Monday, December 14, 2020

Berhenti Menjadi Budak Suruhan PPBM Kalau Pemimpin PAS Benar-Benar Ikhlas Dalam Perjuangan


Dalam ucapan penangguhan Muktamar PAS ke 64, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, menyampaikan amanat Akidah Perjuangan PAS Mendapat Redha Allah SWT, antara amanat yang beliau uicapkan ketika itu adalah 

"Akar umbi organisasi PAS berasaskan aqidah perjuangan yang panjang, demi mendapat keredhaan Allah SWT, walau pun jauh perjalanannya daripada dunia sehingga akhirat."

"Berbeza degan mereka yang hanya berjuang untuk menegakkan teori atau ideologi impian manusia demi mengejar cita-cita yang difikirkan dan hanya berwawasan dalam kehidupan dunia sementara waktu."

Cukup mendalam amanat yang disampaikan oleh Presiden PAS itu dan bersesuaian dengan moto perjuangan PAS dalam dunia politik, 'ISLAM MEMIMPIN', amanat yang disampaikan beliau itu, sekiranya dijadikan panduan dalam perjuangan politik, In Sya Allah, akan mendapat bantuan dan keredhaan dari Allah SWT.

Tetapi, apakah amanat yang Presiden PAS itu masih lagi digenggam erat oleh kepimpinan tertinggi PAS ketika ini?

Mutakhir ini, kepimpinan tertinggi PAS sering menggunakan alasan penyatuan ummah sebagai penjelasan atas segala tindak tanduk dan keputusan yang mereka lakukan.

Kepimpinan tertinggi PAS juga sering mendakwa mereka akan memainkan watak sebagai pendamai antara UMNO dan PPBM supaya masyarakat Melayu Islam di Malaysia dapat disatukan kembali setelah sekian lama berpecah belah.

Tetapi sayangnya, majoriti rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu Islam melihat, apa yang didakwa oleh kepimpinan tertinggi PAS adalah jauh berbeza dengan apa yang sedang mereka lakukan sekarang ini.

Kepimpinan PAS dilihat bukan sahaja tidak mencerminkan watak pendamai antara UMNO dan PPBM tetapi lebih malang lagi, kepimpinan PAS dilihat telah menjadi budak suruhan PPBM yang diperkudakan sesuka hati oleh PPBM.


Dalam Pilihanraya Negeri Sabah yang lepas, PAS bukan sahaja langsung tidak diberikan tempat untuk meletakkan calun, malah sikap PPBM terhadap PAS dengan jelas telah menghina dan memperlekehkan PAS yang telah lebih 6 dekad bertapak dalam dunia politik tanahair.

Walau pun PAS secara terang-terangan telah menyatakan hasrat untuk meletakkan sekurang-kurangnya 10 calun dalam Pilihanraya Negeri Sabah 2020, PPBM yang merasakan diri mereka adalah 'abang besar' dalam Perikatan Nasional yang PPBM cipta, bukan sahaja tidak membenarkan PAS meletakkan calun, malah ketika Majlis Penamaan Calun Pilihanraya Negeri Sabah 2020, 'abang besar' Perikatan Nasional, PPBM, TIDAK MENJEMPUT PAS ke majlis tersebut.

Tetapi akar umbi dan jentera pilihanraya PAS di Sabah tetap dikerahkan untuk berkerja bermati-matian membantu calun dari Perikatan Nasional terutamanya PPBM yang tidak mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi, apa lagi jentera pilihanraya di Sabah.

Penguasaan PPBM terhadap PAS semakin jelas kelihatan ketika menghadapi kemelut politik di Perak baru-baru ini.


Apabila Menteri Besar Perak dari PPBM, Ahmad Faizal Azumu aka Peja, gagal mendapatkan majoriti sokongan dari ADUN Perak dalam usul undi percaya terhadap beliau yang telah dilakukan pada 4 Disember 2020, PAS telah diarahkan untuk mengeluarkan kenyataan TIDAK AKAN menyertai 'Kerajaan Negeri Perak yang baharu' di bawah kepimpinan UMNO.

Walau pun ketika itu, PPBM belum lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai isu tersebut, namun PAS rela diperkudakan, walau pun amat menyedari kenyataan yang tergesa-gesa itu akan membawa risiko yang sangat besar kepada PAS.

Lebih mengejutkan lagi, apabila DYMM Sultan Perak menitahkan supaya kesemua ADUN mengadap baginda sebagai usaha baginda untuk menyelesaikan kemelut tersebut secepat mungkin, PAS akur dengan arahan PPBM supaya ketiga-tiga ADUN PAS mengingkari titah baginda Sultan Perak dengan tidak pergi mengadap baginda Sultan Perak.


Tetapi dalam masa yang sama, PPBM telah mengarahkan semua ADUN mereka untuk mengadap ke bawah DYMM Sultan Perak.

Akibat dari terlalu menurut perintah PPBM, penderhakaan 3 ADUN PAS itu telah menimbulkan kemurkaan DYMM Sultan Perak.

Bukan sahaja Sultan Perak tidak memperkenankan permohonan Menteri Besar Perak yang baharu, Datuk Haji Saarani Mohamad, untuk melantik salah seorang ADUN PAS sebagai Ahli Mesyuarat Negeri Perak (Exco Perak), malah permohonan Presiden PAS dan 3 ADUN PAS untuk mengadap tuanku Sultan Perak bagi meminta maaf juga masih belum mendapat sebarang maklum balas dari pihak Istana Perak.

Sebagai sebuah parti yang meletakkan perjuangan Islam di hadapan serta ditunjangi oleh pemimpin-pemimpin Melayu Islam, maruah dan kredibiliti PAS telah tercalar teruk.

Pemimpin PAS dilihat sebagai golongan yang hipokrit.

Mereka menanamkan sifat wala' kepada pemimpin ke atas penyokong PAS tetapi mereka sendiri tidak wala' kepada raja, malah derhaka terhadap raja.

Sedang pemimpin PAS tersepit dan bergelut untuk meminta maaf kepada Sultan Perak dan dalam masa yang sama terpaksa berhadapan dengan penyokong PAS yang mula mempersoalkan tindakan mereka, pemimpin PPBM dilihat tersenyum puas melihat kesetiaan dan ketaatan pemimpin PAS dalam mematuhi semua perintah yang mereka berikan.

Kepada pemimpin PAS, kalau sudah menyedari tersesat di hujung jalan, kembalilah semula ke pangkal jalan.

Tidak ada manusia yang tidak melakukan kesilapan, namun apa yang penting, jadikanlah pengalaman semalam sebagai panduan untuk menghadapi hari esok.

Janganlah disalah gunakan ketaatan dan kesetiaan penyokong PAS demi untuk memenuhi kehendak dan aspirasi individu tertentu.

Kalau benar-benar ikhlas dalam perjuangan yang meletakkan Islam di hadapan, berhentilah menjadi budak suruhan PPBM yang sememangnya diketahui dipenuhi dengan pengkhianat.

0 comments:

fda

Archives