramai daripada golongan kaya T20 tidak bekerja makan gaji namun mempunyai perniagaan sendiri.

Kebanyakan daripada mereka ini membayar cukai melalui cukai perniagaan atau cukai syarikat.

Walaupun jumlah pembayaran cukai syarikat adalah dua kali ganda iaitu RM70 billion berbanding cukai pendapatan individu, namun kebanyakan daripada jumlah ini adalah dibayar oleh syarikat-syarikat berkenaan kerajaan seperti Petronas, TNB, Telekom Malaysia, Sime Darby, PNB dan sebagainya.

Berbanding dengan pembayaran cukai individu melalui PCB dan cukai syarikat berkenaan kerajaan di atas (yang perlu dibayar secara automatik atau melalui peraturan syarikat kerajaan tersebut), banyak syarikat-syarikat lain milik persendirian dan milik individu-individu T20 memilih untuk sama ada lari dari bayar cukai, langsung tidak bayar cukai atau bayar kurang dari yang sepatutnya.

Ini dibuat dengan manipulasi akaun atau mengisytiharkan kerugian supaya mereka tidak perlu membayar cukai walaupun mereka sebenarnya membuat untung.

Dengan pembatalan GST dan pengenalan semula SST oleh kerajaan PH dahulu, perkara ini menjadi lebih teruk oleh kerana sistem cukai SST yang tidak telus berbanding GST.

Golongan T20 Lebih Banyak Terima Sumbangan Daripada Kerajaan Berbanding Golongan B40 Dan M40


Persepsi yang dikatakan oleh orang-orang billionaire terkaya di Malaysia bahawa mereka menjadi kaya oleh kerana usaha sendiri tanpa bantuan kerajaan adalah tidak benar.

Jika kita lihat jutawan-jutawan di Malaysia,  semua daripada mereka telah mendapat bantuan, subsidi, pengecualian cukai atau kontrak besar kerajaan pada suatu masa dahulu atau berkali-kali sehingga sekarang.

Secara purata, jumlah manfaat bantuan kerajaan yang diperoleh oleh setiap daripada mereka ini adalah jauh lebih tinggi berbanding jumlah bantuan kepada setiap orang dalam golongan B40.

Semasa zaman PM-4, mereka ini (golongan kaya T20) yang paling banyak menerima subsidi dan bantuan kerajaan.

Ini menyebabkan perkongsian pendapatan negara oleh mereka (T20) telah meningkat daripada 50% ke 52% berbanding perkongsian pendapatan B40 yang telah jatuh daripada 15% ke 13% dalam tempoh tersebut.

Golongan B40 dan M40 Adalah Penyumbang Utama Ekonomi Negara, Bukannya Golongan T20


Ada orang-orang kaya ini kata bahawa golongan B40 dan M40 ini tidak menyumbang kepada ekonomi dan hanya mengharap bantuan kerajaan.

Orang-orang kaya T20 ini juga kata bahawa mereka adalah paling banyak membayar cukai oleh itu sepatutnya dapat manfaat paling banyak dari kerajaan berbanding B40 dan M40.

Apa yang diperkatakan oleh mereka ini adalah tidak benar.

Berdasarkan laporan Jabatan Statistik Malaysia, lebih daripada separuh atau 54% daripada pendapatan isirumah negara adalah diperoleh oleh golongan B40 dan M40.

Selebihnya 46% daripada pendapatan negara pergi kepada golongan kaya T20.

Ini bermaksud secara purata setiap seorang daripada golongan T20 memperoleh lebih daripada tiga kali ganda pendapatan golongan B40 dan M40.

Walaupun setiap orang daripada golongan B40 dan M40 menjana pendapatan yang lebih kecil dari T20, namun hampir semua daripada pendapatan golongan B40 dan kebanyakan daripada pendapatan golongan M40 dibelanjakan semula ke dalam ekonomi dengan pembelian keperluan barangan dan perkhidmatan harian isirumah mereka.

Ini berbanding dengan pendapatan golongan-golongan kaya T20 yang kebanyakannya disimpan sebagai simpanan atau dilabur untuk perniagaan.

Namun perniagaan-perniagaan mereka (T20) ini tidak akan berjaya dan akan gagal tanpa pengguna-pengguna daripada golongan B40 dan M40 yang membeli barangan dan perkhidmatan yang dijual oleh perniagaan-perniagaan T20 tersebut.

Golongan B40 dan M40 ini adalah golongan pengguna yang terbesar di Malaysia, dari segi bilangan dan jumlah perbelanjaan pengguna ke dalam ekonomi berbanding T20.

Ekonomi Malaysia dipacu oleh perbelanjaan isirumah, dan ini dipacu oleh golongan B40 dan M40.

Tanpa perbelanjaan B40 dan M40, ekonomi Malaysia (dan kekayaan T20) akan jatuh.

Rakyat Malaysia Mesti Saling Bantu Membantu Bukan Saling Menghina


Kebanyakan daripada golongan kaya T20 mempunyai simpanan yang boleh digunakan semasa waktu kecemasan.

Namun hampir semua golongan B40 dan kebanyakan golongan M40 tidak mempunyai simpanan yang mencukupi di kala masa memerlukan seperti sekarang.

Jika orang yang berpendapatan tinggi pun mengeluh pada ketika ini, bayangkan keadaan golongan yang miskin dan berpendapatan rendah.

Sebab itu golongan B40 dan M40 ini perlu dibantu lebih oleh kerajaan di kala ini.

Dan hampir semua anggota kerja kesihatan barisan hadapan yang membantu dan menyabung nyawa sewaktu wabak COVID-19 ini adalah dari golongan B40 dan M40.

Diharapkan selepas ini tidak ada lagi golongan kaya T20 yang menghina dan mengkeji golongan B40 dan M40, lebih-lebih lagi semasa kita sedang menghadapi cabaran krisis wabak COVID-19 ini.

Cukuplah hanya beberapa orang yang mempunyai pemikiran sinikal terhadap golongan B40 dan M40 dan selalu menghina orang miskin.

Kepada orang-orang kaya yang mempunyai pemikiran sebegini, tanpa B40 dan M40, anda tidak akan menjadi kaya raya seperti sekarang, anda perlu ubah pemikiran anda.




Kredit :

Fb Isham Jalil

0 comments:

fda

Archives