Monday, January 18, 2021

Kesilapan Institusi Raja Raja Melayu Akan Membuka Ruang Kepada Gerakan Subversif Republik Malaysia (GSRM)

|0 comments

Sebelum admin menulis dengan lebih lanjut mengenai tajuk yang sangat sensitif ini, admin mahu menyatakan di sini, admin bukanlah seorang berideologi sosialis yang menentang Institusi Raja Raja Melayu.

Admin adalah seorang pendokong kuat sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia dan sebagai rakyat Malaysia, admin akan mempertahankan sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia.

Apa yang mahu admin tuliskan adalah peringatan kepada Institusi Raja Raja Melayu supaya sistem monarki yang wujud di Malaysia ini akan terus kekal dan dapat dipertahankan.


Titah Al Marhum Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibuddin Shah (Marhum Al-Maghfur-Lah) 
sewaktu dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1980 :

"Selagi rakyat menaruh kepercayaan terhadap Raja dan menghormati Institusi Raja, selagi itu takhta tidak akan dipindahkan dari istana ke muzium, takhta juga tidak boleh lari daripada hukum ALLAH, hukum yang ditetapkan ke atas seluruh umat manusia tanpa mengira raja atau rakyat."

Admin dengan rasa penuh hormat mahu mndedahkan maklumat yang dipercayai sumbernya bahawa terdapat satu gerakan diberi nama Gerakan Subversif Republik Malaysia (GSRM), untuk memindahkan Institusi Raja Raja Melayu di Malaysia dari istana ke muzium yang telah lama disusun oleh satu parti politik dan digerakkan oleh satu parti politik yang lain untuk dilaksanakan.


16 Julai 2019, laman blog ini ada menyiarkan tulisan yang bertajuk 
Bahaya Wan Ji Bukan Hanya Hasutan Terhadap Raja Berpelembagaan.

Tulisan itu mendedahkan, seawal tahun 2011, telah ada satu gerakan tersusun yang didalangi oleh sebuah parti politik untuk menghapuskan Institusi Raja Raja Melayu di Malaysia.

Bermula dengan memberikan gelaran yang buruk terhadap Raja Raja Melayu dan kemudian membuat provokasi terhadap Raja Raja Melayu supaya dapat membangkitkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap Raja Raja Melayu.

Matlamat gerakan tersebut adalah supaya Institusi Raja Raja Melayu dapat dihapuskan sama sekali menjelang tahun 2030 dan menukar Malaysia menjadi sebuah negara republik.

Ketika pentadbiran Pakatan Harapan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan Hal Ehwal Islam ketika itu, Mujahid Yusof, telah melantik Wan Ji untuk terlibat dengan Majlis Dakwah Negara.

Di sebabkan beberapa kenyataan kontroversi yang Wan Ji keluarkan, beliau telah tidak dibenarkan untuk mengajar di surau dan di masjid.

Tetapi kini, di bawah pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional, Wan Ji telah dilantik pula sebagai moderator Majlis Dakwah Negara.

Dengan ideologi yang anti kepada Institusi Raja Raja Melayu, kini Wan Ji dilihat telah mempunyai medium yang lebih besar dan berkesan untuk menyebarkan fahaman beliau.

Bukan admin menuduh Wan Ji mengambil kesempatan untuk menanamkan doktrin anti Institusi Raja Raja Melayu dengan jawatan moderator Majlis Dakwah Negara tetapi bagi admin, dengan jawatan yang beliau pegang sekarang ini, ianya akan membuka ruang dan peluang yang lebih luas kepada Wan Ji untuk merealisasikan impian beliau untuk menghapuskan Institusi Raja Raja Melayu menjelang 2030.


Antara titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di
Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara, Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat, di Hotel Marriott, Putrajaya :

"Raja tidak harus rasa tertekan dan tidak semestinya memberikan perkenan jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan tuntutan syarak, menyimpang daripada semangat Perlembagaan, bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat, hingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman". 

"Apabila Raja dirujuk, Duli-Duli Baginda hendaklah memberikan pandangan secara bebas tanpa perasaan ragu atau pilih kasih dan dalam perkara Raja perlu bertindak atas budi bicara, Duli-Duli Baginda hendaklah menyempurnakannya dengan hikmah dan kebijaksanaan demi membuktikan Raja bersifat arif, adil lagi saksama, sebagai penimbangtaraan yang bebas kepada cabang-cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman, demi memastikan terlaksana secara bermakna mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan amalan demokrasi yang telus".

Baginda juga bertitah dalam majlis yang sama :

"Raja perlu bijaksana mengaplikasi kuasa budi bicara supaya apa juga ketetapan yang dititahkan akan memberikan sebaik-baik manfaat kepada negara dan warga". 

"Dalam hasrat merumus ketetapan yang bijaksana, Raja perlu mendapat pandangan seluas dan sedalam mungkin, daripada seramai pihak, merentasi sempadan kaum, sempadan budaya, sempadan politik, daripada dalam dan luar kerajaan, merangkumkan pendapat ulama dan umara, para akademia dan para intelek, warga tua dan warga muda, menganalisis segala fakta secara teliti, halus lagi mendalam, membezakan antara padi dengan antah, antara kaca dengan permata, sebelum mengaplikasikan kuasa budi bicara yang diperuntukkan".

"Ketika merumuskan sesuatu keputusan, Raja bergantung kepada fakta dan maklumat yang disembahkan". 

"Raja tidak berupaya melakukan yang terbaik dan yang paling bijak, jika tidak disembahkan dengan nasihat yang betul dan maklumat yang tepat, jika terus dipagari dengan kepalsuan dan dihiaskan dengan kepura-puraan". 

"Amatlah penting untuk Raja disembahkan pandangan secara tepat, secara objektif, berlandaskan kebenaran, berteraskan fakta". 

"Adalah penting untuk barisan yang dipertanggungjawabkan menasihati Raja bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, berkata benar, supaya Raja tidak dibuai dalam khayalan dan tidak diulit dengan gurindam kepalsuan". 

"Pihak-pihak yang memalsukan fakta dan melindungi kebenaran daripada Raja Pemerintah, derhaka sifatnya".


Ketika menolak permohonan darurat yang dipohon oleh Muhyiddin kerana bimbang sekiranya Rang Undang Undang Perbekalan 2021 tidak diluluskan dalam Dewan Rakyat pada bulan Oktober 2020 yang lepas, Majlis Raja Raja mengingatkan agar SPB YDP Agung menghalang salah guna kuasa oleh pihak tertentu. 

Ampun tuanku, perkhabaran Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri walau pun tidak mempunyai majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat selepas Langkah Sheraton tidak mahu admin kupas di sini, walau pun majoriti rakyat mengetahuinya, namun ketakutan yang menghantui Muhyiddin dalam menghadapi undi tidak percaya dan kelulusan Rang Undang Undang Perbekalan 2021 telah dapat ditafsirkan oleh rakyat Malaysia.

Keperluan diisytiharkan darurat menjadi tandatanya di kalangan rakyat kerana ianya diisytiharkan sehari selepas Muhyiddin mengumumkan perlaksanaan PKP, PKPB dan PKPP.

Rakyat menjunjung kasih atas keperihatinan SPB YDP Agung terhadap penularan wabak Covid-19, namun pengistiharan darurat yang dilihat dan ditafsirkan sebagai darurat politik telah mengheret Institusi Raja Raja Melayu ke dalam masaalah politik dan mendatangkan kesan yang sangat buruk, terutamanya terhadap imej Institusi Raja Raja Melayu dan ekonomi negara.

Mungkin SPB YDP Agung telah diberikan nasihat yang salah hingga mempengaruhi baginda untuk bersetuju dengan pengisytiharan darurat yang diminta dan menurut titah SPB Sultan Perak, bukankah itu derhaka sifatnya.

Mengimbas kembali 'road map' Wan Ji dalam menghapuskan Institusi Raja Raja Melayu, selepas diberikan gelaran yang buruk terhadap Raja Raja Melayu, maka provokasi akan dilakukan supaya kemarahan rakyat terhadap Institusi Raja Raja Melayu dapat diwujudkan.

Ini akan memberikan ruang yang cukup besar kepada Gerakan Subversif Republik Malaysia untuk mempergiatkan tindakan mereka.

Bukan admin mahu derhaka terhadap Raja Raja Melayu tetapi kerana sayangkan Institusi Raja Raja Melayu, maka pendedahan ini dibuat.

Muga Allah SWT mengekalkan kedaulatan Institusi Raja Raja Melayu di Malaysia.

Amin Ya Rabbal Alamin...

Friday, January 15, 2021

Adakah Darurat Politik Muhyiddin Boleh Di Cabar Di Mahkamah?

|0 comments

12 Januari 2021, setelah mendapat perkenan dari SPB YDP Agung ke XVI, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin, mengumumkan pengisytiharan darurat di seluruh negara sehingga 1 Ogos 2021.

Alasan yang digunakan Muhyiddin dalam menasihati SPB YDP Agung supaya memperkenankan permohonan darurat adalah untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang sekarang ini dilihat semakin tidak terkawal.

Apa yang telah diperkenankan oleh SPB YDP Agung, adalah sah dan tercatit dengan jelas di dalam Perkara 150 Perlembagaan Malaysia. 

Tidak ada sebarang keraguan mengenai perkara itu.

Namun ada 3 perkara yang menimbulkan persoalan iaitu :

1) Keabsahan Ketua Kerajaan, Perdana Menteri, dari sisi perlembagaan ketika memberi nasihat kepada SPB YDP Agung sebagai Ketua Negara.

2) Kewajaran (berdasarkan keadaan semasa negara) dalam memberikan nasihat kepada SPB YDP Agung untuk mengisytiharkan Darurat.

3) Kejujuran alasan yang diberikan kepada SPB YDP Agung dalam memberikan nasihat untuk mengisytiharkan Darurat.

Kerajaan Muhyiddin Sudah Tumbang Ketika Beliau Memberikan Nasihat Kepada SPB YDP Agung


Umum mengetahui, ketika Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub,  mengumumkan telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pada 9 Januari 2021, Kerajaan Muhyiddin cuma mempunyai 110/220 sokongan Ahli Dewan Rakyat.

Ini bermakna, memandangkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong dan tidak menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri adalah sama banyak, maka Muhyiddin sudah kehilangan majoriti sokongan Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat.

Perkara 43(4) Perlembagaan Malaysia dengan jelas menyatakan, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.


Memburukkan keadaan, apabila Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, mengumumkan secara rasmi telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin pada 12 Januari 3.34 pm, Kerajaan Muhyiddin bukan sahaja sudah kehilangan majoriti sokongan Ahli Parlimen, malah telah menjadi kerajaan yang hanya memiliki sokongan minoriti Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat.

Ini bermakna, walau pun ketika itu Dewan Rakyat tidak bersidang, tetapi secara rasminya, selepas pukul 4.00 pm di hari yang sama, Muhyiddin bukan lagi Perdana Menteri dan Kerajaan Muhyiddin bukan lagi kerajaan yang mempunyai kuasa yang sah.


Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara, Muhyiddin telah mengadap SPB YDP Agung untuk menasihati baginda supaya mengisytiharkan darurat pada 11 Januari 2021 jam 5.30 pm.

Ini bermaksud, saat Muhyiddin mengadap SPB YDP Agung, beliau hanyalah seorang Ahli Parlimen biasa dan bukan lagi seorang Perdana Menteri yang diiktiraf seperti yang tercatit di dalam Perkara 43(4) Perlembagaan Malaysia.

Persoalannya, apakah seorang Ahli Parlimen biasa layak untuk menasihati SPB YDP Agung untuk mengisytiharkan sesuatu yang besar seperti Pengisytiharan Darurat?

Adakah Yang di-Pertuan Agong membuat pengisytiharan darurat atas kuasanya sendiri atau atas nasihat Perdana Menteri?

Pengisytiharan darurat ialah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. 

Kuasa prerogatif ringkasnya bermaksud kuasa yang dimiliki oleh institusi beraja dari awal bahkan jauh sebelum gubalan Perlembagaan Persekutuan bagi Tanah Melayu (Malaysia). Kuasa tersebut kekal dalam milik institusi beraja. 

Walaubagaiamana pun, persoalan timbul ialah, adakah kuasa prerogatif tersebut dilaksanakan secara budi bicara atau atas nasihat Perdana Menteri?

Perkara 150(1) menyatakan "Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian".

Frasa "Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati" atau dalam Bahasa Inggeris, "If the Yang di-Pertuan Agong is satisfied" menjadi persoalan, adakah puas hati Yang di-Pertuan Agong seorang diri (as sole judge) atau atas nasihat.

Keputusan kes Teh Cheng Poh oleh Privy Council pada tahun 1979 menyatakan tindakan Yang di-Pertuan Agong adalah atas nasihat Jemaah Menteri. 

Ini adalah kedudukan undang-undang yang disepakati. 

Lord Diplock menyatakan :

“Although this, like other powers under the Constitution, is conferred nominally upon the Yang di Pertuan Agong by virtue of his office as the Supreme Head of the Federation and is expressed to exercisable if he is satisfied of a particular matter, his functions are those of a constitutional monarch and except on certain matters that do not concern the instant appeal, he does not exercise any of his functions under the Constitution on his own initiative but is required by Article 40(1) to act in accordance with the advice of the Cabinet".

"So when one finds in the Constitution itself or in a Federal law powers conferred upon the Yang di-Pertuan Agong that are expressed to be exercisable if he is of opinion or is satisfied that a particular state of affair exists or that particular action is necessary, the reference to his opinion or satisfaction is in reality a reference to the collective opinion or satisfaction of the members of the Cabinet, or the opinion or satisfaction of a particular Minister to whom the Cabinet have delegated their authority to give advice upon the matter in question".

Menerusi keputusan kes Teh Cheng Poh, pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong PERLU dibuat atas nasihat PERDANA MENTERI ATAU JEMAAH MENTERI atau seorang Menteri yang diberikan kuasa oleh Jemaah Menteri.

Dan ketika Muhyiddin memberikan nasihat kepada SPB YDP Agung, beliau bukan lagi Perdana Menteri yang sah dan jemaah menteri yang beliau lantik juga telah hilang kelayakan di sisi Perlembagaan Malaysia.

Kewajaran (berdasarkan keadaan semasa negara) Dalam Memberikan Nasihat Kepada SPB YDP Agung Untuk Mengisytiharkan Darurat


Apakah maksud darurat?

Darurat maksudnya suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa. 

Pengisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat oleh SPB YDP Agung melalui suatu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir berlaku.

Persolannya, apakah berlaku keadaan begitu?

Jawapannya tidak.

Benar, rakyat dan negara Malaysia sedang berhadapan dengan ancaman Covid-19 dan akibatnya, keadaan ekonomi rakyat dan negara Malaysia jatuh merudum, tetapi berlakukah keadaan kecemasan yang tidak terkawal sekarang ini?

11 Januari 2021 jam 6.00 petang, dipancarkan ke seluruh negara, Muhyiddin mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah dikuatkuasakan bermula  jam 12.00 am, hari Rabu, 13 Jamuari 2021.

Jika arahan PKP, PKPB dan PKPP boleh ditangguhkan 2 hari perlaksanaannya dari tarikh diumumkan, ianya dengan sendiri menggambarkan tiada keadaan kecemasan yang dihadapi oleh rakyat dan negara ketika ini.

Memang benar ada berlaku kes bunuh akibat tekanan ekonomi yang berpunca dari masaalah Covid-19 tetapi jumlahnya masih lagi kecil dan terkawal serta tidak berlaku rusuhan jalanan akibat dari pemberontakan rakyat.

Malah rekod menunjukkan, dengan perlaksanaan PKPD, PKP, PKPB dan PKPP di Malaysia sudah cukup untuk membendung penularan Covid-19.

Jadi, apakah keperluannya Muhyiddin menasihati SPB YDP Agung untuk Isytiharkan Darurat?

Kejujuran Alasan Yang Diberikan Kepada SPB YDP Agung Dalam Menasihati Baginda Untuk Mengisytiharkan Darurat


Tanpa mengambilkira kesan negatif yang akan menimpa rakyat dan negara, demi untuk mengekalkan jawatan Perdana Menteri (walau pun sudah terlucut dari sisi Perlembagaan Malaysia), Muhyiddin telah mengheret istana dalam usaha beliau untuk berselindung di sebalik alasan Covid-19.


Akibat dari sifat tamak dan keras kepala Muhyiddin yang ingin terus berkuasa, Pengisytiharan Darurat yang sebenarnya tidak diperlukan ini telah mendapat respon negatif dari pemimpin luar.


Ini bukanlah fitnah, tetapi diakui oleh salah seorang pegawai Muhyiddin sendiri, Azman Mat Hussin, di dalam akaun Facebook beliau.

Namun melalui carian admin di dalam akaun Facebook Azman Mat Hussin mendapati beliau telah memadamkan status tersebut.


Kerana tamak dan berdegil tidak mahu meletak jawatan, Muhyiddin perlu berselindung di sebalik Perintah Darurat yang diisytiharkan.

Perkara ini diakui oleh Muhyiddin sendiri.

Dengan perkenan dari SPB YDP Agung untuk Isytihar Darurat, Muhyiddin boleh terus berkuasa sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya sehingga bulan Oktober 2021.

Sekiranya Darurat ditamatkan pada 1 Ogos 2021, maka seperti yang dijanjikan Muhyiddin, beliau akan memohon kepada SPB YDP Agung untuk membubarkan Parlimen dan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, Muhyiddin mempunyai masa hingga Oktober 2021 untuk terus memerintah.


Sejak tumbangnya Kerajaan Barisan Nasional dalam PRU 14, rakyat menderita dengan 2 kerajaan yang ditubuhkan selepas itu, Kerajaan Pakatan Harapan dan Kerajaan Perikatan Nasional.

Puncanya adalah kerana pemimpin di dalam Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional lebih mementingkan kuasa dan kedudukan mereka sahaja sedangkan kehidupan marhaen yang semakin hari semakin menderita terus diabaikan.

Untuk menobatkan kembali Barisan Nasional sebagai kerajaan, rakyat Malaysia perlu menunggu sekurang-kurangnya 8 bulan dari sekarang.

Sementara itu, kita terpaksa tabah dan bersabar.

Pastikan dalam PRU 15 nanti, rakyat Malaysia tidak tersalah pilih lagi.



Rujukan :



Monday, January 11, 2021

Adakah Muhyiddin Masih Lagi Perdana Menteri Malaysia Yang Sah?

|0 comments

Kedudukan Kerajaan Muhyiddin Yassin kini ibarat telur di hujung tanduk.


Apabila Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (UMNO) membuat sidang media untuk mengisytiharkan beliau telah menarik balik sokongan kepada Kerajaan Muhyiddin Yassin, kini jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Muhyiddin mempunyai bilangan yang sama dengan Ahli Parlimen yang berada di luar blok kerajaan.

Dalam ertikata yang lain, Muhyiddin sebenarnya sudah kehilangan kepercayaan Ahli Parimen untuk terus menjadi Perdana Menteri.

Apabila Perdana Menteri sudah hilang majoriti di Dewan Rakyat, maka secara teorinya, barisan kabinet yang dilantik oleh Perdana Menteri juga boleh dipertikaikan.

Cuma yang menyelamatkan Muhyiddin adalah kerana, selain dari Ahmad Jazlan, belum ada lagi Ahli Parlimen lain yang mengisytiharkan secara rasmi menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional.

Walau pun umum mengetahui, ada beberapa Ahli Parlimen yang terlebih awal telah memberikan gambaran tidak menyokong Kerajaan Muhyiddin, namun ianya tidak diambil kira sebagai angka yang rasmi.

Ekoran dari tindakan Ahmad Jazlan, beberapa cytro, khususnya yang pro PPBM telah cuba mempertahankan bilangan Ahli Parlimen yang masih berada di dalam blok Kerajaan Muhyiddin.

Menurut mereka, Muhyiddin masih lagi mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen dan beliau masih lagi sah sebagai Perdana Menteri, walau pun dengan majoriti yang sangat tipis, berdasarkan majoriti asal sebanyak 113 Ahli Parlimen (asalnya 114 tetapi seorang telah meninggal dunia), dan penarikan sokongan Ahmad Jazlan menjadikan 112 Ahli Parlimen di blok kerajaan dan 108 Ahli Parlimen di blok pembangkang (berdasarkan jumlah Ahli Parlimen terkini seramai 220 orang).

Bagi admin, tidak perlu pening-pening kepala, jika diambil dari pengiraan mudah, berdasarkan undian untuk RUU Perbekalan 2021, jumlah undian yang diperolehi oleh Kerajaan Muhyiddin adalah sebanyak 111 undi.

Ini bermakna dengan pengumuman Ahmad Jazlan, sokongan Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Muhyiddin kini sama ramai dengan Ahli Parlimen yang tidak menyokong Kerajaan Muhyiddin.

Namun bagi admin, apa yang lebih menarik ialah respon dari segelintir pihak UMNO sendiri.

Ada yang mempertikaikan tindakan Ahmad Jazlan dan menuduh beliau telah bertindak tidak mengikut ketetapan yang telah dibuat oleh parti UMNO dan cuba mendesak agar tindakan Ahmad Jazlan itu dibawa kepada Biro Politik UMNO supaya tindakan displin dapat diambil.


Hakikatnya, golongan ini lupa, sokongan yang diberikan oleh Ahli Parlimen UMNO terhadap Kerajaan Muhyiddin sehingga berakhirnya penggal ke 14 Parlimen, bukanlah sokongan parti UMNO tetapi ianya adalah terhad kepada sokongan Ahli Parlimen UMNO sahaja.

Perkara ini telah berkali-kali dijelaskan oleh Presiden UMNO.

Jadi tidak ada sebab mengapa pengumuman Ahmad Jazlan itu boleh dianggap telah bercanggah dengan keputusan parti.

Sebagaimana yang kita semua maklum, keputusan rasmi UMNO akan dibuat dalam Persidangan Agung UMNO yang dijangka akan dilakukan pada 31 Januari 2021.

Ada juga khabar yang mengatakan, Muhyiddin akan mengisytiharkan Pergerakan Kawalan Perjalanan (PKP) di hampir keseluruhan negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan dan Selangor atas alasan keadaan Covid-19 semakin tidak terkawal.

Persoalannya mengapa sekarang?

Angka jangkitan Covid-19 sudah secara konsisten mencecah angka 4 digit sejak Oktober 2020.

Mengapa tiada perancangan mahu melakukan semula PKP waktu itu.

Apakah Muhyiddin menggunakan alasan Covid-19 untuk mengelakkan dari perwakilan UMNO membuat ketetapan supaya kerjasama antara UMNO dan PPBM ditamatkan menjelang PRU 15?

Dijangkakan akan ada lagi Ahli Parlimen UMNO yang akan membuat sidang media untuk mengisytiharkan secara rasmi menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Muhyiddin.

Kalau itu berlaku, apakah Muhyiddin masih akan berkeras mendakwa beliau masih lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat?

Tidak perlulah dimainkan sentimen UMNO tamak atau gila kuasa apabila ianya berlaku kerana mahukan PRU 15 diadakan ketika rakyat berada dalam kesusahan dengan bencana banjir dan pandemik Covid-19.

Memang benar, Kerajaan Muhyiddin akan tumbang apabila ada lagi Ahli Parlimen UMNO membuat kenyataan rasmi menarik balik sokongan tetapi pilihanraya bukanlah satu-satunya pilihan yang kita ada.

SPB YDP Agung boleh membubarkan parlimen dan dalam masa yang sama menangguhkan PRU 15 sehingga keadaan banjir dan Coviod-19 terkawal.

Sementara menunggu PRU 15, baginda YDP Agung boleh melantik seorang Perdana Menteri Interim yang bukan datangnya dari Ahli Parlimen dan Perdana Menteri Interim ini boleh melantik barisan kabinet interim sebagai 'care taker government' bagi mengatasi masaalah banjir dan Covid-19 tanpa campurtangan dari ahli politik.

Walau pun secara rasminya, Muhyiddin sudah kehilangan majoriti di Parlimen, namun beliau masih lagi berdegil mahu berkuasa sebagai Perdana Menteri dengan menggunakan pandemik Covid-19 sebagai perisai.

Penderitaan rakyat diambil kesempatan oleh Muhyiddin.

Kalau Muhyiddin bermaruah, letaklah jawatan dan mengadap SPB YDP Agung untuk mencadangkan kepada baginda supaya Parlimen dibubarkan dan kembalikan mandat kepada rakyat bagi memberi laluan kepada PRU 15 selepas keadaan banjir dan Covid-19 terkawal.

Saturday, January 9, 2021

Projek HSR : Kerajaan Perikatan Nasional Di Telanjangkan Oleh Kerajaan Singapura!!!

|0 comments

Kerajaan Perikatan Nasional terus berdolak dalih sama ada mahu meneruskan projek mega 'High Speed Rail' atau HSR antara Kuala Lumpur dan Singapura.


23 November 2020, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustafa Mohamad, ketika memberikan jawapan kepada MP Jelutong, RSN Rayer, memaklumkan Kerajaan Perikatan Nasional 
TIDAK AKAN membatal atau menangguhkan projek-projek mega yang sudah dirancang kerana ia akan menyebabkan ramai rakyat Malaysia pelbagai peringkat kehilangan perkerjaan.

Tidak sampai 2 bulan kenyataan pertama dikeluarkan, menteri yang sama mengumumkan pula Kerajaan Perikatan Nasional AKAN MEMBATALKAN projek HSR Kuala Lumpur - Singapura atas alasan keadaan ekonomi Malaysia yang terjejas teruk akibat dari pandemik Covid-19!!!

Persoalannya : 

1) Adakah benar projek HSR Kuala Lumpur - Singapura dibatalkan kerana ekonomi Malaysia terjejas teruk akibat pandemik Covid-19?

2) Mengapakah Kerajaan Perikatan Nasional tidak konsisten dalam membuat keputusan yang besar, lebih-lebih lagi apabila ianya membabitkan hubungan dua hala antara Malaysia dan negara jiran, Singapura?

Kalau benar seperti yang Kerajaan Perikatan Nasional dakwa, projek HSR Kuala Lumpur - Singapura dibatalkan kerana keadaan terkini ekonomi Malaysia, kita merasa pelik, bagaimana dalam kegawatan begini Kerajaan Perikatan Nasional boleh buat keputusan untuk lanjutkan tren ERL ke Johor Bahru sebagai projek HSR KL-Johor Bahru medium laju separuh dari HSR Kuala Lumpur - Singapura dengan kos hampir sama projek HSR KL-Singapura yang dibatalkan mereka?

Untuk meneruskan projek terkini teknologi keretapi berkelajuan tinggi, HSR Kuala Lumpur - Singapura, Kerajaan Perikatan Nasional dakwa tidak mampu tetapi dengan kos yang sama, Kerajaan Perikatan Nasional mampu pula untuk melanjutkan perkhidmatan ERL yang sedia ada hingga ke Johor Baru tetapi dengan kelajuan yang hanya separuh dari HSR Kuala Lumpur - Singapura!!!

Malah Kerajaan Perikatan Nasional mampu juga membayar pampasan setiap tahun kepada syarikat pengendali ERL!!!


Apa yang lebih memalukan, Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Yee Kung, ketika mendedahkan punca utama Kerajaan Singapura membatalkan projek HSR Kuala Lumpur - Singapura di dalam Parlimen Singapura adalah kerana :

"Perubahan signifikan untuk tidak mengekalkan AssetsCo sebagai pembekal merupakan kebimbangan utama buat Singapura, sekaligus menjurus kepada pembatalan projek berkenaan."

"Disebabkan dua-dua negara tidak mempunyai kepakaran atau pengalaman dalam menjalankan HSR, kami bersetuju di bawah persetujuan bilateral HSR untuk melantik pemain industri yang terbaik melalui tender antarabangsa secara terbuka dan telus bagi memainkan peranan AssetsCo."

"Setelah dilantik, AssetsCo akan membekalkan sistem kereta api, menjalankan operasi rangkaian, memastikan keutamaan diberikan secara wajar kepada HSR sebagai perkhidmatan rentas-sempadan serta tujuan domestik di Malaysia, dan boleh dipertanggungjawabkan oleh Singapura dan Malaysia."

"Ini akan memastikan sebarang perselisihan pendapat pada masa hadapan dapat dielakkan apabila projek ini dijangka akan berlanjutan selama berdekad."

"Malaysia turut bercadang untuk menyambung jajaran HSR ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang akan menyebabkan kereta api itu berkongsi trek dengan trek kereta api lain yang sedia ada."

"Express Rail Link merupakan model sistem kereta api sedia ada yang bergerak pada kelajuan separuh daripada kelajuan HSR." 

"Sekiranya ini diteruskan, terdapat banyak isu teknikal yang perlu ditangani." 

Kenapa Kerajaan Singapura bertegas tidak mahu menghapuskan syarikat AssetsCo dan apakah peranan yang akan dimainkan oleh AssetsCo dalam projek HSR Kuala Lumpur - Singapura?

AssetsCo adalah syarikat usahasama dua negara yang akan terlibat dalam rekabentuk dan penyeliaan projek. 

Termasuklah kelulusan sebarang tender yang melibatkan projek berkenaan.

Jika AssetsCo dihapuskan, maka setiap negara berhak membuat keputusan sendiri bagi tender pembinaan pakej HSR di dalam kawasan mereka.

Contohnya jika Malaysia mahu membuat tender runding terus kepada syarikat kontraktor bagi pakej HSR negara kita, maka Singapura tidak akan dapat menolak kerana tiada kuasa sepertimana yang wujud dalam persefahaman AssetsCo.

90 peratus HSR adalah dalam Malaysia. 

Oleh itu anggaran kos projek bagi negara kita sahaja adalah sekitar RM60 bilion.

Perkara ini tidak dipersetujui Singapura atas kebimbangan daripada segi pematuhan spesifikasi dan ketelusan proses perolehan. 

Bagi Singapura, disebabkan kedua-dua negara tiada kepakaran dalam teknologi pembinaan HSR, maka tender terbuka peringkat antarabangsa hendaklah dilakukan.

Kebimbangan Kerajaan Singapura adalah juga senada dengan apa yang dinyatakan oleh mantan Perdana Menteri ke 6, DS Najib Razak.

Pembatalan projek HSR Kuala Lumpur - Singapura akan menyebabkan Kerajaan Malaysia terpaksa membayar sejumlah pampasan kepada Kerajaan Singapura.


Lebih memusykilkan lagi bila Mustafa Mohamad memaklumkan, jumlah pampasan yang akan dibayar kepada Kerajaan Singapura adalah 
RAHSIA dan tidak boleh didedahkan!!!

Kenapa tidak boleh didedahkan?

Rakyat mahu tahu kerana yang digunakan itu adalah duit rakyat!!!

Mengapakah Kerajaan Perikatan Nasional tidak mahu sebarang kontrak yang akan ditawarkan dalam projek HSR Kuala Lumpur - Singapura dilakukan secara tender terbuka tetapi mahu ianya diberikan secara runding terus?

Apa keperluan mendesak untuk setiap kontrak diberikan secara runding terus?

Soalan yang paling utama yang mesti dijawab oleh Mustafa Mohamad dan Kerajaan Perikatan Nasional ialah mengapa menipu rakyat dengan memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah atas pembatalan projek HSR Kuala Lumpur - Singapura?

Apa yang cuba disembunyikan!!!

Thursday, January 7, 2021

Siapa Perancang Fitnah UMNO Akan Berkerjasama Dengan DAP?

|0 comments

Naratif yang cuba dimainkan oleh Annuar Musa adalah beliau telah dipecat dari jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional dan Setiausaha Agung Muafakat Nasional.

Tidak sukar kita telah, apa motif sebenar Annuar Musa berbuat demikian, sudah pastinya untuk meraih simpati dan 'to play innocent'.

Cuba menggambarkan bahawa beliau adalah individu yang teraniaya.

Kononnya, kerana lantang bersuara dan berpegang kepada prinsip yang tegas 'NO DAP', maka beliau telah dianiaya oleh UMNO.


Namun kalaulah benar seperti apa yang Annuar Musa dakwa, kenapa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pantas 
MENAFIKAN kenyataan Annuar Musa?

Tetapi, apakah benar Annuar Musa berpegang teguh kepada prinsip 'NO DAP'?



Timbul persoalan, apakah benar ada usaha yang telah dilakukan oleh pemimpin UMNO untuk membentuk kerjasama politik dengan DAP dan kalau ianya tidak benar, siapakah yang memulakan fitnah ini?

PPBM sebelum ini memainkan naratif UMNO akan ketinggalan kapal kerana kononnya PAS tidak akan memihak kepada UMNO sebaliknya bersama PPBM, yang dicanang hanya sebulan dua selepas kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan pada Mac 2020.

Ini dilakukan kerana PPBM hampir tidak mempunyai langsung kekuatan di akar umbi sebaliknya terpaksa menumpang PAS dan UMNO dan naratif ini terpaksa dimainkan agar PAS segera memihak kepada mereka jika terpaksa memilih antara UMNO ataupun PPBM.

Bagi menguatkan hujah melalui naratif pertama yang lemah ini, naratif kedua dimainkan tidak berapa lama kemudian apabila PAS walaupun dilihat bersama Perikatan Nasional, namun pucuk pimpinan mereka masih ragu-ragu dan tidak mempercayai sepenuhnya PPBM.

Naratif kedua ini ialah UMNO akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP yang dimainkan sebaik sahaja berlaku pergeseran antara Dr Mahathir dan Pakatan Harapan terutamanya dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Apa motif mereka?

PAS sudah pasti akan lebih mesra kepada PPBM dan akan mula menjauhi UMNO kerana selain dari tidak bolewh menerima DAP, adalah amat mustahil bagi PAS dapat menerima PAN yang menjadi sekutu kuat DAP.

PPBM amat menyedari, adalah sangat mustahil untuk UMNO dapat menerima PPBM kerana penolakan akar umbi UMNO terhadap PPBM sangat kuat dan ini terbukti apabila 189 dari 191 Bahagian UMNO yang bermesyuarat memberikan mesej yang jelas untuk menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PPBM.

Dalam masa yang sama juga, PPBM amat menyedari PRU 15 tidak dapat tidak, mesti dilakukan dalam jangka waktu yang terdekat tetapi kekuatan PPBM di peringkat akar umbi tersangat rapuh hingga ke saat ini.

Hanya PAS yang dapat membantu PPBM dalam PRU 15 kerana selain mempunyai cawangan di seluruh Malaysia, PAS juga mempunyai kekuatan akar umbi.

Pemimpin UMNO mesti terus diserang dan kekuatan UMNO mesti dilemahkan.


Cara yang terbaik untuk mewujudkan kekeliruan dan penolakan akar umbi UMNO terhadap pemimpin dan juga parti UMNO ialah dengan membawakan fitnah bahawa kepimpinan tertinggi UMNO sedang berusaha untuk menjalinkan kerjasama dengan DAP dan Anwar Ibrahim.

PPBM mengharapkan supaya akar umbi UMNO bangkit dan menyerang pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO apabila fitnah ini disebarkan, tetapi dari usul yang dibawakan oleh 189 Bahagian UMNO, tidak ada satu pun usul yang mendesak supaya kepimpinan tertinggi UMNO menghentikan sebarang usaha untuk mengadakan kerjasama politik dengan DAP.

Cuma dalam sidang media yang baru-baru ini diadakan oleh Annuar Musa, beliau cuba menyemarakkan kembali fitnah UMNO mahu berkerjasama dengan DAP.

Namun tidak pula dengan jelas Annuar Musa nyatakan, dari sumber mana beliau mendapat berita itu dan apakah ada bukti untuk memperkukuhkan dakwaan beliau itu.

Sangat janggal bila seorang veteran politik seperti Annuar Musa mewarwarkan sesuatu yang beliau anggap fakta tetapi cuma bersandarkan dari maklumat yang tidak pasti kesahihannya.

Jelas, naratif UMNO akan bersama DAP dan Pakatan Harapan ini adalah suatu fitnah dan gerakan perang saraf yang dijalankan sama seperti isu GST dan 1MDB sebelum PRU 14 yang lepas.

Naratif ini dimainkan semata-mata kerana ingin mewujudkan kesangsian dalam kalangan penyokong UMNO terhadap beberapa pemimpin tertingginya serta ingin merenggangkan hubungan PAS dan UMNO dalam Muafakat Nasional, dengan tujuan utama ingin mengungguli Perikatan Nasional agar dapat terus memerintah selepas PRU 15.

Siapakah di sebalik fitnah terhadap UMNO ini?

Kumpulan yang sama menyebarkan fitnah terhadap GST dan 1MDB sebelum PRU 14 dahulu, sebahagiannya ada di dalam PPBM dan sebahagiannya pihak luar PPBM tetapi mempunyai kawalan penuh ke atas PPBM dan Perikatan Nasional.

Oleh itu, usul 189 Bahagian UMNO dan keputusan kepimpinan tertinggi UMNO untuk menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PPBM adalah tepat.

Tahniah kepada akar umbi UMNO yang tidak terpengaruh dengan strategi yang sama digunakan oleh musuh politik UMNO buat kali kedua.

Tugas akar umbi UMNO sekarang adalah untuk menerangkan dan meyakinkan pengundi UMNO yang tidak menjadi ahli UMNO bahawa cerita UMNO akan berkerjasama dengan DAP adalah fitnah semata-mata, jangan sampai tertipu buat kali kedua sebagaimana sebelum PRU 14 dahulu.

Tuesday, January 5, 2021

Muktamad UMNO Tidak Akan Berkerjasama Dengan PPBM Dalam PRU 15

|0 comments

1 Januari hingga 2 Januari 2021 adalah tarikh mesyuarat bagi ketiga-tiga sayap parti UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri di seluruh negara, manakala mesyuarat di peringkat Bahagian pula telah diadakan pada keesokan harinya, 3 Januari 2021.

Mesyuarat ini akan melibatkan sebanyak 764 persidangan yang akan membabitkan 4 persidangan bagi 191 Bahagian UMNO di seluruh Malaysia.

Hasil dari 764 persidangan kali ini diikuti secara rapat oleh sekutu dan seteru politik UMNO, terutamanya persidangan 191 Bahagian UMNO yang dijangkakan akan menentukan halatuju politik UMNO.

Usul yang akan dikemukakan oleh kesemua Bahagian UMNO itu bukan sekadar akan menentukan halatuju UMNO tetapi juga sebagai parti terbesar di Malaysia ianya juga akan menentukan corak landskap politik negara sewaktu dan selepas PRU 15 nanti.

Isu yang pasti hangat dan akan dibincangkan dalam mesyuarat di peringkat Bahagian UMNO sudah pastinya menyampaikan mesej dan suara akar umbi UMNO kepada kepimpinan tertinggi UMNO mengenai hubungan dan kerjasama politik antara UMNO dan PPBM.


Sebelum bermulanya mesyuarat di peringkat Bahagian, mantan Presiden UMNO, DS Najib Razak telah menyampaikan mesej yang sangat jelas kepada semua perwakilan yang akan bersidang agar berani menyuarakan kehendak akar umbi.

Hasilnya 189 dari 191 Bahagian UMNO telah membuat ketetapan untuk MENOLAK kerjasama politik dengan PPBM dalam PRU 15 nanti.

Dalam memberi respon terhadap keputusan 189 Bahagian UMNO itu, Presiden UMNO, DS Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan suara dan keputusan akar umbi mesti dihormati dan dijadikan keputusan parti UMNO. 

Beliau akan memanggil mesyuarat diperingkat Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk membincangkan perkara itu 6 Januari 2021.

Sebenarnya tidak ada sebab untuk Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk menolak ketetapan dan suara akar umbi UMNO itu kerana kalau mengikut persetujuan asal, kerjasama antara UMNO dan PPBM bukanlah kerjasama antara 2 parti politik tetapi ianya hanyalah sokongan antara Ahli Parlimen UMNO dengan PPBM dan sokongan ini hanyalah setakat akhir penggal ke 14 Parlimen sahaja.

Dalam artikata lain, sebaik sahaja Parlimen penggal ke 14 ini dibubarkan bagi memberikan laluan kepada PRU 15, maka sokongan Ahli Parlimen UMNO kepada PPBM akan terbatal dengan sendirinya.


Mana-mana Ahli Parlimen yang masih mahu meneruskan kerjasama dengan PPBM selepas itu, bolehlah meninggalkan UMNO dan melompat kepada PPBM.

Tidak perlu lagi menjadi musuh dalam selimut atau musang berbulu ayam di dalam UMNO.

Sangat jelas, lebih 95% Bahagian UMNO telah menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PPBM selepas penggal Parlimen ke 14 berakhir.

Ini bermakna, mana-mana Ahli Parlimen yang menongkah arus dengan berkeras mahu kerjasama politik dengan PPBM akan berhadapan dengan kemarahan dan penolakan 3.5 juta ahli UMNO dari seluruh negara.


Dalam satu perkembangan yang lain, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang pemimpin UMNO yang diketahui berkiblatkan PPBM.


Setiausaha Agung BN, 
Annuar Musa adalah antara pemimpin yang lantang menyatakan bahawa UMNO perlukan PPBM sekiranya mahu menang dalam PRU 15.

Untuk pengetahuan Annuar Musa, dalam PRU 15 nanti, PPBM yang sangat-sangat memerlukan UMNO dan bukannya UMNO yang memerlukan PPBM.

UMNO juga bertegas untuk bertanding di 96 kerusi Parlimen dalam PRU 15 nanti, sama ada dalam pertandingan 2 penjuru atau pun 3 penjuru, sekiranya PPBM juga mahu meletakkan calun mereka.

Dan sekiranya Annuar Musa masih lagi bercita-cita untuk UMNO memberikan laluan di kawasan selamat kepada PPBM, eloklah dipadamkan sahaja cita-cita itu, kerana Annuar Musa tidak mempunyai apa-apa autoriti untuk bercakap bagi pihak UMNO.

Kepada seluruh akar umbi UMNO di seluruh negara, tahniah kerana telah berani menyuarakan kehendak akar umbi dengan jelas kepada kepimpinan tertinggi UMNO.

Kepada kepimpinan tertinggi UMNO, ingatlah, tegaknya pucuk kerana akar dan UMNO adalah parti milik 3.5 juta ahli akar umbi dan bukannya milik segelintir golongan elit.
fda