Naratif yang cuba dimainkan oleh Annuar Musa adalah beliau telah dipecat dari jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional dan Setiausaha Agung Muafakat Nasional.
Tidak sukar kita telah, apa motif sebenar Annuar Musa berbuat demikian, sudah pastinya untuk meraih simpati dan 'to play innocent'.
Cuba menggambarkan bahawa beliau adalah individu yang teraniaya.
Kononnya, kerana lantang bersuara dan berpegang kepada prinsip yang tegas 'NO DAP', maka beliau telah dianiaya oleh UMNO.
Tetapi, apakah benar Annuar Musa berpegang teguh kepada prinsip 'NO DAP'?
Timbul persoalan, apakah benar ada usaha yang telah dilakukan oleh pemimpin UMNO untuk membentuk kerjasama politik dengan DAP dan kalau ianya tidak benar, siapakah yang memulakan fitnah ini?
PPBM sebelum ini memainkan naratif UMNO akan ketinggalan kapal kerana kononnya PAS tidak akan memihak kepada UMNO sebaliknya bersama PPBM, yang dicanang hanya sebulan dua selepas kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan pada Mac 2020.
Ini dilakukan kerana PPBM hampir tidak mempunyai langsung kekuatan di akar umbi sebaliknya terpaksa menumpang PAS dan UMNO dan naratif ini terpaksa dimainkan agar PAS segera memihak kepada mereka jika terpaksa memilih antara UMNO ataupun PPBM.
Bagi menguatkan hujah melalui naratif pertama yang lemah ini, naratif kedua dimainkan tidak berapa lama kemudian apabila PAS walaupun dilihat bersama Perikatan Nasional, namun pucuk pimpinan mereka masih ragu-ragu dan tidak mempercayai sepenuhnya PPBM.
Naratif kedua ini ialah UMNO akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP yang dimainkan sebaik sahaja berlaku pergeseran antara Dr Mahathir dan Pakatan Harapan terutamanya dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Apa motif mereka?
PAS sudah pasti akan lebih mesra kepada PPBM dan akan mula menjauhi UMNO kerana selain dari tidak bolewh menerima DAP, adalah amat mustahil bagi PAS dapat menerima PAN yang menjadi sekutu kuat DAP.
PPBM amat menyedari, adalah sangat mustahil untuk UMNO dapat menerima PPBM kerana penolakan akar umbi UMNO terhadap PPBM sangat kuat dan ini terbukti apabila 189 dari 191 Bahagian UMNO yang bermesyuarat memberikan mesej yang jelas untuk menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PPBM.
Dalam masa yang sama juga, PPBM amat menyedari PRU 15 tidak dapat tidak, mesti dilakukan dalam jangka waktu yang terdekat tetapi kekuatan PPBM di peringkat akar umbi tersangat rapuh hingga ke saat ini.
Hanya PAS yang dapat membantu PPBM dalam PRU 15 kerana selain mempunyai cawangan di seluruh Malaysia, PAS juga mempunyai kekuatan akar umbi.
Pemimpin UMNO mesti terus diserang dan kekuatan UMNO mesti dilemahkan.
Cara yang terbaik untuk mewujudkan kekeliruan dan penolakan akar umbi UMNO terhadap pemimpin dan juga parti UMNO ialah dengan membawakan fitnah bahawa kepimpinan tertinggi UMNO sedang berusaha untuk menjalinkan kerjasama dengan DAP dan Anwar Ibrahim.
PPBM mengharapkan supaya akar umbi UMNO bangkit dan menyerang pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO apabila fitnah ini disebarkan, tetapi dari usul yang dibawakan oleh 189 Bahagian UMNO, tidak ada satu pun usul yang mendesak supaya kepimpinan tertinggi UMNO menghentikan sebarang usaha untuk mengadakan kerjasama politik dengan DAP.
Cuma dalam sidang media yang baru-baru ini diadakan oleh Annuar Musa, beliau cuba menyemarakkan kembali fitnah UMNO mahu berkerjasama dengan DAP.
Namun tidak pula dengan jelas Annuar Musa nyatakan, dari sumber mana beliau mendapat berita itu dan apakah ada bukti untuk memperkukuhkan dakwaan beliau itu.
Sangat janggal bila seorang veteran politik seperti Annuar Musa mewarwarkan sesuatu yang beliau anggap fakta tetapi cuma bersandarkan dari maklumat yang tidak pasti kesahihannya.
Jelas, naratif UMNO akan bersama DAP dan Pakatan Harapan ini adalah suatu fitnah dan gerakan perang saraf yang dijalankan sama seperti isu GST dan 1MDB sebelum PRU 14 yang lepas.
Naratif ini dimainkan semata-mata kerana ingin mewujudkan kesangsian dalam kalangan penyokong UMNO terhadap beberapa pemimpin tertingginya serta ingin merenggangkan hubungan PAS dan UMNO dalam Muafakat Nasional, dengan tujuan utama ingin mengungguli Perikatan Nasional agar dapat terus memerintah selepas PRU 15.
Siapakah di sebalik fitnah terhadap UMNO ini?
Kumpulan yang sama menyebarkan fitnah terhadap GST dan 1MDB sebelum PRU 14 dahulu, sebahagiannya ada di dalam PPBM dan sebahagiannya pihak luar PPBM tetapi mempunyai kawalan penuh ke atas PPBM dan Perikatan Nasional.
Oleh itu, usul 189 Bahagian UMNO dan keputusan kepimpinan tertinggi UMNO untuk menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PPBM adalah tepat.
Tahniah kepada akar umbi UMNO yang tidak terpengaruh dengan strategi yang sama digunakan oleh musuh politik UMNO buat kali kedua.
Tugas akar umbi UMNO sekarang adalah untuk menerangkan dan meyakinkan pengundi UMNO yang tidak menjadi ahli UMNO bahawa cerita UMNO akan berkerjasama dengan DAP adalah fitnah semata-mata, jangan sampai tertipu buat kali kedua sebagaimana sebelum PRU 14 dahulu.
0 comments:
Post a Comment