Friday, December 18, 2020

Sebelum Segala-Galanya Terlambat, UMNO Mesti Bertindak Keluar Dari PN Sekarang!!! (Bahagian 1)


Kalau hendak dihitung dengan jari pengkhianatan PPBM ke atas UMNO, tak cukup jari tangan dan kaki untuk menghitungnya.


Bermula dari kejatuhan Barisan Nasional dalam PRU 14, usaha untuk menguburkan UMNO telah dilakukan oleh Dr Mahathir yang ketika itu adalah Pengerusi PPBM dan juga Perdana Menteri Malaysia.

Bagi admin, usaha secara konsisten yang dilakukan oleh PPBM sejak dari dahulu hingga sekarang sebenarnya adalah usaha untuk 'hijacked' segala aset kepunyaan UMNO untuk diserapkan secara dan ditukar milikkan kepada PPBM secara sah.

Sebagai sebuah parti yang telah wujud sebelum Malaysia merdeka dan telah bertapak kukuh di hati orang Melayu, UMNO adalah satu-satunya parti yang memiliki hampir kesemuanya yang diperlukan oleh sebuah parti politik untuk terus menjadi parti yang dominan dalam dunia politik tanah air.

Kekuatan UMNO diperingkat akar umbi digeruni pihak lawan dan disegani pihak kawan, malah ianya telah diuji dengan kekalahan UMNO pada PRU 14 yang lepas.

Ketika segelintir pemimpin UMNO mengambil keputusan untuk meninggalkan UMNO dengan berbagai alasan akibat kekalahan UMNO di PRU 14 yang lepas, akar umbi UMNO tetap setia dengan parti keramat orang Melayu ini.

Kekuatan UMNO terus diperkukuhkan dari peringkat cawangan, bahagian dan pusat oleh akar umbi yang setia dengan UMNO.


Jentera pilihanraya UMNO di setiap peringkat disusun semula dan ianya terbukti dengan kemenangan di dalam 7 Pilihanraya Kecil yang berturut-turut menumbangkan calun dari parti yang memerintah ketika itu.

Melihatkan kejayaan demi kejayaan yang diraih UMNO, walau pun dalam masa yang sama UMNO terpaksa menghadapi serangan pihak lawan dengan keadaan kaki dan tangan diikat, maka musuh-musuh politik UMNO mula menukar strategi serangan mereka.

Kalau sebelum ini serangan banyak dilakukan dari luar UMNO, kini serangan dilakukan dari dalam UMNO sendiri.

Ada teori yang mengatakan, Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PPBM merupakan langkah awal yang telah diatur oleh musuh UMNO dalam melakukan serangan dari dalam UMNO sendiri.

Walau pun perkara ini dinafikan oleh Dr Mahathir, namun ada asasnya mengapa ianya disusun begitu.

Ketika UMNO dan PAS telah bersetuju untuk melakukan kerjasama politik, malah telah menandatangani Piagam Persefahaman Muafakat Nasional, PPBM mendapati gelombang penolakan masyarakat Melayu, malah masyarakat bukan Melayu kepada DAP yang merupakan sekutu dominan mereka dalam Pakatan Harapan semakin kuat.

PRK Tg. Piai adalah bukti yang cukup nyata, sebahagian besar undi masyarakat bukan Melayu telah beralih dari DAP kepada calun MCA dari Barisan Nasional.

Namun untuk menyingkirkan DAP begitu sahaja, akan membuatkan PPBM bukan sahaja akan kehilangan jawatan Perdana Menteri, malah PPBM juga berhadapan risiko terkubur kerana mereka pasti akan disingkirkan dari PH oleh PKR dan PAN yang menjadi sekutu kuat DAP.

Ke mana PPBM akan pergi kalau itu berlaku?


PH sudah singkirkan mereka, UMNO sudah tentu tidak akan menerima mereka dan PAS juga tidak akan menerima mereka(ketika itu, sekarang keadaan sudah berubah).


Maka dengan menggunakan alasan untuk menyingkirkan DAP dari kerajaan demi untuk penyatuan ummah, maka Langkah Sheraton di atur untuk menjatuhkan kerajaan mereka sendiri tetapi dalam masa yang sama, jawatan Perdana Menteri tetap akan menjadi milik PPBM.

Kesilapan terbesar yang dilakukan oleh pemimpin UMNO adalah bila bersetuju untuk berkerjasama dengan PPBM dalam Perikatan Nasional.

Persetujuan ini adalah ibarat telah membuka ruang seluas-luasnya kepada PPBM untuk merealisasikan niat mereka untuk menghancurkan UMNO dari dalam.

Admin akan dedahkan gerakan-gerakan yang telah dilakukan oleh PPBM untuk menghancurkan UMNO dari dalam pada tulisan yang akan datang.


No comments:

Post a Comment

Sila komen mengikut tajuk yang dibincangkan. Komen yang lari tajuk dan tidak sopan boleh ditahan siaran serta diban jika melampau sangat.