Wednesday, May 27, 2020

Pakatan Harapan Akan Berkubur Sebelum PRU 15


Sejak Pakatan Harapan tumbang pada Februari lepas, gabungan beberapa parti politik yang kini menjadi pembangkang itu dilihat semakin carca marba.

Bibit perpecahan yang sangat ketara mula kelihatan dalam blok pembangkang, terutama selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak hadir sidang media yang diadakan Dr Mahathir ketika pemimpin Pakatan Harapan yang lain hadir.


Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata :


"Alasan Anwar tidak hadir sidang media itu adalah kerana ianya bukan dianjurkan PH secara rasmi adalah aneh kerana Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAN, Mohamad Sabu menghadirinya."

Beliau berkata ia jelas ada isu yang belum selesai dalam kalangan pembangkang.


Azmi berkata perselisihan dalaman yang sudah berlaku sejak PH menjadikan PPBM sebagai sekutu, sinonim dengan persepsi pakatan itu tidak menunjukkan prestasi yang baik sebagai sebuah kerajaan."


"Rakyat agak berwaspada dan mungkin mengesyaki mereka tidak memiliki apa yang diperlukan untuk memerintah negara ini," tambah Azmi lagi.


James Chin dari Institut Asia University of Tasmania pula 
berkata :

"PKR dilihat sebagai hubungan yang lemah dalam Pakatan Harapan ketika ini, sambil menambah ada kemungkinan lebih banyak pembelotan dari parti Anwar untuk menyertai Perikatan Nasional."

Beliau berkata pendaftaran rasmi Perikatan Nasional sebagai entiti politik akan menjadi faktor penentu utama sebagai gabungan tunggal menjelang pilihan raya umum akan datang.


"Jika Perikatan Nasional didaftarkan sebagai sebuah gabungan, di mana saya fikir mereka akan lakukannya, maka ini akan membolehkan semua parti dalam Perikatan Nasional termasuk Barisan Nasional berdiri di bawah simbol parti tunggal."


"Dan lebih lama Perikatan Nasional memegang kuasa, lebih mudah untuk mereka membawa masuk beberapa orang PKR," katanya.


Kedudukan PPBM yang memiliki Ahli Parlimen dalam kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang adalah bukti yang cukup jelas kepada kita semua bahawa parti komponen minoriti dalam Pakatan Harapan tetapi mempunyai pemimpin yang memegang jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan telah berpecah.



Manakala kepercayaan rakyat kepada PAN semakin terhakis apabila PAN cuma dilihat sebagai kuda tunggangan DAP untuk cuba mendapatkan undi orang Melayu dari serpihan PAS.

PAN dilihat tidak mempunyai halatuju perjuangan mereka untuk memenangi hati pengundi Melayu Islam kerana kebanyakan kenyataan pemimpin mereka dan dasar parti PAN dilihat banyak dipengaruhi DAP.


Pakatan Harapan juga tidak mendapat sokongan dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kekuatan Warisan di Sabah juga sudah goyah dan telah timbul perkhabaran Kerajaan Warisan Sabah akan tumbang sebagai kesinambungan keruntuhan kerajaan negeri yang berlaku di bawah pemerintahan Pakatan Harapan di Semenanjung Malaysia.

Di peringkat negeri pula, selain telah kehilangan kuasa di Johor, Melaka, Perak dan Kedah, Pakatan Harapan juga dijangkakan akan kehilangan kuasa di Negeri Sembilan, Selangor dan Sabah.

Kehilangan kuasa di peringkat pusat dan juga di beberapa negeri membuatkan Pakatan Harapan semakin menghampiri penghujung hayatnya dan satu-satunya pilihan yang mereka ada ialah bubar atau terpaksa membubarkan gabungan Pakatan Harapan untuk membentuk satu gabungan pembangkang yang lebih mantap selepas PRU 15 dengan syarat kemelut antara Dr Mahathir mesti diselesaikan segera.


Walau pun admin bukan penyokong Pakatan Harapan, namun satu gabungan pembangkang yang mantap sangat diperlukan dalam sistem demokrasi untuk mewujudkan kuasa semak dan imbang kepada kerajaan.

Namun dalam keadaan sekarang, Pakatan Harapan dilihat hampir pasti akan berkubur selewat-lewatnya menjelang PRU 15 atau pun dijangka lebih awal dari itu.

No comments:

Post a Comment

Sila komen mengikut tajuk yang dibincangkan. Komen yang lari tajuk dan tidak sopan boleh ditahan siaran serta diban jika melampau sangat.