
PULAU PINANG 11 Julai - Ketua Menteri, Lim Guan Eng dicabar menjalani upacara bersumpah atau ujian mengesan pembohongan bagi membuktikan dirinya tiada hubungan dengan bekas kakitangannya seiring dengan corak pentadbirannya yang sering menguar-uarkan slogan cekap, akauntabiliti dan telus (CAT).
Bekas ahli DAP, Mohamed Razali Abdul Rahman berkata, sekiranya Guan Eng tidak berani berbuat demikian, ia menunjukkan bahawa slogan kerajaan DAP Pulau Pinang itu cuma retorik semata-mata bagi mengaburi mata rakyat.
Menurutnya, tindakan tersebut juga perlu bagi menjernihkan maruah Setiausaha Agung DAP itu dan keluarganya.
"Kalau berani, saya cabar dia (Guan Eng) buatlah kerana selama ini dia sering uar-uarkan slogan CAT.
"Buktikan ketelusan kepada rakyat. Tapi mampukah dia buat?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO negeri, Shaik Hussein Mydin menyarankan Guan Eng dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng menjalani upacara bersumpah mengikut agama atau kepercayaan masing-masing bagi menafikan segala dakwaan terhadap mereka membabitkan seorang wanita, Ng Phaik Kheng.
Timbalan Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan MIC, Datuk R. Ramanan pula meminta kedua- dua mereka menjalani ujian mengesan pembohongan untuk tujuan sama.
Sabtu lalu, kedua-duanya mengadakan sidang akhbar bersama bagi menafikan skandal Guan Eng dengan Phaik Kheng yang juga bekas kakitangan di Pejabat Ketua Menteri.
Bagaimanapun, hanya Betty yang memberi penjelasan pada sidang akhbar berkenaan sementara Guan Eng berdiam diri sahaja.
Phaik Kheng pula sehingga kini masih mengambil sikap berdiam diri berhubung isu tersebut. - Utusan Malaysia.


0 comments:
Post a Comment