Monday, January 18, 2021

Kesilapan Institusi Raja Raja Melayu Akan Membuka Ruang Kepada Gerakan Subversif Republik Malaysia (GSRM)


Sebelum admin menulis dengan lebih lanjut mengenai tajuk yang sangat sensitif ini, admin mahu menyatakan di sini, admin bukanlah seorang berideologi sosialis yang menentang Institusi Raja Raja Melayu.

Admin adalah seorang pendokong kuat sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia dan sebagai rakyat Malaysia, admin akan mempertahankan sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia.

Apa yang mahu admin tuliskan adalah peringatan kepada Institusi Raja Raja Melayu supaya sistem monarki yang wujud di Malaysia ini akan terus kekal dan dapat dipertahankan.


Titah Al Marhum Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibuddin Shah (Marhum Al-Maghfur-Lah) 
sewaktu dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1980 :

"Selagi rakyat menaruh kepercayaan terhadap Raja dan menghormati Institusi Raja, selagi itu takhta tidak akan dipindahkan dari istana ke muzium, takhta juga tidak boleh lari daripada hukum ALLAH, hukum yang ditetapkan ke atas seluruh umat manusia tanpa mengira raja atau rakyat."

Admin dengan rasa penuh hormat mahu mndedahkan maklumat yang dipercayai sumbernya bahawa terdapat satu gerakan diberi nama Gerakan Subversif Republik Malaysia (GSRM), untuk memindahkan Institusi Raja Raja Melayu di Malaysia dari istana ke muzium yang telah lama disusun oleh satu parti politik dan digerakkan oleh satu parti politik yang lain untuk dilaksanakan.


16 Julai 2019, laman blog ini ada menyiarkan tulisan yang bertajuk 
Bahaya Wan Ji Bukan Hanya Hasutan Terhadap Raja Berpelembagaan.

Tulisan itu mendedahkan, seawal tahun 2011, telah ada satu gerakan tersusun yang didalangi oleh sebuah parti politik untuk menghapuskan Institusi Raja Raja Melayu di Malaysia.

Bermula dengan memberikan gelaran yang buruk terhadap Raja Raja Melayu dan kemudian membuat provokasi terhadap Raja Raja Melayu supaya dapat membangkitkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap Raja Raja Melayu.

Matlamat gerakan tersebut adalah supaya Institusi Raja Raja Melayu dapat dihapuskan sama sekali menjelang tahun 2030 dan menukar Malaysia menjadi sebuah negara republik.

Ketika pentadbiran Pakatan Harapan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan Hal Ehwal Islam ketika itu, Mujahid Yusof, telah melantik Wan Ji untuk terlibat dengan Majlis Dakwah Negara.

Di sebabkan beberapa kenyataan kontroversi yang Wan Ji keluarkan, beliau telah tidak dibenarkan untuk mengajar di surau dan di masjid.

Tetapi kini, di bawah pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional, Wan Ji telah dilantik pula sebagai moderator Majlis Dakwah Negara.

Dengan ideologi yang anti kepada Institusi Raja Raja Melayu, kini Wan Ji dilihat telah mempunyai medium yang lebih besar dan berkesan untuk menyebarkan fahaman beliau.

Bukan admin menuduh Wan Ji mengambil kesempatan untuk menanamkan doktrin anti Institusi Raja Raja Melayu dengan jawatan moderator Majlis Dakwah Negara tetapi bagi admin, dengan jawatan yang beliau pegang sekarang ini, ianya akan membuka ruang dan peluang yang lebih luas kepada Wan Ji untuk merealisasikan impian beliau untuk menghapuskan Institusi Raja Raja Melayu menjelang 2030.


Antara titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di
Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara, Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat, di Hotel Marriott, Putrajaya :

"Raja tidak harus rasa tertekan dan tidak semestinya memberikan perkenan jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan tuntutan syarak, menyimpang daripada semangat Perlembagaan, bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat, hingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman". 

"Apabila Raja dirujuk, Duli-Duli Baginda hendaklah memberikan pandangan secara bebas tanpa perasaan ragu atau pilih kasih dan dalam perkara Raja perlu bertindak atas budi bicara, Duli-Duli Baginda hendaklah menyempurnakannya dengan hikmah dan kebijaksanaan demi membuktikan Raja bersifat arif, adil lagi saksama, sebagai penimbangtaraan yang bebas kepada cabang-cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman, demi memastikan terlaksana secara bermakna mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan amalan demokrasi yang telus".

Baginda juga bertitah dalam majlis yang sama :

"Raja perlu bijaksana mengaplikasi kuasa budi bicara supaya apa juga ketetapan yang dititahkan akan memberikan sebaik-baik manfaat kepada negara dan warga". 

"Dalam hasrat merumus ketetapan yang bijaksana, Raja perlu mendapat pandangan seluas dan sedalam mungkin, daripada seramai pihak, merentasi sempadan kaum, sempadan budaya, sempadan politik, daripada dalam dan luar kerajaan, merangkumkan pendapat ulama dan umara, para akademia dan para intelek, warga tua dan warga muda, menganalisis segala fakta secara teliti, halus lagi mendalam, membezakan antara padi dengan antah, antara kaca dengan permata, sebelum mengaplikasikan kuasa budi bicara yang diperuntukkan".

"Ketika merumuskan sesuatu keputusan, Raja bergantung kepada fakta dan maklumat yang disembahkan". 

"Raja tidak berupaya melakukan yang terbaik dan yang paling bijak, jika tidak disembahkan dengan nasihat yang betul dan maklumat yang tepat, jika terus dipagari dengan kepalsuan dan dihiaskan dengan kepura-puraan". 

"Amatlah penting untuk Raja disembahkan pandangan secara tepat, secara objektif, berlandaskan kebenaran, berteraskan fakta". 

"Adalah penting untuk barisan yang dipertanggungjawabkan menasihati Raja bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, berkata benar, supaya Raja tidak dibuai dalam khayalan dan tidak diulit dengan gurindam kepalsuan". 

"Pihak-pihak yang memalsukan fakta dan melindungi kebenaran daripada Raja Pemerintah, derhaka sifatnya".


Ketika menolak permohonan darurat yang dipohon oleh Muhyiddin kerana bimbang sekiranya Rang Undang Undang Perbekalan 2021 tidak diluluskan dalam Dewan Rakyat pada bulan Oktober 2020 yang lepas, Majlis Raja Raja mengingatkan agar SPB YDP Agung menghalang salah guna kuasa oleh pihak tertentu. 

Ampun tuanku, perkhabaran Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri walau pun tidak mempunyai majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat selepas Langkah Sheraton tidak mahu admin kupas di sini, walau pun majoriti rakyat mengetahuinya, namun ketakutan yang menghantui Muhyiddin dalam menghadapi undi tidak percaya dan kelulusan Rang Undang Undang Perbekalan 2021 telah dapat ditafsirkan oleh rakyat Malaysia.

Keperluan diisytiharkan darurat menjadi tandatanya di kalangan rakyat kerana ianya diisytiharkan sehari selepas Muhyiddin mengumumkan perlaksanaan PKP, PKPB dan PKPP.

Rakyat menjunjung kasih atas keperihatinan SPB YDP Agung terhadap penularan wabak Covid-19, namun pengistiharan darurat yang dilihat dan ditafsirkan sebagai darurat politik telah mengheret Institusi Raja Raja Melayu ke dalam masaalah politik dan mendatangkan kesan yang sangat buruk, terutamanya terhadap imej Institusi Raja Raja Melayu dan ekonomi negara.

Mungkin SPB YDP Agung telah diberikan nasihat yang salah hingga mempengaruhi baginda untuk bersetuju dengan pengisytiharan darurat yang diminta dan menurut titah SPB Sultan Perak, bukankah itu derhaka sifatnya.

Mengimbas kembali 'road map' Wan Ji dalam menghapuskan Institusi Raja Raja Melayu, selepas diberikan gelaran yang buruk terhadap Raja Raja Melayu, maka provokasi akan dilakukan supaya kemarahan rakyat terhadap Institusi Raja Raja Melayu dapat diwujudkan.

Ini akan memberikan ruang yang cukup besar kepada Gerakan Subversif Republik Malaysia untuk mempergiatkan tindakan mereka.

Bukan admin mahu derhaka terhadap Raja Raja Melayu tetapi kerana sayangkan Institusi Raja Raja Melayu, maka pendedahan ini dibuat.

Muga Allah SWT mengekalkan kedaulatan Institusi Raja Raja Melayu di Malaysia.

Amin Ya Rabbal Alamin...

0 comments:

fda

Archives