Monday, January 11, 2021

Adakah Muhyiddin Masih Lagi Perdana Menteri Malaysia Yang Sah?


Kedudukan Kerajaan Muhyiddin Yassin kini ibarat telur di hujung tanduk.


Apabila Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (UMNO) membuat sidang media untuk mengisytiharkan beliau telah menarik balik sokongan kepada Kerajaan Muhyiddin Yassin, kini jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Muhyiddin mempunyai bilangan yang sama dengan Ahli Parlimen yang berada di luar blok kerajaan.

Dalam ertikata yang lain, Muhyiddin sebenarnya sudah kehilangan kepercayaan Ahli Parimen untuk terus menjadi Perdana Menteri.

Apabila Perdana Menteri sudah hilang majoriti di Dewan Rakyat, maka secara teorinya, barisan kabinet yang dilantik oleh Perdana Menteri juga boleh dipertikaikan.

Cuma yang menyelamatkan Muhyiddin adalah kerana, selain dari Ahmad Jazlan, belum ada lagi Ahli Parlimen lain yang mengisytiharkan secara rasmi menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional.

Walau pun umum mengetahui, ada beberapa Ahli Parlimen yang terlebih awal telah memberikan gambaran tidak menyokong Kerajaan Muhyiddin, namun ianya tidak diambil kira sebagai angka yang rasmi.

Ekoran dari tindakan Ahmad Jazlan, beberapa cytro, khususnya yang pro PPBM telah cuba mempertahankan bilangan Ahli Parlimen yang masih berada di dalam blok Kerajaan Muhyiddin.

Menurut mereka, Muhyiddin masih lagi mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen dan beliau masih lagi sah sebagai Perdana Menteri, walau pun dengan majoriti yang sangat tipis, berdasarkan majoriti asal sebanyak 113 Ahli Parlimen (asalnya 114 tetapi seorang telah meninggal dunia), dan penarikan sokongan Ahmad Jazlan menjadikan 112 Ahli Parlimen di blok kerajaan dan 108 Ahli Parlimen di blok pembangkang (berdasarkan jumlah Ahli Parlimen terkini seramai 220 orang).

Bagi admin, tidak perlu pening-pening kepala, jika diambil dari pengiraan mudah, berdasarkan undian untuk RUU Perbekalan 2021, jumlah undian yang diperolehi oleh Kerajaan Muhyiddin adalah sebanyak 111 undi.

Ini bermakna dengan pengumuman Ahmad Jazlan, sokongan Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Muhyiddin kini sama ramai dengan Ahli Parlimen yang tidak menyokong Kerajaan Muhyiddin.

Namun bagi admin, apa yang lebih menarik ialah respon dari segelintir pihak UMNO sendiri.

Ada yang mempertikaikan tindakan Ahmad Jazlan dan menuduh beliau telah bertindak tidak mengikut ketetapan yang telah dibuat oleh parti UMNO dan cuba mendesak agar tindakan Ahmad Jazlan itu dibawa kepada Biro Politik UMNO supaya tindakan displin dapat diambil.


Hakikatnya, golongan ini lupa, sokongan yang diberikan oleh Ahli Parlimen UMNO terhadap Kerajaan Muhyiddin sehingga berakhirnya penggal ke 14 Parlimen, bukanlah sokongan parti UMNO tetapi ianya adalah terhad kepada sokongan Ahli Parlimen UMNO sahaja.

Perkara ini telah berkali-kali dijelaskan oleh Presiden UMNO.

Jadi tidak ada sebab mengapa pengumuman Ahmad Jazlan itu boleh dianggap telah bercanggah dengan keputusan parti.

Sebagaimana yang kita semua maklum, keputusan rasmi UMNO akan dibuat dalam Persidangan Agung UMNO yang dijangka akan dilakukan pada 31 Januari 2021.

Ada juga khabar yang mengatakan, Muhyiddin akan mengisytiharkan Pergerakan Kawalan Perjalanan (PKP) di hampir keseluruhan negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan dan Selangor atas alasan keadaan Covid-19 semakin tidak terkawal.

Persoalannya mengapa sekarang?

Angka jangkitan Covid-19 sudah secara konsisten mencecah angka 4 digit sejak Oktober 2020.

Mengapa tiada perancangan mahu melakukan semula PKP waktu itu.

Apakah Muhyiddin menggunakan alasan Covid-19 untuk mengelakkan dari perwakilan UMNO membuat ketetapan supaya kerjasama antara UMNO dan PPBM ditamatkan menjelang PRU 15?

Dijangkakan akan ada lagi Ahli Parlimen UMNO yang akan membuat sidang media untuk mengisytiharkan secara rasmi menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Muhyiddin.

Kalau itu berlaku, apakah Muhyiddin masih akan berkeras mendakwa beliau masih lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat?

Tidak perlulah dimainkan sentimen UMNO tamak atau gila kuasa apabila ianya berlaku kerana mahukan PRU 15 diadakan ketika rakyat berada dalam kesusahan dengan bencana banjir dan pandemik Covid-19.

Memang benar, Kerajaan Muhyiddin akan tumbang apabila ada lagi Ahli Parlimen UMNO membuat kenyataan rasmi menarik balik sokongan tetapi pilihanraya bukanlah satu-satunya pilihan yang kita ada.

SPB YDP Agung boleh membubarkan parlimen dan dalam masa yang sama menangguhkan PRU 15 sehingga keadaan banjir dan Coviod-19 terkawal.

Sementara menunggu PRU 15, baginda YDP Agung boleh melantik seorang Perdana Menteri Interim yang bukan datangnya dari Ahli Parlimen dan Perdana Menteri Interim ini boleh melantik barisan kabinet interim sebagai 'care taker government' bagi mengatasi masaalah banjir dan Covid-19 tanpa campurtangan dari ahli politik.

Walau pun secara rasminya, Muhyiddin sudah kehilangan majoriti di Parlimen, namun beliau masih lagi berdegil mahu berkuasa sebagai Perdana Menteri dengan menggunakan pandemik Covid-19 sebagai perisai.

Penderitaan rakyat diambil kesempatan oleh Muhyiddin.

Kalau Muhyiddin bermaruah, letaklah jawatan dan mengadap SPB YDP Agung untuk mencadangkan kepada baginda supaya Parlimen dibubarkan dan kembalikan mandat kepada rakyat bagi memberi laluan kepada PRU 15 selepas keadaan banjir dan Covid-19 terkawal.

0 comments:

fda

Archives