Tuesday, March 9, 2021

Strategi Sebenar PPBM Ialah Bubarkan Barisan Nasional Dan Haramkan UMNO Ketika Menjelang PRU 15

|0 comments

Ketika Mahkamah Persekutuan mengumumkan menolak permohonan 16 bekas ahli UMNO yang mahu mahkamah membubarkan parti UMNO pada 3 Mac 2021 yang lalu, ramai pemimpin dan akar umbi UMNO menyambutnya dengan perasaan syukur dan lega.

Sebagai akar umbi UMNO yang sayangkan parti keramat UMNO, memang wajar kita merasa syukur dan lega dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Setidak-tidaknya, UMNO masih lagi tetap boleh bergerak seperti biasa.

Persoalannya, adakah penindasan dan penganiayaan terhadap UMNO akan terhenti di situ?

Jawapannya sudah pasti tidak.

Bagi admin, Muhyiddin sengaja memberi laluan supaya UMNO dapat bernafas seketika, apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan itu mungkin hanya satu plot dalam jalan cerita usaha Muhyiddin mahu membenamkan UMNO.

Laman blog pernah mendedahkan matlamat utama Muhyiddin bukan sahaja membubarkan UMNO tetapi Muhyiddin juga sebenarnya mahu melumpuhkan Barisan Nasional. 

Mengapa?

1) Muhyiddin sedar, sekiranya cuma UMNO diharamkan, ahli UMNO mempunyai Barisan Nasional dan seramai 3.6 juta ahli UMNO boleh diserapkan ke dalam Barisan Nasional.

2) Dalam pilihanraya, UMNO dan parti komponen Barisan Nasional hanya menggunakan lambang Barisan Nasional dan pengundi dari masyarakat Melayu, Cina dan India sudah selesa dengan lambang Barisan Nasional.

Bukan lagi menjadi khabar angin, Muhyiddin telah cuba memujuk MCA dan MIC supaya menyertai Perikatan Nasional.

Persoalan yang cukup menarik untuk kita fikirkan, apa sebenarnya yang menarik minat Muhyiddin untuk memujuk MCA dan MIC supaya menyertai Perikatan Nasional?

Dari sudut jumlah Ahli Parlimen, MCA cuma mempunyai 2 orang Ahli Parlimen sahaja dan kedua-duanya di Ayer Hitam dan Tg Piai bukanlah kawasan majoriti pengundi Cina dan kedua-duanya dimenangi atas ehsan UMNO.

Maksudnya, kalau dilihat dari keputusan PRU 14, MCA tidak mempunyai apa-apa pengaruh ke atas pengundi Cina.

Manakala MIC pula cuma mempunyai 1 Ahli Parlimen dan tidak ada dalam 222 kawasan parlimen yang dipertandingkan mempunyai pengundi majoriti masyarakat India.

Untuk Ahli Parlimen berbilang kaum, Perikatan sudah mempunyai Gerakan untuk bertanding dalam PRU 15 nanti.

Jadi apa muslihat Muhyiddin sebenarnya?

Barisan Nasional kini hanya mempunyai 3 parti komponen, UMNO, MCA dan MIC.


Tentu kita masih ingat, 
UMNO pernah diharamkan  oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 1988.

Apabila UMNO diharamkan ketika itu, semua jawatan yang disandang oleh pemimpin UMNO dalam Barisan Nasional dengan sendirinya terbatal kerana untuk menyandang apa-apa jawatan dalam Barisan Nasional, seseorang itu mestilah menjadi ahli kepada parti komponen yang sah di dalam Barisan Nasional.

Sebab itu ketika UMNO diharamkan pada tahun 1988, Dr Mahathir menyerahkan jawatan Pengerusi Barisan Nasional kepada Presiden MCA, Ling Liong Sik, kerana ahli UMNO tidak lagi boleh berada dalam Barisan Nasional, sekiranya ada, akan menyebabkan Barisan Nasional pula akan diharamkan.

Dalam Fasal 6 (Keanggotaan) Perlembagaan Barisan Nasional menyebut :

6.1 Ahli-ahli Barisan Nasional terdiri daripada 3 jenis :

1. Parti Anggota;
2. Ahli Bergabung
3. Ahli Bersekutu

6.2 Parti Anggota terdiri daripada :

1. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)
2. Persatuan cina Se Malaysia (MCA)
3. Kongres India Se Malaysia (MIC)
4. Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS)
3. Lain-lain parti politik yang dipersetujui dengan sebulat suara oleh kesemua parti anggota supaya diterima menjadi anggota Barisan Nasional.

6.3 Ahli Bergabung adalah : 

Mana-mana pertubuhan, pertubuhan politik, kelab, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan telah dipersetujui oleh Dewan Tertinggi supaya diterima menjadi ahli Barisan Nasional.

6.4 Ahli Bersekutu ialah : 

Warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas, bukan ahli berdaftar kepada mana-mana parti politik dan telah berdaftar keahliannya dengan Ibu Pejabat Barisan Nasional.

Ini bermaksud, sekiranya MCA dan MIC meninggalkan Barisan Nasional dan kemudiannya UMNO pula diharamkan, maka TIDAK ADA siapa dari UMNO yang akan layak menjadi Pengerusi Barisan Nasional kerana pemimpin dan ahli UMNO sudah TIDAK memenuhi syarat sebagai ahli dari parti anggota Barisan Nasional!!!

Ini bermakna, pemimpin dan akar umbi UMNO adalah ibarat anak ayam yang kehilangan ibunya.

Sumber mengatakan, seandainya MCA dan MIC bersetuju untuk meninggalkan Barisan Nasional, maka tindakan mengharamkan UMNO akan dilakukan serta merta oleh Muhyiddin.

Dan sebaik sahaja UMNO diharamkan, maka Muhyiddin akan dengan segera membubarkan parlimen supaya kepimpinan UMNO tidak mempunyai ruang dan masa.

Maka ketika berkempen, jentera pilihanraya Perikatan Nasional akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghasut akar umbi UMNO supaya menyertai PPBM dengan alasan UMNO dan Barisan Nasional sudah tidak boleh lagi diselamatkan dan sudah pasti, lagu yang akan mereka dendangkan ialah penyatuan ummah.


Kita berterima kasih bila dalam Perhimpunan Agung MCA telah menetapkan untuk terus setia bersama Barisan Nasional dalam PRU 15 nanti.

Kini kita menunggu pula keputusan dari MIC.

Namun begitu, kepimpinan UMNO tidak boleh leka dengan menarik nafas lega terlalu lama.

Ingat, dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku.

Pagi mereka menjadi kawan kita, petang mereka boleh bertukar menjadi musuh kita yang paling kejam.

Majlis Kepimpinan Tertinggi UMNO mesti menyiapkan pilihan lain yang boleh diambil seandainya perkara itu berlaku.

Jangan keputusan Mahkamah Persekutuan itu membuatkan kita menjadi Pak Kadok yang menang sorak tapi akhirnya kampung tergadai.

Kalau perlu dimasukkan Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Bima Sakti ke dalam Barisan Nasional, lakukan sekarang.

Ingat, selagi PPBM belum dapat ditumbangkan dalam PRU 15, mereka akan terus berusaha untuk melumpuhkan Barisan Nasional dan mematikan UMNO.

Mereka mempunyai satu lagi alasan iaitu 'akaun rahsia UMNO' untuk mendapatkan perintah mahkamah dalam mengharamkan UMNO.

Jadi, sediakan payung sebelum hujan.

Saturday, March 6, 2021

Wajah Pengkhianat UMNO Semakin Jelas Di Mata Akar Umbi

|0 comments

Pasca Pilihanraya Umum ke 14, UMNO terus menjadi mangsa fitnah dan kecaman pelbagai pihak.

Serangan bertali arus yang datang dari luar UMNO atau dari musuh politik UMNO adalah sesuatu yang lumrah atau tidak menghairankan.

Tetapi apa yang menghairankan akar umbi UMNO apabila serangan ke atas UMNO datangnya dari dalam UMNO sendiri serta didalangi oleh pemimpin-pemimpin kluster elit UMNO.


Sebaik sahaja Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO tumbang dalam Pilihanraya Umum ke 14, Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO ketika itu, DS Najib Razak mengambil tanggungjawab moral meletakkan semua jawatan beliau di dalam parti.

Ketika itu, DS Zahid Hamidi telah dilantik sebagai pemangku Presiden UMNO dan Hishamuddin pula telah dilantik sebagai pemangku Timbalan Presiden UMNO.

Sebelum Pemilihan UMNO dilakukan pada Persidangan Agung UMNO 2018, seperti yang dijangkakan, DS Zahid telah bertanding untuk jawatan Presiden UMNO dan beliau menerima tentangan dari 2 lagi calun yang menawarkan diri sebagai Presiden UMNO, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin, di mana akhirnya menyaksikan DS Zahid telah dipilih oleh perwakilan UMNO sebagai Presiden UMNO.


Apa yang agak mengejutkan, Hishamuddin yang memangku jawatan Timbalan Presiden UMNO tidak menawarkan diri untuk bertanding dalam jawatan Timbalan Presiden UMNO, malah Hishamuddin langsung tidak bertanding dalam apa-apa jawatan, walau pun sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Ramai yang terkejut tetapi tetap bersangka baik dengan menganggap mungkin Hishamuddin mempunyai strategi sendiri untuk kembali memperkasakan UMNO walau pun tanpa apa-apa jawatan dalam kepimpinan tertinggi UMNO pusat.


Namun tembelang Hishamuddin terbongkar apabila akar umbi UMNO dikejutkan dengan berita 16 orang Ahli Parlimen UMNO meninggalkan parti dan melompat ke PPBM.


Lebih mengejutkan akar umbi UMNO apabila UMNO Sabah hampir lumpuh bila hampir keseluruhan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ketua Bahagian UMNO di Sabah meninggalkan UMNO secara besar-besaran.

Ramai tertanya-tanya siapakah dalang yang cukup licik di sebalik apa yang sedang berlaku itu.

Ibarata kata pepatah, mulut tempayan boleh ditutup tetapi mulut orang susah untuk ditutup.

Akhirnya terbongkar, Hishamuddin adalah pengkhianat yang menjadi dalang yang bertanggungjawab mengatur perbuatan jijik melompat parti.


Malah Anwar Ibrahim sendiri pernah menyindir Hishamuddin sewaktu ucapan beliau dalam Parlimen dan juga di lobi Parlimen.

Namun selepas Pakatan Harapan tumbang dan digantikan pula oleh Perikatan Nasional, Hishamuddin dilihat kurang aktif bertindak sebagai pengkhianat parti, namun muncul pula pengkhianat kedua dari UMNO yang telah dipecat jawatan sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional dan Setiausaha Agung bersama Muafakat Nasional.


Bukanlah satu perkara yang menghairankan bila kerjasama antara UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional dilihat semakin hari semakin lesu apabila UMNO melantik Annuar Musa dan PAS melantik Takiyuddin sebagai Setiausaha Abung bersama Muafakat Nasional.

Apa yang mampu kita harapkan bila kedua-dua Setiausaha Agung bersama Muafakat Nasional adalah manusia musang berbulu ayam!!!

Kedua-dua mereka diketahui umum berada dalam geng Publika yang ditunjangi oleh Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung PPBM.

Annuar Musa menjadi musang berbulu ayam dalam UMNO dan Muafakat Nasional.

Cuma ketika menjadi Setiausaha Agung Barisan Nasional dan Setiausaha Agung bersama Muafakat Nasional, Annuar dilihat kurang kerap menyerang kepimpinan UMNO serta mengeluarkan kenyataan yang memihak kepada PPBM.

Cuma ketika beliau menjadi Setiausaha Agung UMNO dahulu, kerap kali bocor perkara-perkara rahsia yang diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti kepada PPBM.

Namun setelah dipecat dari jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional dan Setiausaha Agung bersama Muafakat Nasional, Annuar dilihat semakin kerap mengecam keputusan-keputusan yang telah diambil oleh kepimpinan tertinggi UMNO dengan menggunakan alasan perpaduan bangsa Melayu.

Terkini, Annuar menyifatkan keputusan MKT UMNO untuk memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional menjelang PRU 15 akan melemahkan UMNO.

Kita merasa hairan, bagaimana seorang bekas Setiausaha Agung UMNO boleh mempertikaikan keputusan MKT UMNO yang bersetuju dengan desakan akar umbi?

Annuar dilihat semakin hilang punca apabila kritikan beliau menerima kecaman hebat dari akar umbi di media sosial.

Kalau Annuar rela menjadi pelacur politik, silakan, tetapi 3.7 juta ahli UMNO tidak sekali-kali akan membiarkan parti keramat ini dilacurkan untuk kepentingan peribadi beliau kerana kami akar umbi UMNO masih mempunyai maruah dan harga diri!!!


Muncul seorang lagi pengkhianat UMNO yang bersifat lalang.

Jawatan Shahidan Kassim dalam UMNO hanyalah sebagai Ketua Perhubungan UMNO negeri Perlis yang hanya mempunyai 4 kerusi Parlimen.

Tetapi demi untuk menjilat Muhyiddin dan demi menyelamatkan diri dari dakwaan cabul gadis bawah umur, kerana keputusan mahkamah ialah bebas tanpa dilepaskan, yang membawa maksud, pada bila-bila masa kes itu boleh dibuka semula, Shahidan dengan angkuhnya menongkah arus dengan mengeluarkan UMNO Perlis akan meneruskan kerjasama dengan PPBM dalam PRU 15 nanti.

Apakah kenyataan Shahidan itu telah dipersetujui oleh semua akar umbi, Ketua Cawangan dan Ketua Bahagian UMNO negeri Perlis.

Kita semua tahu, Shahidan merupakan Pengerusi PNBBC dalam Parlimen, tapi apakah kerana itu beliau sanggup dan berani menyanggah keputusan dan kemauhan 3.7 akar umbi UMNO?

Apakah Shahidan lupa, jawatan Ketua Perhubungan Negeri adalah dilantik oleh Presiden parti dan pada bila-bila masa sahaja jawatan itu boleh digantikan dengan orang lain oleh Presiden parti.


Kini wajah ketiga-tiga mereka sudah semakin jelas di mata akar umbi UMNO.

Kalau mereka tidak mahu keluar dari UMNO untuk melompat ke PPBM, kita biarkan sahaja mereka ibarat hidup segan, mati tidak mahu di dalam UMNO.

Kita pastikan mereka tidak akan dipilih lagi dalam apa-apa jawatan kepimpinan tertinggi UMNO yang bakal diadakan tahun ini.

Kerana ada sumber memberitahu, ketiga-tiga mereka akan bergabung untuk menempatkan diri dalam beberapa jawatan penting UMNO dalam pemilihan UMNO tahun ini supaya hasrat mereka untuk melacurkan UMNO kepada PPBM akan tercapai.

Demi untuk menyelamatkan maruah UMNO, tolak ketiga-tiga mereka dalam apa juga pencalunan nanti.

Kepada Presiden, jangan lagi dibenarkan mereka bertanding dalam Pilihanraya Umum ke 15, kalau tidak mahu melihat UMNO digoncang oleh ketiaga-tiga pengkhianat itu selepas Pilihanraya Umum ke 15 nanti.

Wednesday, March 3, 2021

Muhyiddin Makin Besar Kepala, Perlekehkan Titah Agung Dan Sudah Berani Derhaka?

|0 comments

Dalam tragedi Sultan Mahmud mangkat dijulang yang berlaku di Kota Tinggi, Johor, sebelum menikam Al Marhum Sultan Mahmud yang sedang dijulang ketika mahu menunaikan fardu Solat Jumaat, kata-kata terakhir Laksamana Bentan adalah :

"Raja adil, raja disembah, raja zalim zalim, raja disanggah".

Tetapi bagaimana pula apabila kita berhadapan dengan pemimpin yang zalim?

Rakyat Malaysia sangat bertuah kerana sekarang ini kita mempunyai seorang Ketua Negara yang memegang jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung yang sangat berjiwa rakyat.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah memang sangat dikenali sebagai seorang raja yang sentiasa prihatin dengan rakyat baginda.

Sekiranya baginda mendapat perkhabaran rakyat berada dalam kesusahan, baginda turut sama merasakan kesusahan yang sedang ditanggung oleh rakyat.

Sekiranya baginda dimaklumkan dengan penderitaan rakyat, baginda turut sama rasa terbeban dengan penderitaan rakyat.

Kita amat yakin, SPB YDP Agung amat memaklumi, keadaan politik yang tidak stabil dan penularan wabak Covid-19 telah membuatkan rakyat dan negara yang berada di bawah naungan baginda kini berada dalam kesusahan dan penderitaan yang seakan-akan belum nampak lagi di mana penghujungnya.

Kita juga amat yakin, keadaan ini menimbulkan keresahan dan perasaan dukacita yang di lubuk hati dan sanubari baginda.

Tetapi apakan daya, ibarat tangan terikat di langit dan kaki terpasak ke bumi, dari sudut Perlembagaan Persekutuan, baginda tidak mempunyai kuasa mutlak untuk bertindak dalam membetulkan keadaan.

Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, di mana SPB YDP Agung juga adalah tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan di dalam setiap keputusan yang hendak diambil.


Memburukkan penderitaan negara dan rakyat, apabila kita mempunyai seorang Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang lemah dan ternyata telah gagal tetapi tetap tamak dan mabuk mahu kekal berkuasa.

Beraja di mata dan bersultan di hati, Perlembagaan Persekutuan disalah gunakan oleh Muhyiddin untuk kekalkan kuasa dan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.

Lebih memualkan kita semua, apabila kini Muhyiddin sudah semakin besar kepala dan sudah berani derhaka kepada titah SPB YDP Agung.


24 Februari 2021, baginda YDP Agung telah berkenan menerima mengadap Speaker Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Negara.

Ada sumber yang mengatakan sebenarnya baginda YDP Agung telah menitahkan supaya kedua-dua speaker tersebut supaya mengadap baginda di Istana Negara.


Dalam pertemuan tersebut dan melalui satu kenyataan media (perenggan 3,4 dan 5) yang dikeluarkan oleh Istana Negara selepas pertemuan itu, baginda YDP Agung telah menzahirkan pandangan bahawa sepanjang tempuh darurat, Parlimen BOLEH bersidang dan tidak perlu digantung seperti yang 'dititahkan' oleh Perdana Menteri tak ada majoriti, Muhyiddin Yassin.

Pandangan baginda YDP Agung itu bukanlah sekadar pandangan yang tidak berasas tetapi ianya terdapat di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa Kuasa Perlu) di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Secara sinis, baginda juga menyindir Muhyiddin dengan menyatakan bahawa tanggapan sesetengah pihak bahawa perlaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen dari bersidang adalah salah!!!

Ini jelas menunjukkan bahawa SPB YDP Agung menitahkan supaya demokrasi dihidupkan semula dan Parlimen dipanggil bersidang walau pun negara masih lagi berada di bawah Perintah Darurat.


Tetapi Muhyiddin tetap berdolak dalih dan menggunakan alasan mahu mengawal penularan Covid-19 sebagai alasan untuk  mengisytihar darurat dan menggantung Parlimen dari bersidang.


Muhyiddin juga menafikan dakwaan bahawa darurat yang diisytiharkan ini sebenarnya adalah darurat politik demi untuk mengekalkan kuasa beliau.


Malah dengan angkuhnya Muhyiddin mendakwa beliau masih lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat.

Kalau benar Muhyiddin merasa sangat yakin masih lagi mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat, kenapa masih lagi takut untuk membenarkan Parlimen bersidang sedangkan sekarang ini hampir semua sektor ekonomi telah dibuka semula, malah pelajar sekolah yang berada dalam golongan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 juga telah dibenarkan kembali ke sekolah.

Tambahan lagi bukankah kesemua Ahli Parlimen adalah kumpulan yang akan diberikan keutamaan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19?


Satu lagi persoalan yang berlegar di fikiran kita, kalaulah betul Muhyiddin merasa sangat yakin dan tiada yang tidak yakin melainkan yakin sahaja bahawa beliau masih mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen, mengapa perlu 
memancing 2 orang Ahli Parlimen PKR untuk menandatangani Akuan Bersumpah (SD) sokongan ke atas beliau?

Kepada Muhyiddin, lakukanlah apa sahaja yang disukainya tetapi jangan lupa, rakyat marhaen hanya menunggu masa untuk menghukum segala kezaliman dan salah guna kuasa yang Muhyiddin lakukan.


Kalau sebelum ini, melalui satu undian yang dilakukan oleh Utusantv mendapati Barisan Nasional menjadi pilihan pengundi sama ada bersama atau tidak dengan PAS dan Perikatan Nasional menjadi pilihan terakhir pengundi, kini melalui satu lagi undian yang dilakukan, Muhyiddin nyata jauh ke belakang dari 2 calun Perdana Menteri ke 9 dari parti UMNO/Barisan Nasional.

Admin yakin, dengan penderhakaan Muhyiddin kepada SPB YDP Agung, kedudukan Muhyiddin akan jatuh lebih teruk lagi sekiranya undian dilakukan sekali lagi kerana pantang Melayu menderhaka kepada rajanya!!!



 





Sunday, February 28, 2021

Istana Negara Sudah Tunjukkan Jalan Keluar Kepada Muhyiddin

|0 comments


Sudah terang lagi bersuluh, Perintah Darurat yang sangat-sangat 'Muhyiddin And The Gang' mahukan ini bukanlah untuk menyelamatkan rakyat Malaysia dari penularan wabak Covid-19.

Tetapi 'Muhyiddin And The Gang' sangat memerlukan darurat untuk menyelamatkan kuasa yang mereka miliki.

Dalam tulisan yang bertajuk 'Muhyiddin Berselindung Belakang Samping Agung Untuk Ugut Mengugut' laman blog ini pernah mendedahkan bagaimana akbat dari ketamakan kuasa 'Muhyiddin And The Gang', mereka telah mengheret Istana Negara dan mendedahkan institusi YDP Agung kepada kritikan dan menjadikan institusi yang selama ini sangat-sangat dimuliakan oleh Raja Raja Melayu dan rakyat Malaysia kepada bahan lawak di seluruh dunia.


Kelicikan Muhyiddin menipu SPB YDP Agung dengan mengaku bahawa 
beliau masih Perdana Menteri, walau pun menyedari ketika dan saat beliau mengadap SPB YDP Agung bersama-sama Peguam Negara, beliau telah hilang kelayakan sebagai Perdana Menteri dari sudut Perlembagaan Persekutuan adalah satu kesalahan yang sangat serius.

Sungguh, 'Muhyiddin And The Gang' telah mencontengkan arang dan memalitkan aib kepada Institusi YDP Agung!!!

Ini adalah satu penderhakaan yang tidak dapat diterima apa lagi untuk dimaafkan.

Dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan dengan begitu terang dan sangat nyata :

1) Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Proklamasi Darurat MESTI dibentangkan kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

2) Tidak ada dalam Perkara 150 yang membenarkan Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri digantung sepanjang tempuh darurat.

Malah dalam perenggan akhir Proklamasi Darurat yang Muhyiddin sendiri bacakan dengan jelas ada menyatakan ianya akan dibentangkan kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara!!!

Tetapi keadaan yang sebaliknya telah berlaku.

Darurat versi 'Muhyiddin And The Gang' telah membuka hampir semua sektor ekonomi, Eksekutif dan Kehakiman dibenarkan berfungsi sepenuhnya, tetapi Legislatif telah digantung sepanjang tempuh darurat.

Sedangkan mengikut Perlembagaan Persekutuan, sebelum apa-apa undang-undang  di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan boleh dikuatkuasakan, ianya mestilah terlebih dahulu mendapat kelulusan dari pihak Legislatif, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Satu perkara yang 'Muhyiddin And The Gang' terlupa, bukan beliau sahaja yang mempunyai penasihat undang-undang, tetapi Institusi YDP Agung dan Raja Raja Melayu juga mempunyai penasihat undang-undang yang terdiri dari pakar perlembagaan.

Walau pun Persidangan Majlis Raja Raja Melayu telah ditangguhkan, namun antara Raja Raja Melayu masih lagi boleh berbincang dan memberikan pandangan sebagai kuasa semak dan imbang tertinggi negara.

Dalam permohonan pertama 'Muhyiddin And The Gang' terhadap Perintah Darurat yang telah ditolak oleh SPB YDP Agung, selepas SPB YDP Agung memanggil Majlis Raja Raja Melayu bersidang, baginda SPB YDP Agung telah dinasihatkan oleh Raja Raja Melayu supaya tidak membenarkan mana-mana pihak memperalatkan perlembagaan untuk kepentingan peribadi.


Menyedari apa yang dilaksanakan 'Muhyiddin And The Gang' sekarang ini adalah bertentangan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan, maka SPB YDP Agung dengan tegas telah bertitah bahawa pendapat yang mengatakan bahawa Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak boleh bersidang sepanjang tempuh darurat adalah SALAH!!!

Titah SPB YDP Agung ini menjadi bom jangka kepada 'Muhyiddin And The Gang'.

Pada bila-bila masa dari sekarang, baginda SPB YDP Agung boleh menitahkan Muhyiddin untuk mengadap dan mengarahkan Muhyiddin supaya memanggil Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara untuk bersidang.

Apabila ini berlaku, maka karier politik 'Muhyiddin And The Gang' akan sampai ke penghujung jalan.

Walau pun Muhyiddin boleh menyekat Dewan Rakyat dari melakukan undi tidak percaya terhadap beliau, namun undi untuk meluluskan Perintah Darurat WAJIB diadakan.

Dengan ketiadaan majoriti Ahli Parlimen, pastinya Muhyiddin akan terpaksa mengadap SPB YDP Agung untuk mempersembahkan kepada baginda bahawa usul Perintah Darurat telah ditolak oleh Ahli Parlimen dan sebabnya adalah kerana beliau telah kehilangan majoriti sokongan Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

Menyedari perkara ini, Azmin kini berkerja keras untuk menarik beberapa orang Ahli Parlimen PKR supaya melompat ke PPBM.

Kalau pun ini berjaya dilakukan, kedudukan Muhyiddin masih lagi tidak selamat.

43 Ahli Parlimen Barisan Nasional, terutamanya 40 Ahli Parlimen UMNO, pasti akan berfikir berkali-kali sebelum mengundi menyokong apa saja usul yang dibawa oleh Muhyiddin.


Kenyataan-kenyataan yang kurang bijak dari pemimpin mentah PPBM, menyukarkan lagi keadaan.

Menyokong Muhyiddin secara terbuka berarti karier politik mereka akan berakhir pada PRU 15 nanti, sama ada watikah pencalonan tidak akan dikeluarkan kepada mereka atau kalau pun mereka berjaya menjadi calun dalam PRU 15 di bawah tiket Barisan Nasional, rakyat terutamanya pengundi UMNO akan menghukum mereka!!!

Dengan bekalan vaksin Covid-19 yang sudah sampai ke Malaysia, 'Muhyiddin And The Gang' kini benar-benar kesuntukan masa kerana tiada lagi alasan untuk menggantung Parlimen.

Setelah Istana Negara tunjukkan jalan keluar kepada 'Muhyiddin And The Gang', mereka kini benar-benar ibarat cacing kepanasan.

Istana Negara dan rakyat juga mahu melihat sejauh mana 'Muhyiddin And The Gang' boleh meneruskan permainan kotor mereka dan apakah lagi alasan yang hendak mereka beri untuk mendapatkan talian hayat politik yang baru.

To Muhyiddin And The Gang, don't forget, we are watching!!!




Thursday, February 25, 2021

Parti UMNO Yang Bermesyuarat, Parti Lain Yang Kepanasan, Dah Kenapa?

|0 comments

19 Februari 2021 yang lepas, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah mengadakan mesyuarat di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, Pahang.

Kebiasaannya mesyuarat MT UMNO akan diadakan di bangunan UMNO, Putra World Trade Center, PWTC, Kuala Lumpur.

Tetapi kali ini, walau pun terpaksa mendapatkan kelulusan dari pihak PDRM untuk merentas negeri, Presiden UMNO, DS Zahid Hamidi, memutuskan untuk bermesyuarat di ILMU, Janda Baik, Pahang.

Kenapa?

Kerana mesyuarat kali ini adalah sangat penting dalam menentukan hala tuju UMNO.

Antara yang akan diputuskan termasuklah hubungan antara UMNO dan PPBM, sama ada akan diteruskan atau pun tidak.

Di lapurkan, antara yang turut menjadi perbincangan utama ialah strategi UMNO untuk bersedia menghadapi PRU 15 sama ada Barisan Nasional dan rakan sekutu di dalamnya bergerak secara bersendirian atau masih mahu meneruskan kerjasama dengan PAS di bawah Muafakat Nasional.

Jadi tidaklah menghairankan bila tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Presiden UMNO atau pun Setiausaha Agung UMNO berkaitan keputusan mesyuarat MKT UMNO.

PRU 15 adalah ibarat peperangan dan UMNO sebagai parti politik yang kewujudannya sudah mencecah 75 tahun dalam dunia politik pasti tahu, apa yang perlu dan apa yang tidak perlu didedahkan dalam merangka strategi menghadapi peperangan.

Memahami situasi ini, akar umbi UMNO tetap tenang kerana satu-satunya keputusan yang dinanti-nantikan oleh akar umbi, iaitu mengenai hubungan antara UMNO dan PPBM telah pun diberikan penjelasan oleh barisan kepimpinan MKT UMNO.

Apa yang menarik perhatian admin ialah, kegelisahan PPBM hingga menyebabkan mereka mendesak UMNO supaya memberitahu keputusan yang telah diputuskan dalam mesyuarat MKT UMNO yang lepas.


Ahli Majlis PImpinan Tertinggi (MPT) PPBM, Dr Muhammad Faiz Na'aman mahu UMNO mendedahkan keputusan mesyuarat MKT UMNO yang telah di adakan di Janda Baik, Pahang tempuh hari.

Alasan Faiz ialah supaya senang merangka strategi sama ada mahu berkempen secara bersama atau pun tidak.

Tambah Faiz lagi, adalah lebih baik sekiranya tidak berlaku pertembungan 3 penjuru.


Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, telah membidas desakan PPBM yang langsung tidak berasas itu.

Seperti biasa, bila mendapat kritikan dari pelbagai pihak, PPBM mengarahkan PNBBC untuk mengeluarkan kenyataan penafian.


Sementara itu, bercakap dalam isu yang sama, PPBM melalui Rosol Wahid, tidak dapat menyembunyikan kekecewaan bila mesyuarat MKT UMNO kekal dengan pendirian memutuskan hubungan dengan PPBM di dalam PRU 15 nanti.

Akar umbi tahu, di dalam MKT UMNO terdapat beberapa pengkhianat yang merupakan talam dua muka.

Sumber mneyatakan mereka didalangi oleh kluster menteri yang terdapat dalam MKT UMNO.

Perkara ini seakan disahkan oleh Presiden UMNO, DS Zahid Hamidi, melalui satu sindiran beliau di dalam akaun Facebook beliau.

Sindiran DS Zahid itu merupakan amaran keras kepada 'lalang-lalang' UMNO yang didalangi oleh kluster menteri di dalam UMNO.

Nasihat admin, bersedialah untuk bertanding di atas tiket PPBM kerana 2 kemungkinan yang pasti akan menimpa mereka adalah sama ada DS Zahid tidak akan menandatangani watikah pencalunan PRU 15 mereka atau mereka akan ditolak sepenuhnya oleh akar umbi dalam Pemilihan UMNO kerana akar umbi UMNO sudah nampak dengan jelas wajah sebenar mereka.


Selepas gagal mempengaruhi Ahli Majlis Kerja Tertinggi supaya membelakangkan keputusan akar umbi yang mahu hubungan antara UMNO dan PPBM ditamatkan dalam PRU 15, 'lalang-lalang' UMNO yang dipercayai didalangi kluster menteri ini mula menyebarkan buku 30 Dalil Zahid Kena Letak Jawatan telah diedarkan dengan meluas di peringkat akar umbi UMNO.

Ini adalah kerana mereka percaya, selagi DS Zahid menjadi Presiden UMNO, niat mereka untuk melihat UMNO tunduk kepada tekanan PPBM tidak akan tercapai.

Bagi 'lalang-lalang' UMNO ini, maruah dan perjuangan parti bukanlah menjadi asas perjuangan mereka.

Mereka sanggup 'melacurkan' UMNO asalkan kekuasaan dan kemewahan peribadi kekal bersama mereka.

Lalu mereka akan lakukan apa sahaja untuk menyingkirkan DS Zahid Hamidi dalam Pemilihan UMNO yang dijangkakan akan dilakukan sebelum PRU 15 nanti.

Mereka terlupa, akar umbi UMNO hanya menunggu Pemilihan UMNO untuk bertindak dan akar umbi UMNO hari ini bukanlah golongan yang mudah untuk diperkotak-katikkan, buktinya buku 30 Dalil Zahid Kena Letak Jawatan pernah cuba ditularkan melalui internet tetapi tidak mendapat sambutan dari akar umbi UMNO.

Mengapa golongan pengkhianat yang masih berada dalam UMNO dan PPBM terlompat-lompat macam kera kena belacan apabila MKT UMNO membuat keputusan muktamad memutuskan hubungan dengan PPBM dalam PRU 15.



Jawapan yang sangat jelas ada dalam undian secara atas talian yang telah dilakukan oleh UtusanTv.

Barisan Nasional masih lagi menjadi pilihan pengundi pada PRU 15, walau pun bergerak secara solo dengan mendapat 38% undi dari responden.

Sekiranya berkerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional, sokongan tambahan sebanyak 37% akan diperolehi dan ini melebihi majoriti 2/3 di dalam Dewan Rakyat.

Manakala Perikatan Nasional bersama PAS tetapi tanpa Barisan Nasional, hanya mampu mendapat sokongan 4% sahaja.

Undian ini menjelaskan kepada kita, mengapa PPBM terlalu mengharapkan supaya UMNO bersetuju mengadakan kerjasama dengan mereka di dalam Perikatan Nasional.

UMNO akan melakukan kesilapan yang besar sekiranya bersetuju berkerjasama dengan Perikatan Nasional di dalam PRU 15 kerana ianya hanya akan mampu meraih sokongan sebanyak 14% dari pengundi.

Jelas di sini, dalam keadaan ini, UMNO akan menghadapi undi protes dari kalangan akar umbi UMNO dan ini menunjukkan keputusan MKT UMNO untuk memutuskan hubungan dengan PPBM dan ketegasan Presiden UMNO untuk menghapuskan parasit-parasit yang masih ada dalam UMNO adalah keputusan yang tepat.

Bagi akar umbi, singkirkan parasit-parasit UMNO di dalam Pemilihan UMNO yang akan datang dan kita berikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Presiden UMNO yang ada sekarang.

Bagi PAS, terpulanglah kepada kepimpinan PAS sama ada mahu 75% sokongan dari pengundi atau mahu 4% sokongan dari pengundi.

Tepuk dada, bentanglah serban, mungkin akan ada tertulis di situ pilihan yang paling tepat untuk diambil!!!

Monday, February 22, 2021

Sekolah Akan Di Buka, Guru, Ibubapa Dan Murid Muka Mencuka, Kenapa?

|0 comments

Menteri Pelajaran, Radzi Jidin, dalam satu sidang media (kalau boleh dipanggil sidang media, tapi bagi admin nampak macam cikgu yang sedang mengajar), membuat pengumuman yang beliau sangkakan sangat-sangat dinantikan oleh warga pendidik, ibubapa dan murid sekolah.



Beliau mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka akan dimulakan secara berperingkat mulai 1 Mac 2021 hingga 5 April 2021.

Sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula dari peringkat Pra Sekolah, Tahun 1, Tahun 2 dan akan diikuti oleh peringkat persekolahan yang seterusnya.

Namun mengapakah pengumuman sesi persekolahan secara bersemuka dimulakan balik disambut dingin, malah dikecam pelbagai pihak, terutamanya warga pendidik, ibubapa dan murid?

Kisah Cikgu Radzi


3 hari 3 malam, Cikgu Radzi dan rakan-rakan beliau bertungkus lumus dan bersengkang mata untuk mencari bahan bagi menyiapkan modul pembelajaran bagi tempuh 2 minggu yang bermula 22 Februari 2021 hingga 5 Mac 2021.

Sudahlah sebelum ini beliau dan rakan-rakan beliau diarahkan untuk mencari bahan bagi membantu Kementerian Pelajaran dalam program pendidikan yang akan disiarkan dalam TV Pendidikan.

Belum hilang penat, Cikgu Radzi dan rakan-rakan diarahkan pula menyiapkan modul pembelajaran untuk tempuh 2 minggu, mengikut matapelajaran yang masing-masing ajar.

Baru sahaja modul tersebut diedarkan kepada ibubapa murid, tiba-tiba, Radzi Jidin, mengumumkan sistem persekolahan secara bersemuka akan dimulakan semula.

Terpaksa pula Cikgu Radzi menyiapkan bahan mengajar yang beliau akan digunakan dalam sesi persekolahan secara bersemuka nanti.

Terasa penat yang amat sangat, bukan sahaja penat, malah tertekan dengan keputusan 'flip flop' Kementerian Pelajaran itu.

Itu belum diambil kira penat lelah beliau bersengkang mata melengkapkan lapuran dan kedatangan murid sepanjang sesi PdPR.

Talian talipon beliau dihujani pula dengan pertanyaan dari ibubapa, apakah ada jaminan keselamatan anak mereka apabila sesi persekolahan dibuka semula!!!

Ini baru kisah bebanan dan tekanan yang Cikgu Radzi hadapi sebagai seorang guru, belum lagi diceritakan kisah bebanan dan kerisauan beliau sebagai seorang ayah yang mempunyai 3 anak yang masih di bangku sekolah!!!

Kisah Pak Din Kobit


Pak Din Kobit menggelengkan kepala selepas mendengar pengumuman dari Radzi Jidin.

Duit simpanan Pak Din Kobit dah habis digunakan untuk beli talipon pintar.

Bayangkan, Pak Din Kobit ada 3 orang anak yang bersekolah, satu talipon pintar harganya RM750.

3 buah talipon pintar dah RM2,250, itu tak termasuk duit fotostat, duit top-up yang anak-anak minta sepanjang tempuh PdPR.

Disebabkan liputan rangkaian di kawasan Pak Din Kobit tak baik, Pak Din Kobit terpaksa pula melanggan Unifi dengan kontrak tidak kurang satu tahun.

Koyak lagi poket Pak Din Kobit dengan sewa bulanan Unifi yang terpaksa dibayar sebanyak RM100 sebulan.

Memang baru-baru ini, Pak Din Kobit ada terima Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM100 seorang untuk anak-anak beliau yang masih bersekolah, 3 orang anak dapatlah RM300.

Tapi nilai RM300 hari ini, duit lauk jer dah mencecah RM150 seminggu, tak termasuk duit barang-barang kering keperluan dapur.

Sudah hampir 2 bulan keluarga Pak Din Kobit terpaksa makan nasi berlauk ikan bilis goreng dan kicap, sebab sepanjang PKP, Pak Din yang berkerja sebagai Pengawal Keselamatan di salah sebuah hotel telah diberhentikan kerja.

Memang Pak Din Kobit dapat keluarkan duit KWSP dalam progran i-Sinar, tapi duit pertama sebanyak RM5,000 yang Pak Din Kobit terima tu dah dibelikan peralatan untuk berniaga nasi lemak dan buat warung ala kadar di hadapan rumah, tapi disebabkan kawasan Pak Din Kobit kena arahan PKP, peralatan tu terbiar begitu saja, malah sebahagian darinya terpaksa dijual pada anak jiran beliau yang berniaga di kawasan yang dikenakan PKPB.

Bukan Pak Din tak nak berniaga di sana tapi jauh, macam mana Pak Din hendak berulang alik dari rumah, lagi pun hendak berniaga di bandar kena sewa kedai, manalah ada duit lagi nak sewa kedai.

Sekarang bala baru pula sampai, sekolah hendak dibuka semula.

Mana nak cari duit untuk beli pakaian dan peralatan sekolah anak-anak, perut beliau sekeluarga mesti diisi setiap hari, bil letrik, bil air, bil Unifi mesti dibayar tiap-tiap bulan.

Hendak pinjam saudara mara, masing-masing pun tengah nazak kewangan mereka.

Pak Din Kobit cuma termenung panjang dan menangis dalam hati.

Keputusan Flip Flop Muhyiddin Benar-Benar Menyusahkan Rakyat


Ada beberapa perkara pokok yang menjadi persoalan utama dengan keputusan Kementerian Pelajaran itu :

1. Umum mengetahui, keputusan Kementerian Pelejaran menutup sekolah dan memperkenalkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah kerana melindungi murid-murid sekolah dari dijangkiti Covid-19, kerana murid-murid sekolah termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Apakah Kementerian Pendidikan tidak sedar atau Radzi Jidin nie separa sedar bahawa angka jangkitan kes baharu Covid-19 setiap hari adalah jauh lebih tinggi dari angka kadar jangkitan harian ketika mula-mula sesi persekolahan ditutup!!!

Apakah jaminan atau apakah Kementerian ada perancangan atau langkah-langkah tertentu telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pelajaran untuk melindungi kakitangan sekolah dan murid-murid sekolah dari dijangkiti Covid-19?

2. Bagaimana pula kalau kadar jangkitan harian Covid-19 melonjak semula, apakah sesi persekolahan akan ditutup kembali?

3. Kita merasa pelik, TV Pendidikan baharu sahaja dilancarkan dan kita semua maklum, tujuan dilancarkan TV Pendidikan kononnya untuk membantu keluarga pelajar-pelajar yang mungkin tidak berkemampuan untuk menyediakan prasarana bagi mengikuti sesi PdPR tetapi hanya beberapa hari selepas TV Pendidikan dilancarkan, sesi persekolahan dibuka semula.

Apakah antara Muhyiddin dan menteri beliau tidak pernah berbincang mengenai sebarang keputusan atau dasar yang dilaksanakan atau sememangnya keputusan dan dasar yang dilaksanakan oleh pentadbiran Muhyiddin adalah berdasarkan mimpi yang mereka alami pada malam hari!!!

4. Bagaimana kerajaan mahu membantu ibubapa yang sudah bergolok gadai, malah ada yang terpaksa berhutang untuk menyediakan keperluan anak-anak mengikuti sesi PdPR dan kini terpaksa mencari duit untuk persiapan persekolahan anak-anak pula?

5. Sepanjang tempuh persekolahan ditutup, banyak pengusaha bas sekolah terpaksa gulung tikar akibat bas atau van sekolah mereka ditarik oleh pihak bank, bagaimana ibubapa yang berkerja mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana bagi ibubapa yang berkerja secara shift, waktu kerja mereka bermula pada pukul 6.00 pagi?

Apa inisiatif Muhyiddin atau Radzi Jidin untuk membantu?

Kalau sebelum ini, yang mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka di buka semula adalah Muhyiddin Yassin, tapi kali ini, mungkin kerana Muhyiddin sudah tidak tertanggung dengan kecaman yang diterima, maka kali ini beliau mengarahkan Radzi Jidin untuk menjadi 'punching bag'.

Kesimpulannya, tidak ada satu dasar atau perancangan dari Muhyiddin atau dari sekutunya yang mampu melegakan rakyat!!!

Friday, February 19, 2021

Keadaan Malaysia Sudah Semakin Parah, Ekonomi Hancur, Dunia Mula Kecam!!!

|0 comments

Dahulu kita sangat bangga menjadi rakyat Malaysia. 

Ke mana sahaja kita pergi, apabila orang bertanya kita berasal dari negara mana, dengan yakin kita akan mengatakan, saya berasal dari Malaysia.

Jelas terpancar riak cemburu di wajah orang yang bertanya.

Mengapa?

Kerana Malaysia ketika itu terkenal sebagai sebuah negara yang sangat pesat membangun dari sudut ekonomi, sangat stabil dari sudut politik, menjunjung prinsip demokrasi berpalimen dan sangat harmoni kehidupan rakyatnya yang berbilang kaum.

Tetapi sejak Pakatan Harapan mengambil alih, keadaan berubah.

Ekonomi Malaysia menguncup, keyakinan pelabur asing hilang, kadar pengangguran meningkat, perlembagaan negara dicabuli, prinsip demokerasi berparlimen dirobek dan ketegangan antara kaum di Malaysia mula memuncak.

Dari sebuah negara yang mengamalkan dasar luar bersahabat dengan negara asing, Perdana Menteri ke 7, Dr Mahathir, yang terkenal dengan sikap angkuh dan sombong mengamalkan dasar bermusuh dengan negara-negara kuasa ekonomi dunia.

Namun keadaan itu tidaklah seburuk yang Malaysia alami di bawah pemerintahan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Muhyiddin Yassin sekarang ini.

Ekonomi negara hancur, akibat dari kegagalan kerajaan Muhyiddin membawa masuk pelaburan asing dan pengurusan ekonomi yang gagal telah menyebabkan kadar pengangguran meningkat hingga mencecah angka 700,000 orang yang masih gagal mendapatkan perkerjaan atau telah diberhentikan kerja, malah kadar pengangguran dijangka akan mencecah ke angka 1,000,000 orang dalam sedikit masa lagi.


Bloomberg melapurkan, Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi yang PALING PARAH dalam sejarah pada tahun kewangan 2020.


Ketika meletusnya konfrantasi antara Malaysia dan Indonesia antara tahun 1963 hingga 1966, pentadbiran Malaysia pernah dikritik oleh Indonesia dan Filipina kerana salah faham pemimpin mereka terhadap pentadbiran Malaysia.

Indonesia menuduh Malaysia melakukan penjajahan baru bila menggabungkan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Namun kritikan pentadbiran Indonesia itu tidak mendapat perhatian negara-negara lain kerana menyedari penggabungan itu bukanlah satu bentuk penjajahan seperti yang didakwa oleh Presiden Sukarno.

Selepas satu pungutan suara dilakukan oleh Persatuan Bangsa Bangsa Bersatu terhadap penduduk Sabah dan Sarawak yang secara majoriti bersetuju dengan penggabungan itu, keadaan menjadi tenang semula.

Hari ini, pentadbiran Malaysia sekali lagi dikritik oleh pemimpin negara luar, terutamanya dari Asean.

Keadaan ini berbeza dengan konfrantasi Malaysia Indonesia.

Pentadbiran Muhyiddin dikritik kerana telah mencabuli Perlembagaan Malaysia dan merobek sistem Demokrasi Berparlimen Malaysia.

Memalukan, pentadbiran Malaysia sendiri telah dikecam kerana mencabuli perlembagaan negara sendiri.

90 Ahli Parlimen dari 7 negara ASEAN telah mengecam tindakan Muhyiddin yang mengisytiharkan darurat serta menggantung Parlimen.

Mereka juga mendesak supaya Kerajaan Malaysia membenarkan Parlimen bersidang semula secepat mungkin.

Memorandum yang ditandatangani oleh 90 Ahli Parlimen luar negara itu telah diserahkan kepada SPB YDP Agung, Muhyiddin dan Speaker Dewan Rakyat.

Di mana maruah kita sebagai negara yang berdaulat, apabila menerima kecaman kerana tidak menghormati perlembagaan yang kita sendiri rangka, tulis dan junjung selama ini!!!

Yang paling tidak boleh diterima, apabila ianya mengheret Istana Negara dalam onar yang dilakukan oleh Muhyiddin.


Laman blog ini pernah mendedahkan bagaimana Muhyiddin menyorok di dalam Istana Negara demi untuk survivor politik beliau dalam tulisan yang bertajuk Muhyiddin Berselindung Belakang Samping Agung Untuk Ugut Mengugut.

Kalau setakat nama Muhyiddin sahaja yang tercemar, kita tidak kesah kerana beliaulah dan konco-konco beliaulah yang bertanggjungjawab, tetapi kini, disebabkan sikap buruk Muhyiddin, nama baik Raja Raja Melayu serta institusi YDP Agung juga turut tercemar sama kerana yang menandatangani Proklamasi Darurat adalah SPB YDP Agung dan baginda merupakan anggota Majlis Raja Raja Melayu.


Penghujung Februari ini, Majlis Raja Raja Melayu akan bersidang, adalah menjadi harapan kita semua agar Raja Raja Melayu akan membuat keputusan yang TEGAS kerana imej negara di mata dunia MESTI dipulihkan.

Muhyiddin, Azmin dan Hamzah mesti bertanggungjawab atas segala kerosakan yang telah mereka lakukan semata-mata kerana tamak kuasa.



fda

Archives