Sejak bocor rahsia konspirasi pihak-pihak tertentu dalam kepimpinan tertinggi UMNO mahu lakukan kerjasama dengan Dr. Mahathir, ramai tertanya-tanya kenapa Timbalan Presiden UMNO, Tok Mat Hasan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
Apa pendirian Tok Mat Hasan dalam isu ini?
Kini, dalam akaun Facebook beliau, Tok Mat Hasan tampil berikan kenyataan.
Baca dan fahamkan apa yang Tok Mat Hasan sampaikan :
Khabar yang sedang berlegar bahawa UMNO akan dilamar untuk bersama-sama mengukuhkan kepentingan politik Melayu.
Apa jua lamaran untuk UMNO menunjukkan UMNO telah didambakan semula dan menjadi terus berpengaruh.
Namun, yang melamar haruslah jelas dalam tujuannya.
Jika benar ia demi kepentingan Islam dan bertujuan mengukuhkan kepentingan bangsa, maka wajarlah lamaran itu difikirkan semasak-masaknya.
Kepada kita yang dilamar ini, janganlah terlalu berbunga-bunga hati kita.
Jangan berasa terlalu didambakan.
Jangan sesekali terburu-buru hanya kerana sekali dua telah bertentang mata.
Pesona nafsu kekadang sangat merbahayakan.
Dalam politik, kita mesti ada kejelasan dalam tujuan, aspirasi dan tindakan.
Paling penting, dalam politik jangan pernah kita lupa apa itu perjuangan.
Pertimbangkanlah perkara berikut dengan semasak-masaknya.
Adakah tujuan lamaran itu ikhlas dan strategik kepada kepentingan bangsa, agama dan parti?
Akankah ia menguntungkan parti dan bangsa Melayu dalam jangka masa panjang?
Juga adakah kemudaratannya kepada UMNO dan bangsa Melayu sekiranya ia tidak di laksanakan.
Adakah jika lamaran itu ditolak, kedudukan dan kepentingan Melayu itu akan jadi lebih parah?
Dan jika dilaksanakan apakah pula modus operandinya?
Bagaimanakah pelan ini akan dilaksanakan agar boleh memaksimumkan kebaikan kepada parti dan bangsa Melayu?
Semua ini perlu diperhalusi sedalam-dalamnya.
Janganlah kita gopoh.
Berhikmahlah dalam perhitungan kita.
Kita mesti ingat.
Sesuatu yang kelihatan dan kedengaran terlalu baik itu, boleh jadi perkara yang sebaliknya.
'Too good to be true' adalah ratib berwaspada yang sebenarnya matang dan berasas.
Saranan saya, kita bawalah segala lamaran itu ke meja perbincangan pelbagai peringkat dalam parti.
Bincangkan.
Bahaskan.
Dengan mendalam, dengan sejujur-jujurnya.
Agar kita tidak terperangkap dalam permainan politik pihak-pihak tertentu.
Dan agar UMNO tidak berpecah-belah hanya kerana kita terlalu cepat menerima lamaran yang sebenarnya masih samar-samar dan sarat dengan tanda tanya.
Sekalipun ingin menarik rambut dalam tepung, tepung jangan berselerak, jangan pula putus rambutnya.
Jangan hanya baru mendengar guruh di langit, air di tempayan telah kita curahkan.
Takut-takut, yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran.
Ingatlah, hal yang demikian kerap terjadi.
Sebab itulah ia dipesankan kepada kita dengan bersebab.
Semoga Allah SWT memberikan hidayah dan menunjukkan jalan terbaik untuk UMNO dan bangsa Melayu, insya-Allah.
Dato Seri Utama
Hj Mohamad bin Hj Hasan
Timbalan Presiden UMNO
Waktu UMNO ditolak, waktu Presiden UMNO didesak untuk berundur oleh sayap UMNO sendiri, Tok Mat Hasan adalah pemimpin UMNO yang memulihkan maruah UMNO.
Beliau adalah tulang belakang Muafakat Nasional yang dimulakan oleh DS Najib.
Beliau adalah antara pemimpin UMNO yang bersih dari segala pertuduhan rasuah atau salah guna kuasa.
Beliau ikhlas memberikan pendapat, jujur dalam menyatakan kerisauan, bijak dalam mengaturkan langkah.
Pada Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang akan bermesyuarat hari ini, baca dan selamilah bait-bait kata Tok Mat Hasan itu.
Tanyalah pada diri sendiri, apakah keputusan yang akan aku buat hari ini adalah keputusan yang direstui oleh akar umbi dan tidak mengkhianati perjuangan parti?
No comments:
Post a Comment
Sila komen mengikut tajuk yang dibincangkan. Komen yang lari tajuk dan tidak sopan boleh ditahan siaran serta diban jika melampau sangat.