Monday, November 30, 2020

Berdamai Dengan UMNO, Muhyiddin Sudah Angkat Bendera Putih Atau Sedang Memasang Perangkap Untuk UMNO?

|0 comments

Banyak pihak, terutamanya akar umbi UMNO terkejut, bila Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mendedahkan sebelum Perhimpunan Agung Tahunan 2020 PPBM, beliau telah mengadakan pertemuan 4 mata dan perbincangan dari hati ke hati dengan Presiden UMNO, DS Ahmad Zahid Hamidi.

Lebih mengejutkan lagi bila Muhyiddin mengumumkan dalam pertemuan itu, beliau dan DS Zahid telah BERSETUJU untuk memulihkan hubungan antara UMNO dan PPBM.

Pengumuman Muhyiddin telah segera mendapat pelbagai respon dari berbagai pihak terutamanya dari kepimpinan dan akar umbi UMNO.

Majoriti akar umbi UMNO telah menyatakan keraguan atas kesungguhan dan keikhlasan Muhyiddin dan PPBM untuk memulihkan hubungan antara UMNO dan PPBM.

Bahagian penyelidikan UMNO telah membuat satu 'poll' untuk mendapatkan respon dari akar umbi UMNO mengenai perkara tersebut, dan admin difahamkan, setakat ini lebih 90% akar umbi TIDAK BERSETUJU dan merasa curiga dengan niat PPBM.

Undian tersebut boleh dilakukan di sini.

Mengapa Ahli UMNO Menolak Kerjasama Dengan PPBM?


Tujuan utama Dr Mahathir tubuhkan PPBM adalah untuk membunuh UMNO.

Ianya bukanlah tuduhan tetapi terpancar dengan sangat jelas dalam setiap ucapan dan tindakan Dr Mahathir ketika menerajui PPBM dan juga melalui kenyataan pemimpin-pemimpin PPBM yang lain.


Malah Muhyiddin sendiri dengan angkuhnya mengatakan bahawa tidak mungkin beliau akan kembali kepada UMNO yang telah jatuh ke dalam longkang.

Jadi di manakah rasionalnya untuk kita berkerjasama dengan sebuah parti yang sememangnya ditubuhkan khas untuk membunuh parti kita?

Mungkin Muhyiddin boleh katakan, demi untuk perpaduan masyarakat Melayu Islam, kita lupakan sejarah hitam yang silam, dalam artikata lain, buang yang keruh dan ambil yang jernih seperti di dalam ucapan beliau ketika Perhimpunan Agung Tahunan PPBM.

Tetapi apa yang PPBM lakukan ke atas UMNO dalam Pilihanraya Negeri Sabah menggambarkan sikap angkuh dan besar kepala PPBM terhadap UMNO.


Keangkuhan PPBM jelas kelihatan dalam ucapan yang diberikan oleh Ketua Armada PPBM dalam Perhimpunan Agung Tahunan yang sama pada tahun ini.

Maka tidak hairanlah jika akar umbi menolak dan merasa mual dengan kenyataan Presiden PPBM itu.

PPBM Sedang Memasang Perangkap Untuk UMNO


Ada pendapat yang mengatakan PPBM sebenarnya sedang memasang perangkap kepada UMNO.


Melihatkan keadaan PPBM yang semakin tersepit dengan pengundian Bajet 2021 dan juga tekanan supaya Parlimen melakukan sama ada undi percaya atau undi tidak percaya terhadap Muhyiddin di Parlimen, kenyataan Muhyiddin dilihat sebagai kenyataan seorang desperado yang terdesak untuk mengekalkan kuasa politik beliau dan parti PPBM.

Lebih membimbangkan Muhyiddin, bila Presiden UMNO secara terbuka mahu undi percaya dilakukan dengan segera di Parlimen untuk menguji keabsahan jawatan Perdana Menteri yang disandang oleh Muhyiddin dan juga Kerajaan Perikatan Nasional.

Muhyiddin dan PPBM sedar, walau pun telah melepasi pengundian Bajet 2021 pada pusingan pertama, namun kedudukan mereka belum selamat lagi sekiranya salah seorang dari menteri UMNO mengusulkan undi percaya terhadap beliau.

Dalam ucapan Perhimpunan Agung Tahunan PPBM, Muhyiddin juga mencadangkan supaya Perikatan Nasional menubuhkan Majlis Presiden Perikatan Nasional yang akan diwakili oleh ketua parti dalam gabungan Perikatan Nasional.

Alasan Muhyiddin adalah supaya ketua-ketua parti yang ada di dalam Perikatan Nasional boleh duduk semeja dalam menentukan halatuju Perikatan Nasional.

Apakah benar itu tujuan utamanya?

UMNO bukanlah parti yang berada di dalam gabungan Perikatan Nasional dan pendirian UMNO sangat jelas, iaitu sokongan terhadap Perikatan Nasional hanya terhad hingga PRU 15 sahaja, manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula dipimpin oleh Ketua Menterinya, Hajiji, dan Hajiji adalah ahli PPBM.

Jadi apa tujuan sebenar Muhyiddin?

Sekiranya UMNO bersetuju untuk berada dalam Majlis Presiden Perikatan Nasional, secara tidak langsung, UMNO mesti mengakui PPBM adalah parti tunggak dalam Perikatan Nasional kerana sudah pasti Muhyiddin akan mengangkat dirinya sebagai Pengerusi Majlis Presiden Perikatan Nasional.

Tidak mungkin UMNO akan mendapat agihan kerusi yang lebih banyak dari PPBM dalam PRU 15.

Ini sudah pasti akan semakin melemahkan UMNO selepas PRU 15.

Bukan itu sahaja, kenyataan Dr Mahathir yang bersedia untuk berkerjasama dengan Muhyiddin jelas menunjukkan Muhyiddin dan Dr Mahathir mempunyai agenda yang tersembunyi terhadap UMNO.

Presiden UMNO mesti bertegas dengan pendirian parti sebelum ini.

Marhaen lebih suka sekiranya UMNO dan PAS kembali perkukuhkan Muafakat Nasional.

Muhyiddin dan Perikatan Nasional sudah hampir pasti akan kehilangan kuasa pada PRU 15 dan tiada apa yang perlu dipertahankan lagi.


Majoriti akar umbi UMNO berpendapat, istilah kejujuran dalam bersahabat dan hubungan kerjasama tidak pernah dan tidak akan wujud pada Muhyiddin dan PPBM.

Apa yang ada dalam pemikiran mereka adalah menggunakan apa sahaja dan segala kesempatan yang ada untuk mengekalkan mereka terus berkuasa.

Ambillah iktibar dari apa yang telah mereka lakukan terhadap UMNO selama ini.

Jangan sampai UMNO terjatuh ke dalam lubang yang sama untuk kali kedua!!!

Saturday, November 28, 2020

Lembu Punya Susu, Sapi Main Jauh-Jauh, Jangan Cuba Nak Dapatkan Nama...🤫🤫🤫

|0 comments

Alhamdulillah, akhirnya apa yang DS Najib dan Ahli Parlimen Barisan Nasional perjuangkan untuk rakyat sudah berjaya.

Dalam penggulungan Bajet 2021, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul, mengumumkan kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan moratorium secara automatik kepada golongan B40, manakala untuk golongan M40, mereka akan mendapat moratorium selepas mengemukakan permohonan tanpa memerlukan apa-apa dokumen dan bagi golongan T20 pemberian moratorium akan diberikan selepas pihak bank membuat pertimbangan ke atas permohonan mereka.


Untuk permohonan pengeluaran Akaun 1, semua pencarum KWSP yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1, layak mengeluarkan caruman mereka hingga tahap maksima RM10,000.

Pastinya ini merupakan berita yang sangat-sangat dinantikan oleh rakyat.

Dalam keadaan rakyat benar-benar berada dalam keadaan yang sangat susah sekarang ini, persetujuan kerajaan terhadap 2 perkara utama yang diperjuangkan oleh Ahli Parlimen terutamanya Ahli Parlimen Pekan, DS Najib, pasti akan memberikan nafas kelegaan kepada rakyat untuk meneruskan kehidupan.


Selepas DS Najib memberikan cadangan di Parlimen, ramai cytro dari pembangkang dan tidak kurang juga cytro PPBM yang mengecam DS Najib.


Kecaman lebih hebat diterima DS Najib, apabila secara tegas beliau nyatakan sokongan terhadap Bajet 2021 oleh Ahli Parlimen yang bernaung di bawah BNBBC adalah tertakluk kepada persetujuan kerajaan untuk meluluskan permohonan rakyat untuk melanjutkan moratorium dan pengeluaran KWSP di penghujung perbahasan beliau.


DS Najib dituduh pengkhianat, malah Barisan Nasional disindir dalam Parlimen, syarat yang diberikan itu sebagai syarat penolakan secara halus Puteri Gunung Ledang terhadap peminangan Sultan Melaka.


Inilah wajah-wajah pengkhianat sebenar yang masih lagi cuba menentang Bajet 2021 hingga di saat akhir.

Tapi itu semua DS Najib dan Barisan Nasional terutamanya UMNO hadapi dengan penuh ketenangan dan kematangan kerana meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik.

Tapi akhirnya, berjuang dengan berpaksikan kepentingan rakyat, Muhyiddin tunduk dan akur.

Tahniah dan terima kasih kepada DS Najib dan pejuang-pejuang rakyat dari UMNO/Barisan Nasional.

Jangan pula Muhyiddin dan PPBM cuba 'claim credit' kerana rakyat sekarang sudah terlalu bijak untuk diperbodohkan.

Lembu punya susu, sudah sewajarnya lembu yang dapat nama, sapi pergi main jauh-jauh.



Thursday, November 26, 2020

Percaturan C5 Sebelum Dan Selepas Undian Bajet 2021 Di Parlimen

|0 comments


Hari pengundian Bajet 2021 adalah hari penentuan bagi Kerajaan Perikatan Nasional.

Selepas penggulungan Bajet 2021 oleh Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Zafrul, Ahli Parlimen akan melakukan undian untuk menentukan sama ada secara dasarnya Bajet 2021 akan diluluskan atau ditolak.

Kalau Ahli Parlimen mengundi untuk meluluskan Bajet 2021, maka Muhyiddin dan Kerajaan Perikatan Nasional akan terselamat.


Tapi kalau Ahli Parlimen mengundi untuk menolak, maka akan timbul persoalan :

- Adakah itu bermaksud Kerajaan Perikatan Nasional akan tumbang secara automatik dan secara rasminya kerana telah kehilangan majoriti atau yang terbubar hanyalah barisan kabinet Muhyiddin?

Sebelum kita bincangkan sama ada kumpulan C5 dapat menyelamatkan Muhyiddin dan Kerajaan Perikatan Nasional dari tumbang atau tidak sekiranya Bajet 2021 ditolak, apa kata kita bincangkan dahulu apakah kemungkinan sama ada Bajet 2021 diluluskan atau ditolak.

Muhyiddin dan Perikatan Nasional berhadapan dengan tentangan dari luar dan dari dalam Perikatan Nasional.

Status terkini menunjukkan, Muhyiddin dan Kerajaan Perikatan Nasional hanya mempunyai 113 Ahli Parlimen dan pihak pembangkang mempunyai 107 Ahli Parlimen dari 220 jumlah Ahli Parlimen (selepas terdapat 2 kekosongan kerana kematian Ahli Parlimen Batu Sapi dan Ahli Parlimen Grik) di Dewan Rakyat.

Ini bermakna untuk Bajet 2021 diluluskan, kumpulan C5 perlu memastikan Perikatan Nasional MESTI mendapat undi menyokong dari sekurang-kurangnya 111 Ahli Parlimen.

Perikatan Nasional tidak mempunyai masaalah untuk mendapatkan sokongan dari Ahli Parlimen PPBM, PAS dan parti gabungan yang lain tetapi sokongan dari Ahli Parlimen Barisan Nasional adalah sesuatu yang masih menjadi tandatanya.

Barisan Nasional mempunyai 43 Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.



20 Ahli Parlimen dari Barisan Nasional yang berada dalam kabinet Muhyiddin sudah menyatakan persetujuan untuk menyokong Bajet 2021.

Manakala 23 Ahli Parlimen yang bernaung di bawah BNBBC pula tegas dengan pendirian sekiranya Muhyiddin enggan menunaikan 2 permintaan rakyat, Bajet 2021 tidak akan mereka sokong.

Lebih membimbangkan Muhyiddin dan kumpulan C5 ialah 2 Ahli Parlimen dari Barisan Nasional, Ahli Parlimen Gua Musang dan Ahli Parlimen Padang Rengas telah menyatakan secara tegas dan terbuka tidak akan menyokong Bajet 2021.

Ini bermakna sekali pun Muhyiddin bersetuju untuk tunaikan permintaan rakyat, Bajet 2021 dapat diluluskan dengan hanya 1 majoriti.

Tetapi sekiranya Muhyiddin tetap dengan ego beliau untuk menolak kehendak rakyat yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional, maka Bajet 2021 akan ditolak.

Apa strategi kumpulan C5 untuk menampung undi 23 Ahli Parlimen itu?

Gerakan sudah dibuat supaya Pejuang yang mempunyai 4 Ahli Parlimen menyokong Bajet 2021 dan dari sumber mengatakan Muhyiddin menawarkan Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir, sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kumpulan C5 juga dikatakan sudah memulakan rundingan dengan beberapa orang Ahli Parlimen PKR dan DAP untuk mendapatkan lagi sokongan dari sekurang-kurangnya 19 Ahli Parlimen.

Sekiranya ini berlaku, soalan admin kepada Ahli Parlimen PAS, ke manakah perginya prinsip No Anwar dan No DAP?

Sama ada Bajet 2021 lulus atau tidak, kumpulan C5 tahu, Kerajaan Perikatan Nasional adalah kerajaan yang sangat rapuh.

Cepat atau lambat, Muhyiddin akan terpaksa bubarkan parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15.


Dengan menggunakan agensi kerajaan, kumpulan C5 telah memulakan propaganda mereka.

Fikiran rakyat sedang diracuni supaya menyalahkan Barisan Nasional sekiranya Bajet 2021 tidak diluluskan.

Masej Perikatan Nasional adalah parti yang prihatin rakyat sedang ditanamkan dalam fikiran rakyat, walau pun hakikatnya Perikatan Nasional lah yang enggan memenuhi kehendak rakyat sehingga Ahli Parlimen Barisan Nasional menolak Bajet 2021.


Ketika rakyat dalam kesempitan, duit rakyat digunakan untuk memperbanyakkan cawangan dan bahagian PPBM.


Akar umbi PPBM 'dirasuah' supaya mereka bertungkus lumus mencari ahli baru PPBM.

Sama ada benar atau tidak, sumber mengatakan, angka-angka kes jangkitan baharu Covid-19 dimanupulasi untuk memberitahu rakyat bahawa PRU 15 TIDAK BOLEH diadakan dalam jangka waktu terdekat.

Sama ada ianya benar atau tidak, namun C5 dilihat mempunyai motif untuk melakukannya.

Pertama supaya rakyat marah kepada Barisan Nasional dan beranggapan Ahli Parlimen Barisan Nasional tergamak merisikokan nyawa rakyat untuk kepentingan politik dengan enggan menyokong Bajet 2021 yang membawa kepada PRU 15 ketika jangkitan baharu Covid-19 sedang memuncak.

Kedua dapat menekan SPB YDP Agung supaya mengisytihar darurat kesihatan dan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Interim dalam kerajaan sementara.

Ini bukan sahaja akan memanjangkan hayat politik PPBM, malah Muhyiddin mempunyai masa yang cukup untuk membisukan mulut beberapa pemimpin UMNO dengan menyumbat mereka ke dalam penjara dan sudah pasti sasaran utamanya ialah DS Najib.

Namun admin percaya, rakyat sudah bijak dan tidak bertindak mengikut emosi.

Belajarlah dari kesilapan yang telah dilakukan dalam PRU 14 yang lepas.

Monday, November 23, 2020

Apakah Geng C5 Dari PAS Tidak Sayang Parti Dan Penyokong Mereka?

|0 comments

Ketaatan ahli PAS kepada pemimpin mereka bukan sahaja digeruni lawan, malah dicemburui  kawan politik PAS.

Telah berkali-kali ahli PAS diuji kesetiaan mereka terhadap pemimpin dan parti.

Sebagai parti yang berwajahkan perjuangan untuk mengangkat kepimpinan Islam di Malaysia, antara dugaan yang terbesar dihadapi oleh ahli dan penyokong PAS ialah ketika pemimpin mereka membuat keputusan untuk berkerjasama dengan parti cauvanis DAP.

Walau pun ianya adalah satu keputusan yang mendapat kritikan hebat dari seteru politik PAS ketika itu, namun atas sikap taat kepada pemimpin, penyokong dan ahli PAS terpaksa menelan juga apa yang telah dihidangkan oleh pemimpin PAS kepada mereka ketika itu.


Selepas terputusnya hubungan kerjasama politik antara PAS dan DAP, sekali lagi ahli PAS diuji ketaatan terhadap pemimpin dan parti PAS bila pemimpin PAS memutuskan untuk menjalankan kerjasama politik dengan UMNO.

Benar, ini bukan kali pertama UMNO dan PAS menjalinkan kerjasama politik.

Tetapi kerjasama antara UMNO dan PAS kali kedua ini amat berbeza keadaannya dengan cabaran yang dihadapi sewaktu ingin menjalankan kerjasama antara UMNO dan PAS kali pertama dahulu dalam Barisan Nasional dari dari 1970 hingga 1978.

Ketika itu kecurigaan dan perselisihan antara satu sama lain di kalangan pemimpin dan ahli UMNO dan PAS yang wujud sejak tahun 1951 masih lagi belum mendalam.

Tetapi selepas berlakunya pergeseran antara UMNO dan PAS selepas PRU 1978, untuk membentuk semula sebuah kerjasama antara UMNO dan PAS yang dimeteraikan pada tahun 2019, bukanlah satu perkara yang mudah.

Keputusan yang dibuat oleh pemimpin PAS ketika itu terlalu pahit untuk ditelan oleh ahli dan penyokong PAS.

Kerana walau pun antara UMNO dan PAS mempunyai latarbelakang yang sama dari sudut ugama dan bangsa, tetapi persengketaan yang telah berlanjutan hingga melebihi 4 dekad telah meninggalkan luka yang amat mendalam di kalangan kedua-dua ahli dan penyokong UMNO dan PAS.

Namun, kerana taatkan pemimpin dan sayangkan kepada perjuangan parti yang berslogan kepimpinan ulama, ahli dan penyokong PAS tetap akur, malah memberikan sokongan dan dokongan sepenuhnya keputusan pemimpin mereka.

Inilah keistimewaan ahli dan penyokong PAS dan inilah kekuatan parti PAS dan inilah juga yang dicemburui oleh sekutu politik PAS dan digeruni oleh seteru politik PAS.


Kini akibat dari kepentingan politik pemimpin tertentu dari UMNO dan PAS, hubungan antara UMNO dan PAS sekali diuji.

Kalau dalam UMNO, kelompok yang diketuai oleh Hishamuddin dan Annuar Musa telah menimbulkan keresahan ahli dan penyokong UMNO, dari pihak PAS pula, kelompok yang diketuai oleh Takiyudin dilihat mempunyai agenda peribadi sedang berusaha untuk mencapai matlamat mereka dengan menggunakan kekuatan akar umbi parti.

Kalau akar umbi PAS taat kepada keputusan kepimpinan tertinggi parti, Takiyudin pula dilihat sangat mentaati percaturan dan arahan yang dibuat oleh Hamzah Zainuddin dan Azmin dengan restu Ainon dan Muhyiddin.

Tindakan serta kenyataan Takiyuddin kini dilihat lebih mentaati perintah Hamzah dan Azmin serta PPBM dari kesetiaan beliau kepada perjuangan parti.

Admin merasa hairan, bagaimana seorang yang bijak seperti Takiyudin boelh tersasar perjuangan beliau.

Apakah Takiyudin tidak mengambil pengajaran dari apa yang telah berlaku dalam Pilihanraya Negeri Sabah 2020?

Walau pun akar umbi PAS digunakan dan dikerahkan untuk turun padang dalam kempen Pilihanraya Negeri Sabah, namun PAS langsung tidak diberikan peluang untuk meletakkan walau pun seorang calun untuk Pilihanraya Negeri Sabah?

Apakah Takiyudin masih lagi tidak sedar sebenarnya PPBM sedang menggunakan beliau demi untuk survivor politik PPBM untuk menghadapi PRU 15 nanti.

Takiyudin adalah akses bagi PPBM untuk menggunakan kekuatan akar umbi dan jentera pilihanraya PAS bagi menghadapi PRU 15.

Bukan menjadi satu rahsia, PPBM adalah sebuah parti yang sangat rapuh di peringkat akar umbi.

Walau pun sudah menjadi kerajaan dan pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri selama 31 bulan (22 bulan ketika Pakatan Harapan dan 9 bulan ketika Perikatan Nasional), namun PPBM masih gagal menyusun dan memperkasakan parti mereka di peringkat akar umbi.


Malah pengasas PPBM Pagoh yang sepatutnya menjadi kubi kuat kerana ianya merupakan parlimen kepada Presiden PPBM dan menjadi Perdana Menteri sekarang ini juga bergolak.

Walau pun impian awal PPBM adalah untuk memperkudakan akar umbi dan jentera pilihanraya UMNO, namun seperti yang admin nyatakan, ketaatan ahli dan akar umbi UMNO kepada pemimpin mereka tidak sama seperti ahli dan akar umbi PAS.

Ahli dan akar umbi UMNO akan bangkit menentang dan membuat kritikan terbuka keputusan kepimpinan tertinggi parti sekiranya mendapati keputusan tersebut bertentangan dengan prinsip perjuangan parti.

PPBM juga melihat PAS sebagai sebuah parti yang tidak akan mampu menggugat kedudukan mereka sebagai parti dominan dalam Perikatan Nasional kerana  PPBM tahu sejak pilihanraya umum yang pertama pada 1955 hingga PRU 14, jumlah Ahli Parlimen PAS tidak pernah melebihi 10% dari jumlah keseluruhan Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

Bukan tujuan admin untuk memperkecilkan pencapaian PAS dalam pilihanraya umum tetapi itulah hakikatnya.

Mungkin PAS mempunyai strategi yang berbeza dengan UMNO yang mempunyai majoriti Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

Mungkin PAS lebih menumpukan untuk menguasai kerajaan negeri, maka sebab itulah kita lihat jentera pilihanraya PAS sangat tersusun di peringkat akar umbi.

Dalam 7 pilihanraya kecil, PPBM telah menyaksikan bagaimana akar umbi dan jentera pilihanraya PAS bersungguh-sungguh membantu kemenangan calun Muafakat Nasional, walau pun ianya bukan dari PAS.

Itulah yang sangat-sangat diperlukan oleh PPBM dalam PRU 15 nanti dan Takiyuddin adalah anak kuncinya.

Seperti yang PPBM lakukan terhadap UMNO dalam Pilihanraya Negeri Sabah yang lepas, perkara yang sama juga akan dilakukan kepada PAS nanti.

Untuk mengaburi pemimpin dan penyokong PAS, parti PAS akan diberikan lebih banyak kerusi untuk diletakkan calun tetapi kerusi parlimen yang diagihkan kepada PAS nanti adalah kerusi-kerusi panas yang tidak ada harapan untuk menang.

Calun PAS akan diletakkan untuk menentang calun dari DAP atau PKR di kubu kuat DAP atau PKR dengan majoriti pengundi adalah Cina atau India.

Untuk rekod, Perikatan Nasional tidak ada parti yang berasaskan kaum Cina atau pun India di dalam gabungan mereka.

Kalau pun ada, cuma PPBM bercadang untuk membuka pintu kepada kaum Cina dan India dalam parti mereka.

Manakala kawasan selamat akan diletakkan calun PPBM supaya kemenangan dapat dipastikan.

Apakah admin lontarkan ini bukanlah sekadar persepsi tetapi ianya adalah realiti yang telah dilakukan oleh PPBM kepada UMNO.

Atas semangat Muafakat Nasional, admin yakin, inilah masej yang cuba pemimpin-pemimpin UMNO sampaikan kepada pemimpin-pemimpin PAS, terutamanya Takiyudin dan kumpulannya.

Kalau parti sebesar UMNO pun berani PPBM perbodohkan, fikirkanlah sendiri apa yang akan PPBM lakukan terhadap PAS.

Sekali lagi admin tegaskan, bukan tujuan admin untuk memperlekehkan pemimpin dan pendokong parti PAS, namun atas semangat Muafakat Nasional, kita tidak mahu perkara yang sama telah dilakukan oleh PPBM kepada UMNO akan dilakukan pula kepada PAS.

Ibarat cubit peha kiri, peha kanan pasti akan merasakan kesakitannya juga.

Fikir-fikirkanlah.

Namun, ianya terpulang kepada pemimpin dan pendokong PAS.

Saturday, November 21, 2020

Konspirasi Jahat Muhyiddin, DAP Dan Dr Mahathir Terdedah Dalam Video Klip 1MDB Al Jazeera

|0 comments

17 November lepas, Al Jazeera siarkan 2 siri video dokumentari yang bertajuk Jho Low : Hunt For A Fugitive (Part 1) Featured Documentary dan Jho Low : Hunt For A Fugitive (Part 2) Featured Documentary.

Admin tak berminat untuk mengupas tentang dokumentari tersebut tapi apa yang mahu admin bincangkan ialah mengapa secara tiba-tiba dokumentari itu disiarkan sekarang dan siapakah sebenarnya di belakang penerbitan dokumentari tersebut.

Mengapa Perlu Di Siarkan Sekarang Dan Siapakah Di Belakang Permainan Yang Menjijikkan Ini?


Muhyiddin dan Perikatan Nasional mengalami defisit kepercayaan dan sokongan rakyat yang sangat serius, jauh lebih serius dari defisit Belanjawan 2021...😂😂😂

Malah pemimpin dunia pun dikatakan masih lagi belum mengoktiraf Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ini bukan persepsi tetapi realiti.

Kedudukaan Muhyiddin dan Perikatan Nasional semakin nazak selepas pembentangan Belanjawan 2021.

Muncullah dalam media apa pun, sama ada media elektronik perdana atau sosial media.

Rakyat akan balun dan memberikan komen kecaman terhadap Muhyiddin.

Walau pun berada di blok yang sama, ketegasan UMNO kebelakangan ini yang sebelumnya dilihat seolah-olah berdiam diri bila diperkotak-katikkan oleh Muhyiddin dan PPBM amat membimbangkan Muhyiddin dan PPBM.


Populariti Barisan Nasional pula melonjak naik bila Pengerusi BNBBC, DS Najib, membawakan suara rakyat ke Parlimen dalam perbahasan Belanjawan 2021 lebih mencemaskan PPBM yang sebelum ini berhadapan kemungkinan akan menjadi kerajaan memerintah yang pertama akan ditolak bajetnya.

Sebagaimana Muhyiddin dan PPBM cuba untuk mengelakkan perbahasan dan pengundian Bajet 2021 tetapi akhirnya berlaku juga, maka perkara yang sama akan berlaku pada PRU 15.

Suka atau tidak, bersedia atau tidak, Muhyiddin dan PPBM terpaksa menerima hakikat bahawa PRU 15 terpaksa juga diadakan sebaik sahaja masaalah Covid-19 dapat ditangani dan ianya dijangkakan selewat-lewatnya pada pertengahan tahun hadapan.


Malah Pengerusi Barisan Nasional, DS Zahid, telah memberikan gambaran yang sangat jelas mengenai perkara ini.

Manakala sayap PPBM, Armada, pula bukan sahaja tidak membantu, malah membuatkan rakyat semakin meluat kepada PPBM.


Ketua Armada PPBM, yang dikenali sebagai Wak Jargon, telah berkali-kali mengeluarkan kenyataan pra-matang sebagai ahli politik muda, malah memperlekehkan sendiri taraf beliau sebagai Timbalan Menteri.


Sekiranya PRU 15 diadakan sekarang, ramai pemerhati politik berpendapat, kemenangan adalah mustahil tetapi kekalahan adalah sesuatu yang pasti untuk PPBM, kecuali Emir Research yang jelas sedaya upaya cuba menaikkan semula populariti Muhyiddin.

Satu-satunya pilihan yang berada dalam fikiran Muhyiddin ialah menyerang Barisan Nasional dan kembali bersekutu dengan DAP dan PKR.

Sebab itulah Muhyiddin cuba mewujudkan satu gabungan besar dalam Perikatan Nasional supaya PPBM akan terus menjadi kuasa penentu dalam gabungan baru antara Perikatan Nasional, DAP dan PKR.

Satu-satunya gabungan parti politik yang mampu menggugat rancangan untuk menubuhkan 'grand coalition' ciptaan Muhyiddin dan PPBM ialah Barisan Nasional.

Maka populariti Barisan Nasional mestilah dimusnahkan dan tunggak kepada populariti Barisan Nasional, DS Najib, mestilah dimusnahkan terlebih dahulu.

Caranya, meniupkan semula kemarahan rakyat kepada DS Najib dan mempopularkan semula label kleptokrasi seperti yang pernah Pakatan Harapan lakukan sebelum PRU 14 lalu.

Sekarang rakyat sudah tidak mempercayai Sarawak Report yang sangat manja dan mesra dengan Dr Mahathir.

Portal Sarawak Report sudah tiada nilainya di sisi Muhyiddin.


Kalau kita masih ingat, di awal kejatuhan Barisan Nasional, wartawan Al Jazeera jelas telah menyalahi etika kewartawanan untuk mengaibkan DS Najib sehingga membuatkan DS Najib meninggalkan wawancara tersebut dan video klip itu telah cuba digunakan sebagai senjata untuk melenyapkan terus karier politik DS Najib.

Dengan beranggapan dan berharap rakyat masih lagi mempercayai kredibiliti Al Jazeera, maka isu 1MDB diputarkan sekali lagi sebagai persiapan awal mengahadapi PRU 15, dengan harapan akan sekali lagi menimbulkan kemarahan rakyat terhadap DS Najib dan Barisan Nasional.

'Timing' yang digunakan oleh Pakatan Harapan ketika menyebarkan fitnah 1MDB adalah ketika kehidupan rakyat berada dalam keadaan sukar akibat tekanan ekonomi dunia dan strategi yang sama digunakan oleh Muhyiddin dan PPBM, ketika kehidupan rakyat berada dalam keadaan yang sukar akibat pandemik Covid-19, maka ketika inilah mereka menyebarkan racun fitnah mereka supaya rakyat akan terfikir, sekiranya tidak berlaku 'penyelewengan' 1MDB, pasti Muhyiddin dan Perikatan Nasional mempunyai dana yang lebih besar untuk menolong rakyat.

Telah tersebar, Muhyiddin dan mentornya, Dr Mahathir, telah merancang untuk menyumbatkan DS Najib ke dalam penjara sebelum PRU 15.

Penyebaran video klip ini juga dilihat bertujuan untuk mempengaruhi mahkamah dalam keputusan kes 1MDB yang akan dihadapi oleh DS Najib.

Bagi Muhyiddin dan PPBM, walau apa cara sekali pun, DS Najib mesti 'dibisukan' sebelum PRU 15 kerana telah terbukti kekuatan populariti DS Najib mampu mempengaruhi keputusan di 7 pilahanraya kecil dan 1 pilihanraya negeri.

Namun ramai yang percaya, Muhyiddin dan PPBM sendirian tidak akan mampu menjayakan konspirasi yang besar begini.

Jadi siapakah sebenarnya?

Tontonlah video tersebut dan imbaskan kembali, siapakah perancang utama fitnah 1MDB, maka itulah orang yang sama yang cuba menggunakan strategi yang sama buat kali kedua.

Namun mereka terlupa, bahawa rakyat sudah serik ditipu kali pertama dahulu dan yang paling utama, mereka lupa, bukan manusia sahaja merancang, tetapi Allah SWT juga merancang dan perancangan Allah SWT pasti akan mengatasi segala perancangan makhlukNya.

Dan itulah yang sedang berlaku sekarang ini, jadi, bersihkanlah politik tanah air kita kerana p[olitik tidak kotor seperti tanggapan kebanyakan orang tetapi ahli politiklah yang mengotorkan dunia politik sehingga rakyat menjadi bosan.

Kalau sudah tidak mampu mentadbir dengan cara yang bermaruah, kembalikan mandat kepada rakyat supaya rakyat boleh memilih pemimpin lain untuk mentadbir negara yang tercinta ini.

Thursday, November 19, 2020

Talkin Untuk Perikatan Nasional Akan Di Bacakan Pada 25 Disember 2020

|0 comments

25 November ini, Bajet 2021 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul dijangka akan diundi buat kali pertama di Parlimen.

Adakah tarikh 25 November 2020 akan menjadi mimpi ngeri buat Muhyiddin dan barisan kebinet beliau di dalam Perikatan Nasional?

Adakah tarikh 25 November 2020 ini akan menjadi hari berkuburnya Kerajaan Perikatan Nasional dan mencatatkan sejarah dalam dunia politik negara sebagai kerajaan yang hanya mempunyai jangkahayat hanya selama 9 bulan sahaja?

Kalau sebelum ini Pakatan Harapan memegang rekod dengan menjadi kerajaan hanya selama 22 bulan, nampaknya rekod itu akan dapat dipecahkan oleh Perikatan Nasional dengan hanya berkuasa selama 9 bulan sahaja.

Kalau mengikut perkembangan semasa dan melalui kenyataan-kenyataan beberapa pemimpin politik, berkemungkinan besar mimpi ngeri Perikatan Nasional akan menjadi kenyataan.


Pengerusi BNBBC, DS Najib, secara tegas telah menyatakan sokongan Ahli PArlimen kepada Bajet 2021 adalah sokongan bersyarat.

Apakah syarat yang dikenakan oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk menyokong Bajet 2021?

Pertama, Perikatan Nasional mesti meluluskan permintaan untuk pencarum KWSP mengeluarkan secara 'one off' dari Akaun 1 mereka sebanyak RM10,000.

Kedua, Perikatan Nasional mesti meluluskan pemberian moratorium pinjaman bank secara automatik kepada peminjam untuk tempuh 6 bulan mulai dari bulan Januari 2021.

Mengapa Basrisan Nasional mengenakan syarat?

Sebenarnya itulah kehendak rakyat dan bukannya kerana Barisan Nasional mahu menjadi popular tetapi memang itulah tugas wakil rakyat yang sudah lama dilupakan oleh kebanyakan Ahli Parlimen, membawa suara rakyat dan membantu rakyat ketika dalam kesusahan seperti yang sedang rakyat hadapi sekarang ini.

Apakah syarat Barisan Nasional ini akan membebankan kerajaan atau akan menambah jumlah defisit perbelanjaan kerajaan dalam Bajet 2021?

Tidak, kerana yang akan dikeluarkan adalah duit simpanan pencarum dan bukannya dari dana kerajaan dan moratorium yang diminta pula tidak akan menghapuskan hutang peminjam kepada bank tetapi cuma akan menangguhkan pungutan hutang.

Apakah bank akan terbeban dengan moratorium yang diminta?

Ya, tetapi kesannya sangat sedikit.

Dalam keadaan dunia menghadapi pandemik Covid-19, dalam keadaan ratusan ribu rakyat kehilangan punca pendapatan, walau pun diakui keuntungan pihak bank merosot namun pihak bank masih lagi mampu menjana keuntungan berbilion ringgit.

Tetapi ramai di kalangan rakyat yang bukan sahaja kehilangan perkerjaan, malah ada yang kereta dan rumah mereka sudah ditarik kerana gagal membayar balik pinjaman.

Kalau pihak bank mengeluh tentang penurunan keuntungan mereka tetapi rakyat kini sedang mengeluh untuk meneruskan kehidupan seharian mereka.

Jadi, 2 syarat berkenaan bukanlah syarat dari DS Najib dan Ahli Parlimen Barisan Nasional sahaja tetapi 2 syarat berkenaan adalah suara rakyat!!!

Tanpa sokongan dari Ahli Parlimen Barisan Nasional atau mungkin sebahagian sahaja dari Ahli Parlimen Barisan Nasional, Bajet 2021 pasti tidak akan lulus.


Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, menyatakan dalam perbahasan beliau bahawa Pakatan Harapan hanya akan menyokong Bajet 2021 sekiranya bajet tersebut lebih fokus kepada bajet Covid-19.

Pakatan Harapan merasakan melalui bajet yang telah dibentangkan oleh Senator Tengku Zafrul menunjukkan kerajaan tidak berapa serius dalam menangani pandemik Covid-19.

Ini adalah kerana peruntukan untuk kesihatan dalam menangani Covid-19 adalah tidak mencukupi, malah peruntukan kesihatan untuk beberapa penyakit kronik yang lain telah dikurangkan dan dipindahkan untuk perbelanjaan pengurusan dan pentadbiran.


Dalam perkembangan yang lain, Presiden PAN, Mohamad Sabu, telah mengumumkan kesemua Ahli Parlimen PAN akan menolak Bajet 2021.

Mohamad Sabu menyatakan, pendirian PAN itu adalah selari dengan pendirian Pakatan Harapan untuk menolak Bajet 2021.

Tanpa sokongan dari Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, Muhyiddin dan Perikatan Nasional hanya akan akan berharap kepada sokongan Ahli Parlimen PPBM, PAS dan PBS.

Walau pun ada usaha untuk memujuk Ahli Parlimen Bebas terutamanya dari Pejuang, namun ianya masih tidak mencukupi malah masih jauh lagi untuk meluluskan Bajet 2021.


Sentimen yang cuba dimainkan oleh Perikatan Nasional ialah sekiranya Bajet 2021 tidak lulus, maka penjawat awam terutamanya petugas barisan hadapan Covid-19 tidak akan mendapat gaji.

Walau pun Tengku Zafrul bukan ahli politik tetapi kenyataan yang dikeluarkan oleh Tengku Zafrul itu ternyata bersifat politik.

Sangat jelas, kenyataan beliau hanyalah bertujuan supaya rakyat mendesak Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong Bajet 2021.

Admin tidak tahu sama ada Tengku Zafrul hanya mengikut skrip yang disediakan atau beliau membuat kenyataan tanpa merujuk kepada Perlembagaan.

Walau pun Bajet 2021 tidak diluluskan, namun parlimen masih mempunyai pilihan untuk meluluskan bajet terpilih seperti perbelanjaan untuk gaji kakitangan awam termasuk petugas barisan hadapan Covid-19.

Tidak akan mendatangkan mudarat besar kepada negara sekiranya Parlimen menolak Bajet 2021.

Yang akan mendapat mudarat besar ialah Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Muhyiddin serta menteri-menteri beliau.

Penolakan Bajet 2021 bererti Perikatan Nasional dan Muhyiddin sudah kehilangan majoriti di dalam Parlimen dan beliau sudah tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Apabila Perikatan Nasional dan Perdana Menteri hilang kelayakan, maka secara automatik, barisan menteri beliau juga akan hilang kelayakan.

Muhyiddin perlu memaklumkan kepada SPB YDP Agong mengenai perkara itu dan terpulang kepada SPB YDP Agong sama ada untuk memulakan proses seperti perlantikan Muhyiddin dahulu atau membubarkan Parlimen tetapi dalam masa yang sama menangguhkan PRU 15 sehingga masaalah Covid-19 dapat ditangani.

Maka talkin akan dibacakan kepada Perikatan Nasional dan barisan kabinet mereka, manakala jenazah Perikatan Nasional pula akan dikebumikan di perkarangan Parlimen pada 25 November 2020 ini.

Rest In Peace.


Walau pun arwah banyak menyakitkan hati namun adalah juga jasa mereka kepada kita, muga damai di sana.

Tuesday, November 17, 2020

Akhirnya Demi Survivor Politik, Muhyiddin Benarkan Pengeluaran KWSP, Terima Kasih Bossku, Terima Kasih BN

|0 comments

Akhirnya, setelah mendapat tekanan dari rakyat dan berhadapan kemungkinan akan dimalukan di Parlimen ketika undian Bajet 2021 pada 25 November 2021 nanti, Muhyiddin terpaksa akur dengan membenarkan pencarum mengeluarkan sebahagian dari simpanan mereka dari Akaun 1 KWSP.


Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh KWSP, kerajaan melalui i-Sinar, membenarkan pencarum untuk mengeluarkan sebahagian dari simpanan mereka dari Akaun 1 KWSP.

Tetapi jangan terlalu gembira kerana melalui i-Sinar, ada beberapa syarat yang dikenakan untuk pencarum mengeluarkan duit simpanan mereka dalam KWSP.


Pencarum hanya dibenarkan untuk mengeluarkan sebanyak 10% dari jumlah simpanan mereka di dalam Akaun 1 KWSP.

Bagi pencarum yang mempunyai simpanan sebanyak RM90,000 ke bawah, had maksima yang dibenarkan adalah RM9,000 sahaja dengan bayaran pertama akan diberikan sebanyak RM4,000 manakala bakinya akan dibayar secara berperingkat.

Bagi pencarum yang mempunyai baki simpanan melebihi RM90,000, mereka juga dibenarkan untuk membuat pengeluaran sebanyak 10% tetapi tidak melebihi RM60,000 dari jumlah simpanan mereka di dalam Akaun 1 KWSP.

Pengeluaran pertama bagi golongan ini adalah sebanyak RM10,000 manakala bakinya akan dibuat secara berperingkat.

Hanya ahli yang telah kehilangan perkerjaan, hilang punca pendapatan dan diarahkan untuk bercuti tanpa gaji sahaja yang akan dibenarkan untuk membuat pengeluaran.

Dan syarat terakhir ialah pencarum WAJIB menggantikan semula amaun yang telah dikeluarkan dari Akaun 1 dengan membuat caruman 100% ke dalam Akaun 1 untuk menggantikan jumlah duit yang telah dikeluarkan melalui i-Sinar.

Dalam artikata lain, selepas ini semua caruman akan dimasukkan ke dalam Akaun 1 untuk menggantikan semula amaun yang telah dikeluarkan melalui i-Sinar sehingga cukup jumlahnya, barulah caruman dari pencarum akan dimasukkan ke dalam Akaun 2 pencarum.

Kita menyambut baik pengumuman ini, namun ada beberapa golongan yang nampaknya akan terlepas peluang untuk mengeluarkan caruman KWSP melalui i-Sinar.

Dalam Facebook DS Najib, beliau persoalkan, bagaimana pula dengan nasib golongan yang pendapatan mereka sudah merosot tetapi tidak diberhentikan dari kerja?

Dan bagaimana pula golongan yang mempunyai simpanan dalam KWSP tetapi kini telah berkerja sendiri seperti membuka warung dan gerai, tetapi tidak membuat caruman dan sekarang mereka telah kehilangan punca pendapatan, apakah mereka juga layak?

Dari 4.7 juta pencarum yang dibenarkan mengeluarkan caruman melalui i-Lestari, kini melalui i-Sinar, cuma kira-kira 2 juta sahaja yang akan dibenarkan, apakah nasib 2.7 juta pencarum itu?

Bagi admin, sangat jelas, Muhyiddin memberikan persetujuan bukanlah kerana memikirkan keadaan hidup rakyat yang sangat tertekan sekarang ini tetapi kerana memikirkan tentang survivor politik beliau.

Beliau mengharapkan, dengan membenarkan pengeluaran KWSP melalui i-Sinar, Bajet 2021 akan dapat diluluskan Parlimen dan sokongan rakyat terhadap beliau akan melonjak kembali.

Namun satu perkara yang beliau lupa, rakyat tidaklah sebodoh yang beliau sangkakan.

Sunday, November 15, 2020

Ucapan MP Pasir Mas Adalah Petanda Awal PAS Mengkhianati UMNO Dalam Muafakat Nasional

|0 comments

Ke manakha hala tuju dan apakah kesudahannya Muafakat Nasional, sebuah gabungan antara 2 parti Melayu Islam terbesar di Malaysia yang diharapkan dapat membentuk sebuah kerajaan yang berteraskan Melayu Islam demi untuk membela nasib agama, bangsa dan tanah air tercinta ini tanpa menidakkan hak agama dan bangsa lain di Malaysia.


Didirikan dengan doa dan air mata para penyokong dan pemimpin UMNO dan PAS.


Ditegakkan dengan mengenepikan ego serta pertelingkahan yang sudah berlarutan sehingga lebih dari 6 dekad antara penyokong dan pemimpin UMNO dan PAS.

Ketika panji-panji Muafakat Nasional dikibarkan dalam 6 pilihanraya kecil, seteru-seteru politik serta seteru-seteru Melayu Islam tidak dapat menafikan mereka melangkah ke medan peperangan dengan perasaan yang sangat gentar.

Bagi mereka, menentang Muafakat Nasional di dalam pilihanraya kecil, hanya 2 keadaan yang PASTI akan mereka alami, kalah adalah pasti tetapi menang adalah sangat mustahil.

Tetapi kini kekuatan Muafakat Nasional sudah semakin hari semakin lemah, kemesraan antara penyokong dan pemimpin yang bernaung di bawah panji Muafakat Nasional semakin hari semakin renggang.

Mengapa dan di mana silapnya?

Semua orang tahu, Dr Mahathir mempunyai satu masaalah yang besar.

Bila mendapat kuasa, beliau akan menjadi seorang manusia yang rakus dan tamak.

Mungkir janji adalah permainan biasa dalam diari hidup manusia yang bernama Dr Mahathir.

Kalau ada desakan atau tekanan untuk beliau meletak jawatan, beliau akan bertukar menjadi seorang yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan jawatan dan kuasa beliau.

Tidak mungkin beliau akan berundur atau menyerahkan kuasa yang ada pada beliau dalam tempuh yang singkat, apa lagi kalau meletak jawatan tanpa sebab.


Tetapi semua orang terkejut apabila secara tiba-tiba, Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri yang ke 7 dan juga sebagai Pengerusi PPBM selepas berlakunya Langkah Sheraton.

Apakah ketika itu Dr Mahathir sudah hilang pengaruh dalam PPBM?

Tidak, buktinya kekuatan PPBM berpecah dua bila Muhyiddin mengumumkan keahlian Dr Mahathir sebagai ahli PPBM 'terhenti secara automatik' bila Dr Mahathir dan beberapa Ahli Parlimen dari PPBM membuat keputusan untuk tidak duduk bersama-sama barisan Ahli Parlimen kerajaan di dalam Dewan Rakyat.

Apakah ketika itu sokongan Ahli Parlimen Pakatan Harapan terhadap Dr Mahathir sudah hilang?

Tidak, dalilnya sehari sebelum Langkah Sheraton, walau pun ada tekanan ketika dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan supaya Dr Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim tetapi akhirnya mereka bersetuju supaya untuk tidak lagi menekan Dr Mahathir dan memberikan ruang untuk Dr Mahathir sendiri menentukan bila beliau akan melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Anwar tetapi ianya hendaklah dilakukan sebelum PRU 15 diumumkan.

Di ringkaskan cerita, selepas Dr Mahathir meletak jawatan, tiba-tiba ada persetujuan dari Ahli Parlimen untuk mencadangkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke 8 apabila mengadap SPB YDP Agong.


Siapakah yang mengatur semua ini, siapakah yang mempengaruhi Ahli Parlimen UMNO dan PAS supaya memberikan sokongan kepada Muhyiddin walau pun ketika itu PPBM hanya mempunyai 26 Ahli Parlimen dari 112 kerusi Ahli Parlimen yang diperlukan untuk membentuk sebuah kerajaan dengan majoriti mudah!!!

Sebenarnya, itulah permulaan serangan kepada Muafakat Nasional tetapi diraikan oleh penyokong dan pemimpin Muafakat Nasional dengan penuh kegembiraan kerana tidak menyedari di sebalik umpan yang diberikan itu, tersembunyi kail berduri yang cukup berbisa.

Kalau sebelum ini Muafakat Nasional hanya mampu diserang dari luar dan ianya ternyata tidak berkesan, malah dengan sokongan rakyat jelata, semakin kuat Muafakat Nasional diserang dari luar, semakin kukuh sokongan rakyat terhadap Muafakat Nasional.

Saidina Ali r.a. pernah memberi amaran, kebathilan atau kejahatan yang terancang pasti akan dapat menumbangkan kebenaran atau kebaikan yang lemah.

Julius Ceasar pula pernah mengatakan sebuah empayer yang besar tidak akan mampu dimusnahkan dengan serangan dari luar tetapi pasti akan runtuh apabila berlaku serangan dari dalam empayer tersebut.

Itulah yang sedang berlaku kepada Muafakat Nasional sekarang ini.

Musuh yang dulu kita kenali kini bersekutu malah dilantik menjadi pemimpin dan pemain watak utama dalam menentukan hala tuju Muafakat Nasional.


Dengan bermodalkan sedikit jawatan dan kuasa, pemimpin-pemimpin Muafakat Nasional telah melupakan asas sebenar perjuangan, malah mengenepikan harapan dan kebimbangan penyokong Muafakat Nasional yang telah merealisasikan kewujudan Muafakat Nasional dengan doa dan airmata mereka.

Pernahkah pemimpin UMNO dan PAS terfikir, tanpa wujudnya Muafakat Nasional, apakah PPBM akan sudi memandang mereka?

Seteru yang kini berwajahkan sekutu mula menjalankan perancangan melaga-lagakan pemimpin UMNO dan PAS.

Dalam pembentukan kabinet Perikatan Nasional, perasaan tidak senang pemimpin UMNO sengaja dicipta dengan menafikan hak UMNO untuk menjadi sebahagian dari tunjang Kerajaan Perikatan Nasional.

Dalam Pilihanraya Negeri Sabah, sekali lagi UMNO dan PAS dikerah dan keringat mereka diperah tetapi yang mendapat labanya ialah PPBM.

Malah PAS dinafikan terus untuk bertanding di Sabah.


Perbahasan Bajet 2021 oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli, yang menyindir malah boleh dianggap memperlekehkan pendirian BNBBC yang mengenakan persetujuan bersyarat terhadap Bajet 2021 adalah merupakan permintaan fasakh dari PAS supaya dilepaskan dari Piagam Muafakat Nasional.

Malah sebelum itu, telah beberapa kali Setiausaha Agung PAS, Takiyudin, mengeluarkan kenyataan-kenyataan pedas terhadap UMNO.

Terkini, bila Muhyiddin mengumumkan penyertaan pemimpin-pemimpin kanan PAS Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang akan mengemudi Perikatan Nasional dalam PRU 15, merupakan petanda bahawa UMNO harus menerima hakikat bahawa Muafakat Nasional kini hanya tinggal kenangan dan UMNO mesti bangkit dari memori-memori indah dan mula memperkasakan dan mempersiapkan diri untuk menghadapi Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan dalam PRU 15.

Kalau PAS sudah merasakan lebih selesa dengan PPBM dalam Perikatan Nasional, lepaskan sahaja mereka, ingat pantun 4 kerat anak muda satu masa dahulu :

Pinggan tak retak
Nasi tak dingin
Kalau PAS tak nak
UMNO pun tak ingin

Mungkin ada yang akan menuduh admin cuba mencurahkan minyak kepada api tetapi kita semua mesti ingat, walau pun apa yang admin tulis ini adalah satu kenyataan yang amat pahit tetapi itulah hakikat yang sedang kita hadapi sekarang ini.

Bukankah yang pahit itu adalah ubat yang sangat mujarab.

Kita masih mempunyai masa untuk menyusun dan memperkasakan UMNO bagi menghadapi PRU 15.

UMNO sudah mempunyai banyak pengalaman dikhianati sekutu dan pengalaman yang paling dahsyat tetapi paling berharga ialah bagaimana kita bangkit semula selepas bukan sahaja tewas malah dikecam selepas UMNO tewas dalam PRU 14.

Mari kita sama-sama hadapi realiti ini dan sama-sama perkasakan semula UMNO walau pun kini kita bersendirian.

In Sya Allah, demi ABATA, kita boleh dan pasti mampu melakukannya.

Friday, November 13, 2020

Azmin Gunakan Kedudukan Di Khazanah Untuk Kencing Syarikat Bumiputera Supaya SilTerra Di Jual Kepada Syarikat Asing

|0 comments

SilTerra Malaysia Sdn Bhd merupakan syarikat Bumiputera milik Khazanah Berhad yang terlibat dalam industri semikonduktor.

Kepakaran anak tempatan di SilTerra adalah di dalam mereka bentuk dan memproses wafer silikon, kepingan nipis litar elektronik berintegrasi (IC) atau cip yang banyak digunakan dalam alat elektronik konsumer seperti telefon bimbit.

Silterra mempunyai potensi yang sangat besar dalam industri memproses wafer silikon, malah kepakaran anak tempatan di SilTerra telah berjaya menempatkan Silterra sebagai pembekal kepada beberapa syarikat gergasi dunia seperti Google, Apple dan Amazon.

SilTerra juga mempunyai beberapa pejabat pemasaran di luar negara seperti San Jose, California, Amerika Syarikat dan Hsinchu, Taiwan.

Tujuan SilTerra atau nama asalnya Wafer Technology (M) Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 1995 adalah bertujuan sebagai projek kepentingan nasional yang strategik untuk mempromosikan pembuatan semikonduktor dan menjadi pemangkin dalam pelaburan teknologi tinggi di Malaysia.

Sepertio kebanyakan syarikat yang berasaskan teknologi tinggi yang lain di dunia, di peringkat awal penubuhan SilTerra memang tidak dinafikan, SilTerra mengalami kerugian dan ianya terpaksa ditanggung oleh Khazanah.

Ianya bukanlah satu perkara yang luar biasa, kerana diperingkat awal bagi syarikat yang beroperasi berasaskan teknologi tinggi seperti SilTerra memerlukan modal yang sangat besar.

Tetapi mulai tahun 2010, SilTerra sudah mula mencatatkan keuntungan dan The Edge melapurkan dari tahun 2010 hingga 2014, SilTerra telah mencatatkan keuntungan terkumpul sebanyak RM699.5 juta.


Malah Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri ke 7, secara tidak langsung mengakui SilTerra mempunyai kewangan yang kukuh dan akan melabur dalam projek kereta nasional ketiga.

Dengan permintaan dan perkembangan pesat alat komunikasi berteknologi tinggi, Silterra yang telah mencipta nama diperingkat antarabangsa, operasi SilTerra pasti akan berkembang dan seterusnya dijangka akan menjana keuntungan yang bertambah dari masa ke masa.

Ini pastinya akan menaikkan nama SilTerra sebagai salah sebuah syarikat milik Malaysia didalam industri berteknologi tinggi dunia.

Namun segala-galanya akan berubah bila usaha yanh aktif sedang dilakukan oleh Azmin untuk menjual SilTerra kepada syarikat milik negara luar.


DNex, syarikat milik Bumiputera telah dipelawa untuk mengemukakan cadangan bagi mengambil alih SilTerra 2 tahun dahulu.

Malah dikhabarkan DNex telah mendapat “term sheet” dari Khazanah, iaitu dokumen menggariskan butir-butir ke arah merangka perjanjian akhir berhubung pembelian SilTerra itu.

DNeX dikatakan telah membelanjakan berjuta ringgit untuk membuat kajian Due Diligence, rangka skim pemulihan dan berurusan dengan pengurusan SilTerra selama tempoh dua tahun lebih itu.

Tetapi selepas usaha DNeX itu, Khazanah membuka pula pembidaan dengan menjemput pembabitan tiga syarikat lain yang bukan milik Bumiputera iaitu Foxconn, X-FAB dan Green Packet.

Sudah tentu ketiga-tiga syarikat itu mempunyai lebihan kerana telah mengetahui segala butiran dari DNex.

Malah ada antara syarikat berkenaan pernah disiasat oleh SPRM.

Lebih memeranjatkan, tempuh bidaan sepatutnya ditutup 31 Julai dilanjutkan kepada 9 Oktober, dengan Khazanah menawarkan kepada pembida untuk mengemukakan tawaran mengikat alternatif iaitu sama ada mengambil alih SilTerra sebagai syarikat majoriti tempatan atau majoriti asing.

Harus diingat, syarat lesen SilTerra berbunyi :

Sekurang-kurangnya 55% dari saham-saham syarikat ini hendaklah dibeli dan dipegang oleh rakyat Malaysia termasuk sekurang-kurangnya 30% dikhaskan kepada Bumiputra.

Jawatankuasa Pelaburan Khazanah yang diketuai oleh pengerusi jawatankuasa eksekutifnya (EXCO), Goh Ching Yin akan meneliti tawaran-tawaran yang diterima dan membuat rekomendasi.

Tetapi keputusan akhir akan dibuat oleh Lembaga Pengarah Khazanah.


Siapa yang berada dalam Lembaga Pengarah Khazanah sekarang?

Biar gambar berbicara.

Pasti cytro Azmin akan memainkan semula lapuran The Star yang melapurkan DS Najib pernah mengumumkan Kerajaan Barisan Nasional bersedia membuka peluang kepada syarikat asing untuk melabur dalam SilTerra.

Namun DS Najib sudah pun memberikan penjelasan sebagai menjawab tuduhan yang akan dimainkan oleh cytro Azmin.

Sekiranya SilTerra jatuh ke tangan asing, maka secara jelas dan nyata, perancang di sebaliknya adalah manusia yang bernama Azmin Ali.

Kerana beliau bukan sahaja menjadi Pengarah Khazanah tetapi beliau juga adalah Menteri Ekonomi yang bertanggungjawab ke atas MITI dan MIDA.

Khazanah perlu mendapatkan kelulusan dari MITI dan MIDA untuk melepaskan pegangan Khazanah kepada pelabur asing dan MITI serta MIDA pula perlu mendapatkan kelulusan dari Menteri Ekonomi dan Azmin adalah orang yang menguasai Khazanah, MITI dan MIDA serta beliau juga adalah Menteri Ekonomi dalam masa yang sama!!!
fda

Archives