Sunday, December 20, 2020

Sebelum Segala-Galanya Terlambat, UMNO Mesti Bertindak Keluar Dari PN Sekarang!!! (Bahagian 2)


Seperti yang admin tuliskan dalam siaran yang lepas, kesilapan paling besar yang UMNO lakukan ialah apabia bersetuju menjalinkan kerjasama politik bersama PPBM, sebuah parti yang ditubuhkan khusus untuk membunuh UMNO dalam membentuk Kerajaan Perikatan Nasional.

Sifat tamak dan rakus PPBM terserlah, apabila, walau pun menyedari mereka tidak mempunyai bilangan Ahli Parlimen majoriti dalam gabungan Perikatan Nasional, namun enggan mengalah dan berkeras mahu menyandang jawatan Perdana Menteri sebagai kesinambungan dari Kerajaan Pakatran Harapan yang baharu ditumbangkan.

UMNO mengalah dan tanpa menyelidiki niat sebenar PPBM, telah menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Presiden PPBM.

Selepas diberikan jawatan Perdana Menteri, Muhyiddin, bertindak mengenepikan nama-nama yang telah dicalunkan oleh Presiden UMNO, DS Zahid Hamidi, untuk diletakkan di dalam senarai kabinet beliau.

Malah beliau dengan angkuhnya telah memilih sendiri Ahli Parlimen UMNO yang beliau pasti mudah untuk beliau pengaruhi dalam melaksanakan agenda tersembunyi PPBM.

Ahli Parlimen UMNO yang tiada apa-apa jawatan dalam UMNO seperti Khairy Jamaluddin aka KJ, Hishamuddin Tun Hussien dan Annuar Musa telah dilantik sebagai menteri penuh di dalam kabinet Muhyiddin Yassin.

Siapakah mereka?

KJ adalah pemimpin UMNO yang tewas kepada DS Zahid Hamidi dalam pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO, manakala Hishamuddin pula adalah seorang yang dikenal pasti sebagai seorang yang setia kepada Dr Mahathir, malah Hishamuddin juga adalah perancang utama dalam isu Ahli Parlimen UMNO melompat ke PPBM selepas tewas dalam PRU 14.

Perkara ini telah didedahkan oleh KJ sendiri.



Malah Anwar Ibrahim sendiri pernah menyindir Hishamuddin dalam Dewan Rakyat.


Annuar Musa pula memang dari dahulu lagi dikenali sebagai politikus yang opportunis dan akan berkiblatkan kepada siapa sahaja yang boleh memberikan keuntungan peribadi kepada beliau.

Seawal kejatuhan BN, Annuar Musa telah mula menunjukkan wajah sebenar beliau!!!

Mengapa Muhyiddin bertindak sedemikian?

Supaya senang beliau melakukan serangan dari dalam UMNO apabila apa juga serangan yang dilakukan PPBM terhadap UMNO dapat dibantu dari dalam UMNO sendiri.

Berjaya menjadikan pemimpin UMNO yang berpengaruh sebagai proksi mereka di dalam UMNO, PPBM melancarkan serangan kedua terhadap UMNO.

Kekuatan kerjasama UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional adalah sesuatu yang sangat menggerunkan PPBM.

Kekuatan ini mesti dihancurkan segera sebelum kedatangan PRU 15.

PPBM sedar amat mustahil untuk UMNO ditekan supaya meninggalkan Muafakat Nasional, lalu sekutu UMNO dalam Muafakat Nasional, PAS, dijadikan sasaran.

Kejayaan menarik keluar PAS dari Muafakat Nasional akan dapat menyelesaikan 2 masaalah PPBM dalam satu masa.

Pertama, kekuatan Muafakat Nasional yang selama menghantui PPBM dapat dileraikan dan PAS, walau pun cuma mempunyai 18 Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat, tetapi mempunyai kekuatan akar umbi dan jentera yang sangat tersusun, sesuatu yang tidak ada pada PPBM.

PPBM juga sedar, ada di kalangan pemimpin PAS yang boleh dikaburi mata mereka dengan jawatan dan kuasa.

Lalu mereka ini diberikan tempat di dalam kabinet Muhyiddin dan akan berperanan sebagai proksi PPBM di dalam PAS.

Pendaftaran Muafakat Nasional tidak dibenarkan oleh pentadbiran Muhyiddin tetapi PPBM datang dengan satu gagasan baru yang dinamakan Perikatan Nasional yang hanya mengambil masa 3 hari untuk didaftarkan secara sah.


PAS dijemput untuk menganggotai jawatankuasa penaja Perikatan Nasional dan dengan sendirinya PAS akan bersikap lebih mesra kepada PPBM berbanding UMNO.

Akibatnya, Muafakat Nasional yang dibina UMNO bersama PAS hanya ibarat hidup segan, mati tak mahu.

Sudahlah disekat pendaftarannya, PAS pula sekarang ini dilihat sudah tidak berminat untuk terus memperkasakan Muafakat Nasional.


Walau pun beberapa ahli PAS sudah menyerahkan memorandum bantahan kepada PAS pusat supaya keluar dari Perikatan Nasional dan kembali memperkasakan Muafakat Nasional bersama UMNO, namun bagi admin, memorandum tersebut tidak akan dapat memberikan apa-apa impak kepada keputusan tertinggi PAS untuk terus bersama PPBM dalam Perikatan Nasional.

Akar umbi UMNO sememangnya konsisten dari dahulu menolak sebarang kerjasama antara UMNO dan PPBM, namun tidak diendahkan oleh kepimpinan tertinggi UMNO.

Sudah sampai masanya UMNO membuat pendirian tegas dan melakukan tindakan drastik untuk meninggalkan Perikatan Nasional yang didominasi oleh PPBM yang semakin hari semakin menekan UMNO.


Kepimpinan UMNO mesti peka dengan suara akar umbi UMNO, seperti peringatan Timbalan Presiden UMNO, DS Mohamad Hasan aka Tok Mat Hasan, jangan biarkan akar umbi UMNO di makan anai-anai.

Ingat, kekuatan UMNO adalah di akar umbi dan sekiranya akar umbi UMNO yang selama ini mendokong UMNO di saat susah dan senang, dibiarkan dimamah anai-anai, pasti bahtera UMNO akan karam hingga tidak bersisa.

Sebelum segala-galanya terlambat, UMNO mesti bertindak keluar dari PN sekarang!!!

0 comments:

fda

Archives