Tuesday, May 8, 2018

GST Ibarat Ubat, Pahit Tapi Menyembuhkan


Alhamdulillah dua hari lagi pada hari Rabu 9 Mei ini, kita rakyat Malaysia bakal menjalankan tanggungjawab untuk mengundi dalam Pilihanraya Umum ke14. Ramai rakan-rakan yang tidak sabar untuk keluar mengundi setelah sekian lama berkempen dan 'dikempen'. Bagi kita yang bukan ahli politik pun terasa penat. Bayangkan apa perasaan ahli-ahli politik yang terlibat secara langsung dalam PRU14 ini.

Kita menghargai mereka yang secara sukarela mengenengahkan diri untuk bertanding dan berkhidmat kepada rakyat. Tidak kira sama ada menang atau kalah, kedua-duanya memerlukan pengorbanan tenaga, wang dan masa keluarga. Sekiranya menang, sebahagian daripada mereka berpeluang memegang jawatan dalam pentadbiran yang pendapatannya mungkin tidak setimpal dengan tanggungjawab berat yang dipikul. Sekiranya mereka kalah, lagilah berat kerana mungkin terpinggir dari kancah politik negara sekarang-kurangnya selama 5 tahun.

GST, ISU YANG DI POLITIKKAN PEMBANGKANG



Dalam tempoh kempen, pelbagai isu telah dibangkitkan. Antara yang paling kerap dibahaskan adalah cukai barangan dan perkhidmatan atau GST. Izinkan saya menyentuh 5 perkara berkenaan GST yang telah diperkenalkan 3 tahun yang lalu pada 1 April 2015 :-

i) GST 6% ini menggantikan cukai jualan 10% & cukai perkhidmatan 6%. Ia bukan cukai tambahan.

ii) Kadar 6% yang dikenakan adalah yang terendah di ASEAN dan antara yang terendah di dunia. 160 negara telah melaksanakan GST atau Value Added Tax (VAT). Sebagai contoh, kadar di Singapura 7%, Thailand 7%, Indonesia 10%, Vietnam 10%, Filipina 12%. Di Australia 10% dan di UK jauh lebih tinggi iaitu 20% .

iii) Untuk mengurangkan kesan kenaikan harga barang kepada rakyat, Kerajaan telah memperluaskan senarai barangan asas yang dikenakan kadar sifar atau terkecuali dari GST. Ini termasuk barangan makanan asas seperti beras, gula, minyak masak, ayam, daging, ikan & sebagainya, ubat-ubatan, buku-buku dan minyak petrol RON95 & Diesel.

iv) Semasa pelaksanaan GST diumumkan dalam Bajet 2014 pada 25 Oktober 2013, Kerajaan juga telah mengumumkan langkah 'pengimbangan' atau offset measures seperti pengurangan cukai pendapatan individu antara 1-3%, pengurangan cukai pendapatan korporat dari 25% kepada 24% dan pengurangan cukai perusahaan kecil & sederhana dari 20% kepada 19%. Pemberian BR1M isirumah berpendapatan RM3,000 kebawah sebulan juga ditingkatkan dari RM500 ke RM650 manakala isirumah berpendapatan RM3,000-4,000 sebulan mula diberikan BR1M RM450 buat pertama kali. Seterusnya dalam Bajet 2015, jumlah BR1M telah dinaikkan masing-masing kepada kepada RM950 & RM750 . Untuk individu bujang berpendapatan RM2,000 kebawah pula, BR1M dinaikkan kepada RM350. Ini semua bertujuan untuk meringankan impak kenaikan harga barang.

v) Tujuan asal pelaksanaan GST adalah untuk memperluaskan asas percukaian negara memandangkan kita hanya ada 2 juta pembayar cukai pendapatan, satu jumlah yang kecil berbanding jumlah rakyat Malaysia seramai 30 juta dan GST adalah cukai penggunaan (consumption or indirect tax) dimana mereka yang berbelanja lebih adalah dari kalangan mereka yang berpendapatan lebih. Ini juga selaras dengan langkah konsolidasi fiskal yang mensasarkan bajet seimbang dalam jangkamasa pertengahan. Dengan peningkatan pendapatan Kerajaan, kita bukan sahaja dapat mengurangkan defisit fiskal kita malah dapat melaksanakan banyak projek pembangunan yang tertangguh sebelum ini seperti pembinaan lebuhraya, jalanraya, jambatan, sekolah, hospital, klinik desa, dll. Ini termasuklah pembinaan lebuhraya Pan Borneo yang sedang rancak pembinaannya dan dijangka siap pada tahun 2022.

KELEBIHAN GST BERBANDING SST


Terdapat cadangan untuk menghapuskan GST dan berbalik kepada sistem percukaian lama iaitu SST.

Bagi saya ini suatu langkah yang ke belakang atau 'regressive' dan boleh membahayakan ekonomi ini adalah kerana kutipan GST pada tahun 2017 adalah sebanyak RM42 bilion dan dijangka meningkat kepada RM44 billion tahun ini berbanding kutipan SST RM17 billion pada tahun 2014.

Sekiranya GST dimansuhkan, terdapat kekurangan pendapatan sebanyak RM27 bilion (2% daripada KDNK).

Sekiranya ini berlaku, kerajaan kita ada tiga pilihan :

Pertama - Menaikkan cukai pendapatan atau memperkenalkan cukai baru seperti cukai keuntungan modal (Capital Gains Tax).

Kedua - Mengurangkan perbelanjaan termasuk perbelanjaan pembangunan maka ini bermakna membatalkan atau menangguhkan projek-projek pembangunan yang telah diluluskan sebelum ini

Ketiga - Meningkatkan defisit fiskal kepada 5%. Kesemua opsyen tersebut amat berbahaya kerana boleh menjejaskan pasaran modal dan mengakibatkan penarafan kredit hutang antarabangsa negara kita diturunkan daripada paras A3/A- kepada BBB ianya sudah tentu akan meningkatkan kos pinjaman dan memudaratkan ekonomi negara.

Saya berharap sistem GST akan dikekalkan.

Perhatian boleh diberikan kepada memperbaiki lagi pelaksanaan program dan projek-projek yang dapat memberikan lebih peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat.

Ini selaras dengan matlamat model baru ekonomi yang mensasarkan Malaysia menjadi sebuah negara maju yang inklusif dan mampan.

JANGAN MENGUNDI IKUT EMOSI


Menjelang 9 Mei 2018, saya menyeru rakan-rakan mengamalkan 3 perkara berikut:-

i) Keluar mengundi seawal mungkin kerana ini adalah hak kita sebagai warganegara Malaysia.

ii) Jangan membenarkan pendapat politik memecah-belahkan atau mengasingkan keluarga. Silaturrahim perlu dikekalkan.

iii) Menerima keputusan dengan hati terbuka, merapatkan saf dan bersatu membangunkan negara.

Marilah kita bersama-sama memainkan peranan masing-masing, bersikap membina dan menghayati/ mengamalkan prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undangan-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.

Selamat mengundi & Salam hormat.

Tulisan Asal :

Abdul Wahid Omar

1 comment:

Sila komen mengikut tajuk yang dibincangkan. Komen yang lari tajuk dan tidak sopan boleh ditahan siaran serta diban jika melampau sangat.