17 Mei 2020, ADUN Jeneri (PAS), Muhamad Sanusi Md. Nor, mengangkat sumpah di hadapan DYMM Sultan Kedah, Sultan Salehuddin Ibni Al Marhum Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.
Dengan sempurnanya majlis tersebut, maka secara rasminya untuk kali kedua Mukhriz disingkirkan dari jawatan sebagai Menteri Besar Kedah kerana kehilangan sokongan majoriti dari ADUN negeri Kedah.
Kali pertama Mukhriz disingkirkan dari jawatan Menteri Besar Kedah adalah pada tahun 2016 ketika era pemerintahan Barisan Nasional di peringkat pusat dan negeri.
Mukhriz mendakwa kali pertama beliau disingkirkan adalah kerana kritikan pedas beliau terhadap DS Najib yang menjadi Perdana Menteri ketika itu.
Kali ini pula, Mukhriz mendakwa beliau disingkirkan kerana mencabar Muhyiddin dalam jawatan Presiden PPBM dan juga kerana beliau menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang akan dibawa oleh bapa beliau, Dr. Mahathir di Dewan Rakyat nanti.
Ironinya, penyebab beliau disingkirkan dari kerusi Menteri Besar pada kali ini setelah dua ADUN PKR, Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasrudin (Lunas), keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada PN pada 12 Mei lalu (BACA DI SINI).
Langkah itu disusuli dengan empat ADUN PPBM yang hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau menerajui Kerajaan Negeri Kedah.
Apa pun alasan yang diberikan oleh Mukhriz sebagai penyebab tersingkirnya beliau dari kerusi Menteri Besar Kedah, jelas membuktikan keupayaan dan kredibiliti beliau sebagai seorang pemimpin diragui.
Sangat jelas peningkatan karier politik Mukhriz sebenarnya didukung dan dibayangi oleh pengaruh bapa beliau, Dr. Mahathir (BACA DI SINI).
Sekiranya Mukhriz gagal mendapatkan kepercayaan dan sokongan dari sekurang-kurangnya 19 ADUN peringkat negeri yang akan mengekalkan beliau sebagai Menteri Besar, apakah nanti bila sekiranya beliau dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau mampu mengekalkan sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Dewan Rakyat?
Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh dengan keadaan politik yang stabil setelah ekonomi negara dan keyakinan pelabur luar terjejas teruk akibat dari pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan.
Memburukkan keadaan setelah Kerajaan Pakatan Harapan tumbang, negara dilanda pula wabak pandemik Covid-19.
Negara sudah tidak mampu menghadapi krisis politik seperti yang berlaku ketika di penghujung riwayat Kerajaan Pakatan Harapan.
Parti mana pun yang akan membentuk kerajaan, sama ada Muafakat Nasional atau Kerajaan Perikatan Nasional dapat dikekalkan selepas undi tidak percaya yang dijangka akan diadakan pada bulan Jun ketika Parlimen bersidang nanti, perlu membentuk sebuah kerajaan yang kukuh supaya usaha menjana dan membangunkan ekonomi negara dapat dilakukan dengan segera supaya negara tidak terjebak dalam krisis ekonomi yang lebih teruk.
Ahli Dewan Rakyat mesti membuat pilihan yang bijak ketika undi tidak percaya dilakukan dan sekiranya parlimen dibubarkan, rakyat perlu bijak dalam memberikan mandat kepada parti politik yang akan membentuk kerajaan baharu.
Yang pastinya, jangan dibiarkan Pakatan Harapan yang ditunjangi oleh DAP memerintah Malaysia buat kali kedua.
Pengalaman selama 22 bulan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan sewajarnya membuatkan rakyat serik untuk memilih mereka semula.
0 comments:
Post a Comment