Thursday, December 31, 2020

Mampukah UMNO Bangkit Dalam PRU 15 (Bahagian 2)


Dalam 2 siaran sebelum ini, admin telah memberikan sebab mengapa UMNO semakin ditolak oleh masyarakat Melayu.

Dari sebuah parti politik yang sangat disayangi oleh masyarakat Melayu, sedikit demi demi, masyarakat Melayu menolak UMNO dan kemuncaknya adalah pada PRU 14, di mana masyarakat Melayu nekad untuk menumbangkan UMNO dari puncak kuasa di Putrajaya.

Selepas kekalahan UMNO pada PRU 14 hingga ke hari ini, keadaan politik Malaysia tidak stabil.

2 kerajaan yang ditubuhkan adalah kerajaan yang sangat lemah.

Bukan sahaja lemah dalam majoriti Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat, malah barisan menteri kabinet yang dilantik jelas gagal menjalankan tugas dengan baik.

Menteri-menteri yang dilantik sibuk berpolitik, melunaskan dendam peribadi terhadap musuh politik dan bertindak keterlaluan dengan mencabul prinsip Kedaulatan Undang Undang negara untuk melepaskan diri dari pendakwaan mahkamah.

Dasar luar negara yang dijalankan, membuatkan negara kuasa besar ekonomi dunia seperti China, India, negara Arab dan Amerika Syarikat marah dengan Malaysia.

Akibatnya, ekonomi Malaysia semakin parah.

Ia memberikan kesan yang sangat buruk terhadap kehidupan seharian rakyat.

Admin lihat, di awal kebangkitan UMNO di pasca PRU 14, ada pemimpin UMNO menyalahkan pengundi Melayu kerana telah menjatuhkan UMNO yang sudah 61 tahun berada ditampuk kuasa.

Mereka melahirkan rasa kesal dalam ucapan-ucapan mereka dan bila rakyat mengeluh akibat dari tekanan ekonomi seharian di bawah pemerintahan Pakatan Harapan, mereka tersenyum sinis, seolah-olah mengatakan 'you deserved it'.

Tetapi mereka lupa, sikap angkuh dan meminggirkan rakyat ketika berkuasa yang telah menyebabkan rakyat menolak mereka.

Persoalan yang bermain di minda dan pemimpin Melayu, khususnya pemimpin dan akar umbi UMNO adalah, apakah UMNO mampu bangkit dan kembali berkuasa selepas PRU 15 nanti?

Jawapannya, ya UMNO mampu bangkit tetapi dengan 2 syarat.

Pertama, pemimpin UMNO disetiap peringkat, mestilah jadikan UMNO satu parti yang inklusif dan bukannya parti politik yang eksklusif pada masyarakat.

Kita ambil contoh yang sangat mudah.


Mantan Presiden UMNO, DS Najib, telah menunjukkan kepada kita, bagaimana dengan menjadi seorang pemimpin yang berada bersama-sama marhaen ketika senang dan susah, populariti dan kasih sayang marhaen dapat diperolehi kembali, walau pun ketika pra PRU 14, susuk tubuh dan nama Najib Razak adalah susuk tubuh dan nama yang paling dibenci oleh marhaen.

Masih ingat bagaimana orang ramai bersorak gembira bila PDRM membuat serbuan ke atas rumah DS Najib ketika awal Ramadhan 2018?

Masih ingat bagaimana kereta DS Najib tetapi dinaiki oleh Shahidan Kasim telah ditahan dan diserbu orang ramai di KLIA 2 kerana menyangkakan DS Najib berada dalam kereta tersebut?

Tetapi kini, nama DS Najib Razak berada dalam hati dihampir setiap rakyat Malaysia.

Kerana apa?

DS Najib mengambil pendekatan menghampiri rakyat, mengambil tahu tentang kehidupan rakyat, mendengar keluh kesah rakyat dari dekat dan bersungguh-sungguh cuba membantu menyelesaikan masaalah rakyat.


Inilah sebenarnya yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu dari kita.

Antara mereka dan rakyat, tidak dapat dipisahkan.

Mendekati rakyat bukan sahaja hadir secara fizikal bersama-sama mereka, tetapi, rajin-rajinlah memberikan respon terhadap segala keluhan yang rakyat luahkan melalui media sosial.

Setiap pemimpin UMNO, WAJIB mempunyai akaun Twiter, Facebook, Instagram dan lain-lain lagi supaya mereka peka dengan keadaan semasa rakyat.

Jangan terlalu bergantung kepada orang disekeliling untuk mendapatkan perkembangan terkini kerana ada masanya, harapkan pegar, pegar makan padi.

Apabila pemimpin hadir secara fizikal bersama-sama rakyat dan pantas memberikan respon terhadap keluh kesah rakyat, percayalah, pasti UMNO akan disayangi rakyat marhaen.

Kedua, UMNO mesti merangka strategi yang tepat dalam menghadapi PRU 15.

Rakyat kini semakin bosan dengan Kerajaan Perikatan Nasional, dan inilah masa yang tepat untuk UMNO bertindak.

Jangan sampai UMNO juga mendapat getah dari kemarahan rakyat terhadap Kerajaan Perikatan Nasional.

Kalau kerjasama dengan parti politik lain lebih banyak memberikan mudharat dari menafaat kepada UMNO, ianya mesti dikaji semula.

Lakukan dengan tegas dan tuntas.

Selain dari itu, untuk memastikan UMNO menjadi parti dominan dalam sebuah kerajaan yang kukuh, UMNO MESTI bertanding sekurang-kurangnya 122 kerusi Parlimen yang ditandingi dalam PRU 14 yang lepas.

Tidak ada sebab mengapa UMNO mesti melepaskan sebahagian besar dari kerusi Parlimen kepada PPBM.

Bukankah di awal pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional, pemimpin UMNO telah menjelaskan kepada akar umbi bahawa kerjasama antara UMNO dan PPBM dalam Perikatan Nasional hanya terhad hingga akhir penggal ini sahaja.

Apakah pemimpin UMNO tidak ada keyakinan atau telah hilang keyakinan kerana terlalu dimomokkan dengan kata-kata kalau berlaku pertembungan 3 penjuru, maka Pakatan Harapan akan mendapat keuntungan dari situasi tersebut.

Sebenarnya PPBM memang tidak pernah ikhlas dalam kerjasama antara mereka dengan UMNO.

Secara sulit, PPBM telah memulakan langkah untuk mempersiapkan DAP dalam menghadapi PRU 15!!!

Admin tertarik dengan hujah yang dibawakan oleh Ketua Penerangan UMNO Selangor, Isham Jalil dalam temuramah bersama The Malaysia Insight.

Isham menyatakan, UMNO/BN mempunyai peluang yang lebih cerah dalam PRU 15 sekiranya hanya bersama-sama parti komponen dalam Barisan Nasional berbanding berkerjasama dengan PPBM dalam Perikatan Nasioanl.

Hujah beliau, hampir keseluruhan pengundi Melayu yang mengundi PPBM dalam PRU 14, TIDAK AKAN mengundi mana-mana calun PPBM dalam PRU 14, kerana bagi pengundi Melayu, calun PPBM masih lagi kuat dengan DNA Pakatan Harapan dan pemimpin PPBM sendiri terpalit dengan berbagai-bagai masaalah moral yang tidak boleh diterima oleh masyarakat Melayu.

Malah Muhyiddin sendiri dijangka akan menghadapi masaalah di Parlimen Pagoh dalam PRU 15 nanti dan Azmin pula dikhabarkan tidak akan bertanding di Gombak dan sedang mencari kawasan yang lebih selamat

Dalam PRU 14, mereka menolak calun UMNO kerana terlalu kecewa dengan UMNO ketika itu.

Berbeza dengan keadaan sekarang, sekiranya UMNO memberikan laluan kepada PPBM di kawasan yang menjadi milik UMNO sebelum ini, jentera pilihanraya UMNO TIDAK akan membantu calun PPBM, manakala pengundi Melayu pula sama ada tidak akan keluar undi atau akan memberikan undi rosak.

Yang akan mendapat menafaat, sudah tentulah calun Pakatan Harapan, bukan kerana berlakunya pertandingan 3 penjuru tetapi kerana menolak calun PPBM.

Perikatan Nasional juga tidak mempunyai pemimpin Cina dan India yang kuat auranya untuk mempengaruhi pengundi Cina dan India.

Barisan Nasional mempunyai beberapa pemimpin Cina dari MCA dan India dari MIC yang diyakini boleh mempengaruhi pengundi Cina dan India.

Dengan syarat MCA dan MIC mesti berkerja lebih keras mulai sekarang atau pun mereka berhadapan kemungkinan tiada wakil MCA dan MIC dalam Dewan Rakyat bagi penggal ke 15.

Pemimpin UMNO mesti kembalikan UMNO kepada akar umbi dan berhenti menjadikan parti UMNO sebagai hak eksklusif beberapa pemimpin tertentu.

Dengan strategi yang betul dan dokongan yang kuat dari akar umbi, In Sya Allah, panji-panji UMNO akan kembali megah dijulang di seluruh pelusuk negara.

Tuesday, December 29, 2020

32 Juta Rakyat Malaysia Akan Terus Menyokong Tindakan Tegas PDRM Terhadap Penjenayah, Jangan Hiraukan Puak Cicak Mengkarung Tu...


Bayangkan kehidupan kita pada hari ini tanpa adanya satu pasukan penguatkuasa undang-undang dan penjaga keamanan negara yang kita kenali sebagai Polis Di Raja Malaysia atau PDRM.

Siapakah yang akan menjaga keselamatan kita dan ahli keluarga kita ketika berada di luar rumah.

Sudah pasti kita akan merasa tidak selamat, bukan sahaja di luar rumah, malah ketika berada di dalam rumah sekali pun, kita akan sentiasa dihantui perasaan bimbang ke atas keselamatan ahli keluarga kita.

Bayangkan pula di tengah-tengah kesesakan jalan raya di Lembah Klang, kita tidak mempunyai satu pasukan dari cawangan yang dinamakan Polis Trafik.

Sudah pasti hampir keseluruhan warga kota akan sentiasa mendapat amaran dari majikan kerana sering lewat ke tempat kerja.

Tanpa kita sedari, begitulah pentingnya peranan dan kehadiran polis dalam kehidupan seharian kita.

Tidak ada satu negara dalam dunia ini yang wujud tanpa ada pasukan polis di dalam pentadbiran mereka.

Malangnya di Malaysia, walau pun rakyat Malaysia sedar begitu pentingnya kehadiran polis dalam kehidupan seharian, tetapi ada segelintir masyarakat yang sering memperlekeh, mencabar dan menghina kredibiliti PDRM.


Kejadian PDRM menembak mati 4 penjenayah di Sg. Buloh pada hari Jumaat, 25 Disember 2020, adalah satu contoh bagaimana kelompok yang biadap ini cuba memburukkan imej PDRM.

Mereka menuduh anggota PDRM bertindak kejam dan melulu dengan menembak ke empat-empat penjenayah tersebut.

Mereka juga menuduh anggota PDRM membahayakan nyawa masyarakat awam kerana melepaskan tembakan di kawasan awam yang terbuka.

Admin tak tahu, dekat mana letaknya akal yang Allah SWT berikan kepada kelompok berkenaan.

Hakikatnya, ekoran dari kejadian samun yang berlaku di Taman Pelangi Rawang pada jam 12.10 tengahari, sepasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontijen Shah Alam (IPK Shah Alam), telah diarahkan membuat pemerhatian di sekitar kawasan berkenaan.

Berdasarkan maklumat yang PDRM terima, pasukan JSJ telah terserempak sebuah kereta Perodua Axia yang dinaiki keempat orang suspek samun berkenaan dan mengekori mereka.

Apabila pasukan JSJ cuba menahan kereta tersebut, suspek tidak memberikan kerjasama dan bertindak memecut kereta berkenaan hingga melanggar dan mengheret seorang penunggang motor wanita yang berkerja di Grab Food.

Melihatkan nyawa orang awam dalam bahaya, pasukan JSJ tidak mempunyai pilihan melainkan melepaskan tembakan kepada suspek.


Tembakan dari pasukan JSJ telah membunuh kesemua suspek dan apabila dilakukan pemeriksaan ke atas kereta tersebut, telah dijumpai beberapa senjata merbahaya dan juga barang kemas yang dipercayai hasil dari rompakan yang dilakukan.

Jadi dimanakah hujah mereka yang menuduh pihak PDRM melakukan tindakan terburu-buru apabila pemeriksaan yang dijalankan jelas menjumpai senjata merbahaya dan barang hasil rompakan?

Kalau hujah mereka, PDRM membahayakan keselamatan awam kerana melepaskan tembakan di tempat awam yang terbuka, berapa ramaikah orang awam yang tidak bersalah sudah cedera atau mati terkena peluru sesat?

Atas alasan hak asasi manusia, atas alasan kebebasan bersuara dan dengan berselindung di belakang NGO, kempen memburukkan PDRM dijalankan secara halus dan terancang.


Dilapurkan juga, ada individu yang mendakwa dirinya berpangkat 'Datuk' akan mengadakan bantahan terhadap tindakan PDRM dalam kejadian tersebut bersama beberapa NGO.

Admin tidak pasti sama ada 'Datuk' itu adalah gelaran sebab individu itu banyak cucu atau pun gelaran itu datangnya dari anugerah bintang kebesaran.

Tapi kalau datangnya dari anugerah bintang kebesaran, sangat wajar pihak yang memberikan gelaran itu menarik kembali gelaran 'Datuk' pada manusia yang tidak berakal ini!!!

Siapakah yang bertanggungjawab memburu penjenayah, jawapannya polis.

Siapakah yang bertanggungjawab menjaga keselamatan, keamanan dan ketenteraman rakyat dan negara, jawapannya polis.


Oleh itu, jangan diganggu tugas mereka, apatah lagi mahu dicuba memperlekehkan kredibiliti dan integriti PDRM.

Kepada manusia yang cuba bersikap biadap seperti itu, kamu semua bukan sahaja akan berhadapan dengan tindakan tegas dari PDRM, tetapi juga akan berhadapan dengan kemarahan 32 juta rakyat Malaysia yang sayangkan PDRM.

Kepada PDRM, terus laksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, 32 juta rakyat Malaysia akan sentiasa bersama-sama PDRM, kerana PDRM dan masyarakat berpisah tiada.

Sunday, December 27, 2020

Muhyiddin Sudah Mula Bantu Pulihkan Imej DAP Di Kalangan Pengundi Cina, Apa Pendirian Pemimpin UMNO Dan PAS?


Ramai yang menyokong tindakan Kerajaan Perikatan Nasional tidak memberikan apa-apa peruntukan kepada sekolah vernakular persendirian dalam Bajet 2021.

Kalau mengikut perlembagaan, kerajaan sememangnya tidak perlu memberikan apa-apa bantuan kepada sekolah vernakular persendirian.

Tetapi di atas ihsan pihak kerajaan sejak dari Barisan Nasonal memerintah, sekolah vernakular persendirian tidak pernah dipinggirkan dan ianya diteruskan ketika Pakatan Harapan menjadi kerajaan.


Dalam Belanjawan 2019, Lim Guan Eng, Menteri Kewangan ketika itu telah memperuntukkan dana sebanyak RM19 juta kepada sekolah vernakular persendirian.

Tetapi apakah alasan sebenar Muhyiddin tidak memberikan apa-apa peruntukan kepada sekolah vernakular persendirian di dalam Bajet 2021?

Mengapa Muhyiddin Bantu Pulihkan Imej DAP Di Kalangan Pengundi Cina?


PPBM tahu mereka akan menghadapi masaalah untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu dalam PRU 15 nanti.

Yang dapat membantu PPBM dalam PRU 15 nanti, hanyalah UMNO, kerana selain mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi, jentera pilihanraya UMNO juga mantap dari strategi dan susun atur kerja-kerja pilihanraya.

Akar umbi dan jentera pilihanraya UMNO juga terdapat di seluruh pelusuk negara.

Kekuatan akar umbi dan jentera pilihanraya UMNO telah terbukti selepas kekalahan Barisan Nasional dalam PRU 14 yang lepas.

Bukan sahaja tidak ada cawangan UMNO ditutup, malah keahlian UMNO juga bertambah seiring dengan penubuhan cawangan-cawangan baru UMNO.

PAS pula, juga memang diakui mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi tetapi kekuatan PAS lebih bertumpu kepada 2 negeri di pantai timur, Kelantan dan Terengganu.

Manakala strategi dan jentera pilihanraya PAS tidak semantap dan tersusun seperti UMNO, terbukti dalam PRU 14, walau pun dalam keadaan UMNO difitnah dan dikecam dari segenap penjuru, PAS hanya mampu memenangi 18 kerusi Parlimen sahaja.

Manakala PPBM pula, walau pun pemimpin utama mereka berterusan menjadi Perdana Menteri dalam era pemerintahan 2 kerajaan, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, beberapa cawangan PPBM telah dibubarkan dan sehingga ke hari ini PPBM masih lagi sangat lemah di peringkat akar umbi, apa lagi jentera pilihanraya mereka.

Untuk PPBM dapatkan undi dari akar umbi UMNO adalah mustahil, ini terbukti dari kajian yang dilakukan, 137 dari 191 Bahagian UMNO menolak kerjasama dengan PPBM dalam Pilihanraya Umum 15.

Yang mungkin dapat dipengaruhi adalah pengundi Melayu atas pagar tetapi PPBM perlukan sesuatu untuk meyakinkan pengundi Melayu atas pagar supaya menyokong mereka.

Maka dengan menyekat dana kepada sekolah vernakular persendirian yang secara tradisinya tidak pernah dipinggirkan dalam bajet sama ada Kerajaan Barisan Nasional atau Pakatan Harapan, PPBM cuba meyakinkan pengundi Melayu atas pagar bahawa PPBM adalah parti yang sanggup lakukan apa sahaja untuk bangsa Melayu.

Bagaimana pula dengan pengundi Cina?

Bukankah undi mereka juga penting, lebih-lebih lagi PPBM sudah hampir pasti tidak akan mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu.

Benar, tindakan Muhyiddin ini nampak seakan-akan menimbulkan kemarahan pengundi Cina dan India.

Tapi kepada siapa?

Pastinya MCA dan MIC akan menjadi sasaran kemarahan pengundi Cina dan India.

Apakah Muhyiddin mahu membunuh MCA dan MIC, sedangkan MCA dan MIC berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional, malah Menteri Pengangkutan sekarang adalah dari MCA dan Menteri Sumber Manusia pula dari MIC.

Ya, Muhyiddin tidak kesah kalau MCA dan MIC tidak dapat apa-apa kerusi dalam PRU 15 nanti kerana sekarang ini MCA cuma mempunyai 2 Ahli Parlimen dan kedua-duanya adalah dari kubu kuat UMNO yang majoritinya adalah pengundi Melayu dan MIC mempunyai hanya 1 Ahli Parlimen.

Siapakah yang akan mendapat menafaat dari tindakan Muhyiddin ini?

Pastilah DAP, kerana DAP akan memainkan watak hero dalam memperjuangkan dana untuk sekolah vernakular persendirian.

Sebab itulah dalam isu ini, pertubuhan Dong Jiao Zong senyap seribu bahasa kerana tidak mahu mengganggu usaha DAP untuk dapatkan sokongan yang lebih padu dari masyarakat Cina dan India.

Apa Strategi Sebenar Muhyiddin?


Diharapkan DAP dapat mengekalkan kesemua 42 kerusi Parlimen dan merampas semua kerusi Parlimen MCA dan MIC dan ini akan menjadikan Ahli Parlimen DAP menjadi sekurang-kurangnya 45 orang.

Maka DAP, Warisan, Pejuang, sebahagian dari UMNO dan sebahagian dari PKR akan bergabung dalam Perikatan Nasional yang baharu.

Persoalannya, apakah pemimpin UMNO dan PAS yang sekarang ini pro kepada PPBM akan membiarkan perkara ini berlaku?

Dan apakah kepimpinan tertinggi UMNO tetap akan memilih pemimpin yang pro PPBM untuk bertanding semula dalam PRU 15 nanti?

Kalau itulah yang dipersetujui oleh pemimpin PAS, pemimpin UMNO pro PPBM dan kepimpinan tertinggi UMNO, maka ke manakah perginya slogan NO DAP dan NO MAHATHIR yang dilaung-laungkan selama ini?

Jadi fahamlah kita bila Hamid Bador diarahkan untuk menangguhkan siasatan ke atas Lm Guan Eng, malah meminta maaf kepada Lim Guan Eng serta mengucapkan Merry Cristmas kepada Lim Guan Eng!!!

Friday, December 25, 2020

Mampukah UMNO Bangkit Dalam PRU 15? (Bahagian 1)


11 Mei 1946, di Istana Besar Johor Baru, lahir sebuah parti yang akan diberikan mandat oleh rakyat Malaysia untuk menerajui pemerintahan di Malaysia selama lebih dari 6 dekad selepas itu.

UMNO, parti politik yang mendapat jolokan sebagai parti keramat orang Melayu terus mendapat kepercayaan rakyat, khususnya masyarakat Melayu, untuk memerintah selama 13 Pilihanraya Umum yang diadakan di Malaysia.

Namun segala-galanya berubah selepas Pilihanraya Umum ke 14, persoalannya, mengapa parti yang sebelum ini begitu disayangi masyarakat Melayu tiba-tiba ditolak?

Apakah ianya berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab dan asbabnya?

Pemimpin UMNO Tidak Peka Dengan Keadaan Sekeliling


Setiap yang berlaku pasti ada sebabnya, meminjam kata-kata orang tua kita, setiap penyakit pasti ada puncanya dan setiap kematian pasti ada sebabnya.

Rakyat bukan secara tiba-tiba menolak UMNO dalam Pilihanraya ke 14 tetapi rakyat mula menghantar mesej menolak UMNO seawal dari Pilihanraya Umum ke 12 lagi.

Selama 11 Pilihanraya Umum, rakyat memberikan mandat majoriti 2/3 Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat kepada UMNO untuk menerajui pemerintahan negara tetapi bermula dari Pilihanraya Umum ke 12 pada tahun 2008, UMNO mula kehilangan kehilangan majoriti 2/3 Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

Namun ketika itu UMNO gagal membaca mesej yang diberikan rakyat.

Mengapa rakyat mula menolak UMNO?

Antara faktor yang mempengaruhi penolakan rakyat terhadap UMNO pada Pilihanraya Umum 2008 adalah sikap beberapa pemimpin UMNO sendiri.

Pada Pilihanraya Umum ke 11, sewaktu peralihan kuasa antara Dr Mahathir kepada Tun Abdullah Badawi atau Pak Lah, rakyat memberikan kemenangan yang cukup bergaya kepada UMNO.

Pada ketika itu, capaian internet di Malaysia adalah sangat terhad.

Maklumat yang sampai kepada rakyat hanyalah melalui media massa, sama ada media cetak atau media elektronik.

Selama 22 tahun Dr Mahathir menerajui pemerintahan, beliau telah mengawal sepenuhnya penyiaran media cetak dan media elektronik.

Semua berita yang akan disiarkan akan dikawal, disemak dan mendapat kelulusan dari proksi Dr Mahathir terlebih dahulu.

Rakyat akan disajikan dengan berita-berita yang hanya akan memihak atau memuja pemimpin UMNO, manakala segala keburukan dan salah laku akan disembunyikan di bawah karpet.

Selepas Pilihanraya Umum ke 11, pencapaian dan liputan internet semakin meluas di Malaysia.

Perkembangan teknologi media sosial setiap tingkahlaku pemimpin UMNO berada dihujung jari rakyat.

Memburukkan keadaan, sikap pemimpin UMNO ketika itu sudah jauh tersasar dari matlamat asal penubuhan UMNO.

Kalau sebelum ini pemimpin UMNO mengorbankan diri mereka demi untuk perjuangan parti yang berteraskan pembelaan kepada agama, bangsa dan tanah air, tetapi ketika itu, pemimpin UMNO bertindak sebaliknya, mengorbankan perjuangan parti demi untuk kepentingan peribadi mereka.

Kisah penguasaan tingkat 4 Putrajaya dalam pentadbiran negara menjadi tular ke serata pelusuk negara.


Serangan pihak pembangkang terhadap UMNO tidak diendahkan oleh pemimpin UMNO, malah pemimpin UMNO pula sibuk berebut kuasa sesama sendiri.

Pihak pembangkang pantas mengambil kesempatan dengan mendedahkan kepada rakyat apa yang berlaku dalam UMNO tetapi pemimpin UMNO ketika itu terus-terusan mabuk dengan perebutan kuasa demi kepentingan peribadi.

Kritikan dan kemarahan rakyat di media sosial dipandang sepi dan diperlekehkan.

Rakyat mula meluat dengan kerenah pemimpin UMNO dan memberikan amaran dalam 2 Pilihanraya Umum, iaitu Pilihanraya Umum ke 12 dan Pilihanraya Umum ke 13.

Mesej rakyat sangat ringkas dan jelas, kembali ke perjuangan asal UMNO atau kami akan menghukum kamu dalam pilihanraya yang akan datang.

Namun pemimpin UMNO masih lagi tidak mengendahkan amaran dari rakyat, perebutan kuasa terus-terusan berlaku dan pemimpin yang gelojoh untuk ke tampuk kuasa tidak mengambil pengajaran dari sikap Anwar Ibrahim yang telah menyebabkan masyarakat Melayu berpecah.

Akhirnya sejarah perpecahan yang berlaku perebutan kuasa antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh, antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim berulang sekali lagi ekoran tindakan Muhyiddin yang cuba mencantas DS Najib yang menjadi Presiden UMNO ketika itu.

Muhyiddin dan beberapa orang pemimpin UMNIO yang bersamanya telah disingkirkan dari parti dan bersekongkol dengan Dr Mahathir untuk melakukan serangan terhadap pemimpin UMNO.

Fitnah dijadikan senjata utama, fitnah salah laku DS Najib ke atas isu 1MDB dijaja dengan seluas-luasnya.

Tetapi tiada tindak balas yang tuntas dari kepimpinan UMNO kerana merasakan tidak mungkin UMNO akan tumbang sampai kiamat!!!

Bukan sahaja penjelasan tidak diberikan kepada akar umbi, malah DS Mohamad Hasan atau Tok Mat Hasan sendiri pernah mengakui beliau tidak mendapat apa-apa penjelasan yang terperinci mengenai 1MDB, walau pun beliau adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan ketika itu.


Pemimpin UMNO masih lagi bersikap sombong.

Akhirnya pada Pilihanraya ke 14, rakyat mengambil keputusan untuk menolak UMNO dan menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional.

Setelah kehilangan kuasa, UMNO semakin terdedah dengan serangan musuh dari luar dan juga musuh dalam selimut yang berada di dalam UMNO sendiri.

Apakah UMNO mampu bangkit semula dan mendapatkan semula mandat rakyat dalam Pilihanraya Umum ke 15 nanti.

Akan kita bincangkan dalam siri yang akan datang.

Wednesday, December 23, 2020

Cara Pelik Kerajaan PN Tangani Covid-19 Buatkan Rakyat Tertanya-Tanya Betulkah Angka Yang Di Lapurkan?


Keadaan terkini Covid-19 yang dilapurkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), jelas menunjukkan Kerajaan Perikatan Nasional telah kehilangan punca untuk mengawal penularan pandemik Covid-19, apa lagi untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.


MKN melapurkan pada 22 Disember 2020, setakat jam 12.00 pm, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia adalah 97,389 kes.

Sehingga waktu yang sama, Covid-19 telah meragut sebanyak 439 nyawa di Malaysia dan paling membimbangkan, jumlah jangkitan baharu ialah 2,062 kes.

Admin tidak mahu ulas lebih panjang mengenai Covid-19, tetapi apa yang agak membingungkan kita ialah cara Kerajaan Perikatan Nasional menangani pandemik Covid-19 nampak tersangat pelik dan menimbulkan tandatanya di kalangan rakyat Malaysia.

Kalau kita imbas balik di awal pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional, sekitar penghujung bulan Februari 2020, Kerajaan Perikatan Nasional telah bertindak tegas dengan mengeluarkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Movement Controlled Order (MCO) ke seluruh negara.

Arahan ini tidak hanya tertakluk kepada larangan merentas sempadan daerah dan negeri dalam negara sahaja, malah pintu masuk dan pintu keluar negara juga ditutup sepenuhnya oleh Kerajaan Perikatan Nasional.


Aktiviti ekonomi juga diarahkan untuk ditutup sepanjang perintah PKP dikuatkuasakan, kecuali aktiviti yang berkaitan perkhidmatan asas seperti sektor kesihatan, sektor keselamatan, sektor makanan, sektor penghantaran dan lain-lain lagi.

Waktu itu, jumlah kes baharu harian yang dilapurkan hanyalah 3 digit, tidak pernah melangkaui angka 300 jangkitan baharu, apa lagi mencatitkan angka 4 digit seperti sekarang.

Kita akui kehidupan rakyat terjejas dan pendapatan kerajaan juga terjejas kerana hampir keseluruhan sektor ekonomi ditutup sepenuhnya.

Untuk membantu mengurangkan beban rakyat, kerajaan telah melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi yang memperuntukkan dana lebih dari RM250 bilion.


Kita hampir berjaya mengawal kes jangkitan baharu atau memutuskan rantaian penularan Covid-19 bila kes jangkitan baharu mencatitkan hanya 1 digit setriap hari, malah kita pernah mencatitkan tiada jangkitan baharu yang dilapurkan.


Tetapi akibat dari sikap ahli politik yang berkeras mahu melakukan Pilihanraya Negeri Sabah ketika kes jangkitan baharu di Sabah sedang memuncak, telah menyebabkan Malaysia dilanda gelombang ketiga Covid-19 yang sehingga kini dilihat semakin tidak terkawal.

Apa yang menimbulkan tandatanya kepada kita semua adalah cara Kerajaan Perikatan Nasional menangani Covid-19 dalam gelombang ketiga sekarang ini.

Kalau dalam gelombang pertama ketika jangkitan hanya mencatitkan angka terbesar 3 digit, Kerajaan Perikatan Nasional mengarahkan supaya setiap pergerakan merentas daerah dan negeri dipantau secara ketat oleh pihak berkuasa namun ketika jangkitan baharu kes Covid-19 mencatitkan angka 4 digit, rakyat dibiarkan bebas merentas sempadan daerah dan negeri.

Kalau dalam gelombang pertama, mereka yang tiba dari luar negara dikehendaki menjalani kuarantin wajib di premis yang disediakan oleh kerajaan selama 14 hari, tetapi kini, mereka yang tiba dari luar negara telah dipendekkan tempuh kuarantin sendiri di rumah masing-masing sahaja, walau pun negara lain makin memperketatkan SOP kuarantin bagi mereka yang tiba dari luar negara, terutamanya dari Eropah.

Kerajaan Perikatan Nasional sepatutnya melaksanakan semula PKP di seluruh negara sekiranya benar-benar prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan rakyat.

Pengeluaran Akaun 1 KWSP sebanyak RM10,000 oleh pencarum dan pemberian moratorium selama 6 bulan kepada peminjam mestilah dibenarkan untuk meringankan beban kehidupan rakyat sepanjang PKP 2.0.

Langkah ini akan mengurangkan beban rakyat dan kerajaan sekiranya PKP 2.0 dilaksanakan.

Tetapi tindakan Kerajaan Perikatan Nasional yang melonggarkan kawalan, seolah-olah kita di dalam peringkat akhir memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, ketika jangkitan kes baharu semakin memuncak telah menimbulkan tandatanya kepada kita semua.

Apakah angka-angka yang dilapurkan itu adalah benar?

Atau angka-angka itu dieksploitasi untuk kepentingan politik Kerajaan Perikatan Nasional.

Penolakan pengisytiharan darurat yang diminta oleh Kerajaan Perikatan Nasional oleh SPB YDP Agung dan Majlis Raja Raja Melayu dengan alasan tiada keperluan diisytiharkan darurat ke seluruh negara lebih menguatkan persepsi bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan angka-angka yang dilapurkan.

Adalah mustahil SPB YDP Agung dan Majlis Raja Raja Melayu tidak tahu keadaan sebenar Covid-19 di seluruh negara, namun mengapakah ditolak?

Mesti baginda YDP Agung dan Raja Raja Melayu mempunyai alasan yang kukuh, malah Raja Raja Melayu juga mengeluarkan kenyataan supaya SPB YDP Agung tidak membenarkan mana-mana pihak memperalatkan perlembagaan untuk kepentingan politik peribadi mereka.

Ada asasnya Covid-19 ini digunakan untuk memanjangkan hayat Kerajaan Perikatan Nasional.

Memendekkan waktu persidangan Dewan Rakyat HANYA ketika perbahasan Rang Undang Undang Perbekalan 2021 juga dilihat dengan begitu sinis, lebih-lebih lagi selepas ada kalangan Ahli Parlimen telah menghantar surat supaya usul undi tidak percaya dilakukan ke atas Muhyiddin Yassin.

Rakyat dibiarkan bergaul dengan Ahli Parlimen selama 24 jam sehari, tetapi atas alasan Covid-19, bilangan Ahli Parlimen yang dibenarkan bersidang dihadkan dan masa bersidang juga dihadkan, apakah rasionalnya tindakan sedemikian.

Sekiranya benar Kerajaan Perikatan Nasional mengeksploitasi angka jangkitan kes baharu Covid-19 demi untuk survivor politik mereka, maka Perikatan Nasional adalah sebuah kerajaan yang sangat tidak bertanggungjawab dan sewajarnya rakyat menyingkirkan Perikatan Nasional dalam PRU 15 nanti!!!

Sunday, December 20, 2020

Sebelum Segala-Galanya Terlambat, UMNO Mesti Bertindak Keluar Dari PN Sekarang!!! (Bahagian 2)


Seperti yang admin tuliskan dalam siaran yang lepas, kesilapan paling besar yang UMNO lakukan ialah apabia bersetuju menjalinkan kerjasama politik bersama PPBM, sebuah parti yang ditubuhkan khusus untuk membunuh UMNO dalam membentuk Kerajaan Perikatan Nasional.

Sifat tamak dan rakus PPBM terserlah, apabila, walau pun menyedari mereka tidak mempunyai bilangan Ahli Parlimen majoriti dalam gabungan Perikatan Nasional, namun enggan mengalah dan berkeras mahu menyandang jawatan Perdana Menteri sebagai kesinambungan dari Kerajaan Pakatran Harapan yang baharu ditumbangkan.

UMNO mengalah dan tanpa menyelidiki niat sebenar PPBM, telah menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Presiden PPBM.

Selepas diberikan jawatan Perdana Menteri, Muhyiddin, bertindak mengenepikan nama-nama yang telah dicalunkan oleh Presiden UMNO, DS Zahid Hamidi, untuk diletakkan di dalam senarai kabinet beliau.

Malah beliau dengan angkuhnya telah memilih sendiri Ahli Parlimen UMNO yang beliau pasti mudah untuk beliau pengaruhi dalam melaksanakan agenda tersembunyi PPBM.

Ahli Parlimen UMNO yang tiada apa-apa jawatan dalam UMNO seperti Khairy Jamaluddin aka KJ, Hishamuddin Tun Hussien dan Annuar Musa telah dilantik sebagai menteri penuh di dalam kabinet Muhyiddin Yassin.

Siapakah mereka?

KJ adalah pemimpin UMNO yang tewas kepada DS Zahid Hamidi dalam pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO, manakala Hishamuddin pula adalah seorang yang dikenal pasti sebagai seorang yang setia kepada Dr Mahathir, malah Hishamuddin juga adalah perancang utama dalam isu Ahli Parlimen UMNO melompat ke PPBM selepas tewas dalam PRU 14.

Perkara ini telah didedahkan oleh KJ sendiri.



Malah Anwar Ibrahim sendiri pernah menyindir Hishamuddin dalam Dewan Rakyat.


Annuar Musa pula memang dari dahulu lagi dikenali sebagai politikus yang opportunis dan akan berkiblatkan kepada siapa sahaja yang boleh memberikan keuntungan peribadi kepada beliau.

Seawal kejatuhan BN, Annuar Musa telah mula menunjukkan wajah sebenar beliau!!!

Mengapa Muhyiddin bertindak sedemikian?

Supaya senang beliau melakukan serangan dari dalam UMNO apabila apa juga serangan yang dilakukan PPBM terhadap UMNO dapat dibantu dari dalam UMNO sendiri.

Berjaya menjadikan pemimpin UMNO yang berpengaruh sebagai proksi mereka di dalam UMNO, PPBM melancarkan serangan kedua terhadap UMNO.

Kekuatan kerjasama UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional adalah sesuatu yang sangat menggerunkan PPBM.

Kekuatan ini mesti dihancurkan segera sebelum kedatangan PRU 15.

PPBM sedar amat mustahil untuk UMNO ditekan supaya meninggalkan Muafakat Nasional, lalu sekutu UMNO dalam Muafakat Nasional, PAS, dijadikan sasaran.

Kejayaan menarik keluar PAS dari Muafakat Nasional akan dapat menyelesaikan 2 masaalah PPBM dalam satu masa.

Pertama, kekuatan Muafakat Nasional yang selama menghantui PPBM dapat dileraikan dan PAS, walau pun cuma mempunyai 18 Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat, tetapi mempunyai kekuatan akar umbi dan jentera yang sangat tersusun, sesuatu yang tidak ada pada PPBM.

PPBM juga sedar, ada di kalangan pemimpin PAS yang boleh dikaburi mata mereka dengan jawatan dan kuasa.

Lalu mereka ini diberikan tempat di dalam kabinet Muhyiddin dan akan berperanan sebagai proksi PPBM di dalam PAS.

Pendaftaran Muafakat Nasional tidak dibenarkan oleh pentadbiran Muhyiddin tetapi PPBM datang dengan satu gagasan baru yang dinamakan Perikatan Nasional yang hanya mengambil masa 3 hari untuk didaftarkan secara sah.


PAS dijemput untuk menganggotai jawatankuasa penaja Perikatan Nasional dan dengan sendirinya PAS akan bersikap lebih mesra kepada PPBM berbanding UMNO.

Akibatnya, Muafakat Nasional yang dibina UMNO bersama PAS hanya ibarat hidup segan, mati tak mahu.

Sudahlah disekat pendaftarannya, PAS pula sekarang ini dilihat sudah tidak berminat untuk terus memperkasakan Muafakat Nasional.


Walau pun beberapa ahli PAS sudah menyerahkan memorandum bantahan kepada PAS pusat supaya keluar dari Perikatan Nasional dan kembali memperkasakan Muafakat Nasional bersama UMNO, namun bagi admin, memorandum tersebut tidak akan dapat memberikan apa-apa impak kepada keputusan tertinggi PAS untuk terus bersama PPBM dalam Perikatan Nasional.

Akar umbi UMNO sememangnya konsisten dari dahulu menolak sebarang kerjasama antara UMNO dan PPBM, namun tidak diendahkan oleh kepimpinan tertinggi UMNO.

Sudah sampai masanya UMNO membuat pendirian tegas dan melakukan tindakan drastik untuk meninggalkan Perikatan Nasional yang didominasi oleh PPBM yang semakin hari semakin menekan UMNO.


Kepimpinan UMNO mesti peka dengan suara akar umbi UMNO, seperti peringatan Timbalan Presiden UMNO, DS Mohamad Hasan aka Tok Mat Hasan, jangan biarkan akar umbi UMNO di makan anai-anai.

Ingat, kekuatan UMNO adalah di akar umbi dan sekiranya akar umbi UMNO yang selama ini mendokong UMNO di saat susah dan senang, dibiarkan dimamah anai-anai, pasti bahtera UMNO akan karam hingga tidak bersisa.

Sebelum segala-galanya terlambat, UMNO mesti bertindak keluar dari PN sekarang!!!

Friday, December 18, 2020

Sebelum Segala-Galanya Terlambat, UMNO Mesti Bertindak Keluar Dari PN Sekarang!!! (Bahagian 1)


Kalau hendak dihitung dengan jari pengkhianatan PPBM ke atas UMNO, tak cukup jari tangan dan kaki untuk menghitungnya.


Bermula dari kejatuhan Barisan Nasional dalam PRU 14, usaha untuk menguburkan UMNO telah dilakukan oleh Dr Mahathir yang ketika itu adalah Pengerusi PPBM dan juga Perdana Menteri Malaysia.

Bagi admin, usaha secara konsisten yang dilakukan oleh PPBM sejak dari dahulu hingga sekarang sebenarnya adalah usaha untuk 'hijacked' segala aset kepunyaan UMNO untuk diserapkan secara dan ditukar milikkan kepada PPBM secara sah.

Sebagai sebuah parti yang telah wujud sebelum Malaysia merdeka dan telah bertapak kukuh di hati orang Melayu, UMNO adalah satu-satunya parti yang memiliki hampir kesemuanya yang diperlukan oleh sebuah parti politik untuk terus menjadi parti yang dominan dalam dunia politik tanah air.

Kekuatan UMNO diperingkat akar umbi digeruni pihak lawan dan disegani pihak kawan, malah ianya telah diuji dengan kekalahan UMNO pada PRU 14 yang lepas.

Ketika segelintir pemimpin UMNO mengambil keputusan untuk meninggalkan UMNO dengan berbagai alasan akibat kekalahan UMNO di PRU 14 yang lepas, akar umbi UMNO tetap setia dengan parti keramat orang Melayu ini.

Kekuatan UMNO terus diperkukuhkan dari peringkat cawangan, bahagian dan pusat oleh akar umbi yang setia dengan UMNO.


Jentera pilihanraya UMNO di setiap peringkat disusun semula dan ianya terbukti dengan kemenangan di dalam 7 Pilihanraya Kecil yang berturut-turut menumbangkan calun dari parti yang memerintah ketika itu.

Melihatkan kejayaan demi kejayaan yang diraih UMNO, walau pun dalam masa yang sama UMNO terpaksa menghadapi serangan pihak lawan dengan keadaan kaki dan tangan diikat, maka musuh-musuh politik UMNO mula menukar strategi serangan mereka.

Kalau sebelum ini serangan banyak dilakukan dari luar UMNO, kini serangan dilakukan dari dalam UMNO sendiri.

Ada teori yang mengatakan, Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PPBM merupakan langkah awal yang telah diatur oleh musuh UMNO dalam melakukan serangan dari dalam UMNO sendiri.

Walau pun perkara ini dinafikan oleh Dr Mahathir, namun ada asasnya mengapa ianya disusun begitu.

Ketika UMNO dan PAS telah bersetuju untuk melakukan kerjasama politik, malah telah menandatangani Piagam Persefahaman Muafakat Nasional, PPBM mendapati gelombang penolakan masyarakat Melayu, malah masyarakat bukan Melayu kepada DAP yang merupakan sekutu dominan mereka dalam Pakatan Harapan semakin kuat.

PRK Tg. Piai adalah bukti yang cukup nyata, sebahagian besar undi masyarakat bukan Melayu telah beralih dari DAP kepada calun MCA dari Barisan Nasional.

Namun untuk menyingkirkan DAP begitu sahaja, akan membuatkan PPBM bukan sahaja akan kehilangan jawatan Perdana Menteri, malah PPBM juga berhadapan risiko terkubur kerana mereka pasti akan disingkirkan dari PH oleh PKR dan PAN yang menjadi sekutu kuat DAP.

Ke mana PPBM akan pergi kalau itu berlaku?


PH sudah singkirkan mereka, UMNO sudah tentu tidak akan menerima mereka dan PAS juga tidak akan menerima mereka(ketika itu, sekarang keadaan sudah berubah).


Maka dengan menggunakan alasan untuk menyingkirkan DAP dari kerajaan demi untuk penyatuan ummah, maka Langkah Sheraton di atur untuk menjatuhkan kerajaan mereka sendiri tetapi dalam masa yang sama, jawatan Perdana Menteri tetap akan menjadi milik PPBM.

Kesilapan terbesar yang dilakukan oleh pemimpin UMNO adalah bila bersetuju untuk berkerjasama dengan PPBM dalam Perikatan Nasional.

Persetujuan ini adalah ibarat telah membuka ruang seluas-luasnya kepada PPBM untuk merealisasikan niat mereka untuk menghancurkan UMNO dari dalam.

Admin akan dedahkan gerakan-gerakan yang telah dilakukan oleh PPBM untuk menghancurkan UMNO dari dalam pada tulisan yang akan datang.


Monday, December 14, 2020

Berhenti Menjadi Budak Suruhan PPBM Kalau Pemimpin PAS Benar-Benar Ikhlas Dalam Perjuangan


Dalam ucapan penangguhan Muktamar PAS ke 64, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, menyampaikan amanat Akidah Perjuangan PAS Mendapat Redha Allah SWT, antara amanat yang beliau uicapkan ketika itu adalah 

"Akar umbi organisasi PAS berasaskan aqidah perjuangan yang panjang, demi mendapat keredhaan Allah SWT, walau pun jauh perjalanannya daripada dunia sehingga akhirat."

"Berbeza degan mereka yang hanya berjuang untuk menegakkan teori atau ideologi impian manusia demi mengejar cita-cita yang difikirkan dan hanya berwawasan dalam kehidupan dunia sementara waktu."

Cukup mendalam amanat yang disampaikan oleh Presiden PAS itu dan bersesuaian dengan moto perjuangan PAS dalam dunia politik, 'ISLAM MEMIMPIN', amanat yang disampaikan beliau itu, sekiranya dijadikan panduan dalam perjuangan politik, In Sya Allah, akan mendapat bantuan dan keredhaan dari Allah SWT.

Tetapi, apakah amanat yang Presiden PAS itu masih lagi digenggam erat oleh kepimpinan tertinggi PAS ketika ini?

Mutakhir ini, kepimpinan tertinggi PAS sering menggunakan alasan penyatuan ummah sebagai penjelasan atas segala tindak tanduk dan keputusan yang mereka lakukan.

Kepimpinan tertinggi PAS juga sering mendakwa mereka akan memainkan watak sebagai pendamai antara UMNO dan PPBM supaya masyarakat Melayu Islam di Malaysia dapat disatukan kembali setelah sekian lama berpecah belah.

Tetapi sayangnya, majoriti rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu Islam melihat, apa yang didakwa oleh kepimpinan tertinggi PAS adalah jauh berbeza dengan apa yang sedang mereka lakukan sekarang ini.

Kepimpinan PAS dilihat bukan sahaja tidak mencerminkan watak pendamai antara UMNO dan PPBM tetapi lebih malang lagi, kepimpinan PAS dilihat telah menjadi budak suruhan PPBM yang diperkudakan sesuka hati oleh PPBM.


Dalam Pilihanraya Negeri Sabah yang lepas, PAS bukan sahaja langsung tidak diberikan tempat untuk meletakkan calun, malah sikap PPBM terhadap PAS dengan jelas telah menghina dan memperlekehkan PAS yang telah lebih 6 dekad bertapak dalam dunia politik tanahair.

Walau pun PAS secara terang-terangan telah menyatakan hasrat untuk meletakkan sekurang-kurangnya 10 calun dalam Pilihanraya Negeri Sabah 2020, PPBM yang merasakan diri mereka adalah 'abang besar' dalam Perikatan Nasional yang PPBM cipta, bukan sahaja tidak membenarkan PAS meletakkan calun, malah ketika Majlis Penamaan Calun Pilihanraya Negeri Sabah 2020, 'abang besar' Perikatan Nasional, PPBM, TIDAK MENJEMPUT PAS ke majlis tersebut.

Tetapi akar umbi dan jentera pilihanraya PAS di Sabah tetap dikerahkan untuk berkerja bermati-matian membantu calun dari Perikatan Nasional terutamanya PPBM yang tidak mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi, apa lagi jentera pilihanraya di Sabah.

Penguasaan PPBM terhadap PAS semakin jelas kelihatan ketika menghadapi kemelut politik di Perak baru-baru ini.


Apabila Menteri Besar Perak dari PPBM, Ahmad Faizal Azumu aka Peja, gagal mendapatkan majoriti sokongan dari ADUN Perak dalam usul undi percaya terhadap beliau yang telah dilakukan pada 4 Disember 2020, PAS telah diarahkan untuk mengeluarkan kenyataan TIDAK AKAN menyertai 'Kerajaan Negeri Perak yang baharu' di bawah kepimpinan UMNO.

Walau pun ketika itu, PPBM belum lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai isu tersebut, namun PAS rela diperkudakan, walau pun amat menyedari kenyataan yang tergesa-gesa itu akan membawa risiko yang sangat besar kepada PAS.

Lebih mengejutkan lagi, apabila DYMM Sultan Perak menitahkan supaya kesemua ADUN mengadap baginda sebagai usaha baginda untuk menyelesaikan kemelut tersebut secepat mungkin, PAS akur dengan arahan PPBM supaya ketiga-tiga ADUN PAS mengingkari titah baginda Sultan Perak dengan tidak pergi mengadap baginda Sultan Perak.


Tetapi dalam masa yang sama, PPBM telah mengarahkan semua ADUN mereka untuk mengadap ke bawah DYMM Sultan Perak.

Akibat dari terlalu menurut perintah PPBM, penderhakaan 3 ADUN PAS itu telah menimbulkan kemurkaan DYMM Sultan Perak.

Bukan sahaja Sultan Perak tidak memperkenankan permohonan Menteri Besar Perak yang baharu, Datuk Haji Saarani Mohamad, untuk melantik salah seorang ADUN PAS sebagai Ahli Mesyuarat Negeri Perak (Exco Perak), malah permohonan Presiden PAS dan 3 ADUN PAS untuk mengadap tuanku Sultan Perak bagi meminta maaf juga masih belum mendapat sebarang maklum balas dari pihak Istana Perak.

Sebagai sebuah parti yang meletakkan perjuangan Islam di hadapan serta ditunjangi oleh pemimpin-pemimpin Melayu Islam, maruah dan kredibiliti PAS telah tercalar teruk.

Pemimpin PAS dilihat sebagai golongan yang hipokrit.

Mereka menanamkan sifat wala' kepada pemimpin ke atas penyokong PAS tetapi mereka sendiri tidak wala' kepada raja, malah derhaka terhadap raja.

Sedang pemimpin PAS tersepit dan bergelut untuk meminta maaf kepada Sultan Perak dan dalam masa yang sama terpaksa berhadapan dengan penyokong PAS yang mula mempersoalkan tindakan mereka, pemimpin PPBM dilihat tersenyum puas melihat kesetiaan dan ketaatan pemimpin PAS dalam mematuhi semua perintah yang mereka berikan.

Kepada pemimpin PAS, kalau sudah menyedari tersesat di hujung jalan, kembalilah semula ke pangkal jalan.

Tidak ada manusia yang tidak melakukan kesilapan, namun apa yang penting, jadikanlah pengalaman semalam sebagai panduan untuk menghadapi hari esok.

Janganlah disalah gunakan ketaatan dan kesetiaan penyokong PAS demi untuk memenuhi kehendak dan aspirasi individu tertentu.

Kalau benar-benar ikhlas dalam perjuangan yang meletakkan Islam di hadapan, berhentilah menjadi budak suruhan PPBM yang sememangnya diketahui dipenuhi dengan pengkhianat.