Kesabaran DYMM sudah sampai ke kemuncaknya.
Dalam titah baginda yang di muat naik dalam Facebook, baginda memberikan amaran supaya politikus di Johor mengutamakan rakyat dari bercakaran sesama sendiri kerana gila kuasa.
Ada asas yang sangat kukuh kemurkaan baginda itu.
Dalam masa 2 tahun, Johor sudah mempunyai 3 Menteri Besar, Osman Sapian (PH/PPBM), Dr. Sahruddin Jamal (PH/PPBM) dan Hasni Mohammad (UMNO/barisan Nasional) (BACA DI SINI), (DI SINI) dan (DI SINI).
Kita baca titah DYMM Sultan Johor dalam akaun Facebook rasmi bginda :
Saya berasa amat kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini, apabila ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri mereka.
Dalam keadaan rakyat yang sedang susah sekarang, mereka langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat.
Saya tidak boleh tengok rakyat saya menderita, dan tidak akan biarkan negeri saya dikucar-kacirkan.
Saya telah bersumpah untuk menjaga dan membela nasib rakyat dan negeri saya pada setiap masa.
Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta merta.
Saya akan berikan peluang kepada rakyat negeri Johor untuk memilih wakil mereka yang baharu, dan saya harap kali ini pilihlah pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri, bukan untuk parti atau diri sendiri.
Hadis Rasulullah SAW :
Rasulullah ditanya tentang mereka yang meminta untuk memegang kepimpinan, lalu Rasulullah SAW bersabda :
"Kami tidak memberikan kepimpinan kepada mereka yang memintanya, dan bukan pada mereka yang tergila-gilakan jawatan kepimpinan."
(Sahih al-Bukhari, no: 7149)
FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Kemelut politik Johor bergolak kembali bila ada beberapa pihak dari PPBM tidak berpuas hati kerana tidak mendapat beberapa jawatan penting baik dalam kerajaan negeri mahu pun dalam GLC Negeri Johor.
Walau pun pihak kepimpinan PPBM negeri Johor sedang berusaha untuk menyelesaikannya (BACA DI SINI), namun ianya sengaja terus dibangkitkan untuk menghangatkan suhu politik di Johor (BACA DI SINI).
Ibarat menangguk di air yang keruh, kesempatan ini pantas di ambil oleh DAP dan PAN yang bertindak sebagai batu api (BACA DI SINI).
Keadaan menjadi semakin tegang bila ADUN Permas, Che Zakaria yang terkenal dengan sifat lalang beliau (BACA DI SINI), mempertikaikan tindakan Kerajaan Negeri Johor memecat beliau dari jawatan Pengerusi Yayasan Pasir Gudang (YPG) (BACA DI SINI).
Seharusnya Kerajaan Perikatan Nasional Negeri Johor mestilah lebih bijak dan berhati-hati dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil.
Ingatlah pesanan orang-orang tua kita, di kalangan kawan kita terdapat musuh yang tidak kita ketahui tetapi di dalam kalangan musuh tidak terdapat kawan kita.
Hentikan permainan politik, janganlah bila mendapat kuasa, kita ibarat anak serani dapat basikal, turun bukit pun hendak kita kayuh, bila sampai ke jalan yang landai, kita sudah kehilangan tenaga, apa tah lagi kalau sampai ke jalan yang berbukit.
Hadamkan baik-baik apa yang disampaikan oleh DYMM Sultan Johor dalam amaran baginda, kalau tidak Kerajaan Negeri Johor sekarang akan mencipta sejarah dunia bila menjadi sebagai kerajaan tersingkat memerintah.
No comments:
Post a Comment
Sila komen mengikut tajuk yang dibincangkan. Komen yang lari tajuk dan tidak sopan boleh ditahan siaran serta diban jika melampau sangat.