Kenyataan yang dibuat oleh Naib Presiden UMNO, DS Ismail Sabri, bahawa Barisan Nasional sudah bersedia berkerjasama dengan Perikatan Nasional MESTI dikaji semula dari segenap sudut.
Bukan setakat harus mendengar bantahan majoriti akar umbi, malah bila dikaji semula, keputusan itu banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan kepada Barisan Nasional terutamanya UMNO.
Keikhlasan PPBM terhadap kerjasama dengan UMNO sepeerti yang dipersetujui juga sangat-sangat meragukan.
Bagi menghadapi PRU, parti-parti politik memerlukan dana yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan yang diperlukan.
Setiap kawasan Dewan Undangan Negeri dan juga Parlimen yang dipertandingkan pasti akan mengharapkan bantuan kewangan dari ibupejabat.
Hingga ke hari ini, akaun UMNO yang berjumlah lebih dari RM100 juta masih lagi dibekukan, walau pun Mahkamah Tinggi pada 7 Februari 2020, telah membuat keputusan untuk melepaskan sekatan terhadap akaun UMNO yang dibekukan itu.
Dari Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Dr Mahathir dan kini telah bertukar kepada Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin, namun polisi yang sama masih lagi diteruskan, akaun UMNO terus dibekukan dan perintah mahkamah diketepikan.
Kalau Muhyiddin benar-benar jujur dan ikhlas, mengapakah tidak dikembalikan wang UMNO itu kerana Mahkamah Tinggi sudah pun mengeluarkan perintah tersebut.
Apa alasan Kerajaan Perikatan Nasional terus membekukan akaun UMNO itu sedangkan Perikatan Nasional tahu, PRU 15 semakin hampir dan UMNO sangat-sangat memerlukan wang tersebut!!!
Kebimbangan akar umbi bahawa strategi PPBM menarik PAS supaya berada di dalam Perikatan Nasional adalah supaya Muafakat Nasional yang begitu kukuh perpaduannya dan mendapat sokongan yang kuat dari rakyat dapat diruntuhkan telah menjadi kenyataan.
Kita tidak menyalahkan PAS kerana sudah pasti sebagai parti yang memegang tampuk pemerintahan, PPBM telah memberikan beberapa tawaran yang sangat menarik kepada PAS sehingga sukar ditolak.
Kini setelah PAS menjadi rakan sekutu PPBM di dalam Perikatan Nasional, usaha untuk mendaftarkan Muafakat Nasional secara rasminya sudah berkubur dan secara tidak rasminya Muafakat Nasional juga sudah berkubur.
Perkara ini diakui sendiri oleh Naib Presiden UMNO, DS Ismail Sabri. Naib Presiden UMNO, DS Ismail Sabri.
Kalau benar penyatuan ummah adalah sebab utama untuk PPBM berkerjasama dengan UMNO, maka mengapakah Muafakat Nasional yang sudah mendapat tempat di hati rakyat dan telah berjaya menyatukan masyarakat Melayu Islam dihancurkan?
Perancangan siapakah sebenarnya yang mahu menghancurkan Muafakat Nasional?
Harus diingatkan, di setiap DUN dan Parlimen yang akan bertanding, UMNO mempunyai Cawangan dan Bahagian yang telah bertungkus lumus memulihkan UMNO selepas kekalahan dalam PRU 14 yang lepas.
Manakala PPBM tidak mempunyai Cawangan dan Bahagian di setiap DUN dan Parlimen yang akan dipertandingkan dalam PRU 15 nanti.
Untuk DUN dan Parlimen yang akan diperuntukkan kepada PPBM, tetapi mereka tidak mempunyai calun tempatan untuk diketengahkan sebagai calun, maka sudah pasti, Ketua Cawangan UMNO atau Ketua Bahagian UMNO di kawasan tersebut akan ditawarkan untuk bertanding dengan syarat mereka bertanding atas tiket PPBM.
Apakah kita boleh menuduh Ketua Cawangan atau Ketua Bahagian yang menerima tawaran tersebut sebagai pengkhianat kepada UMNO?
Sudah tentu tidak, sudah pasti pertimbangan mereka adalah, dari terpaksa bertungkus lumus untuk memenangkan calun luar tajaan PPBM, lebih baik mereka sendiri bertanding walau pun atas tiket PPBM.
Peluang mereka untuk menang adalah sangat cerah kerana mereka mempunyai pengaruh yang sangat besar ke atas pengundi tempatan.
Yang akan rugi adalah UMNO, kerana bukan sahaja akan kehilangan Ketua Cawangan dan Ketua Bahagian yang selama ini berkerja keras untuk UMNO di waktu susah dan senang, tetapi juga bilangan ADUN dan Ahli Parlimen PPBM akan bertambah dan menenggelamkan UMNO buat selama-lamanya.
Kita merayu agar pengurusan tertinggi UMNO mengambil iktibar dari Pilihanraya Negeri Sabah.
Kalau PPBM boleh menaja calun Bebas untuk memecahkan undi UMNO di kawasan yang telah diperuntukkan kepada UMNO, apakah ada jaminan PPBM tidak akan melakukan perkara yang sama dalam PRU 15 nanti!!!
Sebelum terlambat, pemimpin tertinggi UMNO MESTI mengkaji semula kerjasama yang telah dipersetujui dengan PPBM.
Jalan terbaik ialah bertanding di semua DUN dan Parlimen dalam PRU 15 kecuali di kawasan yang mempunyai calun PAS sahaja.
Kalau dana di pusat tidak mencukupi, tahulah akar umbi usahakan supaya dapat memastikan yang bertanding itu adalah calun dari UMNO.
Kalau pemimpin tertinggi UMNO masih lagi berkeras dan berdegil serta tidak mahu mendengar suara akar umbi, janganlah disalahkan akar umbi sekiranya UMNO semakin hanyut selepas PRUY 15 nanti, tetapi tanyalah diri sendiri apakah punca kemarahan akar umbi kepada UMNO.
Kalau suara rakyat menyaksikan Barisan Nasional tumbang pada PRU 14, jangan terkejut kalau suara akar umbi akan melenyapkan UMNO pada PRU 15 nanti, kerana tegaknya pucuk kerana akar dan suara rakyat adalah suara keramat.
No comments:
Post a Comment
Sila komen mengikut tajuk yang dibincangkan. Komen yang lari tajuk dan tidak sopan boleh ditahan siaran serta diban jika melampau sangat.