Thursday, November 26, 2020

Percaturan C5 Sebelum Dan Selepas Undian Bajet 2021 Di Parlimen


Hari pengundian Bajet 2021 adalah hari penentuan bagi Kerajaan Perikatan Nasional.

Selepas penggulungan Bajet 2021 oleh Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Zafrul, Ahli Parlimen akan melakukan undian untuk menentukan sama ada secara dasarnya Bajet 2021 akan diluluskan atau ditolak.

Kalau Ahli Parlimen mengundi untuk meluluskan Bajet 2021, maka Muhyiddin dan Kerajaan Perikatan Nasional akan terselamat.


Tapi kalau Ahli Parlimen mengundi untuk menolak, maka akan timbul persoalan :

- Adakah itu bermaksud Kerajaan Perikatan Nasional akan tumbang secara automatik dan secara rasminya kerana telah kehilangan majoriti atau yang terbubar hanyalah barisan kabinet Muhyiddin?

Sebelum kita bincangkan sama ada kumpulan C5 dapat menyelamatkan Muhyiddin dan Kerajaan Perikatan Nasional dari tumbang atau tidak sekiranya Bajet 2021 ditolak, apa kata kita bincangkan dahulu apakah kemungkinan sama ada Bajet 2021 diluluskan atau ditolak.

Muhyiddin dan Perikatan Nasional berhadapan dengan tentangan dari luar dan dari dalam Perikatan Nasional.

Status terkini menunjukkan, Muhyiddin dan Kerajaan Perikatan Nasional hanya mempunyai 113 Ahli Parlimen dan pihak pembangkang mempunyai 107 Ahli Parlimen dari 220 jumlah Ahli Parlimen (selepas terdapat 2 kekosongan kerana kematian Ahli Parlimen Batu Sapi dan Ahli Parlimen Grik) di Dewan Rakyat.

Ini bermakna untuk Bajet 2021 diluluskan, kumpulan C5 perlu memastikan Perikatan Nasional MESTI mendapat undi menyokong dari sekurang-kurangnya 111 Ahli Parlimen.

Perikatan Nasional tidak mempunyai masaalah untuk mendapatkan sokongan dari Ahli Parlimen PPBM, PAS dan parti gabungan yang lain tetapi sokongan dari Ahli Parlimen Barisan Nasional adalah sesuatu yang masih menjadi tandatanya.

Barisan Nasional mempunyai 43 Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.



20 Ahli Parlimen dari Barisan Nasional yang berada dalam kabinet Muhyiddin sudah menyatakan persetujuan untuk menyokong Bajet 2021.

Manakala 23 Ahli Parlimen yang bernaung di bawah BNBBC pula tegas dengan pendirian sekiranya Muhyiddin enggan menunaikan 2 permintaan rakyat, Bajet 2021 tidak akan mereka sokong.

Lebih membimbangkan Muhyiddin dan kumpulan C5 ialah 2 Ahli Parlimen dari Barisan Nasional, Ahli Parlimen Gua Musang dan Ahli Parlimen Padang Rengas telah menyatakan secara tegas dan terbuka tidak akan menyokong Bajet 2021.

Ini bermakna sekali pun Muhyiddin bersetuju untuk tunaikan permintaan rakyat, Bajet 2021 dapat diluluskan dengan hanya 1 majoriti.

Tetapi sekiranya Muhyiddin tetap dengan ego beliau untuk menolak kehendak rakyat yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional, maka Bajet 2021 akan ditolak.

Apa strategi kumpulan C5 untuk menampung undi 23 Ahli Parlimen itu?

Gerakan sudah dibuat supaya Pejuang yang mempunyai 4 Ahli Parlimen menyokong Bajet 2021 dan dari sumber mengatakan Muhyiddin menawarkan Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir, sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kumpulan C5 juga dikatakan sudah memulakan rundingan dengan beberapa orang Ahli Parlimen PKR dan DAP untuk mendapatkan lagi sokongan dari sekurang-kurangnya 19 Ahli Parlimen.

Sekiranya ini berlaku, soalan admin kepada Ahli Parlimen PAS, ke manakah perginya prinsip No Anwar dan No DAP?

Sama ada Bajet 2021 lulus atau tidak, kumpulan C5 tahu, Kerajaan Perikatan Nasional adalah kerajaan yang sangat rapuh.

Cepat atau lambat, Muhyiddin akan terpaksa bubarkan parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15.


Dengan menggunakan agensi kerajaan, kumpulan C5 telah memulakan propaganda mereka.

Fikiran rakyat sedang diracuni supaya menyalahkan Barisan Nasional sekiranya Bajet 2021 tidak diluluskan.

Masej Perikatan Nasional adalah parti yang prihatin rakyat sedang ditanamkan dalam fikiran rakyat, walau pun hakikatnya Perikatan Nasional lah yang enggan memenuhi kehendak rakyat sehingga Ahli Parlimen Barisan Nasional menolak Bajet 2021.


Ketika rakyat dalam kesempitan, duit rakyat digunakan untuk memperbanyakkan cawangan dan bahagian PPBM.


Akar umbi PPBM 'dirasuah' supaya mereka bertungkus lumus mencari ahli baru PPBM.

Sama ada benar atau tidak, sumber mengatakan, angka-angka kes jangkitan baharu Covid-19 dimanupulasi untuk memberitahu rakyat bahawa PRU 15 TIDAK BOLEH diadakan dalam jangka waktu terdekat.

Sama ada ianya benar atau tidak, namun C5 dilihat mempunyai motif untuk melakukannya.

Pertama supaya rakyat marah kepada Barisan Nasional dan beranggapan Ahli Parlimen Barisan Nasional tergamak merisikokan nyawa rakyat untuk kepentingan politik dengan enggan menyokong Bajet 2021 yang membawa kepada PRU 15 ketika jangkitan baharu Covid-19 sedang memuncak.

Kedua dapat menekan SPB YDP Agung supaya mengisytihar darurat kesihatan dan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Interim dalam kerajaan sementara.

Ini bukan sahaja akan memanjangkan hayat politik PPBM, malah Muhyiddin mempunyai masa yang cukup untuk membisukan mulut beberapa pemimpin UMNO dengan menyumbat mereka ke dalam penjara dan sudah pasti sasaran utamanya ialah DS Najib.

Namun admin percaya, rakyat sudah bijak dan tidak bertindak mengikut emosi.

Belajarlah dari kesilapan yang telah dilakukan dalam PRU 14 yang lepas.

No comments:

Post a Comment

Sila komen mengikut tajuk yang dibincangkan. Komen yang lari tajuk dan tidak sopan boleh ditahan siaran serta diban jika melampau sangat.