Tuesday, January 5, 2021

Muktamad UMNO Tidak Akan Berkerjasama Dengan PPBM Dalam PRU 15


1 Januari hingga 2 Januari 2021 adalah tarikh mesyuarat bagi ketiga-tiga sayap parti UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri di seluruh negara, manakala mesyuarat di peringkat Bahagian pula telah diadakan pada keesokan harinya, 3 Januari 2021.

Mesyuarat ini akan melibatkan sebanyak 764 persidangan yang akan membabitkan 4 persidangan bagi 191 Bahagian UMNO di seluruh Malaysia.

Hasil dari 764 persidangan kali ini diikuti secara rapat oleh sekutu dan seteru politik UMNO, terutamanya persidangan 191 Bahagian UMNO yang dijangkakan akan menentukan halatuju politik UMNO.

Usul yang akan dikemukakan oleh kesemua Bahagian UMNO itu bukan sekadar akan menentukan halatuju UMNO tetapi juga sebagai parti terbesar di Malaysia ianya juga akan menentukan corak landskap politik negara sewaktu dan selepas PRU 15 nanti.

Isu yang pasti hangat dan akan dibincangkan dalam mesyuarat di peringkat Bahagian UMNO sudah pastinya menyampaikan mesej dan suara akar umbi UMNO kepada kepimpinan tertinggi UMNO mengenai hubungan dan kerjasama politik antara UMNO dan PPBM.


Sebelum bermulanya mesyuarat di peringkat Bahagian, mantan Presiden UMNO, DS Najib Razak telah menyampaikan mesej yang sangat jelas kepada semua perwakilan yang akan bersidang agar berani menyuarakan kehendak akar umbi.

Hasilnya 189 dari 191 Bahagian UMNO telah membuat ketetapan untuk MENOLAK kerjasama politik dengan PPBM dalam PRU 15 nanti.

Dalam memberi respon terhadap keputusan 189 Bahagian UMNO itu, Presiden UMNO, DS Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan suara dan keputusan akar umbi mesti dihormati dan dijadikan keputusan parti UMNO. 

Beliau akan memanggil mesyuarat diperingkat Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk membincangkan perkara itu 6 Januari 2021.

Sebenarnya tidak ada sebab untuk Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk menolak ketetapan dan suara akar umbi UMNO itu kerana kalau mengikut persetujuan asal, kerjasama antara UMNO dan PPBM bukanlah kerjasama antara 2 parti politik tetapi ianya hanyalah sokongan antara Ahli Parlimen UMNO dengan PPBM dan sokongan ini hanyalah setakat akhir penggal ke 14 Parlimen sahaja.

Dalam artikata lain, sebaik sahaja Parlimen penggal ke 14 ini dibubarkan bagi memberikan laluan kepada PRU 15, maka sokongan Ahli Parlimen UMNO kepada PPBM akan terbatal dengan sendirinya.


Mana-mana Ahli Parlimen yang masih mahu meneruskan kerjasama dengan PPBM selepas itu, bolehlah meninggalkan UMNO dan melompat kepada PPBM.

Tidak perlu lagi menjadi musuh dalam selimut atau musang berbulu ayam di dalam UMNO.

Sangat jelas, lebih 95% Bahagian UMNO telah menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PPBM selepas penggal Parlimen ke 14 berakhir.

Ini bermakna, mana-mana Ahli Parlimen yang menongkah arus dengan berkeras mahu kerjasama politik dengan PPBM akan berhadapan dengan kemarahan dan penolakan 3.5 juta ahli UMNO dari seluruh negara.


Dalam satu perkembangan yang lain, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang pemimpin UMNO yang diketahui berkiblatkan PPBM.


Setiausaha Agung BN, 
Annuar Musa adalah antara pemimpin yang lantang menyatakan bahawa UMNO perlukan PPBM sekiranya mahu menang dalam PRU 15.

Untuk pengetahuan Annuar Musa, dalam PRU 15 nanti, PPBM yang sangat-sangat memerlukan UMNO dan bukannya UMNO yang memerlukan PPBM.

UMNO juga bertegas untuk bertanding di 96 kerusi Parlimen dalam PRU 15 nanti, sama ada dalam pertandingan 2 penjuru atau pun 3 penjuru, sekiranya PPBM juga mahu meletakkan calun mereka.

Dan sekiranya Annuar Musa masih lagi bercita-cita untuk UMNO memberikan laluan di kawasan selamat kepada PPBM, eloklah dipadamkan sahaja cita-cita itu, kerana Annuar Musa tidak mempunyai apa-apa autoriti untuk bercakap bagi pihak UMNO.

Kepada seluruh akar umbi UMNO di seluruh negara, tahniah kerana telah berani menyuarakan kehendak akar umbi dengan jelas kepada kepimpinan tertinggi UMNO.

Kepada kepimpinan tertinggi UMNO, ingatlah, tegaknya pucuk kerana akar dan UMNO adalah parti milik 3.5 juta ahli akar umbi dan bukannya milik segelintir golongan elit.

0 comments:

fda

Archives