Wednesday, September 2, 2020

Keputusan PRK Slim Tunjukkan Pintu Keluar Dari Dunia Politik Kepada Dr Mahathir


PRK Slim telah memberikan kemenangan besar kepada calun Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz dengan memperolehi memperolehi 13,060 undi, menewaskan 2 calun Bebas, Amir Khusyairi Mohamad (calun Pejuang tajaan Dr Mahathir) yang cuma memperolehi 2,115 undi dan satu lagi calun Bebas, Santhara Sekaran Subramaniam, yang cuma memperolehi 276 undi.

Sememangnya diakui bahawa DUN Slim merupakan kawasan tradisi atau kubu kuat UMNO, tetapi kemenangan dengan majoriti 10,945 undi di PRK peringkat Dewan Undangan Negeri adalah sesuatu yang agak luar biasa.

Lebih-lebih lagi calun Bebas, Amir Khusyairi, merupakan calun yang didokong sepenuhnya oleh Dr Mahathir dan juga pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan.

Apa yang lebih menarik, Barisan Nasional telah memenangi kesemua 13 PDM termasuk 6 PDM yang tewas ketika PRU 14 yang lepas, iaitu Kampung Kuala Slim, Pekan Slim, Sungai Slim Utara, Pekan Lama, Ladang Kelapa Bali dan Ladang Sungkai.


Dari sudut pungutan undi, pada PRK Slim, menyaksikan Barisan Nasional berjaya mendapat 13,060 undi berbanding 8,327 undi yang diperolehi pada PRU 14 yang lepas.

Apa yang mesej daripada rakyat?

Sekiranya dicampurkan undi yang diperolehi Barisan Nasional dan PAS ketika PRU yang lepas, jumlahnya adalah 12,430.

Ini bermakna terdapat pertambahan undi sebanyak 630 yang diperolehi oleh UMNO dan PAS di dalam gabungan Muafakat Nasional.

Manakala undi yang diperolehi oleh calun Bebas tajaan Dr Mahathir hanyalah 2,115 berbanding 6,144 dan ianya jelas menunjukkan telah berkurangan hampir 300%.

Agak sukar untuk diterima sekiranya ada pihak yang mendakwa pertambahan undi yang diperolehi adalah hasil 'sumbangan besar' dari PPBM, hasil sokongan rakyat kepada Kerajaan Perikatan Nasional sekarang, walau pun peratusan yang keluar undi dalam PRK Slim berkurangan dari 79.4% dalam PRU 14 berbanding 68.4% dalam PRK Slim.

Ini adalah kerana, mengikut sumber, melalui 'post mortem' yang dilakukan selepas PRK Slim, kebanyakan pengundi yang tidak mengundi di PRK Slim adalah pengundi yang berdaftar di DUN Slim tetapi bermastautin di luar.

Malah pengundi yang memberikan undi kepada Pakatan Harapan dalam PRU 14 telah beralih memberikan sokongan kepada Barisan Nasional dan ini terbukti apabila Barisan Nasional berjaya menawan kembali kesemua 6 PDM yang telah tewas ketika PRU 14.

Satu mesej yang sangat jelas dari rakyat dalam PRK Slim, untuk diperhatikan oleh Pakatan Harapan terutamanya Dr Mahathir ialah rakyat secara jelas telah menolak Pakatan Harapan, terutamanya Dr Mahathir.

Sebab itu kedatangan Dr Mahathir dan beberapa pemimpin utama Pakatan Harapan untuk berkempen, tidak mendatangkan impak yang besar kepada calun Pejuang, Amir Khusyairi, malah penerimaan rakyat terhadap Perikatan Nasional masih lagi menjadi tandatanya, walau pun Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah menabur berbagai-bagai imbuhan kepada rakyat dan Menteri Besar Perak adalah dari PPBM, namun tidak dapat menarik kembali undi yang telah diberikan kepada PPBM dalam PRU 14, ini terbukti apabila PPBM membawa undi PPBM kepada Barisan Nasional dalam PRK Slim.


Seperkara yang mesti diperhatikan oleh pemimpin-pemimpin Muafakat Nasional ialah jumlah undi rosak yang agak tinggi pada PRK Slim ini.

Pada PRU 14, tiada undi rosak dicatatkan, manakala pada PRK Slim, jumlah undi rosak naik secara mendadak kepada 327 undi.

Lazimnya undi rosak yang tinggi di dalam sesuatu pilihanraya adalah gambaran protes dari rakyat dan lebih menarik lagi, kebanyakan undi rosak itu datangnya dari PDM yang merupakan kubu kuat UMNO!!!

Apakah ini sebagai tanda protes dari akar umbi UMNO yang tidak berpuas hati dengan sikap dan pendirian pemimpin-pemimpin UMNO yang dilihat mengalu-alukan dan terlalu mengalah dengan helah Muhyiddin dan PPBM terhadap UMNO?

Bagi Dr Mahathir pula, tidak perlu menggunakan pelbagai alasan seperti kononnya parti Pejuang masih baru dan belum dikenali rakyat.

Atau peratusan keluar undi yang rendah berbanding di PRU 14, kerana sekiranya itu adalah sebab yang sebenar, apakah penjelasan Dr Mahathir mengenai 6 PDM yang telah dapat ditawan semula oleh Barisan Nasional?

Mungkin kemenangan besar Barisan Nasional di PRK Chini boleh Dr Mahathir berikan alasan Pahang adalah kubu kuat Barisan Nasional dan Kerajaan Negeri Pahang juga ditadbir oleh Barisan Nasional tetapi di PRK Slim, jelas menunjukkan rakyat sudah membuka pintu keluar dari dunia politik kepada Dr Mahathir kerana rakyat sudah bijak untuk diperdaya dengan taktik politik menghasut!!!

No comments:

Post a Comment

Sila komen mengikut tajuk yang dibincangkan. Komen yang lari tajuk dan tidak sopan boleh ditahan siaran serta diban jika melampau sangat.