Monday, September 14, 2020

PRN Sabah : Tiada Kerusi Untuk PAS, Game PPBM Atau Game UMNO?


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima 447 kertas pencalonan untuk bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 Sept ini selepas tempoh penamaan berakhir pada 12 September jam pukul 10 pagi.

Menurut Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, daripada jumlah itu 404 calon adalah lelaki manakala 43 lagi calon wanita.

Daripada 447 calon itu, seramai 73 adalah daripada Parti Cinta Sabah (PCS), diikuti Parti Warisan Sabah (Warisan) (53), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) (47), Parti Liberal Demokratik (LDP) (46), Barisan Nasional (BN) (41), Perikatan Nasional (PN) (29), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) (28), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) (23) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) (22), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (12), PKR (7), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) (5), Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) (2) dan masing-masing satu calon bagi Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Kebangsaan Sabah (PKS) serta Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Pertubuhan).

Apa yang menjadi persoalan ialah tiada calun dari PAS, walau pun PAS dari awal telah menyuarakan hasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya 10 kerusi DUN dari 73 kerusi DUN yang ada di Sabah.

Namun selepas proses penamaan calun selesai, tiada seorang pun calun dari PAS telah diletakkan untuk bertanding di PRN Sabah.

Sebaik sahaja pengumuman dibuat, terdapat beberapa pihak dari Pakatan Harapan cuba spin isu ini dengan menyalahkan UMNO dan menuduh UMNO terlalu tamak dan tidak memberi ruang kepada PAS untuk meletakkan calun di PRN Sabah.

Motif mereka adalah untuk melaga-lagakan UMNO dan PAS, dengan harapan agar Muafakat Nasional yang semakin mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat akan berkubur.


Admin menyeru pemimpin dan penyokong PAS agar bersikap rasional untuk kita rungkaikan, apakah benar UMNO yang menyebabkan tiada ruang untuk PAS bertanding atau ianya adalah kerana sikap tamak PPBM yang mahu meletak seberapa banyak calun yang boleh di PRN Sabah.

Rundingan awal berlaku antara Umno yang mewakili Barisan Nasional dan PPBM yang mewakili Perikatan Nasional.

Hasil rundingan itulah yang dibawa ke gabungan parti masing-masing untuk diagihkan kepada parti komponen.

Disebabkan PAS sebahagian daripada Perikatan Nasional, kedudukan PAS tertakluk kepada perbincangan dalaman gabungan tersebut.

Kebanyakan kerusi yang mahu ditandingi PAS sebenarnya ditandingi oleh PPBM.

Sebagai contoh kerusi DUN Merotai yang asalnya kawasan tradisi Barisan Nasional, kini ditandingi PPBM. 

DUN ini antara kerusi berpotensi PAS kerana mereka berjaya memperoleh lebih 1,200 undi pada PRU 14 yang lalu.

Alasan PAS tidak sesuai dengan sentimen tempatan sepertimana kenyataan pemimpin Perikatan Nasional Sabah adalah sesuatu yang tidak logik. 

PAS memperoleh lebih 13,000 undi popular pada PRU-14 di negeri Sabah berbanding SAPP
yang hanya memperoleh 6,000 undi popular. 

Tetapi SAPP diberikan 2 kerusi oleh Perikatan Nasional!!!

Ketamakan PPBM ini akan mengundang padah besar kepada sentimen pengundi Semenanjung. 

Betul, PAS kurang popular di Malaysia Timur dengan hanya memperoleh 24,000 undi di Sabah dan Sarawak pada PRU-14.

Tetapi PAS juga memperoleh 1.98 juta undi di seluruh Semenanjung, ketika PRU 14 di mana PAS bertanding di atas tiket mereka sendiri tanpa gabungan dengan mana-mana parti politik!!!

Ianya hampir 5 kali ganda dari jumlah keahlian keseluruhan PPBM dan kekuatan ini lebih daripada cukup untuk membunuh terus hayat PPBM.


Bayangkan sehingga dalam saat begini pun, PPBM masih mahu membolot lagi tambahan beberapa kerusi. 

Mujurlah Bung Moktar Radin bertegas dan lebih awal mengisytiharkan kedudukan kerusi yang akan ditandingi Barisan Nasional bagi mengelakkan pertelagahan lanjut.

Apa yang berlaku ini sepatutnya sudah menjadi 'wake up call' kepada PAS tentang kedudukan PAS dalam gabungan baru Perikatan Nasional. 

Tidak menghairankan bila penyokong PAS di peringkat akar umbi menyatakan rasa tidak puas hati mereka, malah pemimpin di peringkat akar umbi juga ada yang telah menyatakan secara terbuka perasaan marah mereka.

Jika sekiranya PPBM pada saat akhir pun masih enggan menyantuni kehendak kecil PAS Sabah, maka PAS perlu menilai semula kedudukan dan nilai mereka dalam Perikatan Nasional.

Berdasarkan kekuatan semasa, PAS adalah parti yang sepatutnya mengetuai Perikatan Nasional sepertimana UMNO memandu Barisan Nasional.

Sebuah parti berpengalaman seperti PAS tidak sepatutnya duduk lebih rendah daripada sebuah parti setahun jagung seperti PPBM.

Tak betul jika ada segelintir yang menyalahkan Umno apabila PAS tidak diberikan sebarang kerusi dalam PRN Sabah.

Pemimpin PAS patut sedar bagaimana ia dilayan oleh PPBM dalam Perikatan Nasional.

Dengarlah keluhan dan keresahan penyokong dan pemimpin akar umbi PAS kerana mereka adalah tunjang kekuatan PAS yang selama ini berkorban, berpanas dan berhujan untuk memperjuangkan PAS tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan.

Benar, sikap taat kepada pemimpin adalah sangat penting dalam perjuangan tetapi tidak salah kalau ada ketikanya pemimpin mendengar teguran, keluhan dan keresahan orang yang dipimpin.

Bukankah dalam peperangan Khandaq, Rasulullah SAW mendengar dan menerima pendapat dan cadangan dari Salman Al Farisi, yang merupakan bekas seorang hamba yang baginda Rasulullah SAW sendiri bebaskan.

0 comments:

fda

Archives