Friday, December 25, 2020

Mampukah UMNO Bangkit Dalam PRU 15? (Bahagian 1)


11 Mei 1946, di Istana Besar Johor Baru, lahir sebuah parti yang akan diberikan mandat oleh rakyat Malaysia untuk menerajui pemerintahan di Malaysia selama lebih dari 6 dekad selepas itu.

UMNO, parti politik yang mendapat jolokan sebagai parti keramat orang Melayu terus mendapat kepercayaan rakyat, khususnya masyarakat Melayu, untuk memerintah selama 13 Pilihanraya Umum yang diadakan di Malaysia.

Namun segala-galanya berubah selepas Pilihanraya Umum ke 14, persoalannya, mengapa parti yang sebelum ini begitu disayangi masyarakat Melayu tiba-tiba ditolak?

Apakah ianya berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab dan asbabnya?

Pemimpin UMNO Tidak Peka Dengan Keadaan Sekeliling


Setiap yang berlaku pasti ada sebabnya, meminjam kata-kata orang tua kita, setiap penyakit pasti ada puncanya dan setiap kematian pasti ada sebabnya.

Rakyat bukan secara tiba-tiba menolak UMNO dalam Pilihanraya ke 14 tetapi rakyat mula menghantar mesej menolak UMNO seawal dari Pilihanraya Umum ke 12 lagi.

Selama 11 Pilihanraya Umum, rakyat memberikan mandat majoriti 2/3 Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat kepada UMNO untuk menerajui pemerintahan negara tetapi bermula dari Pilihanraya Umum ke 12 pada tahun 2008, UMNO mula kehilangan kehilangan majoriti 2/3 Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

Namun ketika itu UMNO gagal membaca mesej yang diberikan rakyat.

Mengapa rakyat mula menolak UMNO?

Antara faktor yang mempengaruhi penolakan rakyat terhadap UMNO pada Pilihanraya Umum 2008 adalah sikap beberapa pemimpin UMNO sendiri.

Pada Pilihanraya Umum ke 11, sewaktu peralihan kuasa antara Dr Mahathir kepada Tun Abdullah Badawi atau Pak Lah, rakyat memberikan kemenangan yang cukup bergaya kepada UMNO.

Pada ketika itu, capaian internet di Malaysia adalah sangat terhad.

Maklumat yang sampai kepada rakyat hanyalah melalui media massa, sama ada media cetak atau media elektronik.

Selama 22 tahun Dr Mahathir menerajui pemerintahan, beliau telah mengawal sepenuhnya penyiaran media cetak dan media elektronik.

Semua berita yang akan disiarkan akan dikawal, disemak dan mendapat kelulusan dari proksi Dr Mahathir terlebih dahulu.

Rakyat akan disajikan dengan berita-berita yang hanya akan memihak atau memuja pemimpin UMNO, manakala segala keburukan dan salah laku akan disembunyikan di bawah karpet.

Selepas Pilihanraya Umum ke 11, pencapaian dan liputan internet semakin meluas di Malaysia.

Perkembangan teknologi media sosial setiap tingkahlaku pemimpin UMNO berada dihujung jari rakyat.

Memburukkan keadaan, sikap pemimpin UMNO ketika itu sudah jauh tersasar dari matlamat asal penubuhan UMNO.

Kalau sebelum ini pemimpin UMNO mengorbankan diri mereka demi untuk perjuangan parti yang berteraskan pembelaan kepada agama, bangsa dan tanah air, tetapi ketika itu, pemimpin UMNO bertindak sebaliknya, mengorbankan perjuangan parti demi untuk kepentingan peribadi mereka.

Kisah penguasaan tingkat 4 Putrajaya dalam pentadbiran negara menjadi tular ke serata pelusuk negara.


Serangan pihak pembangkang terhadap UMNO tidak diendahkan oleh pemimpin UMNO, malah pemimpin UMNO pula sibuk berebut kuasa sesama sendiri.

Pihak pembangkang pantas mengambil kesempatan dengan mendedahkan kepada rakyat apa yang berlaku dalam UMNO tetapi pemimpin UMNO ketika itu terus-terusan mabuk dengan perebutan kuasa demi kepentingan peribadi.

Kritikan dan kemarahan rakyat di media sosial dipandang sepi dan diperlekehkan.

Rakyat mula meluat dengan kerenah pemimpin UMNO dan memberikan amaran dalam 2 Pilihanraya Umum, iaitu Pilihanraya Umum ke 12 dan Pilihanraya Umum ke 13.

Mesej rakyat sangat ringkas dan jelas, kembali ke perjuangan asal UMNO atau kami akan menghukum kamu dalam pilihanraya yang akan datang.

Namun pemimpin UMNO masih lagi tidak mengendahkan amaran dari rakyat, perebutan kuasa terus-terusan berlaku dan pemimpin yang gelojoh untuk ke tampuk kuasa tidak mengambil pengajaran dari sikap Anwar Ibrahim yang telah menyebabkan masyarakat Melayu berpecah.

Akhirnya sejarah perpecahan yang berlaku perebutan kuasa antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh, antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim berulang sekali lagi ekoran tindakan Muhyiddin yang cuba mencantas DS Najib yang menjadi Presiden UMNO ketika itu.

Muhyiddin dan beberapa orang pemimpin UMNIO yang bersamanya telah disingkirkan dari parti dan bersekongkol dengan Dr Mahathir untuk melakukan serangan terhadap pemimpin UMNO.

Fitnah dijadikan senjata utama, fitnah salah laku DS Najib ke atas isu 1MDB dijaja dengan seluas-luasnya.

Tetapi tiada tindak balas yang tuntas dari kepimpinan UMNO kerana merasakan tidak mungkin UMNO akan tumbang sampai kiamat!!!

Bukan sahaja penjelasan tidak diberikan kepada akar umbi, malah DS Mohamad Hasan atau Tok Mat Hasan sendiri pernah mengakui beliau tidak mendapat apa-apa penjelasan yang terperinci mengenai 1MDB, walau pun beliau adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan ketika itu.


Pemimpin UMNO masih lagi bersikap sombong.

Akhirnya pada Pilihanraya ke 14, rakyat mengambil keputusan untuk menolak UMNO dan menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional.

Setelah kehilangan kuasa, UMNO semakin terdedah dengan serangan musuh dari luar dan juga musuh dalam selimut yang berada di dalam UMNO sendiri.

Apakah UMNO mampu bangkit semula dan mendapatkan semula mandat rakyat dalam Pilihanraya Umum ke 15 nanti.

Akan kita bincangkan dalam siri yang akan datang.

0 comments:

fda

Archives