Keadilan buat mangsa

Keadilan buat mangsa

Friday, August 31, 2012

Erti Patriotisme


Patriotisme seharusnya menjadi subjek dan tema penting yang mencorakkan hala tuju perubahan Malaysia selepas negara ini mencapai kemerdekaan hampir 55 tahun yang lalu.

Dalam masa sama Malaysia menghadapi pelbagai cabaran semasa yang kritikal seperti globalisasi, liberalisasi, neokolonialisme, feudalisme baru, anarkisme, keganasan, sekularisme, demokrasi, pembinaan negara bangsa dan sebagainya.

Justeru, patriotisme adalah keyakinan kita bahawa negara ini lebih hebat daripada negara lain, disebabkan kita lahir di negara ini. Selain itu, kita juga harus bertanya kepada diri kita apa sumbangan kita kepada negara yang kita cintai.

Setiap rakyat yang cintakan negaranya pasti berfikir dan merenung perjuangan yang telah kita lalui sepanjang 55 tahun lalu. Untuk mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 negara kita melalui pelbagai pahit getir dengan perjuangan para pejuang yang mencetuskan kemerdekaan negara.

Patriotisme adalah perjuangan yang menjiwai kepada kepentingan bangsa dan negara. Usaha mengekalkan semangat juang yang tinggi, mendaulatkan kedudukan, status serta pengaruh bangsa dan negara seharusnya dimulakan di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Mengibarkan Jalur Gemilang adalah simbol kepada rasa cinta kepada negara. Bendera adalah lambang negara yang seharusnya berkibar megah di perkarangan rumah, sekolah, pejabat dan juga di kenderaan. Melalui semangat ini rasa cintakan negara akan dapat dikekalkan dalam jiwa setiap rakyat. Mengibarkan Jalur Gemilang tidak terbatas kepada pegangan politik. Kemerdekaan adalah lambang kedaulatan sesebuah negara.

Patriotisme juga memerlukan komitmen pemimpin dan semua golongan rakyat dengan mempertahankan asas pembinaan dan kedaulatan negara. Mempertahankan negara daripada musuh dan ancaman luar merupakan tanggungjawab setiap rakyat.

Kesetiaan pada raja dan negara yang ditunjukkan oleh warganegara melalui sumbangan dan pengorbanan merupakan unsur patriotisme yang sangat penting. Unsur ini perlu disemai dan ditanam dalam jiwa generasi muda khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Patriotisme juga adalah perjuangan yang menjiwai kepada kepentingan bangsa dan negara. Setiap rakyat yang cintakan negara ini harus mengakui Malaysia adalah tanah tumpah darah dan tiada negara lain seaman dan semakmur Malaysia.

Nilai patriotisme yang patut diterapkan dalam hati dan jiwa generasi muda seperti kesetiaan, keberanian, rela berkorban, kesukarelaan, cintakan bangsa dan negara perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan rakyat yang patriotik dan bertanggungjawab pada bangsa dan negara.

Semangat patriotisme perlu dibangunkan melalui dasar pembangunan manusia iaitu membabitkan ekonomi, politik, sukan, pendidikan, hubungan diplomatik dan penglibatan Malaysia dalam konteks globalisasi. Usaha haruslah dilakukan dengan menonjolkan imej Malaysia sebagai bangsa dan negara yang berwibawa di arena antarabangsa. Pencapaian dalam sukan Olimpik dengan satu pingat perak dan gangsa di London baru-baru adalah suatu permulaan ke arah itu.

Petikan dari Utusan Malaysia sini

1 comments:

  • Anonymous says:
    August 31, 2012 at 10:17:00 AM GMT+8

    Tapi perlu difahami untuk diberi gelaran seorang patriot tidak semudah memenangi pilihanraya atau melaung slogan dijalanraya. Patriot punya sumbangan besar kepada negara dan gelaran diberi oleh umum. Jadi patriot ini memang sesuatu yang langka dan kehilangan seorang patriot seolah kehilangan seribu anak muda yang gagah PERKASA, malah mungkin lebih.

    Kalau di Malaysia, aku melihat jasa dan sumbangan Tun Razak dan terutamanya Tun Dr Ismail melayakkan mereka menerima gelaran Patriot Negara dari aku. Kehilangan mereka berdua menyentap kehidupan bernegara kita. Masih ada seorang lagi Patriot yang belum hilang, Tun Dr Mahathir. Aku berdoa semuga beliau sentiasa sihat dan PERKASA!

    Ayah Faim

fda

Get your volunteer initiatve funded!

Link2Me WeLinkBk (254)