KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuat laporan polis hari ini terhadap sebuah blog yang mendakwa beliau kini tenat akibat sumpah laknat yang dibuat berkaitan satu tuduhan liwat tahun lepas.
Mohd Saiful Bukhari, 23, yang hadir di Balai Polis Damansara pada 11 pagi bersama-sama bapanya, Azlan Mohd Lazim dan peguam, Zamry Idrus, selesai membuat laporan 45 minit kemudian.
Katanya laporan itu dibuat bagi meminta polis menyiasat penulis blog dan pengendali laman web berkenaan yang memfitnahnya dengan mengatakan bahawa beliau kini terpaksa menggunakan tiub bagi membolehkannya membuang air besar serta alat sulitnya bernanah.
"Mereka itu mendakwa ia adalah balasan akibat termakan sumpah laknat yang telah saya buat. Ini adalah pembohongan besar dan fitnah jahat yang tidak benar sama sekali. Saya amat sihat," katanya selepas membuat laporan polis itu.
Mohd Saiful Bukhari berkata beliau kini dalam proses meneliti segala maklumat yang ada sebelum memfailkan saman terhadap portal berita yang beroperasi di Pahang itu.
Katanya beliau juga sedang meneliti untuk menyaman imam Ramlang Porigi kerana didakwa memutarbelit kenyataan berhubung sumpah laknat yang dibuat di hadapan imam itu di Masjid Wilayah Persekutuan tahun lepas.
"Beliau sebelum ini berkata Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri yang mengatur sumpah tersebut, namun kenyataannya baru-baru ini bercanggah kerana ia dikatakan diatur oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah," katanya.
Ramlang merupakan saksi pada majlis mengangkat sumpah Mohd Saiful Bukhari yang dilakukan mengikut syariat Islam di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini pada 15 Ogos lepas bahawa beliau bercakap benar atas dakwaannya diliwat oleh Anwar.


0 comments:
Post a Comment