Tuesday, November 27, 2012

Saman Nurul helah nak tutupkan isu



KUALA LUMPUR 25 Nov. - Tindakan Nurul Izzah Anwar memfailkan saman ke atas Utusan Melayu (M) Berhad berhubung kenyataan kontroversinya baru-baru ini merupakan satu helah supaya isu tersebut tidak menjadi percakapan umum.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, membawa kes tersebut ke mahkamah bermakna isu itu tidak lagi boleh dibincangkan secara terbuka sekali gus menghalang mana-mana pihak menjadikannya bahan kempen pilihan raya umum tidak lama lagi.

Beliau berkata, saman 'terpilih' yang dikenakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terhadap akhbar ini juga supaya masyarakat Islam melihat beliau tidak bersalah tetapi difitnah.

''Ini strategi beliau yang mengikut nasihat bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dapat mengalih pandangan rakyat dan mengaburi mata umat Islam supaya dia dilihat tidak bersalah.

''Tindakan saman itu juga untuk mengelak isu ini dijadikan bahan kempen pada pilihan raya umum akan datang kerana apabila sudah menjadi kes mahkamah, mana-mana pihak tidak boleh bercakap lagi,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena majlis pelancaran tabung bantuan guaman membela Utusan Malaysia melawan Nurul Izzah berhubung kenyataannya mengenai kebebasan beragama yang sepatutnya diguna pakai secara sama rata termasuk orang Melayu.

Kenyataan kontroversinya itu dibuat ketika menjawab soalan seorang ahli Majlis Peguam, Siti Zabedah Kassim dalam satu forum bertajuk Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab di Subang Jaya, baru-baru ini.

Nurul Izzah seperti dipetik menerusi laporan portal propembangkang, Malaysiakini berkata: Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di sini kelmarin.

Ibrahim berkata, pelancaran tabung berkenaan sekali gus membuktikan Perkasa memandang serius isu membabitkan soal akidah umat Islam.

''Kita harap Perkasa di tiap-tiap negeri akan turut menggerakkan usaha ini dan hasil kutipan akan diserahkan pada Persidangan Agung Perkasa pada 15 Disember ini,'' katanya.

Lebih RM20,000 berjaya dikumpul sempena majlis pelancaran itu yang antaranya disumbangkan oleh Perkasa Selangor dan Johor masing-masing RM5,000, Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) (RM3,000), manakala Ibrahim menyumbangkan separuh daripada gaji bulanannya sebagai Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, Mursyidul Am TIBAI, Muhammad Zahid Md. Arip berkata, Nurul Izzah sepatutnya menasihatkan bapanya supaya turut memfailkan saman fitnah ke atas ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dalam isu rakaman video seks.

1 comments:

  • Budak Benteng says:
    November 27, 2012 at 1:51:00 PM GMT+8

    Mohon pautkan blog saya. Blog tuan sudah saya pautkan.
    http://budakbenteng.blogspot.com/

fda

Get your volunteer initiatve funded!

Link2Me WeLinkBk (254)