Sunday, November 15, 2020

Ucapan MP Pasir Mas Adalah Petanda Awal PAS Mengkhianati UMNO Dalam Muafakat Nasional


Ke manakha hala tuju dan apakah kesudahannya Muafakat Nasional, sebuah gabungan antara 2 parti Melayu Islam terbesar di Malaysia yang diharapkan dapat membentuk sebuah kerajaan yang berteraskan Melayu Islam demi untuk membela nasib agama, bangsa dan tanah air tercinta ini tanpa menidakkan hak agama dan bangsa lain di Malaysia.


Didirikan dengan doa dan air mata para penyokong dan pemimpin UMNO dan PAS.


Ditegakkan dengan mengenepikan ego serta pertelingkahan yang sudah berlarutan sehingga lebih dari 6 dekad antara penyokong dan pemimpin UMNO dan PAS.

Ketika panji-panji Muafakat Nasional dikibarkan dalam 6 pilihanraya kecil, seteru-seteru politik serta seteru-seteru Melayu Islam tidak dapat menafikan mereka melangkah ke medan peperangan dengan perasaan yang sangat gentar.

Bagi mereka, menentang Muafakat Nasional di dalam pilihanraya kecil, hanya 2 keadaan yang PASTI akan mereka alami, kalah adalah pasti tetapi menang adalah sangat mustahil.

Tetapi kini kekuatan Muafakat Nasional sudah semakin hari semakin lemah, kemesraan antara penyokong dan pemimpin yang bernaung di bawah panji Muafakat Nasional semakin hari semakin renggang.

Mengapa dan di mana silapnya?

Semua orang tahu, Dr Mahathir mempunyai satu masaalah yang besar.

Bila mendapat kuasa, beliau akan menjadi seorang manusia yang rakus dan tamak.

Mungkir janji adalah permainan biasa dalam diari hidup manusia yang bernama Dr Mahathir.

Kalau ada desakan atau tekanan untuk beliau meletak jawatan, beliau akan bertukar menjadi seorang yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan jawatan dan kuasa beliau.

Tidak mungkin beliau akan berundur atau menyerahkan kuasa yang ada pada beliau dalam tempuh yang singkat, apa lagi kalau meletak jawatan tanpa sebab.


Tetapi semua orang terkejut apabila secara tiba-tiba, Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri yang ke 7 dan juga sebagai Pengerusi PPBM selepas berlakunya Langkah Sheraton.

Apakah ketika itu Dr Mahathir sudah hilang pengaruh dalam PPBM?

Tidak, buktinya kekuatan PPBM berpecah dua bila Muhyiddin mengumumkan keahlian Dr Mahathir sebagai ahli PPBM 'terhenti secara automatik' bila Dr Mahathir dan beberapa Ahli Parlimen dari PPBM membuat keputusan untuk tidak duduk bersama-sama barisan Ahli Parlimen kerajaan di dalam Dewan Rakyat.

Apakah ketika itu sokongan Ahli Parlimen Pakatan Harapan terhadap Dr Mahathir sudah hilang?

Tidak, dalilnya sehari sebelum Langkah Sheraton, walau pun ada tekanan ketika dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan supaya Dr Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim tetapi akhirnya mereka bersetuju supaya untuk tidak lagi menekan Dr Mahathir dan memberikan ruang untuk Dr Mahathir sendiri menentukan bila beliau akan melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Anwar tetapi ianya hendaklah dilakukan sebelum PRU 15 diumumkan.

Di ringkaskan cerita, selepas Dr Mahathir meletak jawatan, tiba-tiba ada persetujuan dari Ahli Parlimen untuk mencadangkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke 8 apabila mengadap SPB YDP Agong.


Siapakah yang mengatur semua ini, siapakah yang mempengaruhi Ahli Parlimen UMNO dan PAS supaya memberikan sokongan kepada Muhyiddin walau pun ketika itu PPBM hanya mempunyai 26 Ahli Parlimen dari 112 kerusi Ahli Parlimen yang diperlukan untuk membentuk sebuah kerajaan dengan majoriti mudah!!!

Sebenarnya, itulah permulaan serangan kepada Muafakat Nasional tetapi diraikan oleh penyokong dan pemimpin Muafakat Nasional dengan penuh kegembiraan kerana tidak menyedari di sebalik umpan yang diberikan itu, tersembunyi kail berduri yang cukup berbisa.

Kalau sebelum ini Muafakat Nasional hanya mampu diserang dari luar dan ianya ternyata tidak berkesan, malah dengan sokongan rakyat jelata, semakin kuat Muafakat Nasional diserang dari luar, semakin kukuh sokongan rakyat terhadap Muafakat Nasional.

Saidina Ali r.a. pernah memberi amaran, kebathilan atau kejahatan yang terancang pasti akan dapat menumbangkan kebenaran atau kebaikan yang lemah.

Julius Ceasar pula pernah mengatakan sebuah empayer yang besar tidak akan mampu dimusnahkan dengan serangan dari luar tetapi pasti akan runtuh apabila berlaku serangan dari dalam empayer tersebut.

Itulah yang sedang berlaku kepada Muafakat Nasional sekarang ini.

Musuh yang dulu kita kenali kini bersekutu malah dilantik menjadi pemimpin dan pemain watak utama dalam menentukan hala tuju Muafakat Nasional.


Dengan bermodalkan sedikit jawatan dan kuasa, pemimpin-pemimpin Muafakat Nasional telah melupakan asas sebenar perjuangan, malah mengenepikan harapan dan kebimbangan penyokong Muafakat Nasional yang telah merealisasikan kewujudan Muafakat Nasional dengan doa dan airmata mereka.

Pernahkah pemimpin UMNO dan PAS terfikir, tanpa wujudnya Muafakat Nasional, apakah PPBM akan sudi memandang mereka?

Seteru yang kini berwajahkan sekutu mula menjalankan perancangan melaga-lagakan pemimpin UMNO dan PAS.

Dalam pembentukan kabinet Perikatan Nasional, perasaan tidak senang pemimpin UMNO sengaja dicipta dengan menafikan hak UMNO untuk menjadi sebahagian dari tunjang Kerajaan Perikatan Nasional.

Dalam Pilihanraya Negeri Sabah, sekali lagi UMNO dan PAS dikerah dan keringat mereka diperah tetapi yang mendapat labanya ialah PPBM.

Malah PAS dinafikan terus untuk bertanding di Sabah.


Perbahasan Bajet 2021 oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli, yang menyindir malah boleh dianggap memperlekehkan pendirian BNBBC yang mengenakan persetujuan bersyarat terhadap Bajet 2021 adalah merupakan permintaan fasakh dari PAS supaya dilepaskan dari Piagam Muafakat Nasional.

Malah sebelum itu, telah beberapa kali Setiausaha Agung PAS, Takiyudin, mengeluarkan kenyataan-kenyataan pedas terhadap UMNO.

Terkini, bila Muhyiddin mengumumkan penyertaan pemimpin-pemimpin kanan PAS Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang akan mengemudi Perikatan Nasional dalam PRU 15, merupakan petanda bahawa UMNO harus menerima hakikat bahawa Muafakat Nasional kini hanya tinggal kenangan dan UMNO mesti bangkit dari memori-memori indah dan mula memperkasakan dan mempersiapkan diri untuk menghadapi Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan dalam PRU 15.

Kalau PAS sudah merasakan lebih selesa dengan PPBM dalam Perikatan Nasional, lepaskan sahaja mereka, ingat pantun 4 kerat anak muda satu masa dahulu :

Pinggan tak retak
Nasi tak dingin
Kalau PAS tak nak
UMNO pun tak ingin

Mungkin ada yang akan menuduh admin cuba mencurahkan minyak kepada api tetapi kita semua mesti ingat, walau pun apa yang admin tulis ini adalah satu kenyataan yang amat pahit tetapi itulah hakikat yang sedang kita hadapi sekarang ini.

Bukankah yang pahit itu adalah ubat yang sangat mujarab.

Kita masih mempunyai masa untuk menyusun dan memperkasakan UMNO bagi menghadapi PRU 15.

UMNO sudah mempunyai banyak pengalaman dikhianati sekutu dan pengalaman yang paling dahsyat tetapi paling berharga ialah bagaimana kita bangkit semula selepas bukan sahaja tewas malah dikecam selepas UMNO tewas dalam PRU 14.

Mari kita sama-sama hadapi realiti ini dan sama-sama perkasakan semula UMNO walau pun kini kita bersendirian.

In Sya Allah, demi ABATA, kita boleh dan pasti mampu melakukannya.

No comments:

Post a Comment

Sila komen mengikut tajuk yang dibincangkan. Komen yang lari tajuk dan tidak sopan boleh ditahan siaran serta diban jika melampau sangat.