Friday, January 15, 2021

Adakah Darurat Politik Muhyiddin Boleh Di Cabar Di Mahkamah?


12 Januari 2021, setelah mendapat perkenan dari SPB YDP Agung ke XVI, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin, mengumumkan pengisytiharan darurat di seluruh negara sehingga 1 Ogos 2021.

Alasan yang digunakan Muhyiddin dalam menasihati SPB YDP Agung supaya memperkenankan permohonan darurat adalah untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang sekarang ini dilihat semakin tidak terkawal.

Apa yang telah diperkenankan oleh SPB YDP Agung, adalah sah dan tercatit dengan jelas di dalam Perkara 150 Perlembagaan Malaysia. 

Tidak ada sebarang keraguan mengenai perkara itu.

Namun ada 3 perkara yang menimbulkan persoalan iaitu :

1) Keabsahan Ketua Kerajaan, Perdana Menteri, dari sisi perlembagaan ketika memberi nasihat kepada SPB YDP Agung sebagai Ketua Negara.

2) Kewajaran (berdasarkan keadaan semasa negara) dalam memberikan nasihat kepada SPB YDP Agung untuk mengisytiharkan Darurat.

3) Kejujuran alasan yang diberikan kepada SPB YDP Agung dalam memberikan nasihat untuk mengisytiharkan Darurat.

Kerajaan Muhyiddin Sudah Tumbang Ketika Beliau Memberikan Nasihat Kepada SPB YDP Agung


Umum mengetahui, ketika Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub,  mengumumkan telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pada 9 Januari 2021, Kerajaan Muhyiddin cuma mempunyai 110/220 sokongan Ahli Dewan Rakyat.

Ini bermakna, memandangkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong dan tidak menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri adalah sama banyak, maka Muhyiddin sudah kehilangan majoriti sokongan Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat.

Perkara 43(4) Perlembagaan Malaysia dengan jelas menyatakan, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.


Memburukkan keadaan, apabila Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, mengumumkan secara rasmi telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin pada 12 Januari 3.34 pm, Kerajaan Muhyiddin bukan sahaja sudah kehilangan majoriti sokongan Ahli Parlimen, malah telah menjadi kerajaan yang hanya memiliki sokongan minoriti Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat.

Ini bermakna, walau pun ketika itu Dewan Rakyat tidak bersidang, tetapi secara rasminya, selepas pukul 4.00 pm di hari yang sama, Muhyiddin bukan lagi Perdana Menteri dan Kerajaan Muhyiddin bukan lagi kerajaan yang mempunyai kuasa yang sah.


Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara, Muhyiddin telah mengadap SPB YDP Agung untuk menasihati baginda supaya mengisytiharkan darurat pada 11 Januari 2021 jam 5.30 pm.

Ini bermaksud, saat Muhyiddin mengadap SPB YDP Agung, beliau hanyalah seorang Ahli Parlimen biasa dan bukan lagi seorang Perdana Menteri yang diiktiraf seperti yang tercatit di dalam Perkara 43(4) Perlembagaan Malaysia.

Persoalannya, apakah seorang Ahli Parlimen biasa layak untuk menasihati SPB YDP Agung untuk mengisytiharkan sesuatu yang besar seperti Pengisytiharan Darurat?

Adakah Yang di-Pertuan Agong membuat pengisytiharan darurat atas kuasanya sendiri atau atas nasihat Perdana Menteri?

Pengisytiharan darurat ialah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. 

Kuasa prerogatif ringkasnya bermaksud kuasa yang dimiliki oleh institusi beraja dari awal bahkan jauh sebelum gubalan Perlembagaan Persekutuan bagi Tanah Melayu (Malaysia). Kuasa tersebut kekal dalam milik institusi beraja. 

Walaubagaiamana pun, persoalan timbul ialah, adakah kuasa prerogatif tersebut dilaksanakan secara budi bicara atau atas nasihat Perdana Menteri?

Perkara 150(1) menyatakan "Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian".

Frasa "Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati" atau dalam Bahasa Inggeris, "If the Yang di-Pertuan Agong is satisfied" menjadi persoalan, adakah puas hati Yang di-Pertuan Agong seorang diri (as sole judge) atau atas nasihat.

Keputusan kes Teh Cheng Poh oleh Privy Council pada tahun 1979 menyatakan tindakan Yang di-Pertuan Agong adalah atas nasihat Jemaah Menteri. 

Ini adalah kedudukan undang-undang yang disepakati. 

Lord Diplock menyatakan :

“Although this, like other powers under the Constitution, is conferred nominally upon the Yang di Pertuan Agong by virtue of his office as the Supreme Head of the Federation and is expressed to exercisable if he is satisfied of a particular matter, his functions are those of a constitutional monarch and except on certain matters that do not concern the instant appeal, he does not exercise any of his functions under the Constitution on his own initiative but is required by Article 40(1) to act in accordance with the advice of the Cabinet".

"So when one finds in the Constitution itself or in a Federal law powers conferred upon the Yang di-Pertuan Agong that are expressed to be exercisable if he is of opinion or is satisfied that a particular state of affair exists or that particular action is necessary, the reference to his opinion or satisfaction is in reality a reference to the collective opinion or satisfaction of the members of the Cabinet, or the opinion or satisfaction of a particular Minister to whom the Cabinet have delegated their authority to give advice upon the matter in question".

Menerusi keputusan kes Teh Cheng Poh, pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong PERLU dibuat atas nasihat PERDANA MENTERI ATAU JEMAAH MENTERI atau seorang Menteri yang diberikan kuasa oleh Jemaah Menteri.

Dan ketika Muhyiddin memberikan nasihat kepada SPB YDP Agung, beliau bukan lagi Perdana Menteri yang sah dan jemaah menteri yang beliau lantik juga telah hilang kelayakan di sisi Perlembagaan Malaysia.

Kewajaran (berdasarkan keadaan semasa negara) Dalam Memberikan Nasihat Kepada SPB YDP Agung Untuk Mengisytiharkan Darurat


Apakah maksud darurat?

Darurat maksudnya suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa. 

Pengisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat oleh SPB YDP Agung melalui suatu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir berlaku.

Persolannya, apakah berlaku keadaan begitu?

Jawapannya tidak.

Benar, rakyat dan negara Malaysia sedang berhadapan dengan ancaman Covid-19 dan akibatnya, keadaan ekonomi rakyat dan negara Malaysia jatuh merudum, tetapi berlakukah keadaan kecemasan yang tidak terkawal sekarang ini?

11 Januari 2021 jam 6.00 petang, dipancarkan ke seluruh negara, Muhyiddin mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah dikuatkuasakan bermula  jam 12.00 am, hari Rabu, 13 Jamuari 2021.

Jika arahan PKP, PKPB dan PKPP boleh ditangguhkan 2 hari perlaksanaannya dari tarikh diumumkan, ianya dengan sendiri menggambarkan tiada keadaan kecemasan yang dihadapi oleh rakyat dan negara ketika ini.

Memang benar ada berlaku kes bunuh akibat tekanan ekonomi yang berpunca dari masaalah Covid-19 tetapi jumlahnya masih lagi kecil dan terkawal serta tidak berlaku rusuhan jalanan akibat dari pemberontakan rakyat.

Malah rekod menunjukkan, dengan perlaksanaan PKPD, PKP, PKPB dan PKPP di Malaysia sudah cukup untuk membendung penularan Covid-19.

Jadi, apakah keperluannya Muhyiddin menasihati SPB YDP Agung untuk Isytiharkan Darurat?

Kejujuran Alasan Yang Diberikan Kepada SPB YDP Agung Dalam Menasihati Baginda Untuk Mengisytiharkan Darurat


Tanpa mengambilkira kesan negatif yang akan menimpa rakyat dan negara, demi untuk mengekalkan jawatan Perdana Menteri (walau pun sudah terlucut dari sisi Perlembagaan Malaysia), Muhyiddin telah mengheret istana dalam usaha beliau untuk berselindung di sebalik alasan Covid-19.


Akibat dari sifat tamak dan keras kepala Muhyiddin yang ingin terus berkuasa, Pengisytiharan Darurat yang sebenarnya tidak diperlukan ini telah mendapat respon negatif dari pemimpin luar.


Ini bukanlah fitnah, tetapi diakui oleh salah seorang pegawai Muhyiddin sendiri, Azman Mat Hussin, di dalam akaun Facebook beliau.

Namun melalui carian admin di dalam akaun Facebook Azman Mat Hussin mendapati beliau telah memadamkan status tersebut.


Kerana tamak dan berdegil tidak mahu meletak jawatan, Muhyiddin perlu berselindung di sebalik Perintah Darurat yang diisytiharkan.

Perkara ini diakui oleh Muhyiddin sendiri.

Dengan perkenan dari SPB YDP Agung untuk Isytihar Darurat, Muhyiddin boleh terus berkuasa sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya sehingga bulan Oktober 2021.

Sekiranya Darurat ditamatkan pada 1 Ogos 2021, maka seperti yang dijanjikan Muhyiddin, beliau akan memohon kepada SPB YDP Agung untuk membubarkan Parlimen dan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, Muhyiddin mempunyai masa hingga Oktober 2021 untuk terus memerintah.


Sejak tumbangnya Kerajaan Barisan Nasional dalam PRU 14, rakyat menderita dengan 2 kerajaan yang ditubuhkan selepas itu, Kerajaan Pakatan Harapan dan Kerajaan Perikatan Nasional.

Puncanya adalah kerana pemimpin di dalam Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional lebih mementingkan kuasa dan kedudukan mereka sahaja sedangkan kehidupan marhaen yang semakin hari semakin menderita terus diabaikan.

Untuk menobatkan kembali Barisan Nasional sebagai kerajaan, rakyat Malaysia perlu menunggu sekurang-kurangnya 8 bulan dari sekarang.

Sementara itu, kita terpaksa tabah dan bersabar.

Pastikan dalam PRU 15 nanti, rakyat Malaysia tidak tersalah pilih lagi.



Rujukan :



0 comments:

fda

Archives