Hari ini kita menyambut Hari Malaysia yang ke 57.
Seperti yang telah diumumkan, sambutan Hari Malaysia yang bertemakan Malaysia Prihatin akan diadakan di Sibu Sarawak.
Seperti biasa, pada hari ini diumumkan sebagai cuti umum untuk seluruh Malaysia.
Dalam kehangatan kempen Pilihanraya Negeri Sabah, admin rasa, sempena sambutan Hari Malaysia, eloklah admin tulis mengenai apa sebenarnya yang berlaku pada hari ini, kira-kira 57 tahun yang lepas, apa matlamat pemimpin-pemimpin terdahulu dari kita memperjuangkan kelahiran sebuah negara baru yang dinamakan Malaysia.
Selepas merdeka, gabungan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu dikenali Persekutuan Tanah Melayu atau dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai Malaya.
Pembentukan Malaysia adalah untuk menyeimbangkan populasi kaum yang berada di Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.
Pembentukan Malaysia pada 57 tahun yang lalu bermula apabila Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam ucapannya di depan Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961 telah membayangkan penubuhan sebuah negara yang melibatkan gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah
Pada awalnya Sarawak dan Borneo Utara menolak cadangan tersebut kerana tidak yakin akan pembentukan Malaysia ini akan mampu memberi jaminan kepada mereka untuk mempunyai pemerintahan sendiri.
Namun setelah diberi jaminan mereka akhirnya bersetuju untuk menyertai gagasan ini membentuk Malaysia.
17 Januari 1962, sebuah suruhanjaya telah ditubuh dan dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold.
Cobbold adalah nama Lord Cobbold yang mempengerusikan suruhanjaya yang di anggotai oleh dua wakil Kerajaan British, Sir Anthonv Abell dan Sir David Watherston, sementara wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari Datuk Wong Pow Nee dan Mohamed Ghazali Shafie H. Harris bertindak selaku Setiausaha.
Pandangan dan pungutan suara atau dipanggil referendum dari berbagai-bagai pihak seperti parti-parti politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan, pemimpin kaum dan bermacam-macam lagi telah diminta pandangan mereka kerana suara mereka adalah penentu kepada samada rancangan ini akan menjadi atau tidak telah dilakukan dari Februari hingga April tahun yang sama.
Dapatan dari referendum itu, 80 peratus bersetuju dengan pembentukan gagasan itu dan pada 21 Jun 1962, laporan tersebut diserahkan kepadaan kerajaan British.
Kesepakatan akhirnya dicapai antara Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Perdana Menteri Britain, Harold Macmillan untuk mengadakan sebuah rundingan di London.
Lord Landsdowne, Harold Macmillan dan Ducan Sandys mewakili Kerajaan Britain sementara Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Tan Siew Sin, Tun V.T Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr Lim Swee Aun mewakili Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Datu Mustapha Datu Harun, Tun Mohammad Fuad Stephens, W.K.H Jones, Khoo Siak Chiew, W.S Holley dan G.D Sundang mewakili Sabah, P.E.H Pike, Temenggung Jugah a/k Barieng, Datu Bandar Abang Haji Mustapha, Ling Beng Siew dan Datu Abang Haji Openg mewakili Sarawak dan Lee Kuan Yew dan Goh Keng Swee mewakili Singapura.
Tujuan admin mencari maklumat dan menulis mengenai penubuhan Malaysia adalah kerana sejak kebelakangan ini, ada beberapa golongan yang mengaku sebagai rakyat Malaysia tetapi langsung tidak tahu tentang sejarah Malaysia yang tercinta ini.
Maka tidak hairanlah, golongan ini sering melakukan pelbagai tindakan provokasi yang biadap seperti manaikkan bendera Jalur Gemilang secara terbalik, menaikkan bendera Jalur Gemilang yang mempunyai bintang bucu lima, menggantikan warna putih pada Jalur Gemilang dengan warna hitam, mempersendakan Jata Negara, menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin dan pelbagai lagi dengan perasaan bangga dan tanpa ada perasaan bersalah.
Mereka ini adalah golongan yang tidak kenal dengan negara sendiri kerana tidak tahu atau tidak mahu mengambil tahu tentang sejarah negara sendiri, bukankah orang-orang tua sudah berpesan, tidak kenal, maka tidak cinta.
Jadi, sempena dengan tema Bulan Kebangsaan, Malaysia Prihatin, maka admin berikan sedikit maklumat tentang sejarah kelahiran sebuah negara yang dinamakan Malaysia.
Semuga kita semua akan merasa bangga menjadi rakyat Malaysia!!!
No comments:
Post a Comment
Sila komen mengikut tajuk yang dibincangkan. Komen yang lari tajuk dan tidak sopan boleh ditahan siaran serta diban jika melampau sangat.