Sunday, February 23, 2020

Pendedahan Audio Oleh Latheefa Koya Akan Mendedahkan Konspirasi Mengenakan DS Najib Bila TS Dzulkifli Di Dakwa Bawah Akta Rahsia Rasmi


Polis sudah pun merakam percakapan mantan Perdana Menteri, DS Najib dan DS Rosmah berkenaan pendedahan audio yang dilakukan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Bibi Koya Kuti.

Polis juga memaklumkan akan merakam percakapan mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, TS Dzulkifli Ahmad pada hari Isnin 24 Februari 2020.

Dzulkifli dipanggil PDRM untuk beri keterangan kerana terdapat dalam rakaman audio yang didedahkan Latheefa Koya dipercayai adalah rakaman audio Dzulkifli, ketika itu adalah pegawai di Jabatan Peguam Negara yang memaklumkan DS Najib (Perdana Menteri ketika itu) hasil siasatan mengenai kes SRC...



Latheefa berkata, perbincangan antara individu dalam rakaman terbabit menunjukkan wujud elemen konspirasi jenayah, pecah amanah, salah guna kuasa, pendedahan maklumat sulit kerajaan, cubaan memalsukan bukti, dokumen dan ancaman keselamatan negara.

Tindakan Latheefa itu dilihat sebagai membuka pekong di dada namun itulah ketentuan dari Allah SWT.

Dengan rakaman audio yang didedahkan, kesahihan dakwaan terhadap DS Najib dalam kes SRC dan 1MDB akan teebongkar dengan sendirinya.

Dalam rakaman audio tersebut, Dzulkifli dikatakan telah mendedahkan hasil siasatan SPRM (TS Abu Kassim adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu) jelas menunjukkan bahawa DS Najib tidak bersalah.

Dzulkifli akan disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan, iaitu penjawat awam mendedahkan siasatan rasmi kepada pihak tidak sepatutnya dan Seksyen 218 Kanun Keseksaan pula ialah penjawat awam membentuk rekod atau tulisan yang tidak betul untuk selamatkan seseorang daripada hukuman (BACA DI SINI).

Seksyen 203(A) Kanun Keseksaan



Akta 203(A) adalah mengenai kesalahan membocorkan rahsia kepada pihak yang tidak berkenaan.

Mungkin benar, Dzulkifli tidak sepatutnya mendedahkan hasil maklumat kertas siasatan SPRM mengenai kes SRC dan 1MDB kepada DS Najib kerana DS Najib adalah suspek dalam siasatan tersebut.

Tapi PDRM mesri membuat siasatan ke atas keseluruhan rakaman audio tersebut.

Dalam rakaman audio tersebut, Dzulkifli telah memberitahu DS Najib, walau pun SPRM telah memaklumkan kepada DS Najib bahawa beliau didapati tiada kaitan dengan kes SRC dan 1MDB tetapi dalam kertas siasatan (IP), SPRM telah mencadangkan pihak Peguam Negara untuk mendakwa DS Najib.


Persoalannya, kenapakah Abu Kassim, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu yang maklumkan kepada DS Najib bahawa beliau tiada kaitan dengan kes SRC dan 1MDB tidak disiasat dibawah akta yang sama?

Bukankah Abu Kassim juga telah mendedahkan maklumat rahsia SPRM kepada suspek siasatan iaitu DS Najib?

Dzulkifli juga memaklumkan kepada DS Najib ada konspirasi untuk mengenakan beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Ini adalah satu dakwaan yang berat, PDRM mesti siasat kesahihan apa yang Dzulkifli maklumkan pada DS Najib ketika itu.

Sekiranya benar, siapa yang melakukan konspirasi tersebut dan siapa yang menjadi dalang serta siapa perancang konspirasi tersebut.

Menjatuhkan Perdana Menteri, apatah lagi kerajaan yang memerintah dengan mandat rakyat serta sah di sisi Perlembagaan Persekutuan adalah satu kesalahan jenayah yang sangat berat dan tidak boleh dibiarkan kerana telah beberapa orang Perdana Menteri  dikatakan telah dijatuhkan dengan perancangan konspirasi dan mengenepikan mandat yang rakyat beri dalam pilihanraya.

Dan apakah perbuatan Latheefa Koya tidak boleh didakwa di bawah akta yang sama, kalau tidak boleh, apa alasannya?

Seksyen 218 Kanun Keseksaan


Seksyen 218 Kanun Keseksaan pula ialah mengenai kesalahan penjawat awam yang membentuk rekod atau tulisan yang tidak betul untuk selamatkan seseorang daripada hukuman.

Pihak Peguam Negara akan membuat keputusan berdasarkan bukti dan kertas siasatan (IP) dari SPRM.

SPRM mencadangkan supaya DS Najib didakwa bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Seksyen 403 Kanun Keseksaan adalah mengenai menyalahguna atau melesapkan harta.

Persoalannya, apakah SPRM mempunyai bukti yang kukuh bahawa DS Najib tahu serta maklum mengenai kemasukan wang ke atas akaun yang menggunakan nama peribadi beliau kerana menjadi amalan seorang Perdana Menteri mempunyai beberapa akaun atas nama peribadi serta diuruskan oleh pihak ketiga yang diberi amanah bagi tujuan politik dan pentadbiran.

Persoalan kedua ialah apakah SPRM mempunyai bukti yang kukuh bahawa kemasukan wang ke dalam akaun DS Najib adalah atas arahan beliau sendiri dan bukan dari arahan pihak ketiga yang diberi amanah?



Persoalan ketiga ialah adakah Gabenor BNM ketika itu, TS Zeti telah diambil keterangannya dan apa pula tindakan yang diambil oleh Zeti ketika itu sebagai Gabenor BNM sekiranya terdapat keraguan dalam transaksi kemasukan wang dalam jumlah yang besar dari luar negara ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri?

Kalau Zeti ada maklumkan kepada DS Najib, apa respon DS Najib dan kalau Zeti tidak maklumkan pada DS Najib, mengapa?

Bukankah kemasukan dana yang besar memerlukan kelulusan dari BNM?

Sarawak Report pernah mendedahkan, SPRM menyediakan pertuduhan ke atas DS Najib tanpa mengambil apa-apa keterangan dari DS Najib dan beberapa orang saksi utama.

Dakwaan Sarawak Repot terbukti benar bila TS Shukri Abdul mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, beliau terpaksa memanggil beberapa orang saksi dan mengambil keterangan mereka berkaitan siasatan kes SRC dan 1MDB.

Bagaimana kertas siasatan (IP) boleh dianggap lengkap malah cadangan dakwaan sudah pun dibuat kepada Peguam Negara tetapi suspek utama dan beberapa saksi penting tidak diambil keterangannya?

Jadi tidak hairan kalau pemerhati luarnegara yang mengikuti perbicaraan kes SRC dan 1MDB DS Najib mengatakan proses keadilan di Malaysia sudah dicabuli dengan parah sekali.

Gambar Hiasan

Pendedahan rakaman audio Latheefa Koya sebenarnya bukan sahaja telah memeranjatkan rakyat Malaysia tetapi juga telah memeranjatkan tok dalang serta semua yang terlibat dalam konspirasi tersebut.

Lebih penting lagi, sekiranya pihak SPRM yang membuat 'wire tapping', apakah SPRM mempunyai kuasa untuk melakukannya ke atas Perdana Menteri?

Kalau tidak, atas alasan apa dan arahan siapa SPRM melakukan 'wire tapping'.

Kali ini admin setuju dengan apa yang Daim katakan, kita mahu tahu kebenaran.

Kita mahu tahu kebenaran yang sebenarnya dan kebenaran yang sebenarnya akan terbongkar dalam mahkamah apabila Dzulkifli didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Dan pendakwaan mestilah dilakukan dalam mahkamah terbuka kerana tidak ada alasan untuk melakukan perbicaraan tertutup.

Dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Bibi Koya Kutti sendiri telah membuka jalan yang begitu luas untuk rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa melihat kebenaran yang selama ini disembunyikan.

Begitu hebat rahsia dan perancangan Allah SWT!!!


Kredit :

Laman Blog Another Brick In Wall

0 comments:

fda

Archives