Saturday, January 30, 2021

Covid-19, Perikatan Nasional Dah Angkat Bendera Putih, Rakyat Kena Uruskan Diri Sendiri


Jangkitan harian Covid-19 semakin hari semakin parah.

Perjalanan kita untuk melandaikan lekuk graf kes baharu Covid-19 masih jauh, apa lagi untuk mengawal sepenuhnya wabak Covid-19 yang makin hari semakin memakan korban nyawa rakyat Malaysia.

Angka 3,000 dan kadangkala meningkat ke angka 4,000 bagi jangkitan kes baharu Covid-19 sudah menjadi kelaziman di Malaysia.


Media The Star melaporkan bahawa Malaysia mencatat kes Covid baru ke-29 paling tinggi di dunia tanpa mengambil kira saiz penduduk bagi tempoh 2 minggu PKP 2.0 kita.


Sementara dikalangan negara Asia Tenggara pula, Malaysia mencatatkan jangkitan kes baharu Covid-19 tertinggi bagi tempuh yang sama.

Pada 11 Januari 2021 yang lalu, Muhyiddin mengumumkan, untuk membendung wabak Covid-19, kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan ke seluruh negara kecuali Sarawak.

Tidak cukup dengan itu, menggunakan alasan yang sama, sehari selepas pengisytiharan arahan Perintah Kawalan Pergerakan ke seluruh negara, pada 12 Januari 2021, Muhyiddin mengisytiharkan Perintah Darurat pula  ke seluruh negara pula.

Namun apa hasilnya?

Adakah kita dapat melihat tanda-tanda awal kes jangkitan baharu Covid-19 dapat dikawal?

Tidak, kes jangkitan baharu Covid-19 bukan sahaja tidak dapat dikawal, malah setiap hari bila Kementerian Kesihatan membuat pengumuman, angka jangkitan baharu Covid-19 semakin bertambah.

Malah sehingga hari ini, keadaan menjadi semakin teruk!!!

Kenapa jadi begini?

Bukankah tujuan dan matlamat utama Muhyiddin mengisytiharkan arahan PKP dan Perintah Darurat adalah untuk membendung atau mengawal kes jangkitan baharu Covid-19?

Sebenarnya tujuan Kerajaan Muhyiddin mengisytiharkan arahan PKP dan Perintah Darurat bukanlah supaya kerajaan dan kakitangan awam yang terlibat dalam membendung penularan Covid-19 dapat memberikan tumpuan dan menggandakan usaha membendung penularan wabak Covid-19, tetapi tujuan sebenarnya adalah untuk menyelamatkan nyawa politik Muhyiddin dan kerajaan beliau.

Sepanjang tempuh darurat, tidak ada satu polisi atau dasar baharu yang diperkenalkan atau perintah yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Muhyiddin bagi membendung penularan Covid-19.

Tidak nampak sebarang usaha dari barisan menteri kabinet Muhyiddin yang seramai 70 orang itu melakukan sebarang usaha membendung penularan Covid-19.

Malah arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan selama 14 hari itu, jauh lebih longgar dari Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama dahulu.


Apa yang giat dilakukan oleh ahli politik terutamanya dari PPBM adalah gerak kerja 
memperkukuhkan kedudukan politik mereka.

Lebih menghairankan, bila Kerajaan Muhyiddin dilihat seolah-olah sudah mengangkat bendera putih bila mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan ke seluruh negara tidak akan disambung lagi selepas tarikhnya tamat pada 4 Februari 2021, walau pun keadaan jangkitan kes baharu Covid-19 masih lagi tidak berubah ketika permulaan pengisytiharan perintah PKP dan Perintah Darurat.

Bukti menunjukkan. bukan PKP yang memberikan kesan yang buruk terhadap ekonomi Malaysia tetapi Perintah Darurat yang telah membawa kesan yang sangat buruk terhadap ekonomi Malaysia.

Alasannya ialah, ia akan mendatangkan kesan yang buruk terhadap ekonomi Malaysia.

Persoalannya, kalau PKP dikatakan mendatangkan kesan yang buruk ke atas ekonomi Malaysia, bagaimana pula dengan Perintah Darurat yang mempunyai jangka hayat sehingga ke bulan Ogos 2021.


Apakah perintah PKP membawa kesan yang lebih besar dari kesan Perintah Darurat?

Soalan yang mahu kita tanyakan kepada Kerajaan Muhyiddin, sekiranya dahulu mereka merasakan penguatkuasaan PKP dan Perintah Darurat adalah sangat berkesan bagi kerajaan membendung penularan Covid-19, mengapa kini ketika angka jangkitan baru masih lagi tinggi tetapi penguatkuasaan PKP mahu dilonggarkan?

Penguatkuasaan PKP dan Perintah Darurat telah banyak menyiksa kehidupan harian marhaen dan selepas hampir setahun hidup dalam penderitaan, apakah Muhyiddin sudah mengibarkan bendera putih dan membiarkan rakyat sendiri menguruskan masaalah Covid-19?

Kalau itu keadaannya tunggulah PRU 15 nanti...

Wednesday, January 27, 2021

Tahniah Bro, Lu Punya Kencing Makin Hancing, Dengan Muka Tak Malu Bila Menipu


Menteri Kewangan Malaysia, Senator Tengku Zafrul, semakin hari, semakin mantap teknik penipuannya.

Bermula dengan penipuan beliau sewaktu penggulungan Rang Undang Undang Perbekalan 2021 menganai I Sinar, moratorium kepada peminjam dan pemberian 150,000 buah komputer percuma kepada golongan B 40, kini nampaknya Tengku Zafrul dilihat seolah-olah semakin seronok menipu rakyat Malaysia.


Dalam penggulungan Rang Undang Undang Perbekalan 2021, Tengku Zafrul dengan bangga sambil terangguk-angguk kepala, mengumumkan
 kerajaan bersetuju untuk memperluaskan pengeluaran skim i-Sinar daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19.

"Justeru setelah berbincang dengan KWSP pagi tadi, sukacita diumumkan program i-Sinar dibuka dan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan mereka."

"Tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan, terkurang pendapatan mereka tahun ini, ahli tersebut layak untuk membuat pengeluaran dari akaun satu, tanpa mengira ahli tersebut pekerja sektor formal atau bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak."

"Selagi mereka terjejas pendapatan dengan ketara, mereka boleh mengeluarkan simpanan daripada akaun satu KWSP," umum Tengku Zafrul.

Hakikatnya, hanya mereka yang berada dalam kategori 1 atau golongan B 40 sahaja yang dibenarkan untuk membuat pengeluaran Akaun 1 KWSP melalui i Sinar.

Bagi mereka yang berada dalam kategori 2, akan hanya dibenarkan sekiranya menepati syarat-syarat mengarut yang cukup ketat.

Maka ramailah rakyat Malaysia yang kecewa, ramai pencarum KWSP bertukar menjadi pencarut KWSP.

Begitu juga dengan kisah moratorium, segala yang diumumkan oleh Tengku Zafrul, hanyalah indah khabar dari rupa sahaja.

Ramai yang terlepas pandang, ketika membentangkan Rang Undang Undang Perbekalan 2021, Tengku Zafrul juga telah mengumumkan kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi menyediakan sebanyak 150,000 buah komputer riba secara percuma kepada 150,000 murid sekolah dan akan dimulakan dengan sekolah rintis.

Persoalannya sekarang, mengapa sehingga sekarang masih lagi tiada khabar berita mengenai pemberian komputer riba secara percuma itu?


Benar kalau dikatakan, kita baru sahaja memasuki bulan Januari 2021, tetapi, dalam keadaan kerajaan mengisytiharkan perintah PKP di hampir seluruh negara dan Kementerian Pendidikan pula mengumumkan semua sesi persekolahan secara bersemuka ditangguhkan dan digantikan dengan Pengajian dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR), apakah kerajaan tidak merasakan keperluan pelajar untuk mempunyai komputer riba sudah menjadi satu keperluan yang mendesak.

Tidak semua ibubapa, terutamanya golongan B 40, mampu menyediakan satu tablet untuk setiap orang anak mereka.

Bagaimana dengan keluarga yang hanya mempunyai hanya satu atau dua tablet sahaja sedangkan anak-anak yang terlibat dalam PdPR sramai 3 orang atau lebih dan jadual yang bertindih memerlukan anak-anak menghadiri PdPR secara serentak?

Memang benar, ada inisiatif dari guru-guru sendiri yang merakam sesi PdPR supaya murid yang tidak dapat hadir pada waktu yang telah ditetapkan berpeluang untuk mengikutinya secara rakaman.

Tetapi pembelajaran adalah komunikasi 2 hala, bagaimana sekiranya apa yang diterangkan oleh guru tersebut tidak difahami oleh murid, kepada siapa mereka hendak rujuk?

Atau sebenarnya, ada pula syarat-syarat ketat yang mengarut seperti dalam i Sinar terpaksa dipenuhi bagi melayakkan murid mendapat komputer riba secara percuma itu?

Tapi mungkin bagi Tengku Zafrul, projek pembinaan Dewan di Parlimen Pagoh yang bernilai lebih dari RM35 juta lebih mendesak keperluannya dari pemberian komputer riba percuma kepada murid sekolah.

Selepas seronok menipu rakyat Malaysia, Tengku Zafrul cuba pula menipu pelabur asing dengan memberikan gambaran yang salah mengenai pelaburan asing (FDI) di Malaysia.


Dalam satu kenyataan, Tengku Zafrul mengumumkan, pelaburan asing dalam negara kekal tinggi di sekitar RM100 bilion bagi tahun 2020.


Kenyataan beliau dikecam hebat oleh beberapa pakar ekonomi dari dalam dan luar negara.

Secara logik, admin yang bukan berada dalam bidang ekonomi pun boleh berfikir, dalam keadaan negara menutup pintu masuk kepada semua warga asing sejak bulan Mac 2020 akibat dari penularan wabak Covid-19 dan keadaan politik yang sangat-sangat tidak stabil, pelabur asing mana yang mahu datang ke Malaysia untuk membuat pelaburan?

Selepas dikecam dengan kenyataan syok sendiri, Tengku Zafrul sekali lagi dengan penipuan yang lebih hebat.

Dengan hanya menggunakan air di dalam mangkuk, bagaikan Nujum Pak Belalang, Tengku Zafrul mengumumkan unjuran kenaikan KDNK Malaysia bagi tahun 2021 akan naik kepada 6.5% hingga 7.5%.

Secara perbandingan, tahun 2017, dalam keadaan negara tidak berada dalam perintah PKP dan Perintah Darurat, Malaysia hanya mampu mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.9% sahaja.

Bagaimana dengan perintah PKP yang tidak boleh kita ramalkan bila akan berakhir, ditambah lagi dengan Perintah Darurat politik yang hayatnya sehingga bulan Ogos 2021 dan dalam keadaan pintu masuk negara masih lagi ditutup, Tengku Zafrul boleh dakwa unjuran KDNK negara akan berada pada kadar 6.5% hingga 7.5%?

Tidak sampai setahun menjadi ahli politik, Tengku Zafrul sudah mempertajamkan skil menipu beliau.

Tahnia Tengku Zafrul, satu soalan admin kepada Senator Tengku Zafrul, PRU 15 nanti nak bertanding kat Parlimen mana?

Monday, January 25, 2021

PPBM Di Penuhi Ahli Politik Yang Rosak Akhlak


Ini bukan lagi cerita mudarat kecil atau mudarat besar tapi dah jadi cerita mudarat besar yang tak boleh ditutup lagi.

Bukti PPBM dipenuhi dengan ahli politik yang rosak akhlaknya sudah berkali-kali didedahkan tapi masih ada lagi kelompok manusia yang mempunyai kepentingan peribadi mempertahankannya.


Terkini dan terhangat di pasaran, Ahli Biro Armada, mantan calun PPBM di P 058, Bagan Serai ketika PRU 14, Adam Asmuni, 
ditahan pihak polis untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, atas kesalahan memiliki dan memproses dadah larangan di bawak Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam serbuan yang dilakukan di Fraser Business Park, Kuala Lumpur pada 20 Januari 2021 lepas, turut sama dirampas oleh pihak polis ialah 1.5 kilogram leraian daun kering yang disyaki daun ganja, 9 pokok ganja dan sejumlah besar cecair yang telah diproses dan dipercayai mengandungi ganja.

Admin tidak mahu ulas lebih lanjut mengenai kes tersebut, namun dari maklumat yang diterima, sekiranya Adam disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, mahkamah tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Apa yang menarik ialah kenyataan 'flip flop' pihak Armada ketika berita penangkapan mula tersebar.

Pada peringkat awal, Armada mengeluarkan kenyataan menafikan berita tersebut...🤐🤐🤐

Tapi pada hari yang sama, Armada keluarkan satu lagi kenyataan mengakui kebenaran berita tersebut...😵😵😵


Ianya mengingatkan kita mengenai kes ADUN Dengkil, 
Adif Syan Abdullah, yang juga merupakan pegawai lantikan politik di Kementerian Belia dan Sukan, ketika Syed Saddiq yang merupakan Ketua Armada menjadi Menteri Belia dan Sukan ketika itu, telah ditahan polis bersama 17 individu yang lain pada 13 Januari 2020, di pusat hiburan di Damansara kerana disyaki positif dadah dan terlibat dalam pesta dadah di pusat hiburan tersebut.

Peringkat awalnya, Armada menafikan berita tersebut, tetapi akhirnya terpaksa mengakui kesahihan berita tersebut.


Skandal seks mantan Ketua Armada, Syed Saddiq, telah membawa kepada penemuan duit tunai sebanyak suku juta ringgit oleh SPRM di dalam rumah Syed Saddiq.

Hasil siasatan dan serbuan SPRM di beberapa rumah pemimpin Armada yang lain telah menemukan duit tunai sebanyak RM600,000 pula.

Namun hingga sekarang, kita masih tidak tahu apakah kesudahan kes tersebut.


Baru-baru ini terbongkar pula. Ketua Bahagian PPBM Kota Melaka, Hishamuddin Abdul Karim, adalah kaki judi online.

Perkara ini dibongkarkan sendiri oleh Armada Kota Melaka dalam satu posting Facebook mereka.

Dan bukanlah rahsia, Setiausaha Agung PPBM, Azmin Ali, juga terlibat dalam kegiatan seks luar tabii.


Walau pun segala bukti sudah jelas, namun kerana kuasa yang dipegang oleh PPBM sejak era pemerintahan Pakatan Harapan dan hingga kini Perikatan Nasional, namun, Azmin masih lagi dipandang suci oleh segelintir masyarakat.


Malah Presiden PPBM yang merupakan Perdana Menteri sekarang ini juga pernah dikaitkan dengan skandal seks bersama isteri orang.

Satu persoalan yang pernah ditanyakan kepada admin, mengapakah ramai pemimpin PPBM ramai yang terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral?

Jawapan admin mudah sahaja, kalau dah namanya pengkhianat, apakah ada dalam dunia ini manusia pengkhianat yang jujur, beriman dan beramal soleh?

Renungkanlah, apakah kita masih lagi mahu memilih pengkhianat-pengkhianat ini, yang jelas tidak bermoral menjadi pemimpin kita?


Apakah kita sudah melupakan pesanan Saidina Umar ibn Khattab?

Saturday, January 23, 2021

Siapa Dalang Serangan Ke Atas Presiden UMNO Dan Apa Sebabnya?


Sebelum apa yang admin akan tulis ini kena spin, harus admin jelaskan, Solidariti Bersama Presiden UMNO yang admin maksudkan, bukanlah solidariti terhadap batang tubuh individu yang menjawat jawatan Presiden UMNO sekarang ini tetapi apa yang admin maksudkan ialah solidariti kepada institusi Presiden UMNO.

Bukan juga bermaksud admin termasuk dalam kempen serangan kumpulan yang mahu DS Ahmad Zahid Hamidi berundur dari jawatan Presiden UMNO, tetapi sebagai akar umbi UMNO yang sayangkan UMNO, admin berpendapat, kedudukan DS Zahid sebagai Presiden UMNO mesti dipertahankan kerana ianya adalah sah dari sudut Perlembagaan UMNO dan ianya adalah pilihan akar umbi UMNO melalui pemilihan yang sah.

Mempertahankan kedudukan DS Zahid sebagai Presiden UMNO membawa maksud kita mempertahankan institusi Presiden UMNO dari serangan yang dilakukan oleh musuh-musuh UMNO sama ada dari luar UMNO atau pun dari dalam UMNO sendiri.


Terkini tular di dalam media sosial senaskah E Book yang bertajuk 30 Dalil Mengapa Zahid Perlu Letak Jawatan Sebagai Presiden UMNO.

Persoalannya, siapakah dalang sebenar yang melakukan serangan ke atas Presiden UMNO?

Serangan terhadap UMNO sebenarnya datang dari luar UMNO dan didokong oleh pihak-pihak berkepentingan yang berada di dalam UMNO.

Walau pun UMNO merupakan sebahagian dari Kerajaan Muhyiddin, namun tindakan dan keputusan yang UMNO buat sejak kebelakangan ini telah menggegarkan Kerajaan Muhyiddin dan secara Perlembagaan telah meruntuhkan Kerajaan Muhyiddin.

Pengumuman 2 Ahli Parlimen UMNO, Datuk Ahmad Jazlan dan Datuk Seri Nazri Aziz, yang menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Muhyiddin, telah mengesahkan keruntuhan Kerajaan Muhyiddin dari sudut Perlembagaan.

Ini telah menyebabkan Muhyiddin terpaksa memohon Perintah Darurat dari SPB YDP Agung dengan menggunakan alasan wabak Covid-19.


Dalam pengumuman Perintah Darurat yang diumumkan oleh Muhyiddin, beliau telah berjanji untuk mengadakan PRU 15 sebaik sahaja keadaan wabak Covid-19 terkawal dan Perintah Darurat ditarik balik.

Sebenarnya dengan janji yang telah dibuat oleh Muhyiddin, beliau telah menyediakan bom jangka untuk kabinet beliau dan juga PPBM.

Muhyiddin sedar, PPBM berada dalam keadaan yang belum bersedia untuk menghadapi Pilihanraya Umum.

Kekuatan akar umbi dan jentera pilihanraya di peringkat akar umbi masih lagi berterabur dan belum tersusun dengan kemas.

Tidak boleh dinafikan juga, PPBM amat-amat mengharapkan sokongan dan pertolongan UMNO supaya PPBM dapat terus berkuasa selepas PRU 15 nanti.

Tetapi ketegasan Presiden UMNO yang menghormati keputusan suara akar umbi UMNO yang mendesak supaya hubungan antara UMNO dan PPBM ditamatkan menjelang PRU 15, sangat-sangat meresahkan PPBM.

Satu-satunya cara untuk PPBM dapat memaksa UMNO untuk menukar pendirian adalah dengan menjatuhkan Presiden UMNO yang ada sekarang dan digantikan dengan boneka PPBM sebagai Presiden UMNO.

Pengumuman Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Mazlan, bahawa Presiden UMNO setuju supaya pemilihan UMNO di semua peringkat dilakukan pada tahun ini membuatkan PPBM merasakan mereka semakin kesuntukan masa untuk menjatuhkan Presiden UMNO dan menggantikannya dengan boneka pilihan mereka.

Maka terbitlah E Book 30 Dalil Mengapa Zahid Perlu Letak Jawatan Sebagai Presiden UMNO.

Tujuannya supaya mesej menolak DS Zahid dapat mempengaruhi semua perwakilan di peringkat akar umbi yang akan membuat pemilihan nanti.

Sekiranya ini berjaya, PPBM mesti menyediakan calun Presiden UMNO yang akan menjadi boneka mereka.

Tiada calun yang lebih sesuai selain dari Annuar Musa.

Sebab itu, walau pun memang diketahui Annuar Musa sering mengeluarkan kenyataan yang tidak memihak kepada UMNO, sama ada sebelum atau selepas dilucutkan jawatan dari Setiausaha Agung Barisan Nasional, beliau mungkin telah diarahkan oleh Muhyiddin untuk tidak melompat ke PPBM dan terus tinggal di dalam UMNO supaya dapat melayakkan beliau untuk bertanding sebagai Presiden UMNO dalam pemilihan UMNO yang akan diadakan.

Sementara menunggu pemilihan UMNO, Annuar Musa telah diarahkan untuk menyerang peribadi Presiden dan kepimpinan UMNO supaya reputasi dan kredibiliti DS Zahid sebagai Presiden UMNO dapat diruntuhkan.

Maka fitnah kononnya Presiden dan beberapa pemimpin tertinggi UMNO membuat perancangan untuk melakukan kerjasama dengan DAP telah ditaburkan dengan seluas-luasnya.


Tetapi fitnah Annuar Musa telah dinafikan oleh Setiausaha Agung DAP, 
Lim Guan Eng. 


Gagal dengan fitnah UMNO mahu jalinkan kerjasama dengan DAP, Annuar Musa menaburkan fitnah kedua, kononnya Presiden UMNO, DS Zahid dan mantan Presiden UMNO, DS Najib, telah menulis sepucuk surat kepada SPB YDP Agung dengan menyatakan pendirian UMNO menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Sebenarnya fitnah Annuar Musa ini adalah sesuatu yang amat serius.

Annuar Musa mendakwa, beliau mempunyai surat asli yang sah yang telah diberikan kepada SPB YDP Agung.

Beliau bukan sahaja memfitnah DS Zahid dan DS Najib, tetapi dalam masa yang sama beliau juga menuduh pihak pegawai Istana Negara telah melakukan penderhakaan terhadap SPB YDP Agung.

Secara tidak langsung, Annuar Musa telah menuduh pihak pegawai Istana Negara telah menyerahkan surat kepunyaan SPB YDP Agung kepada beliau.

Sebagai rakyat Malaysia yang rasional, sudah tentu kita tidak akan mempercayai apa yang dikatakan Annuar Musa.

Tidak mungkin SPB YDP Agung, mahu pun pegawai-pegawai baginda menyerahkan surat kepunyaan SPB YDP Agung kepada beliau.

Admin harap, akar umbi UMNO tidak terpengaruh dengan permainan dan fitnah politik dari PPBM dan Annuar Musa yang mahu mempergunakan UMNO dan melihat UMNO menjadi budak suruhan PPBM selama-lamanya.

Akar umbi UMNO pernah tersilap langkah kerana mempercayai fitnah yang ditaburkan oleh Pakatan Harapan menjelang PRU 14 dahulu dan akibatnya sehingga ke hari ini kehidupan rakyat Malaysia semakin hari semakin susah akibat kegagalan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional gagal menjadi kerajaan yang baik kesan dari keadaan politik yang tidak stabil.

Institusi Presiden UMNO mesti dipertahankan dan sekiranya mahu menggantikan Presiden UMNO dengan Presiden UMNO yang baharu, lakukan dengan lunas perlembagaan parti.

Biar perwakilan UMNO membuat pilihan dan bukannya Presiden UMNO dijatuhkan oleh pihak musuh yang berada di luar UMNO dengan dokongan pihak musuh dalam selimut yang berada di dalam UMNO.

UMNO telah berjaya memerdekakan negara Malaysia dan In Sya Allah, tidak ada keraguan, hanya UMNO yang mampu membawa rakyat dan negara Malaysia keluar dari penderitaan yang dialami sejak pasca PRU 14.

Wednesday, January 20, 2021

Pengharaman UMNO Akan Lebih Memudaratkan UMNO Atau PPBM?


Sejujurnya admin akui agak terkejut bila mendapat maklumat dalam mesyuarat khas MPT PPBM pada 6 Januari 2021, (waktu yang sama Majlis Kerja Tertinggi UMNO bermesyuarat bagi membincangkan desakan majoriti dari 191 Bahagian UMNO yang mahu hubungan kerjasama antara UMNO diputuskan dalam PRU 15), telah memutuskan untuk mengharamkan UMNO sebagai parti politik yang berdaftar secara sah.

Admin terkejut bukan kerana keputusan yang dibuat oleh MPT PPBM, tapi admin terkejut sebab memikirkan, apa yang Muhyiddin dan Hamzah fikirkan hingga sanggup melakukan satu perkara yang Dr Mahathir sendiri tidak berani untuk lakukan.

Kita tahu, sepanjang 22 bulan Dr Mahathir berkuasa sebagai Perdana Menteri, berbagai usaha telah beliau lakukan untuk membunuh UMNO.

Cara yang Dr Mahathir lakukan ialah dengan mengugut dan memaksa pemimpin UMNO sendiri membunuh UMNO.


Presiden UMNO pernah diberikan ugutan supaya membubarkan UMNO, pemimpin-pemimpin UMNO yang berpengaruh juga dipaksa dan diugut dengan berbagai tuduhan di mahkamah sekiranya tidak mahu beralih arah kepada Dr Mahathir.

Persoalannya, mengapa Dr Mahathir tidak berani mengambil risiko dengan terus mengharamkan UMNO ketika beliau berkuasa.

Dr Mahathir setakat mengacah untuk mengharamkan UMNO tapi tidak ada keberanian untuk melakukannya.


Dengan kuasa yang Dr Mahathir ada ketika itu, amat mudah untuk beliau lakukannya, seperti mendapatkan pengampunan untuk Anwar Ibrahim, menggugurkan kes Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang lain.

Sebenarnya sebagai bekas Presiden UMNO yang telah menerajui parti keramat ini, Dr Mahathir amat memahami bahawa kekuatan sebenar UMNO berada di akar umbi UMNO yang sentiasa setia dan sanggup berkorban apa saja untuk UMNO.

Di samping itu, Dr Mahathir juga tahu, kekuatan UMNO bukan sahaja terletak pada 3.2 juta ahli UMNO yang berdaftar tetapi kekuatan UMNO juga didokong berjuta-juta pengundi yang selama ini setia menyokong UMNO walau pun bukan sebagai ahli parti.

Inilah yang menghalang Dr Mahathir dari melakukan sesuka hati kepada UMNO walau pun beliau berada di puncak kuasa ketika itu.

Benar, UMNO tumbang pada PRU 14 yang lepas, tetapi ketika itu, pengundi UMNO yang berada di luar UMNO dan sebahagian akar umbi UMNO termakan dengan hasutan fitnah yang dilemparkan kepada UMNO.

Sebab itu bila masyarakat Melayu mula memberikan sokongan kepada UMNO, tidak lagi kedengaran usaha Dr Mahathir untuk mengharamkan UMNO.

Dr Mahathir tahu, sekiranya beliau teruskan juga usaha untuk mengharamkan UMNO, beliau bukan sahaja akan berhadapan dengan kemarahan 3.2 juta akar umbi UMNO, malah beliau juga akan berhadapan dengan kemarahan dengan berjuta-juta pengundi setia UMNO yang tidak menjadi ahli UMNO.

Lalu Dr Mahathir mengambil jalan selamat dengan memberikan tekanan dan ugutan kepada pemimpin UMNO supaya membubarkan UMNO.

Sekiranya itu berlaku, masyarakat Melayu tidak akan menghukum Dr Mahathir tetapi akan menghukum pemimpin UMNO kerana membubarkan parti keramat orang Melayu ini.


Satu perkara yang pasti, Muhyiddin dan orang-orang di sekeliling beliau sudah terlalu angkuh dengan kuasa yang mereka miliki sekarang ini.

Usaha untuk mengharamkan UMNO sudah dimulakan oleh Dr Mahathir mulai dari tahun 2018.

Apakah Muhyiddin fikir, sebagai sebuah parti yang telah wujud selama lebih dari 7 dekad, pemimpin-pemimpin UMNO tidak melakukan apa-apa persedian sekiranya usaha mengharamkan UMNO berjaya dilakukan.

Dalam siri jelajah HPU914, Timbalan Presiden UMNO, DS Mohamad Hasan, pernah menerangkan kepada ahli UMNO, seandainya Dr Mahathir berjaya mengharamkan UMNO, kita sudah ada platfom yang akan digunakan sementara menunggu UMNO dikembalikan berkuasa.

UMNO mempunyai Barisan Nasional, perkara yang hampir sama pernah dilakukan oleh Dr Mahathir sewaktu UMNO diharamkan ketika beliau menjadi Presiden UMNO dahulu.


Sebenarnya, sekiranya Muhyiddin berani mengharamkan UMNO, maka akan wujud gelombang tsunami penolakan masyarakat Melayu terhadap PPBM yang diketahui amat lemah di peringkat akar umbi.

Kepada akar umbi dan pendokong UMNO, bertenang, biarlah Muhyiddin lakukan apa yang beliau rancangkan, kita lihat, siapa yang akan tumbang dalam PRU 15 nanti.

Monday, January 18, 2021

Kesilapan Institusi Raja Raja Melayu Akan Membuka Ruang Kepada Gerakan Subversif Republik Malaysia (GSRM)


Sebelum admin menulis dengan lebih lanjut mengenai tajuk yang sangat sensitif ini, admin mahu menyatakan di sini, admin bukanlah seorang berideologi sosialis yang menentang Institusi Raja Raja Melayu.

Admin adalah seorang pendokong kuat sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia dan sebagai rakyat Malaysia, admin akan mempertahankan sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia.

Apa yang mahu admin tuliskan adalah peringatan kepada Institusi Raja Raja Melayu supaya sistem monarki yang wujud di Malaysia ini akan terus kekal dan dapat dipertahankan.


Titah Al Marhum Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibuddin Shah (Marhum Al-Maghfur-Lah) 
sewaktu dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1980 :

"Selagi rakyat menaruh kepercayaan terhadap Raja dan menghormati Institusi Raja, selagi itu takhta tidak akan dipindahkan dari istana ke muzium, takhta juga tidak boleh lari daripada hukum ALLAH, hukum yang ditetapkan ke atas seluruh umat manusia tanpa mengira raja atau rakyat."

Admin dengan rasa penuh hormat mahu mndedahkan maklumat yang dipercayai sumbernya bahawa terdapat satu gerakan diberi nama Gerakan Subversif Republik Malaysia (GSRM), untuk memindahkan Institusi Raja Raja Melayu di Malaysia dari istana ke muzium yang telah lama disusun oleh satu parti politik dan digerakkan oleh satu parti politik yang lain untuk dilaksanakan.


16 Julai 2019, laman blog ini ada menyiarkan tulisan yang bertajuk 
Bahaya Wan Ji Bukan Hanya Hasutan Terhadap Raja Berpelembagaan.

Tulisan itu mendedahkan, seawal tahun 2011, telah ada satu gerakan tersusun yang didalangi oleh sebuah parti politik untuk menghapuskan Institusi Raja Raja Melayu di Malaysia.

Bermula dengan memberikan gelaran yang buruk terhadap Raja Raja Melayu dan kemudian membuat provokasi terhadap Raja Raja Melayu supaya dapat membangkitkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap Raja Raja Melayu.

Matlamat gerakan tersebut adalah supaya Institusi Raja Raja Melayu dapat dihapuskan sama sekali menjelang tahun 2030 dan menukar Malaysia menjadi sebuah negara republik.

Ketika pentadbiran Pakatan Harapan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan Hal Ehwal Islam ketika itu, Mujahid Yusof, telah melantik Wan Ji untuk terlibat dengan Majlis Dakwah Negara.

Di sebabkan beberapa kenyataan kontroversi yang Wan Ji keluarkan, beliau telah tidak dibenarkan untuk mengajar di surau dan di masjid.

Tetapi kini, di bawah pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional, Wan Ji telah dilantik pula sebagai moderator Majlis Dakwah Negara.

Dengan ideologi yang anti kepada Institusi Raja Raja Melayu, kini Wan Ji dilihat telah mempunyai medium yang lebih besar dan berkesan untuk menyebarkan fahaman beliau.

Bukan admin menuduh Wan Ji mengambil kesempatan untuk menanamkan doktrin anti Institusi Raja Raja Melayu dengan jawatan moderator Majlis Dakwah Negara tetapi bagi admin, dengan jawatan yang beliau pegang sekarang ini, ianya akan membuka ruang dan peluang yang lebih luas kepada Wan Ji untuk merealisasikan impian beliau untuk menghapuskan Institusi Raja Raja Melayu menjelang 2030.


Antara titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di
Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara, Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat, di Hotel Marriott, Putrajaya :

"Raja tidak harus rasa tertekan dan tidak semestinya memberikan perkenan jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan tuntutan syarak, menyimpang daripada semangat Perlembagaan, bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat, hingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman". 

"Apabila Raja dirujuk, Duli-Duli Baginda hendaklah memberikan pandangan secara bebas tanpa perasaan ragu atau pilih kasih dan dalam perkara Raja perlu bertindak atas budi bicara, Duli-Duli Baginda hendaklah menyempurnakannya dengan hikmah dan kebijaksanaan demi membuktikan Raja bersifat arif, adil lagi saksama, sebagai penimbangtaraan yang bebas kepada cabang-cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman, demi memastikan terlaksana secara bermakna mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan amalan demokrasi yang telus".

Baginda juga bertitah dalam majlis yang sama :

"Raja perlu bijaksana mengaplikasi kuasa budi bicara supaya apa juga ketetapan yang dititahkan akan memberikan sebaik-baik manfaat kepada negara dan warga". 

"Dalam hasrat merumus ketetapan yang bijaksana, Raja perlu mendapat pandangan seluas dan sedalam mungkin, daripada seramai pihak, merentasi sempadan kaum, sempadan budaya, sempadan politik, daripada dalam dan luar kerajaan, merangkumkan pendapat ulama dan umara, para akademia dan para intelek, warga tua dan warga muda, menganalisis segala fakta secara teliti, halus lagi mendalam, membezakan antara padi dengan antah, antara kaca dengan permata, sebelum mengaplikasikan kuasa budi bicara yang diperuntukkan".

"Ketika merumuskan sesuatu keputusan, Raja bergantung kepada fakta dan maklumat yang disembahkan". 

"Raja tidak berupaya melakukan yang terbaik dan yang paling bijak, jika tidak disembahkan dengan nasihat yang betul dan maklumat yang tepat, jika terus dipagari dengan kepalsuan dan dihiaskan dengan kepura-puraan". 

"Amatlah penting untuk Raja disembahkan pandangan secara tepat, secara objektif, berlandaskan kebenaran, berteraskan fakta". 

"Adalah penting untuk barisan yang dipertanggungjawabkan menasihati Raja bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, berkata benar, supaya Raja tidak dibuai dalam khayalan dan tidak diulit dengan gurindam kepalsuan". 

"Pihak-pihak yang memalsukan fakta dan melindungi kebenaran daripada Raja Pemerintah, derhaka sifatnya".


Ketika menolak permohonan darurat yang dipohon oleh Muhyiddin kerana bimbang sekiranya Rang Undang Undang Perbekalan 2021 tidak diluluskan dalam Dewan Rakyat pada bulan Oktober 2020 yang lepas, Majlis Raja Raja mengingatkan agar SPB YDP Agung menghalang salah guna kuasa oleh pihak tertentu. 

Ampun tuanku, perkhabaran Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri walau pun tidak mempunyai majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat selepas Langkah Sheraton tidak mahu admin kupas di sini, walau pun majoriti rakyat mengetahuinya, namun ketakutan yang menghantui Muhyiddin dalam menghadapi undi tidak percaya dan kelulusan Rang Undang Undang Perbekalan 2021 telah dapat ditafsirkan oleh rakyat Malaysia.

Keperluan diisytiharkan darurat menjadi tandatanya di kalangan rakyat kerana ianya diisytiharkan sehari selepas Muhyiddin mengumumkan perlaksanaan PKP, PKPB dan PKPP.

Rakyat menjunjung kasih atas keperihatinan SPB YDP Agung terhadap penularan wabak Covid-19, namun pengistiharan darurat yang dilihat dan ditafsirkan sebagai darurat politik telah mengheret Institusi Raja Raja Melayu ke dalam masaalah politik dan mendatangkan kesan yang sangat buruk, terutamanya terhadap imej Institusi Raja Raja Melayu dan ekonomi negara.

Mungkin SPB YDP Agung telah diberikan nasihat yang salah hingga mempengaruhi baginda untuk bersetuju dengan pengisytiharan darurat yang diminta dan menurut titah SPB Sultan Perak, bukankah itu derhaka sifatnya.

Mengimbas kembali 'road map' Wan Ji dalam menghapuskan Institusi Raja Raja Melayu, selepas diberikan gelaran yang buruk terhadap Raja Raja Melayu, maka provokasi akan dilakukan supaya kemarahan rakyat terhadap Institusi Raja Raja Melayu dapat diwujudkan.

Ini akan memberikan ruang yang cukup besar kepada Gerakan Subversif Republik Malaysia untuk mempergiatkan tindakan mereka.

Bukan admin mahu derhaka terhadap Raja Raja Melayu tetapi kerana sayangkan Institusi Raja Raja Melayu, maka pendedahan ini dibuat.

Muga Allah SWT mengekalkan kedaulatan Institusi Raja Raja Melayu di Malaysia.

Amin Ya Rabbal Alamin...

Friday, January 15, 2021

Adakah Darurat Politik Muhyiddin Boleh Di Cabar Di Mahkamah?


12 Januari 2021, setelah mendapat perkenan dari SPB YDP Agung ke XVI, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin, mengumumkan pengisytiharan darurat di seluruh negara sehingga 1 Ogos 2021.

Alasan yang digunakan Muhyiddin dalam menasihati SPB YDP Agung supaya memperkenankan permohonan darurat adalah untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang sekarang ini dilihat semakin tidak terkawal.

Apa yang telah diperkenankan oleh SPB YDP Agung, adalah sah dan tercatit dengan jelas di dalam Perkara 150 Perlembagaan Malaysia. 

Tidak ada sebarang keraguan mengenai perkara itu.

Namun ada 3 perkara yang menimbulkan persoalan iaitu :

1) Keabsahan Ketua Kerajaan, Perdana Menteri, dari sisi perlembagaan ketika memberi nasihat kepada SPB YDP Agung sebagai Ketua Negara.

2) Kewajaran (berdasarkan keadaan semasa negara) dalam memberikan nasihat kepada SPB YDP Agung untuk mengisytiharkan Darurat.

3) Kejujuran alasan yang diberikan kepada SPB YDP Agung dalam memberikan nasihat untuk mengisytiharkan Darurat.

Kerajaan Muhyiddin Sudah Tumbang Ketika Beliau Memberikan Nasihat Kepada SPB YDP Agung


Umum mengetahui, ketika Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub,  mengumumkan telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pada 9 Januari 2021, Kerajaan Muhyiddin cuma mempunyai 110/220 sokongan Ahli Dewan Rakyat.

Ini bermakna, memandangkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong dan tidak menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri adalah sama banyak, maka Muhyiddin sudah kehilangan majoriti sokongan Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat.

Perkara 43(4) Perlembagaan Malaysia dengan jelas menyatakan, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.


Memburukkan keadaan, apabila Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, mengumumkan secara rasmi telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin pada 12 Januari 3.34 pm, Kerajaan Muhyiddin bukan sahaja sudah kehilangan majoriti sokongan Ahli Parlimen, malah telah menjadi kerajaan yang hanya memiliki sokongan minoriti Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat.

Ini bermakna, walau pun ketika itu Dewan Rakyat tidak bersidang, tetapi secara rasminya, selepas pukul 4.00 pm di hari yang sama, Muhyiddin bukan lagi Perdana Menteri dan Kerajaan Muhyiddin bukan lagi kerajaan yang mempunyai kuasa yang sah.


Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara, Muhyiddin telah mengadap SPB YDP Agung untuk menasihati baginda supaya mengisytiharkan darurat pada 11 Januari 2021 jam 5.30 pm.

Ini bermaksud, saat Muhyiddin mengadap SPB YDP Agung, beliau hanyalah seorang Ahli Parlimen biasa dan bukan lagi seorang Perdana Menteri yang diiktiraf seperti yang tercatit di dalam Perkara 43(4) Perlembagaan Malaysia.

Persoalannya, apakah seorang Ahli Parlimen biasa layak untuk menasihati SPB YDP Agung untuk mengisytiharkan sesuatu yang besar seperti Pengisytiharan Darurat?

Adakah Yang di-Pertuan Agong membuat pengisytiharan darurat atas kuasanya sendiri atau atas nasihat Perdana Menteri?

Pengisytiharan darurat ialah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. 

Kuasa prerogatif ringkasnya bermaksud kuasa yang dimiliki oleh institusi beraja dari awal bahkan jauh sebelum gubalan Perlembagaan Persekutuan bagi Tanah Melayu (Malaysia). Kuasa tersebut kekal dalam milik institusi beraja. 

Walaubagaiamana pun, persoalan timbul ialah, adakah kuasa prerogatif tersebut dilaksanakan secara budi bicara atau atas nasihat Perdana Menteri?

Perkara 150(1) menyatakan "Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian".

Frasa "Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati" atau dalam Bahasa Inggeris, "If the Yang di-Pertuan Agong is satisfied" menjadi persoalan, adakah puas hati Yang di-Pertuan Agong seorang diri (as sole judge) atau atas nasihat.

Keputusan kes Teh Cheng Poh oleh Privy Council pada tahun 1979 menyatakan tindakan Yang di-Pertuan Agong adalah atas nasihat Jemaah Menteri. 

Ini adalah kedudukan undang-undang yang disepakati. 

Lord Diplock menyatakan :

“Although this, like other powers under the Constitution, is conferred nominally upon the Yang di Pertuan Agong by virtue of his office as the Supreme Head of the Federation and is expressed to exercisable if he is satisfied of a particular matter, his functions are those of a constitutional monarch and except on certain matters that do not concern the instant appeal, he does not exercise any of his functions under the Constitution on his own initiative but is required by Article 40(1) to act in accordance with the advice of the Cabinet".

"So when one finds in the Constitution itself or in a Federal law powers conferred upon the Yang di-Pertuan Agong that are expressed to be exercisable if he is of opinion or is satisfied that a particular state of affair exists or that particular action is necessary, the reference to his opinion or satisfaction is in reality a reference to the collective opinion or satisfaction of the members of the Cabinet, or the opinion or satisfaction of a particular Minister to whom the Cabinet have delegated their authority to give advice upon the matter in question".

Menerusi keputusan kes Teh Cheng Poh, pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong PERLU dibuat atas nasihat PERDANA MENTERI ATAU JEMAAH MENTERI atau seorang Menteri yang diberikan kuasa oleh Jemaah Menteri.

Dan ketika Muhyiddin memberikan nasihat kepada SPB YDP Agung, beliau bukan lagi Perdana Menteri yang sah dan jemaah menteri yang beliau lantik juga telah hilang kelayakan di sisi Perlembagaan Malaysia.

Kewajaran (berdasarkan keadaan semasa negara) Dalam Memberikan Nasihat Kepada SPB YDP Agung Untuk Mengisytiharkan Darurat


Apakah maksud darurat?

Darurat maksudnya suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa. 

Pengisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat oleh SPB YDP Agung melalui suatu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir berlaku.

Persolannya, apakah berlaku keadaan begitu?

Jawapannya tidak.

Benar, rakyat dan negara Malaysia sedang berhadapan dengan ancaman Covid-19 dan akibatnya, keadaan ekonomi rakyat dan negara Malaysia jatuh merudum, tetapi berlakukah keadaan kecemasan yang tidak terkawal sekarang ini?

11 Januari 2021 jam 6.00 petang, dipancarkan ke seluruh negara, Muhyiddin mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah dikuatkuasakan bermula  jam 12.00 am, hari Rabu, 13 Jamuari 2021.

Jika arahan PKP, PKPB dan PKPP boleh ditangguhkan 2 hari perlaksanaannya dari tarikh diumumkan, ianya dengan sendiri menggambarkan tiada keadaan kecemasan yang dihadapi oleh rakyat dan negara ketika ini.

Memang benar ada berlaku kes bunuh akibat tekanan ekonomi yang berpunca dari masaalah Covid-19 tetapi jumlahnya masih lagi kecil dan terkawal serta tidak berlaku rusuhan jalanan akibat dari pemberontakan rakyat.

Malah rekod menunjukkan, dengan perlaksanaan PKPD, PKP, PKPB dan PKPP di Malaysia sudah cukup untuk membendung penularan Covid-19.

Jadi, apakah keperluannya Muhyiddin menasihati SPB YDP Agung untuk Isytiharkan Darurat?

Kejujuran Alasan Yang Diberikan Kepada SPB YDP Agung Dalam Menasihati Baginda Untuk Mengisytiharkan Darurat


Tanpa mengambilkira kesan negatif yang akan menimpa rakyat dan negara, demi untuk mengekalkan jawatan Perdana Menteri (walau pun sudah terlucut dari sisi Perlembagaan Malaysia), Muhyiddin telah mengheret istana dalam usaha beliau untuk berselindung di sebalik alasan Covid-19.


Akibat dari sifat tamak dan keras kepala Muhyiddin yang ingin terus berkuasa, Pengisytiharan Darurat yang sebenarnya tidak diperlukan ini telah mendapat respon negatif dari pemimpin luar.


Ini bukanlah fitnah, tetapi diakui oleh salah seorang pegawai Muhyiddin sendiri, Azman Mat Hussin, di dalam akaun Facebook beliau.

Namun melalui carian admin di dalam akaun Facebook Azman Mat Hussin mendapati beliau telah memadamkan status tersebut.


Kerana tamak dan berdegil tidak mahu meletak jawatan, Muhyiddin perlu berselindung di sebalik Perintah Darurat yang diisytiharkan.

Perkara ini diakui oleh Muhyiddin sendiri.

Dengan perkenan dari SPB YDP Agung untuk Isytihar Darurat, Muhyiddin boleh terus berkuasa sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya sehingga bulan Oktober 2021.

Sekiranya Darurat ditamatkan pada 1 Ogos 2021, maka seperti yang dijanjikan Muhyiddin, beliau akan memohon kepada SPB YDP Agung untuk membubarkan Parlimen dan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, Muhyiddin mempunyai masa hingga Oktober 2021 untuk terus memerintah.


Sejak tumbangnya Kerajaan Barisan Nasional dalam PRU 14, rakyat menderita dengan 2 kerajaan yang ditubuhkan selepas itu, Kerajaan Pakatan Harapan dan Kerajaan Perikatan Nasional.

Puncanya adalah kerana pemimpin di dalam Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional lebih mementingkan kuasa dan kedudukan mereka sahaja sedangkan kehidupan marhaen yang semakin hari semakin menderita terus diabaikan.

Untuk menobatkan kembali Barisan Nasional sebagai kerajaan, rakyat Malaysia perlu menunggu sekurang-kurangnya 8 bulan dari sekarang.

Sementara itu, kita terpaksa tabah dan bersabar.

Pastikan dalam PRU 15 nanti, rakyat Malaysia tidak tersalah pilih lagi.



Rujukan :