Saturday, April 3, 2021

Kemelut Penjaja Dan DBKL, Apakah Benar DBKL Bersikap Anti Penjaja Bumiputera Di Kuala Lumpur?


Dalam keluaran lepas, laman blog ini menyiarkan tulisan mengenai kemelut antara penjaja dan DBKL yang telah berlarutan selama puluhan tahun, admin juga ada berikan pandangan dan cadangan bagaimana kemelut itu boleh diselesaikan oleh kedua-dua pihak.

Baca di sini :


Admin bukanlah ahli keluarga DBKL dan admin juga bukan ahli mana-mana persatuan penjaja sama ada di sekitar Wilayah Perseketuan atau di mana-mana kawasan di Malaysia.

Admin hanya seorang warga Malaysia dan terpanggil mengupas isu ini dengan harapan dapat membetulkan persepsi masyarakat kepada pihak penguatkuasa dan juga penjaja.

Bagi admin, pihak penguatkuasa dan pihak penjaja saling memerlukan dan harus berjalan seiring supaya marhaen dapat menafaatnya.

Apa yang sering terpapar di dada media, sama ada media elektronik, media cetak mahu pun media sosial, pihak penguatkuasa sering digambarkan bersikap tidak membantu, sering menekan dan sering menindas pihak penjaja dan peniaga kecil.

Persoalannya, benarkah begitu?

Antara masalah yang sering diutarakan oleh pihak penjaja dan peniaga kecil ialah kesukaran atau kelewatan untuk mendapatkan lesen perniagaan.

Sudah tentu masalah ini juga berkait rapat dengan tindakan menyita barang perniagaan milik peniaga oleh pihak DBKL.

Apakah benar dalam era dunia tanpa sempadan dan segala urusan berada di hujung jari, masih lagi wujud pelbagai karenah birokrasi dan ketidakcekapan dalam sistem urus tadbir jabatan kerajaan?

Tidak adil sekiranya kita hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja tanpa kita pastikan kebenarannya dari pihak yang satu lagi.

Dari maklumat yang admin terima, proses permohonan lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh DBKL yang dahulunya mengambil masa selama 30 hari, kini telah dipermudah dan dipercepatkan proses menjadi 3 hari sahaja.

Baca di sini :


Malah untuk memohon lesen perniagaan, bakal peniaga atau penjaja tidak perlu lagi pergi ke ibupejabat DBKL, cukup dengan hanya pergi ke mana-mana cawangan DBKL yang berada di sekitar Kuala Lumpur.

Sudah tentu dengan memendekkan tempoh memproses lesen dari 30 hari kepada 3 hari ianya dapat membantu bakal peniaga dan penjaja.

Tidak perlu lagi menunggu hingga sebulan untuk mendapatkan lesen perniagaan, minta hari Isnin, hari Khamis sudah boleh memulakan perniagaan.

Yang menjadi isu sekarang ini bukanlah sama ada DBKL mahu atau tidak meluluskan permohonan lesen perniagaan tetapi adalah bakal peniaga dan penjaja itu sendiri yang mahu atau tidak memohon lesen perniagaan dari DBKL.

Ini terbukti sepanjang tempuh negara dilanda pandemik Covid-19, pihak DBKL sudah meluluskan lebih dari 3,000 permohonan lesen perniagaan.



Malah melalui program lesen KL Prihatin, pemohon tidak lagi perlu pergi ke pejabat DBKL, cukup sekadar membuat permohonan secara dalam talian.

Apabila mendapat maklumbalas dari DBKL bahawa permohonan sudah diluluskan, pemohon juga tidak perlu ke pejabat DBKL untuk mendapatkan lesen berkenaan.

Cetak sahaja dari rumah, kalau di rumah tidak ada pencetak, pinjam pencetak kawan-kawan, kalau tidak mahu menyusahkan kawan-kawan, pergi sahaja ke mana-mana kedai komputer atau Internet Cafe, bayar RM5.00, dah boleh cetak.

Baca di sini :


Melalui program lesen KL Prihatin, DBKL juga telah memansuhkan bayaran sebanyak RM20.00 sebulan yang dikenakan.

Baca di sini :


Bukan sahaja permohonan dibuat atas talian, lesen boleh dicetak sendiri, malah boleh berniaga tanpa apa-apa bayaran.

Jadi, di mana kebenaran dakwaan yang mengatakan bahawa DBKL tidak mesra malah menindas penjaja dan peniaga kecil Bumiputera?

Bukan setakat program lesen KL Prihatin yang DBKL laksanakan sekarang ini, DBKL juga telah membuka ruang dan peluang kepada anak-anak muda yang berjiwa usahawan untuk memulakan perniagaan.


Melalui Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota, sehingga Januari 2021, sebanyak 234 ruang niaga telah ditawarkan kepada usahawan muda di sekitar Kuala Lumpur dan untuk kawasan Putrajaya pula, sebanyak 43 ruang niaga telah ditawarkan dalam program yang sama.

Namun, untuk kebaikan semua, sudah pastilah hanya pada lokasi-lokasi tertentu sahaja yang pihak DBKL benarkan untuk menjalankan aktiviti perniagaan.

Tindakan ini perlu kerana di samping membantu pihak peniaga, DBKL juga bertanggungjawab untuk menjamin keselesaan warga bandaraya.

Kita harus faham dan sama ada kita suka atau tidak, kita mesti mengakui, aktiviti perniagaan yang tidak teratur pasti akan mengganggu dan mengancam keselamatan warga bandaraya yang lain, seperti kesesakan lalulintas, kekotoran dari buangan perniagaan yang boleh menyebabkan penularan wabak berjangkit.

Pasti menyukarkan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mengutip sampah dan menjaga kebersihan sekiranya lokasi perniagaan dibuka di kawasan-kawasan yang tidak dikenal pasti di mana lokasinya.

Itulah sebabnya mengapa pihak DBKL terpaksa mengambil tindakan tegas kepada peniaga atau penjaja yang berdegil untuk menjalankan perniagaan di lokasi pilihan mereka sendiri bukan di lokasi yang telah ditetapkan oleh pihak DBKL.

Sekali lagi admin tegaskan di sini, sikap tuduh menuduh, tuding menuding jari ke pihak lain TIDAK akan dapat membantu menyelesaikan masalah.

Bawa masalah yang dihadapi ke meja perundingan dengan pihak yang berkenaan dan bukan dengan membuat kenyataan-kenyataan menghentam di media sosial kerana ianya akan memburukkan lagi keadaan.

Tiada kusut yang tidak dapat dileraikan dan tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan.

Sikap keterbukaan mestilah menjadi penghubung dalam perbincangan dan kejujuran adalah paksi utamanya.

No comments:

Post a Comment

Sila komen mengikut tajuk yang dibincangkan. Komen yang lari tajuk dan tidak sopan boleh ditahan siaran serta diban jika melampau sangat.