Seminar Antarabangsa Autisme 2014

Wednesday, January 2, 2013

Hadi terdiam 17 hari: Bodoh tak bezakan politik sampai pecah belah



TITAH Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang meminta umat Islam supaya saling hormat menghormati dan mengelak daripada sengketa berpanjangan boleh dianggap sebagai pesanan yang amat bermakna bagi memperlihatkan realiti sebenar keindahan Islam.

Ia menjadi ingatan penting yang perlu diberikan perhatian oleh rakyat Kelantan khususnya disebabkan realiti politik di negeri yang pernah digelar "serambi Mekah" itu semakin bercelaru dan adakalanya berkecamuk sehingga memalukan imej Islam itu sendiri.

Dalam titah tersebut, baginda tidak mahu umat Islam ditempelak menerusi perbuatan-perbuatan yang memalukan dan masih diselubungi "mega mendung sengketa dan perbalahan seolah-olah tiada penghujungnya."

Titah ini menjadi lebih menarik kerana terdapat segelintir masyarakat Melayu-Islam Kelantan sudah lama dipenjarakan oleh kiblat politik sehingga menyebabkan terputusnya hubungan kekeluargaan dan silaturrahim, pemisahan kelompok dalam masyarakat sehingga membentuk subbudayanya tersendiri yang tidak boleh bersatu sama sekali kerana disekat oleh doktrin "syurga" ciptaan politik, indoktrinasi agama hampir setiap hari berlaku.

Menariknya lagi ialah apabila baginda bertitah - "Beta berharap semua pihak menyedari betapa tingginya kerinduan umat Islam kepada kedamaian dan kerukunan serta betapa kecewanya bila tenaga dan kekuatan umat habis tercurah dalam sengketa peperangan sesama sendiri."

Mungkin pemimpin-pemimpin politik Kelantan "tidak pedulikan" titah itu, kerana ia hanyalah pandangan umum dan bukannya menyebut siapa sebenarnya yang menerajui ikhtiar untuk mengetepikan kedamaian dan kerukunan hidup umat Islam.

Bagaimanapun, bagi masyarakat yang rasional mereka sudah boleh membaca siapa sebenarnya yang meniup api kebencian sesama Islam sehingga sanggup menuduh mereka yang berbeza pandangan politik sebagai "kafir.

Doktrin sedemikian meskipun lebih tiga dekad bergema, ia masih mempunyai kesan psikologi dalam minda segelintir penyokong tegar kelompok berkenaan sehingga beberapa bulan lalu timbul pula isu satu pasangan warga emas dari Pasir Mas melalui detik memalukan kerana bercerai atas perbezaan politik walaupun sebelum berkahwin keduanya saling mengetahui pendirian masing-masing.

Bibit-bibit perpecahan akibat perbezaan politik bukan hanya melibatkan penceraian pasangan yang berkahwin bahkan ada penyokong tegar sesebuah parti tidak bertegur sapa meskipun mereka pada asalnya dilahirkan oleh ibu dan bapa yang sama.

Oleh kerana "doktrin politik" itu saban hari dimasukkan ke dalam pemikiran menerusi tafsiran ayat- ayat al-Quran tanpa melihat kesesuaian maksudnya, menjadikan khalayak yang mendengarnya mudah percaya kerana sebahagian besar penyokong mereka bukanlah terdidik dalam pengajian Islam meskipun lancar dan fasih membaca al-Quran.

Mereka ini bukannya dikhatamkan kerana memahami maksud setiap ayat-ayat al-Quran itu dan kerana itulah ramai yang bergantung kepada guru-guru tertentu untuk memahaminya. Ini bermakna, jika mereka berguru dengan guru agama tulen ia tidak akan mencampurkan hal-ehwal politik. Bagaimanapun, guru agama tulen sudah jarang kedapatan dalam masyarakat, kerana semakin sehari makin ramai guru agama yang mencari populariti.

Perjalanan sejarah kelam Islam selepas kejatuhan empayar Islam telah membuktikan bahawa kerangka pemikiran umat Islam menjadi semakin lemah sehingga tidak mampu melihat keindahan Islam itu dari dalam dirinya sendiri. Masyarakat Islam hanya melihat keindahan Islam itu hanyalah dari perspektif teorinya sahaja sedangkan dari aspek amalannya nyata berbeza.

Misalnya, ketika lahirnya gerakan menakut-nakutkan bukan Islam terhadap Islam oleh masyarakat Barat, reaksi balas masyarakat Islam hanya dijelmakan menerusi tunjuk perasaan, bantahan dan memboikot pihak-pihak yang mencetuskan fenomena tersebut. Satu tindakan proaktif dan terancang secara bersungguh-sungguh tidak dilakukan oleh umat Islam sendiri.

Kalau diambil dari segi jumlah penganut Islam seramai 1.6 bilion bermakna kekuatan itu sudah memadai untuk menghindari pelbagai kemelut dan salah faham terhadap Islam. Oleh kerana sebahagian besar umat Islam tidak mempunyai kefahaman yang mendalam mengenai keindahan Islam dan ada di antaranya membentuk kelompoknya yang tersendiri menyebabkan situasi umat Islam menjadi semakin mudah disogokkan dengan pelbagai indoktrinasi oleh kelompok yang menganggap bahawa pandangan dan pendirian merekalah yang paling betul dan benar, manakala umat Islam lain adalah salah.

Hakikat perpecahan dalam kalangan umat Islam, terutamanya dalam masyarakat Melayu banyak berkisar pada permasalahan politik dan agama. Meskipun semua orang mengetahui kesan buruk akibat perpecahan atas perbezaan politik, seruan untuk menyatukan kelompok-kelompok itu tidak pernah menjadi realiti.

Sebuah parti yang mendabik dada sebagai "parti Islam" tidak pernah menunjukkan keikhlasannya untuk bersatu, sebaliknya lebih banyak menimbulkan syak wasangka bagi menggagalkan sebarang usaha penyatuan Islam.

Perpecahan dalam politik umat Islam sebenarnya lebih terdorong oleh faktor dendam dan kepentingan peribadi sehingga membawa tuduhan melampau, hina menghina dan fitnah memfitnah sehingga tidak mempedulikan hakikat sebenar setiap umat Islam adalah bersaudara.

Oleh sebab kita mengakui al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup, seharusnya kita berusaha mencipta kebaikan dalam kehidupan ini. Kita harus memperbaiki hubungan persaudaraan sesama Islam, merapatkan hubungan silaturahim dengan keluarga yang dekat mahupun yang jauh dan mencipta perdamaian di antara pihak-pihak yang bermusuhan.

Allah menegaskan dalam firmanNya yang bermaksud: Bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman - (Surah al-Anfal, ayat 1). 

Ciri-ciri mukmin yang sejati ialah menghormati tetangganya, menyambungkan tali persaudaraan dan memiliki keprihatinan terhadap penderitaan yang dirasakan oleh saudaranya di sekitarnya - (Hadis diriwayat Bukhari).

Pengabaian oleh sesetengah umat Islam terhadap maksud hadis tersebut meletakkan diri mereka pada hari ini jauh sekali daripada memenuhi ciri-ciri Mukmin yang sejati. Seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW bahawa akan datang suatu zaman orang berkumpul di masjid untuk bersembahyang tetapi tidak akur dengan tetangganya iaitu memutuskan silaturahim. Maka ia dinilai oleh Nabi sebagai orang yang melakukan solat tetapi hakikatnya tidak dihitung sebagai orang yang melakukan.

Dalam surah al-Ra'd ayat 21 disebut bahawa salah satu tanda orang yang beruntung di akhirat ialah di dunia dia senang menyambungkan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat atau membantu orang yang memerlukan bantuan. Dan orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan.

Oleh kerana di dunia mereka senang menyambungkan tali kekeluargaan, maka Allah sambungkan tali kekeluargaan mereka nanti pada hari akhirat. Dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman: Barang siapa yang memutuskan tali kekeluargaan, akan aku putuskan hubunganKu dengan dia. Dan barang siapa menyambungkan tali kekeluargaan, Akupun akan mengukuhkan tali kekeluargaannya nanti.

Perbezaan ideologi tidak seharusnya menjadi alasan untuk memutuskan hubungan tali silaturahim. Ingatlah orang yang memutuskan tali persaudaraan akan menerima laknat daripada Allah SWT. Ketika Nabi berada di Arafah pada waktu Isyak bersama-sama sahabat, tiba-tiba beliau bersabda yang bermaksud: Aku tidak menghalalkan siapapun yang pada petang hari ini dalam keadaan memutuskan tali silaturahim kecuali dia harus meninggalkan kami.

Dan yang jelas rahmat Allah tidak akan turun di tempat yang ada suatu kaum yang memutuskan hubungan silaturahim. Hakikat penyatuan dan persaudaraan sesama umat Islam ditentukan oleh rasa persamaan dalam kepercayaan dalam bersyahadah. Kesamaan bersyahadah itulah dinamakan sebagai berpaut kepada "tali Allah", iaitu agama wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagi "agama yang paling sempurna dan lengkap" berbanding agama-agama sebelumnya.

Seharusnya pihak yang mendakwa bahawa merekalah yang "memperjuangkan Islam" melihat semula konteks sejarah bagaimana Nabi Muhammad SAW berhadapan dengan perpecahan masyarakat Arab yang hidup dalam tradisi kabilah. Tradisi kabilah inilah yang sedang dibina oleh kelompok yang mendakwa dirinya sebagai "parti Islam" kerana tidak pernah menunjukkan kelembutan dan keinginan untuk bersatu atas wadah Islam.

Jika Nabi Muhammad SAW berjaya memecahkan tembok "kabilah" maka tidak ada sebab kenapa orang Melayu-Islam di Malaysia tidak boleh bersatu berasaskan "tali Allah" dan bukannya disempadankan dengan konsep "kafir" dalam pandangan politik sempit atau jumud.

Perpaduan dalam kalangan orang Melayu-Islam perlulah dibina atas matlamat yang sama, iaitu membangunkan Islam dalam konteks yang lebih besar dan berkualiti. Kita tidak memerlukan umat yang ramai yang hanya mengakui dirinya Islam dan dalam masa yang sama tidak memahami bagaimana menjalani kehidupan sebagai orang Islam. Kita memerlukan umat Islam yang berkualiti, yang mampu menjawab dengan tegas dan rasional sebarang tuduhan mengenai Islam, kerana itulah kita memerlukan mereka yang mampu berjihad secara intelektual, bukannya berjihad secara emosional.


DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Islamiah Malaysia (Yadim).

3 comments:

  • Anonymous says:
    January 3, 2013 at 5:56:00 AM GMT+8

    Yadim ke....Yabada Badoo ke, semua nya Simple!,

    ABU

    Negara mesti di cuci dari segala Kerja Kerja yang akan merosakkan negara yang di buat olih team Najib

  • Sou Yuen says:
    January 3, 2013 at 11:37:00 AM GMT+8

    Yup,we also need to clean-up messes did by PR in PRU,so we can called it justice. Is that your motto right?Transparency does not compromized bro hihi.

  • Mr. Eee says:
    January 3, 2013 at 12:52:00 PM GMT+8

    Hmmm...
    tang mana 'merosakkan negara' tu ek..?

    aku tengok elok Jer Malaysia nih, x de huru hara (melainkan yg ditimbulkan oleh pembangkang)..

fda

Link2Me WeLinkBk (254)