Sunday, June 27, 2010

Ugama bukan untuk dipolitikkan - Harussani

IPOH 25 Jun - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Islam tidak menghalang ulama menyertai parti politik tetapi menolak keras ulama mempolitikkan agama untuk kepentingan parti.

Menurut beliau, tindakan sesetengah ulama yang sanggup melakukan apa sahaja atau mempraktikkan kaedah "matlamat menghalalkan cara" adalah sesuatu yang jelas lari daripada keendak Islam itu sendiri.

"Tidak salah kalau ulama menyertai parti politik, cuma janganlah profesion ulama itu dipolitikkan. Maknanya jangan menggunakan kedudukan mereka untuk buat atau keluarkan kenyataan sesuka hati.

"Sebaik-baiknya tugas ulama adalah untuk menjadi kumpulan penasihat, penegur dan pengawal kepada negara dan masyarakat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, seramai 40 ulama berkelulusan ijazah Doktor Falsafah (PhD) akan menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur malam ini.

Bekas Menteri Besar Perlis itu memberitahu, perkara berkenaan dimaklumkan sendiri oleh kumpulan ulama berkenaan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan mereka di ibu negara baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Harussani berkata, beliau tidak melihat penyertaan beramai-ramai ulama ke dalam UMNO seperti yang diuar-uarkan akan menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

Ini kerana katanya, masyarakat semakin faham dengan suasana politik di negara ini dan dapat menilai sesuatu itu dengan baik.

"Saya tidak nampak mengapa rakyat akan jadi keliru kerana dalam Pas pun ada ulama. Cuma macam dijelaskan tadi, yang penting menjalankan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, ditanya adakah beliau berminat untuk menyertai mana-mana parti politik jika ditawarkan, kata Harussani:

"Saya lebih suka duduk atas pagar. Saya tidak akan masuk mana-mana parti supaya saya boleh tegur mana-mana pihak yang perlu ditegur. Saya hanya masuk 'parti Allah'."

Utusan Malaysia

4 comments:

  • YANG GAMBI says:
    June 27, 2010 at 11:43:00 PM GMT+08:00

    Bro, itulah yang sepatutnya, kawan setuju sangat dengan pandangan Tan Sri Harussani.....

  • Anonymous says:
    June 28, 2010 at 12:19:00 AM GMT+08:00

    Salam buat Pemblog dan Pelayar,

    Politik terangkum didalamnya elemen seni. Seni kepimpinan, seni pengucapan, seni pikat, seni bertahan, seni menyerang, seni menjatuhkan dan seterusnya, bla. bla, bla.

    Untuk menjayakan sesuatu seni, ALAT adalah komponen utama. Contohnya seni fotografi perlukan video kamera sebagai alat, seni muzik perlukan gitar, seni lukis perlukan pewarna dan seterusnya. Tanpa alat-alat berkenaan maka cacatlah seni itu.

    Alat bagi menjayakan seni politik adalah berbagai. Ia boleh dalam bentuk isu (rasuah, pentadbiran, kecekapan dsbnya), keperibadian (tinggi atau rendah hitam atau putih, dsbnya) dan seterusnya.

    Ini bermakna isu dan keperibadian individu sepatutnya sudah cukup berkesan untuk dijadikan alat bagi menjayakan salah satu kategori seni politik yang di sebutkan itu.

    Namun, ada pihak yang mahukan impak yang lebih tinggi agar daya tarikan juga menjadi tinggi. Untuk mencapai impak maksima ini, mereka tidak akan teragak-agak mengalatkan apa saja termasuklah sesuatu yang dianggap mulia dan dihormati.

    Kalau bidang lain dibatasi oleh nilai baik dan etika murni, seni berpolitik seolah-olah tidak terikat dengan nilai sedemikian. Persoalannya bolehkah keadaan seumpama ini diperbaiki dan kalau boleh, siapa?

    Memandangkan rakyat adalah 'pengguna' dan parti adalah adalah 'penjual', makanya terpulanglah kepada pengguna sama ada mahu menggunakan kuasa di tangan sama ada mahu menerima atau menolak mana-mana penjual yang mengalatkan sesuatu yang sukar diterima justifikasinya, semata-mata untuk menambat hati mereka!

    ANDIKARYA MAYA

  • Anonymous says:
    June 28, 2010 at 1:48:00 AM GMT+08:00

    berrapa punya banyak seni daaa...

    yg aku tahu politik ni satu ja - seni halus!

    secara halus menggunakan semua cara utk naik. ini cara bagi mereka yg terdesak la...contohnya ada budak baru belajar tapi berlagak nak jadi pm sebelum 40! seni halus tak jalan, seni kasar pun dia hentam...guna cara double-cross orang. kalau gagal tuduh org lain salah...

  • Anonymous says:
    June 28, 2010 at 9:34:00 AM GMT+08:00

    seperti kata Imam Ghazali rh bahawa "politik adalah tiang kepada agama". Maksudnya, politik adalah alat untuk mancapai cita-cita agama. Bukannya agama menjadi alat untuk mencapai cita-cita politik !

    Fakeh Khalifah Saka

fda

Link2Me WeLinkBk (275)